Archive for the Rakyat Category

JUARA RAKYAT – GAGAL BOLEH HANCURKAN UMNO

Posted in Melayu, Rakyat, UMNO on December 26, 2009 by Hambali Abd Latiff

Transformasi besar buat UMNO.

Mendengar slogannya sahaja sudah cukup gah. Kalau sebelum ini UMNO sering dikaitkan sebagai ‘pembela rakyat’ kini ia menjadi ‘Juara Rakyat’.

Secara rasminya UMNO Pembela Rakyat akan bermula 9 Januari ini apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor akan melancar slogan bersama dengan programnya pada 9 Januari depan di Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan hak orang Melayu selain membuka ruang peluang kepada bukan Melayu, UMNO tidak perlu mempunyai slogan sedemikian, jika rakyat memahaminya.

Namun sebagai langkah besar dan transformasi besar untuk UMNO melangkah terus pada dekad ke 21, UMNO yang ditubuhkan pada dekad 40an, perlu menyatakan kepada rakyat – khususnya generasi muda – bahawa ia tetap berjuang dulu, kini dan selamanya.

Tradisi parti untuk benar-benar menjuarai kehidupan rakyat bukan slogan main-main kerana ia memerlukan dokongan kedua-dua pihak, lebih-lebih lagi di pihak rakyat.

Dengan program yang tersusun, bersepadu dan mantap UMNO boleh menterjemahkan hasrat menjadikan parti itu sebagai juara bukan sahaja untuk seluruh sayap dan parti UMNO tetapi juga sebagai ‘penghulu’ komponen Barisan Nasional (BN).

Slogan atau tema ini mungkin sengaja dipilih bagi menjamin UMNO terus menjuarai kehidupan rakyat. UMNO perlu meneruskan tradisinya membela rakyat, membangunkan negara dan menjadikan rakyat sebagai keutamaan melalui tradisi membela rakyat.

Biarlah pakatan pembangkang datang sebagai satu jenama untuk pembangkang tetapi yang penting UMNO perlu tetap dan terus menjuarai rakyat bukan setakat pakat-pakat dan tiba mendabik dada sebagai juara di hati dan minda rakyat.

Dalam menjamin rakyat tidak ‘tawar hati’ dengan UMNO, slogan ini perlu dijayakan dan jangan ia menjadi slogan pilihan raya dan ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja.

Pemimpin UMNO perlu sedar bahawa UMNO kini diperlekeh dan ‘dihina’ begitu teruk sekali. Menyakinkan orang muda satu hal dan mengekalkan sokongan orang dewasa dan tua juga satu hal.

UMNO berdepan dengan tekanan dan cabaran sokongan kerana ‘perbuatan beberapa pemimpinnya’ yang masih sehingga kini masih ada dalam UMNO, selain terus memegang jawatan.

Cabaran baru kepada pemimpin yang baru dipilih pada perhimpunan agung lalu ialah menjamin diri mereka benar-benar menjadi ‘Juara Rakyat’ selain membantu pemimpin yang sudah ‘dibenci’ rakyat untuk diterima kembali.

Dengan kata lain, UMNO perlu menjamin bekerja dua kali ganda, menghapuskan imej lamanya dan menonjolkan dirinya sebagai ‘Juara Rakyat’ yang sebenar-benarnya.

Jika ia gagal melakukannya, imej UMNO akan menjadi lebih buruk dan selepas ini kalaupun ada usaha untuk bangkit, ia akan tetap menerima padahnya.

Yang diharapkan, dengan pelancaran program tersebut yang amat penting kepada bukan sahaja UMNO tetapi BN, UMNO mampu untuk mengukuhkan sokongan rakyat kepada parti.

Sudah pastinya agenda utama di bawah program yang akan digerakkan ke seluruh negara adalah untuk menunjuk dan mengingatkan bahawa UMNO dan BN adalah parti yang selama ini menjuarai hasrat rakyat.
Kita tidak mahu mendengar pemimpin UMNO sukar didampingi, program UMNO untuk diri bukan untuk parti dan bermacam perasaan tidak puas hati lagi.

