Archive for the Bahagian Category

MATA TERTUMPU KEPADA JK PENGURUSAN

Posted in Bahagian, MT, Pemilihan UMNO on November 11, 2008 by Hambali Abd Latiff


Oleh Hambali Abdul Latiff

Rencana Tiga Bahagian

Wajarkah kita menjadikan masalah yang melanda beberapa UMNO Bahagian yang gagal bermesyuarat seperti Larut, Tanah Merah dan Seremban sebagai kes kajian memperbetulkan masalah yang melanda cawangan dan bahagian?

Penyelesaian kepada kes-kes seperti ini amat penting untuk perpaduan dan kesepakatan ahli UMNO demi kekuatan UMNO menghadapi sebarang pilihan raya – umum dan pilihan raya kecil.
Sesuatu harus dilakukan segera bermula dari Ibu Pejabat UMNO, Perhubungan UMNO Negeri hinggalah ke peringkat cawangan agar
perjalanan pemilihan dan pengurusan parti di masa akan datang lebih licin.

Pengajaran tidak datang jika tidak ada masalah melanda. ‘Blessing in Disguise”. Semua pihak perlu melihat kes ini dengan dada terbuka dan menerima baik sebarang keputusan.
Semua mata kini tertumpu kepada Jawatankuasa Pengurusan menggendalikan kes ini demi jawapan dan tindakan sewajarnya untuk dijadikan suatu precedent pada masa hadapan.

1. Kes Pertama – UMNO Bahagian Larut:
2. Kes Kedua – UMNO Bahagian Tanah Merah:
3. Kes Ketiga – UMNO Bahagian Seremban, Tenom & Pengkalan Chepa

(Bahagian Pertama)
1. UMNO Bahagian Larut:

Masalah: Pencalonan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin untuk bertanding merebut jawatan ketua Umno Bahagian Larut ditolak selepas didapati melanggar peraturan keahlian yang ditetapkan parti. Alasan penolakan oleh UMNO Bahagian Larut terhadap Hamzah ialah dia baru bertukar keahlian pada 3 April lalu sedangkan mengikut pekeliling (Ibu Pejabat UMNO), mereka yang menjadi ahli dan membayar yuran sebelum 31 Disember 2007 sahaja layak bermesyuarat. (Mengikut surat pekeliling dikeluarkan ibu pejabat Umno negeri, seseorang hanya layak menghadiri mesyuarat cawangan atau bahagian serta bertanding jika mereka mendaftar sebagai ahli mana-mana cawangan Umno sebelum 31 Disember 2007.)

Tindakan Bahagian: Ketua Umno Bahagian Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, berkata bahagian itu dalam mesyuarat khas sebulat suara menolak pencalonan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dan bekas Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat. (Pada mesyuarat cawangan Umno Bahagian Larut yang berlangsung pada 17 Julai hingga 24 Ogos lalu, Raja Ahmad mendapat 28 pencalonan, Daud (33) dan Hamzah (22) untuk melayakkan mereka bertanding merebut jawatan ketua bahagian itu.)

Kesan: Mesyuarat UMNO Larut yang sepatutnya diadakan pada 9 November 2008 terpaksa ditangguhkan sehingga masalah itu diselesaikan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti.

Perkembangan lain:

1. Raja Ahmad berkata, pihaknya sebelum ini, sudah bertolak ansur untuk menerima Hamzah bertanding di Parlimen Larut pada pilihan raya umum lalu. Sebelum ini beliau ada membangkitkan perkara keahlian Hamzah pada mesyuarat badan perhubungan Umno negeri sebanyak dua kali termasuk yang dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi 21 September lalu. Pada mesyuarat itu, Hamzah memaklumkan beliau tidak berhasrat bertanding jawatan ketua bahagian Larut kepada Pak Lah, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan turut dihadiri Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

2. Setiausaha Agung UMNO menjelaskan kepada Agendadaily, Hamzah boleh bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut berdasarkan Perkara 6.3 yang dibaca bersama Perkara 6.3.8 Perlembagaan UMNO. Di bawah perkara itu, seseorang yang belum menggunakan haknya di Bahagian lama boleh menggunakan haknya di Bahagian yang baru termasuk memilih dan dipilih. Menurut Tengku Adnan, Raja Ahmad boleh dikenakan tindakan jika tidak mengadakan mesyuarat UMNO bahagian sehingga tarikh akhir semua mesyuarat bahagian ditetapkan perlu diadakan iaitu pada 9 November.