Selepas ini bukan slogan sahaja yang perlu menyerap di hati dan sanubari rakyat tetapi program dan ‘kelakuan sebenar UMNO’ berjiwakan ‘Juara Rakyat’.

PENSABOTAJ KERAJAAN – WAJARKAH DIBAYAR HABUAN?

Posted in Aidilfitri, kerajaan, Rakyat on September 10, 2009 by Hambali Abd Latiff

Ada kalangan kakitangan kerajaan yang bersikap membenci kerajaan dan ada yang sanggup menyertai perarakan anjuran pembangkang.

Setengahnya juga ada yang membantah secara diam dengan mengundi pembangkang. Namun, apabila kerajaan membayar bonus atau sebarang sagu hati mereka tidak menolaknya.

Malah, saya yakin ada kalangan mereka yang turut mendesak untuk mendapatkan bonus atau saguhati lain.

Apakah bagi mereka ‘halal’ mengambil bantuan itu sedangkan mereka menentang dan mensabotaj pelbagai usaha kerajaan bagi memajukan rakyat?

Apakah mereka menyumbang kepada kerajaan apabila menjadi penentang dan berusaha menggagalkan sebarang usaha kerajaan?

Seramai 860,000 kakitangan awam kumpulan sokongan akan mendapat bantuan khas kewangan membantu mereka menghadapi Aidilfitri dan sesi persekolahan akan datang.

Kerajaan mengumumkan semalam, pembayaran bantuan khas kewangan itu sebanyak RM500.
Bayaran itu akan dibuat dua kali iaitu RM250 sebelum Aidilfitri dan bakinya pada Disember ini.

Saya mempersoalkan perkara ini kerana dalam sistem pembayaran bonus atau sagu hati, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mempersoalkan sama ada seseorang itu menentang atau menyokong kerajaan.

Sedangkan dalam syarikat swasta, pembayaran bonus dan ex-gratia dibayar mengikut pencapaian seseorang, kecuali bonus yang ditetapkan melalui perjanjian bersama. Yang kurang menyumbang kepada syarikat pastilah mendapat pembayaran kurang.

Tetapi tidak dengan kerajaan. Yang malas, ponteng, berniaga di luar, sakit berpanjangan dan yang menentang kerajaan pun mendapat habuan yang sama.

Tahun lepas, 2 juta kakitangan awam negara ini menerima bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 dalam pembentangan Bajet 2009 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataannya di Kuala Lumpur semalam menegaskan implikasi kewangan kepada 860,000 kerajaan bagi bayaran tersebut adalah sebanyak RM430 juta.

Keputusan itu diambil setelah mengambil kira kebajikan kakitangan awam dalam kumpulan itu terutama bagi meringankan beban kos persediaan musim perayaan dan persediaan persekolahan hujung tahun ini.

Melihat kepada apa yang dilakukan oleh kerajaan ini, wajarkah kerajaan dilihat zalim dan tidak adil?

Baru-baru ini, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merayu kerajaan menimbangkan ‘duit raya’ atau bonus kepada penjawat awam dalam pengumuman Bajet, Oktober ini.

Menurut presidennya, Omar Osman, pihaknya bersetuju jika Elaun Sara Hidup (COLA) tidak dapat dinaikkan memandangkan keadaan ekonomi yang lembap ketika ini.

“Tetapi tetapi kita harap biarlah dalam musim perayaan nanti kira-kira 1.2 juta penjawat awam di negara ini menikmati ’duit raya’,” katanya.

Malah, Omar dilaporkan memberitahu, perbincangan mengenai bonus itu telah diadakan menerusi dalam mesyuarat tertinggi kongres tersebut dan dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Jadi kepada penjawat kerajaan khususnya kepala penentang kerajaan, wajar mereka berfikir sejenak, apakah adil mereka menerima bantuan berkenaan?

Memanglah tidak akan nada perkataan terima kasih daripada mereka. Seperti biasa mereka akan mengatakan itu tugas kerajaan untuk menjaga kepentingan kakitangannya.

Juga apakah ‘rezeki mereka halal’ apabila mengambil habuan berkenaan?

Sedangkan hakikatnya mereka tidak menyumbang secara maksimum malah ada yang mensabotaj pula kepada usaha kerajaan memaju dan menstabilkan negara.

Tetapi bagaimana dengan kerajaan negeri yang diperintah pembangkang, apakah mereka juga akan memberikan habuan seperti ini?

Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang – apakah mereka akan melakukan sama?

H1N1: PASUKAN KHAS DITUBUH, JANGAN BAWA KANAK-KANAK KE HOSPITAL

Posted in H1N1, kesihatan, panik, Rakyat on August 23, 2009 by Hambali Abd Latiff

Satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat semula jumlah kematian yang tinggi pesakit selesema babi atau influenza A (H1N1) di negara ini sehingga mencetuskan suasana panik di kalangan masyarakat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, kumpulan itu akan menjalankan analisis kenapa kematian itu berlaku dan faktor yang menyumbang kematian, sama ada berlaku kelemahan bagi pihak kerajaan atau sebaliknya.

Menurut beliau, berdasarkan kes-kes kematian yang lalu, 80 peratus daripada mangsa dikenal pasti mempunyai penyakit selain H1N1 iaitu penyakit jantung, kencing manis dan radang paru-paru.

“Ini tidak bermakna prosedur menangani H1N1 kita selama ini silap, tidak mungkin kerana sebaik sahaja kementerian dengar ada H1N1, kita sudah membuka bilik operasi dan cuma kaedah ini mungkin berbeza dengan negara lain.

“Saya yakin apa yang kita buat adalah lebih lagi daripada apa yang diminta oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Kita memang terlalu jujur dalam memaklumkan punca kematian akibat H1N1 ini. Ini kerana kita mahu tekankan satu mesej supaya rakyat tidak mengambil ringan penyakit ini,” katanya semalam.

Sementara itu, hospital-hospital awam kini telah mula mengedarkan risalah dan notis yang mengingatkan orang-ramai dan juga pelawat agar tidak membawa kanak-kanak atau bayi ke premis hospital ketika mereka menziarahi sanak saudara ataupun kenalan.

Kempen terbaru ini adalah sebahagian daripada langkah berjaga-jaga yang telah diambil oleh pihak hospital untuk mengelak penyebaran wabak Influenza A H1N1.

Jika tidak kerana H1N1 pun, adalah menjadi peraturan umum hospital yang melarang pelawat daripada membawa kanak-kanak di bawah umur 12 tahun ke premis hospital untuk tujuan lawatan.

Malangnya, ramai ibu-bapa tidak memandang serius akan peraturan ini dan sekiranya mereka diberi ingatan, sebahagian besarnya tidak mengambil peduli akan nasihat yang diberikan oleh pihak hospital.

Sementara itu, Pakar Respiratori Dr K. Regesh pula berkata, apabila pihak hospital melabelkan sesuatu penyakit itu sebagai kronik ia bermaksud pesakit yang mempunyai masalah diabetik, kegagalan renal, asma dan lain-lain masalah respiratori.

Katanya, kepada semua pesakit ini dan juga kanak-kanak, sistem kekebalan badan mereka adalah tersangat rendah jika dibandingkan dengan seorang yang sihat. Oleh yang demikian mereka sangat terdedah kepada bahaya dijangkiti tidak kira apa jua wabak dan bukan semata-mata AH1N1.

“Di hospital, pelbagai jenis penyakit boleh berjangkit dengan mudah dan seboleh-bolehnya janganlah membawa kanak-kanak berjumpa pesakit walaupun untuk berkata ‘helo’,” katanya.

Dalam perkataan yang lain kata Dr Regesh, jika tidak dapat meninggalkan anak-anak dalam jagaan sesiapa, maka jangan datang melawat pesakit di hospital.

Dan kepada mereka yang baru pulang dari menziarahi orang sakit di hospital, ini ada pesanan yang ingin dikatakan oleh Dr Regesh;

“Bila sampai rumah, terus mandi, tukar baju baru sebelum mendakap anak kecil anda. Begitu juga bila anda balik dari kerja pergi mandi dan salin baju terlebih dahulu sebelum dakap anak anda.”

Sumber: MIngguan Malaysia/BERNAMA

1MALAYSIA – PUJUKAN ATAU WAJIB?