3. Utusan Malayia kelmarin, 10 November 2008, bertajuk ‘UMNO Larut mahu Hamzah’ melaporkan seramai 74 daripada 97 Ketua UMNO cawangan di bahagian Larut mendesak supaya Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin bertanding jawatan Ketua Bahagian itu pada mesyuarat perwakilan bahagian yang dijangka diadakan pada 16 November ini. Desakan itu turut dibuat oleh kira-kira 400 ahli dan perwakilan cawangan di hadapan Hamzah dalam satu perjumpaan khas di Bukit Merah Lake Town Resort di Bukit Merah.Kenyataan ketua-ketua UMNO itu adalah jawapan kepada kenyataan Raja Ahmad bahawa Hamzah tidak layak bertanding kerana menjadi ahli UMNO bahagian selepas 31 Disember 2007, sekali gus melanggar pekeliling yang dikeluarkan oleh ibu pejabat parti.

Kini, selain isu keahlian, ada empat pertanyaan baru di sini:

1. Adakah perhimpunan seperti ini dibenarkan? Bukankah ini kempen terbuka yang dilarang oleh Lembaga Disiplin dan Majlis Tertinggi;

2. Sebagai Ahli Majlis Tertinggi, apakah kehadiran Hamzah ke perjumpaan ini menunjukkan beliau sendiri melanggar arahan MT yang melarang perhimpunan diadakan yang sudah dipersetujui bersama oleh anggota MT?

3. Apakah ada ahli Jawatankuasa Pemantau di perhimpunan di Bukit Merah dan siapa penganjurnya? Bagaimana agaknya laporan JK Pemantau itu (jika ada)?

4. Sebagai ahli seumur hidup, adakah peruntukan diberikan keistimewaan kepada Hamzah untuk membayar yuran selepas 31 Disember 2007 bagi melayakkannya bertanding?

Selain itu, Hamzah turut membuat beberapa kenyataan untuk membela dirinya pada perjumpaan Bukit Merah itu:

1. Hamzah buat pertama kalinya membuat pengumuman secara terbuka untuk bertanding jawatan itu setelah mendapat sokongan ahli parti di peringkat akar umbi;

2. UMNO pusat turut memberi ‘lampu hijau’ kepadanya untuk bertanding atau ‘memilih dan dipilih’ mengikut perlembagaan UMNO;

3. Tujuan beliau datang ke Bahagian Larut bukan untuk mencipta perpecahan. Beliau sanggup melucutkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat semata-mata untuk jadi ahli di sini. (Persoalan di sini tarikh beliau melucutkan jawatan berkenaan dan siapa yang bertanding untuk Ketua Bahagian Ipoh Barat);

4. Berhubung keahliannya di bahagian Larut, Hamzah menjelaskan beliau adalah ahli UMNO seumur hidup dan telah berpindah keahlian ke bahagian itu sejak April lalu;

5. Hadir di perjumpaan Bukit Merah ialah wakil kumpulan Othman Sidek (ahli UMNO Bahagian Larut); Ketua Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohamad Annuar Ariffin yang baru dipilih pada mesyuarat Pemuda Bahagian dan Naib Ketua Wanita, Mariatul Kiptiah Abdul Rahman.

Rumusannya dalam kes UMNO Bahagian Larut ini ialah:

a) Bolehkah Raja Ahmad menyekat Hamzah bertanding berdasarkan pekeliling Ibu Pejabat UMNO mengenai yuran.

b) Kenyataan Setiausaha Agung bahawa Hamzah boleh bertanding sah atau tidak?

c) Bolehkah Hamzah menggunakan ahli UMNO Bahagian Larut membuat kenyataan bagi pihak dirinya?

d) Bolehkah perjumpaan dihadiri 400 ahli UMNO dianjurkan? Apakah ini kempen terbuka?

e) Dipantau oleh wakil ibu pejabat atau sebaliknya?

f) Bolehkah ahli MT hadir pada perjumpaan yang memang dilarang oleh MT diadakan seumpamanya?