Posted in Malaysia, Najib, Rakyat on June 28, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Sembang Ahad)

Saya masih tidak faham.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semalam, beliau gembira kerana konsep pentadbiran 1Malaysia secara asasnya diterima oleh sebahagian besar rakyat negara ini.

Apa maksud diterima? Apakah konsep ini suatu rayuan atau bersifat pujukan semata-mata dengan seruan ‘terimalah…terimalah” Begitu?

1Malaysia seharusnya bukan rayuan sebaliknya perkara wajib dilaksanakan. Diibaratkan dengan hukum Islam, ia bukan perkara sunat tetapi wajib. Mesti dilakukan, jika tidak terbatal atau kehilangan segala pahala!

Silap haribulan, ia akan mendatangkan pula dosa dan bencana.

Kerana itu, kerajaan perlu bertegas bahawa 1Malaysia ialah konsep yang wajib diterima pakai oleh semua rakyat, bukan sebahagian rakyat Malaysia.

Persoalannya, kenapa pula 1Malaysia yang menjadi dasar penting negara perlu dijadikan konsep yang boleh ditolak sebahagian rakyat – sedangkan ia untuk perpaduan?

Pada 15 April 2009, Perdana Menteri dengan tegas mengatakan:

Di bawah konsep Satu Malaysia ini bererti bahawa kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita.

Ini bukan bererti kita mengenepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.

Biar kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama. Itu juga pada saya maksud konsep Satu Malaysia.

Apa jadi dengan Malaysia hari ini apabila dasar yang baik dan hanya kerana datangnya daripada Barisan Nasional (BN), ia bagaikan hanya sebagai suatu projek parti, bukannya projek nasional.

1Malaysia yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai asas penting, sama pentingnya dengan pencapaian sama ada individu, kerajaan, syarikat atau sebagainya bertujuan menjamin kestabilan dan kemajuan Malaysia.

Apa yang dapat digarapkan daripada kenyataan Perdana Menteri semalam, kerajaan terpaksa merayu dan meminta ikhsan rakyat untuk menerima 1Malaysia.

Sedangkan hakikat sebaliknya iaitu dasar kerajaan ini perlu diterima dan diamalkan dengan baik oleh seluruh rakyat.

Juga, apabila Perdana Menteri mengatakan rakyat masih tetap memiliki keinginan untuk mengetahui secara lebih mendalam maksud dan pengertian konsep itu, ia member makna bahawa penerangan dan penjelasan mengenainya belum menyeluruh.

Sebab itu saya katakan bahawa 1Malaysia harus ‘jelira’ kepada semua rakyat.

Apakah sehingga ini penerangan dan penjelasan mengenainya belum difahami?

Apa kelemahan kementerian kerajaan, media yang dikawal kerajaan dan media bebas sehingga penjelasan mengenai 1Malaysia belum menyeluruh sedangkan ia agenda penting negara?

Atau apakah PR kerajaan tidak berkesan sehinggakan ada pihak terus meragui konsep 1Malaysia?

Masa agak suntuk untuk kerajaan berlengah-lengah menjelaskan konsep ini.

Kerajaan tidak lagi boleh menunggu untuk rakyat cuba memahami dan menghayati untuk melaksana dan menterjemahkan konsep ini dalam kegiatan seharian rakyat Malaysia.

1Malaysia perlu menjadi dasar afirmatif untuk seluruh rakyat kerana jika terlambat atau gagal, ia akan menjadi bahan ketawa dan ‘senjata untuk pembangkang’ menempelak balik kerajaan.

Najib sudah menyatakan semalam bahawa 1Malaysia mementingkan konsep perpaduan yang sejati dan tidak mahu rakyat bertindak seperti ‘enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’.

“Ini bererti kalau kita ada satu ikatan seperti ini, satu ikatan yang kukuh dan teguh, berlainan daripada ibarat kita ini seperti ‘enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’, bererti kita bergerak secara bersendirian,” ujar beliau.

Kata beliau lagi, analogi yang diberikannya secara jelas memperlihatkan bahawa masa depan dan segala cita-cita yang hendak dicapai mestilah bertunjangkan kepada kesatuan dan perpaduan.

Kerana itu 1Malaysia tidak boleh dijayakan hanya melalui menampal logo, menyanyikan lagu rasminya atau ucapan-ucapan menteri sahaja.

Ia perlu dihayati dan diyakini sebagai dasar teras negara untuk kemajuan, kemakmuran dan kestabilan negara.

LPT PULA TERGENDALA

Posted in Ahmad said, LPT, Rakyat on June 18, 2009 by Hambali Abd Latiff

Macam-macam hal.

Kini Fasa dua Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pula tergendala kerana kerenah kontraktor.

Sepatutnya Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said tidak menyebut mengenai dua kontraktor yang ‘tidak berupaya’ melaksanakan Fasa dua Lebuhraya Pantai Timur (LPT) kerana ia akan menimbulkan banyak pertanyaan.

Dua kontraktor yang terlibat dalam pembinaan lebuh raya itu kini menarik diri.

Persoalannya, pertama kontraktor mana? Kedua, siapa bagi peluang kepada kontraktor berkenaan? Ketiga, apakah pihak yang memberikan ruang kepada kontraktor berkenaan tidak melihat latar belakang kontraktor berkenaan? Keempat, apakah kontraktor yang menarik diri itu mengalami kerugian atau membuat untung kerana menarik diri?

Yang jelas, sebarang kelewatan kepada LPT itu akan menjejaskan peluang rakyat menikmatikan lebuh raya berkenaan dan hasrat kerajaan negeri membuka Tasik Kenyir untuk pelancong secara besar-besaran akan terjejas.

Anehnya, ketika mendengar taklimat mengenai LPT baru-baru ini, pegawai Jabatan Kerja Raya yang ditugaskan untuk menyelia pakej yang membabitkan dua kontraktor berkenaan bagai ‘tidak merasa apa-apa’ dan ‘tidak mengapa’ dengan kelewatan itu.

Berikutan kegagalan kontraktor berkenaan, Fasa dua LPT yang sebelum ini dijadualkan siap pertengahan 2011, dijangka mengalami kelewatan setahun lagi.

Ahmad Said menjelaskan, kontraktor itu menarik diri berikutan harga bitumen, yang merupakan bahan utama bagi kerja-kerja menurap lebuh raya itu, melambung tinggi.

Beliau berkata setakat ini seorang kontraktor sudah menghantar surat menarik diri, manakala seorang lagi dalam proses untuk berbuat demikian.

“Harga bitumen yang tinggi menyebabkan kontraktor itu menarik diri kerana tidak mampu. Jika mereka teruskan juga kerja-kerja itu, mereka akan mengalami kerugian yang besar,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Kuala Terengganu semalam.

Fasa Dua LPT yang melibatkan 11 pakej pembinaan bermula dari laluan Jabor sehingga ke Kampung Gemuroh, membabitkan kos keseluruhan RM3.7 bilion.

Ahmad berkata berikutan penarikan diri dua kontraktor itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuka tender bagi mendapatkan kontraktor baru.

Sebelum ini pembinaan lebuh raya itu sudah beberapa kali terganggu antara tiga dan empat bulan disebabkan bahan binaan yang tinggi, namun projek itu diteruskan semula setelah harga bahan itu kembali stabil.

Bila soal ini diperkatakan, aka nada pula tuding-menuding.

Itu memang tidak baik tetapi kenapa perkara ini boleh berlaku?

Tidakkan lebuh raya untuk rakyat dan kenapa tidak didahulukan rakyat dalam kerja atau kontrak seperti ini?

Benar jugalah Perdana Menteri menekankan rakyat didahulukan dan Kementerian Kerja Raya pula meletakkan slogan untuk JKR sebagai Jasa Kepada Rakyat.

Kalau tidak entahlah jasa untuk siapa dan siapa pula didahulukan!

ROYALTI – WANG RAKYAT UNTUK RAKYAT

Posted in Minyak, Rakyat, royalti, Terengganu on June 16, 2009 by Hambali Abd Latiff

Royalti minyak bukan ‘durian runtuh’.