Jawapan ada pada Jawatan Pengurusan UMNO dan Jawatan Disiplin UMNO.
(Ikuti sambungan Bahagian Kedua)

Advertisements

TENGKU ADNAN PUN PATUT DISIASAT?

Posted in Bahagian, BPR.UMNO on November 10, 2008 by Hambali Abd Latiff

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam meminta Lembaga Disiplin Umno agar menyegerakan siasatan berhubung gejala politik wang bagi menghalang individu yang bersalah daripada bertanding pada pemilihan parti Mac tahun depan.

Tengku Adnan membuat saranan itu sebagai memanjangkan permintaan Presiden UMNO yang mahukan siasatan disegerakan supaya mereka yang bersalah (terlibat) tidak boleh bertanding.

Permintaan ini ada logiknya kerana kalau ada yang bersalah tetapi terpilih memenangi jawatan, mereka perlu melepaskan jawatan itu atau akur dengan penemuan dan arahan Lembaga Disiplin,” katanya kepada pada mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Putrajaya di Putrajaya semalam.

Lagipun menurut Tengku Adnan, keputusan itu dibuat oleh Presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam mesyuarat melibatkan Pengerusi Lembaga Disiplin Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail, Tengku Adnan dan Abdullah sendiri.

Tengku Rithauddeen berkata ada calon yang menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan Umno, termasuk bagi jawatan tertinggi peringkat Pusat, mungkin didakwa kerana kesalahan rasuah sebelum Perhimpunan Agung Umno Mac depan.

Persoalannya, apakah keputusan ini hanya untuk calon yang bertanding untuk jawatan tinggi parti atau turut membabitkan pertandingan Ketua Bahagian?

Dan cadangan itu bagi calon yang bertanding.

Bagaimana dengan beberapa laporan polis yang dibuat terhadap Setiausaha Agung Umno itu sendiri kerana didakwa menyalahguna kuasa berkaitan mesyuarat dan pencalonan peringkat Bahagian-Bahagian UMNO?

Apakah kes ini turut dikategorikan sebagai rasuah politik atau apa?

Semalam, mengulas mengenai masalah di beberapa bahagian, termasuk Umno Bahagian Tanah Merah yang membuat laporan polis terhadap Tengku Adnan kerana didakwa menyalahguna kuasa serta Umno Bahagian Larut berhubung pencalonan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata:

“Jawatankuasa Pengurusan akan menentukan dasar dan tafsiran terhadap perlembagaan dan peraturan, manakala ibu pejabat pula meneliti dari segi fakta.

“Peranan jawatankuasa perhubungan negeri pula memantau dan memberi maklumat secara tepat apa yang sebenarnya berlaku, tetapi masalah timbul sebab fakta disampaikan bercanggah yang akhirnya menyebabkan keputusan berbeza dan ini yang perlu diselesaikan,” katanya.

Persoalannya apakah Lembaga Disiplin akan turut menilai kes-kes seumpama ini atau sekadar memperbetulkan ‘kesilapan’ dan ‘penyalahgunaan kuasa oleh Setiausaha Agung”, jika ada.

Setakat ini, dua bahagian jelas tidak berpuashati dengan arahan Setiausaha Agung iaitu Bahagian Tanah Merah dan Larut.

Pada, 7 Nov ember lalu, Umno Bahagian Tanah Merah, Kelantan, membuat satu laporan polis di Kuala Lumpur terhadap Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Laporan itu dibuat oleh Setiausaha Bahagian itu Amran Abdul Rahman di Balai Polis Sentul di sini tengah hari tadi.

Amran berkata laporan itu dibuat kerana Tengku Adnan didakwa menyalahgunakan kuasanya berhubung satu arahan bertulis kepada Badan Perhubungan Umno Kelantan berkaitan mesyuarat cawangan.

Selain laporan polis, seorang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Tanah Merah, Abdul Rahman Ibrahim mengemukakan saman pemula dan mendapat perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu kelmarin bagi menghalang 32 ahli termasuk bekas Ketua Pemuda, Ikmal Hisham Abdul Aziz bersidang.

Mereka didakwa tidak membuat pembayaran yuran mengikut prosedur yang ditetapkan oleh perlembagaan parti. Ikmal Hisham sepatutnya diumumkan sebagai Ketua Bahagian yang baru setelah menang tanpa bertanding.

Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah yang berlangsung di Sekolah Menengah Teknik di kelamrin terpaksa ditangguhkan atas arahan Ibu Pejabat UMNO.

Sementara dalam kes UMNO Bahagian Larut, ia turut membabitkan isu yuran keahlian dan membatalkan pencalonan Ahli Parlimen Larut , Datuk Hamzah Zainuddin sebagai Ketua Bahagian.

Tengku Adnan minggu lalu menjelaskan Hamzah boleh bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut berdasarkan Perkara 6.3 yang dibaca bersama Perkara 6.3.8 Perlembagaan UMNO. Di bawah perkara itu, seseorang yang belum menggunakan haknya di Bahagian lama boleh menggunakan haknya di Bahagian yang baru termasuk memilih dan dipilih.

Beliau kata demikian kepada Agendadaily Isnin lalu sebagai mengulas keputusan Bahagian Larut batalkan pencalonan Hamzah.

Menurut Tengku Adnan Ketua UMNO bahagian itu Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar boleh dikenakan tindakan jika tidak mengadakan mesyuarat UMNO bahagian sehingga tarikh akhir semua mesyuarat bahagian ditetapkan perlu diadakan iaitu pada 9 November.

UMNO Bahagian Tanah Merah dan Larut kini mengharapkan Najib melihat masalah mereka dan dengan beberapa bahagian UMNO lain yang ditangguh mesyuarat, kedua-duanya mahu keputusan dan budi bicara Tengku Adnan terhadap orang tertentu turut disiasat.

Dilaporkan, Lembaga Disiplin Umno dan BPR sudah menemui mekanisme yang akan digunakan untuk menyiasat dakwaan rasuah, politik wang dan salah guna kuasa sepanjang mesyuarat perwakilan Umno serta pencalonan pemilihan parti itu.

BPR dengan kerjasama Lembaga Disiplin Umno akan mendakwa pemimpin dan ahli Umno yang terbabit rasuah, politik wang dan salah guna kuasa, walaupun selepas Perhimpunan Agung Umno Mac depan.

Pengarah BPR Sabah yang baru, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Jalil Jaaffar, kelmarin berkata dua pemimpin Umno peringkat bahagian yang disiasat BPR kerana dipercayai cuba menyogok perwakilan pada persidangan perwakilan Umno bahagian baru-baru ini, akan didakwa tidak lama lagi mengikut Seksyen 10(b)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda daripada jumlah suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

PILIH PEMIMPIN BERSIH DEMI KEUTUHAN UMNO

Posted in Bahagian, Pemilihan UMNO on November 9, 2008 by Hambali Abd Latiff

Selamatkan UMNO, banteras politik wang.

Kelmarin Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail meminta pucuk pimpinan UMNO segera menyelamatkan parti itu daripada kehancuran.

Ia berikutan berleluasanya politik wang yang disifatkan paling serius dengan 900 aduan seumpamanya diterima.

Hasrat Tengku Ahmad Rithauddeen yang ingin bekerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam membanteras isu politik wang dialu-alukan tetapi keberkesanannya patut ditekankan.

Adalah sangat wajar dan bertepatan jika anggota Umno yang terbabit dalam politik wang pada pemilihan parti Mac tahun depan tidak diberi tempat dalam kepimpinan parti.

Bukan sekadar itu sahaja malah mereka patut dicemuh dan diletakkan pada kedudukan yang serendah-rendahnya, selain digantung keahlian dan dilarang bertanding untuk jangka masa panjang di masa akan datang.

Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju dengan pandangan sedemikian sementara Tan Sri Muhyiddin Yassin selain bersetuju berasa kecewa dan menyifatkannya amat buruk dan memalukan.

Muhyiddin berasaskan kata-katanya berdasarkan peningkatan jumlah aduan rasuah dan salah guna kuasa diterima Lembaga Disiplin parti sepanjang kempen pemilihan kali ini.

Bukan Najib sahaja malah seluruh ahli UMNO mengharapkan pemimpin dipilih adalah bersih untuk mengangkat perjuangan parti bangsa Melayu itu ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Najib memberi amaran, perbuatan dan amalan politik wang akan menjejaskan parti Umno dari dua segi, satu dari segi imej parti kepada orang luar, bermakna mereka akan lihat proses pemilihan dalam parti kita ini tidak bersih, kedua, akan menyebabkan pemimpin yang tidak sepatutnya diangkat untuk sesuatu jawatan itu terpilih kerana sokongannya berdasarkan mainan politik wang, mungkin kita akan mempunyai barisan pemimpin yang tidak dapat mengangkat perjuangan Umno yang lebih tinggi lagi dan merosakkan kredibiliti Umno kerana (mempunyai) pemimpin itu kurang kredibel,”

Menurut Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno itu, jika mereka yang terbabit dalam mainan politik wang tetap diberikan tempat, akhirnya ia akan merosakkan kredibiliti Umno itu sendiri.

Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, pula bimbang gejala buruk itu akan menyebabkan anggota parti beralih arah dalam memilih pucuk pimpinan parti daripada calon berwibawa kepada mereka yang hanya mampu menawarkan habuan wang ringgit besar sahaja.

“Saya cukup bimbang apabila membaca kenyataan Lembaga Disiplin parti semalam bahawa bilangan aduan tentang politik wang yang diterima begitu banyak, malah lebih tinggi daripada pemilihan sebelum ini.

“Saya malu kerana pendedahan ini seolah-olah menunjukkan kita (UMNO) gagal menangani politik wang dan ahli-ahli kita lebih mementingkan soal perut, wang, ongkos dan sogokan dalam memilih pemimpin,” katanya.

Apabila Najib membuka mulut mengenai perkara ini kepada pemberita selepas merasmikan mesyurat Umno bahagian Pekan di Pekan semalam, nasihat dan pandangannya dilihat lebih ‘bebas’ daripada Muhyiddin.

Faktornya ialah Najib menang tanpa bertanding jawatan Presiden UMNO dan sejauh ini beliau membolot kesemua pencalonan kecuali satu bahagian- Gua Musang.
Tetapi tidak bagi Muhyiddin.

Pemerhati politik membaca kenyataan Muhyiddin mempunyai makna tersirat apabila Datuk Seri Mohd Ali Rustam layak dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dijangka tidak sukar untuk menjadikan pertandingan Timbalan Presiden tiga penjuru.

Apapun, ia sekadar andaian dan Muhyiddin tidak pun menuduh pencabar beliau atau yang bertanding jawatan lain bermain duit.

Adalah sukar untuk menuduh Muhyiddin bersikap demikian kerana jelas beliau bersikap terbuka apabila mengucapkan tahniah kepada Mohd. Ali yang berjaya melepasi kuota tersebut dan Muhammad yang menghampiri kelayakan itu.

Berikutan kejayaan Mohd. Ali semalam bermakna untuk julung-julung kalinya dalam tempoh hampir 20 tahun, bakal menyaksikan perebutan bagi jawatan Timbalan Presiden. Jika Muhammad layak inilah kali pertama perebutan itu menyaksikan persaingan tiga penjuru.

Kali terakhir jawatan berkenaan dipertandingkan ialah pada 1987 apabila Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba mencabar penyandang jawatan, Tun Musa Hitam. Allahyarham Ghafar menang dengan kelebihan 40 undi. Pada 1993, pertandingan hampir menjadi kenyataan antara Ghafar dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bagaimanapun Anwar menang tanpa bertanding selepas Ghafar menarik diri.

Kejayaan Ketua Menteri Melaka, semalam yang menjadi calon kedua melepasi kuota kelayakan dengan memperolehi sembilan lagi pencalonan menjadikan jumlah keseluruhan 41 pencalonan untuknya.

Bahagian-bahagian yang memberikan pencalonan kepada kepada Mohd Ali semalam iala Ketereh, Tumpat, Pendang, Pasir Salak, Sandakan, Sungai Petani, Sepanggar, Pasir Puteh dan Kubang Kerian.

Muhammad mengekori dekat dengan mengumpul 37 pencalonan memerlukan hanya hanya dua lagi pencalonan hari ini. Kuota kelayakan bagi jawatan Timbalan Presiden ialah 39 pencalonan.

Muhyiddin menjadi calon pertama layak bertanding sejak 19 Oktober lalu menambah lima lagi pencalonan bagi membolehkan beliau mengumpulkan 84 pencalonan dengan pencalonan daripada Kuala Nerus, Wangsa Maju, Kangar, Jerai dan Bukit Bintang.

Bagi Muhammad pula, beliau perlu menanti sehingga esok iaitu hari terakhir mesyuarat bagi menentukan sama ada akan mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding atau tidak.

Muhammad sebelum ini mengumpul sebanyak 30 pencalonan semalam menambah tujuh lagi pencalonan daripada bahagian Kuala Krai, Hulu Langat, Baling, Sik, Sungai Besar, Pensiangan dan Petaling Jaya Selatan.

Berbalik kepada politik wang, pendapat Muhyiddin yang hampir sama dengan Najib bermakna pemimpin tertinggi UMNO mahukan pemimpin yang di bawah mereka kredibel dan berwibawa dalam parti sebab UMNO dinilai oleh rakyat teramai, rakyat jelata akan membuat penilaian dan perhitungan terhadap Umno melalui pemimpin yang diketengahkan Umno.

Wajar sekali seharusnya tidak ada tempat (bagi mereka yang terbabit politik wang) tapi akhirnya terpulang kepada ahli Umno sendiri untuk menyokong pemimpin yang bersih, dan juga bergantung kepada keberkesanan penguatkuasaan seperti perangkap laju, ada yang terlepas, ada yang kena.

Sewajarnya, ‘perangkap laju’ juga dipasang pada peringkat pertandingan Majlis Tertinggi kerana mereka ini juga kumpulan penting yang akan dilantik sebagai menteri, timbalan menteri dan penggendali agensi-agensi penting kerajaan.

Sejarah sebelum ini menunjukkan tumpuan perangkap hanya di peringkat Naib Presiden sahaja dan sudah sampai masanya mereka yang di bahagian-bahagian juga patut disaring.

Memanglah angka lebih 900 aduan diterima lembaga itu bukan sahaja memalukan UMNO tetapi menjatuhkan maruah anggota Umno serta menimbulkan pandangan negatif masyarakat luar terhadap parti.

Yang jelas, mereka yang terlibat sebagai sanggup menggadaikan maruah parti semata-mata untuk memenuhi matlamat peribadi, dan memang wajar jika Muhyiddin mahu gejala tidak sihat itu ditangani segera.

TOLONG TOK, MASALAH BAHAGIAN BOLEH RANAPKAN UMNO

Posted in Bahagian, UMNO on November 4, 2008 by Hambali Abd Latiff

Ketika sebahagian besar Ketua-Ketua Bahagian UMNO sedang bergembira dan mengucapkan tahniah kerana Datuk Seri Mohd Najib Razak memenangi pemilihan untuk jawatan Presiden UMNO tanpa bertanding, banyak juga pemimpin bahagian yang sedang ‘bertembung sesama sendiri’ kerana masalah di bahagian-bahagian belum dapat diatasi oleh Ibu Pejabat UMNO.

Ada bahagian yang sudah sanggup untuk membawa kes ke mahkamah setelah Perhubungan UMNO negeri-negeri dan Ibua Pejabat UMNO gagal mengatasi masalah dihadapi mereka.

Ada pemimpin Bahagian UMNO di Sabah yang memberi amaran akan membakar Perlembagaan UMNO jika masalah di bahagiannya berlarutan akibat permainan kotor Perhubungan Negeri.

Mereka dikatakan kecewa dan putus asa apabila Ibu Pejabat UMNO Malaysia dilihat memihak kepada orang tertentu serta tuduhan bahawa ‘ada pemimpin tertentu cuba diselamatkan oleh pihak-pihak tertentu di Ibu Pejabat UMNO Malaysia’.

Sementara mereka mendakwa beberapa arahan Ibu Pajabat UMNO Malaysia pula banyak yang bercanggah dan bersifat ‘sekali boleh’ dan ‘sekali lagi tidak boleh’.

Perkembangan ini sebenarnya merunsingkan kerana jika Ibu Pejabat UMNO gagal mengatasinya segera ia akan membawa kepada perpecahan di peringkat bahagian.

Sewajarnya Ibu Pejabat UMNO memberikan tumpuan kepada penyelesaian kes-kes ini secara sebaik-baiknya kerana masalah di akar umbi juga penting seperti pentingnya pemilihan pemimpin penting UMNO yang berlaku ketika ini.

Janganlah membiarkan ahli UMNO di peringkat cawangan dan bahagian merasa mereka dipinggirkan pada ketika UMNO memerlukan sokongan padu bagi menjamin Najib menerajui kerajaan dengan memenangi pilihan raya akan datang dengan cemerlang.

Dan Najib sendiri, selepas terjamin sudah kemenangan untuk kerusi Presiden, minta tolong intai dan bantu selesaikanlah masalah yang berkecamuk di bawah.

Mereka ini sebenarnya penting buat UMNO kerana merekalah pengundi pilihan raya!

Jika dibiarkan bergolak dan penyelesaian yang kurang bijak, kesannya bukan sekarang.

Akan ada pelbagai perbuatan tidak menyenangkan akan berlaku pada pilihan raya umum akan datang atau pilihan raya kecil yang mungkin diadakan sekiranya berlaku sesuatu perkara seperti perletakan jawatan Ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak berpuas hati.

Sesetengah pihak mungkin menganggapnya kecil tetapi perhatikan bagaimana kesannya apabila ahli UMNO tidak menyokong Bendahari UMNO sendiri dalam pilihan raya umum lalu di kawasan Parlimen Bukit Gantang dan pada pilihan raya 1999, Menteri Pusat ditumbangkan di Parlimen Parit.

Untuk pilihan raya umum akan datang, masalah seperti sabotaj dan sanggup menyokong pembangkang akan menjadi lebih kritikal jika daripada sekarang masalah di bahagian-bahagian tidak diselesaikan.

Ibu Pejabat UMNO Malaysia dan Perhubungan UMNO Negeri jangan melihat masalah ini remeh kerana kelak ia akan menyebabkan perpecahan serius peringkat bahagian.

Perlu diingat, Bahagian bermakna kerusi Parlimen dan kebanyakannya mempunyai tiga kerusi negeri.

Kemenangan menjadi Ketua Bahagian atau jawatan penting parti tidak ada gunanya jika dalam pilihan raya UMNO kecundang.

Apabila UMNO tidak lagi menjadi majoriti Barisan Nasional di Parlimen, Presiden UMNO pun tidak layak menjadi Perdana Menteri.

Begitulah juga Timbalan, Naib-Naib atau ahli Majlis Tertinggi yang lain, usahlah berharap menjadi Menteri, Menteri Besar atau Timbalan Menteri. Ketua-Ketua Bahagian pula hanya layak jadi pembangkang sahaja seperti di Perak, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan sekarang.

Difahamkan antara bahagian yang bergolak serius kini ialah Larut, Tanah Merah, Pengkalan Chepa, Ampang, Tenom dan beberapa yang lain hingga menyebabkan bahagian-bahagian berkenaan dijangka akan bermesyuarat selepas 9 November ini.

Antara kes menarik ialah Larut apabila pencalonan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin untuk bertanding merebut jawatan ketua Umno Bahagian Larut ditolak, semalam, selepas didapati melanggar peraturan keahlian yang ditetapkan parti.

Ketua Umno Bahagian Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, berkata bahagian itu dalam mesyuarat khas semalam, sebulat suara menolak pencalonan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dan bekas Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat.

‘‘Alasan kukuh penolakan Hamzah ialah dia baru bertukar keahlian pada 3 April lalu sedangkan mengikut pekeliling, mereka yang menjadi ahli dan membayar yuran sebelum 31 Disember 2007 sahaja layak bermesyuarat.

Ekoran masalah tersebut, mesyuarat UMNO Larut yang sepatutnya diadakan pada 9 November terpaksa ditangguhkan sehingga masalah itu diselesaikan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti.
Mengikut surat pekeliling dikeluarkan ibu pejabat Umno negeri, seseorang hanya layak menghadiri mesyuarat cawangan atau bahagian serta bertanding jika mereka mendaftar sebagai ahli mana-mana cawangan Umno sebelum 31 Disember 2007.

Pada mesyuarat Umno Bahagian Larut kali ini, Raja Ahmad menghadapi saingan Timbalannya, Datuk Mohamad Daud Mohd Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selama dan Hamzah yang tidak mempertahankan jawatan Ketua Bahagian Ipoh Barat pada mesyuarat bahagian itu, 19 Oktober lalu.

Pada mesyuarat cawangan Umno Bahagian Larut yang berlangsung pada 17 Julai hingga 24 Ogos lalu, Raja Ahmad mendapat 28 pencalonan, Daud (33) dan Hamzah (22) untuk melayakkan mereka bertanding merebut jawatan ketua bahagian itu.

Raja Ahmad berkata, pihaknya sebelum ini ada membangkitkan perkara keahlian Hamzah pada mesyuarat badan perhubungan Umno negeri sebanyak dua kali termasuk yang dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini, 21 September lalu.

“Pada mesyuarat itu, Hamzah memaklumkan beliau tidak berhasrat bertanding jawatan ketua bahagian Larut kepada Pak Lah, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan turut dihadiri Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sebelum ini, sudah bertolak ansur untuk menerima Hamzah bertanding di Parlimen Larut pada pilihan raya umum lalu.

Dalam kes Bahagian Tanah Merah pula dikatakan calon Ketua Bahagian iaitu bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz yang dikatakan menang tanpa bertanding jawatan ketua bahagian tersebut selepas tiga lagi pencabarnya tidak mendapat pencalonan yang mencukupi, tidak sah.

Pada mesyuarat cawangan yang berakhir 11 Oktober lalu, Ikmal dilaporkan mendapat sebanyak 91 pencalonan manakala tiga lagi pencabarnya iaitu pemangku ketua UMNO bahagian tersebut, Nik Kemaruzaman Sulong memperoleh lapan pencalonan; ahli jawatankuasa bahagian, Rosli Kadir (enam) dan ketua penerangan bahagian, Datuk Supardi Md. Noor (dua).

Cawangan UMNO bahagian Tanah Merah merupakan yang terakhir mengadakan mesyuarat selepas ibu pejabat parti mengarahkan Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengambil alih pengendalian kesemua 115 mesyuarat cawangan bahagian itu.

Hasil pemantauan yang dibuat hanya 108 cawangan sahaja yang layak bermesyuarat.
Beberapa pemimpin UMNO Bahagian termasuk Nik Kemaruzaman mempertikaikan kesahihan Ikmal untuk bertanding kerana masalah pembayaran yuran cawangan yang beliau wakili.

Difahamkan, selepas tidak berpuashati dengan penggendalian isu ini oleh Ibu Pejabat UMNO, pihaknya akan membawa kes ini ke mahkamah dan satu sidang media akan diadakan dalam masa sehari dua ini.

Sekali lagi “Tolong Tok (Datuk Seri Najib), masalah sesetengah bahagian amat berkecamuk”!