Istilah ‘durian runtuh’ adalah keuntungan yang tidak dijangka. Tetapi royalti minyak adalah hak kerajaan negeri dan rakyat Terengganu.
Sekiranya Kerajaan Pusat membayar atau menyerahkan wang royalty ia adalah tanggungjawab dan memang hak kerajaan negeri.
Dengan menyamakan royalti minyak dengan durian runtuh, ia menggambarkan seolah-olah Kerajaan Pusat memberikan sesuatu yang ‘lebih’ daripada sepatutnya kepada kerajaan negeri.

Sedangkan hakikatnya, kerajaan negeri kini terpaksa ‘merayu’ dan meminta ikhsan Kerajaan Pusat untuk mempercepatkan penyerahan wang royalti yang tertunggak demi dibelanjakan untuk pembangunan Terengganu.

Apabila ada akhbar cuba menyamakan royalti dengan ‘durian runtuh’, ia menggambarkan seolah-olah negeri Terengganu mendapat pembelaan yang lebih daripada negeri lain.
Juga ia menggambarkan wang royalti sebagai ‘tambahan kepada ‘ bajet yang tersedia ada sedangkan wang royalti itu antara punca penting pendapat kerajaan negeri ketika ini.

Dengan kata lain Menteri Besar, Datuk Ahamd Said bukan ada ‘lesen besar’ menggunakan wang royalti itu ‘sesuka hati’.
Ia adalah wang rakyat untuk dikembalikan kepada rakyat.
Hari ini perundingan peringkat pegawai berlangsung di Putrajaya antara kerajaan negeri Terengganu dan kerajaan Pusat dalam menentukan jumlah royalti minyak yang akan diterima oleh negeri itu.

Apa juga keputusan seharusnya memberikan keuntungan kepada rakyat Terengganu.

Isu royalti ini semakin diperkatakan, malah PAS kini menggunakan isu ini sebagai modal politik.
Banyak tuduhan dilemparkan pembangkang, kononnya Menteri Besar, Datuk Ahmad Said tunduk kepada desakan kerajaan Pusat dan membiarkan wang royalti minyak ‘disalahpakai’ oleh kerajaan Pusat.

Bagi PAS, jika kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri juga sukar mendapatkan wang royalti, tiada maknanya rakyat memangkah BN pada pilihan raya umum nanti.

PAS memujuk rakyat Terengganu dalam isu royalti ini – PAS dan UMNO atau BN sama sahaja, sama-sama tidak dapat royalti – tetapi kalau undi PAS ada sedikit kelebihan – dapat akhirat juga.

Semalam Menteri Besar, Menteri Besar, Ahmad Said berkata Kerajaan Terengganu akan menerima wang royalti minyak sebanyak RM744 juta daripada Petronas yang dijangka Julai ini.
Pada Mac lalu sebanyak RM650 juta telah diterima kerajaan negeri.

Sebelum ini Ahmad dalam kenyataan akhbar pernah berkata, kerajaan negeri percaya bayaran yang akan diterima hasil wang royalti minyak sekurang-kurangnya mencecah RM1.5 bilion
Menurutnya, kerajaan negeri menunggu jumlah pembayaran wang royalti minyak dari Petronas untuk mengetahui sama ada wang itu cukup untuk memenuhi bajet negeri 2009 yang berjumlah RM1.799 bilion.

Cabaran yang terpaksa dihadapi Terengganu selepas wang royalti dikembalikan adalah dari segi perancangan pembangunan dan kerajaan negeri tidak lagi boleh berharap kepada dana khas kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya jelas beliau, kerajaan negeri perlu melaksanakan segala perancangan pembangunan berasaskan bajet tahunan.

Mengenai tanggapan bahawa pentadbiran beliau dilihat agak perlahan dari segi pelaksanaan pembangunan fizikal negeri jelasnya, ia kerana semua perancangan perlu berdasarkan bajet.
Ahmad Said memberitahu bayaran keseluruhan yang akan diterima tahun ini belum dapat dipastikan.

Apapun, bayaran bagi bulan September ini tidak tahu lagi berapa, katanya semalam.

PANTAU PROJEK MEGA TERENGGANU

Posted in Ahmad said, projek, Rakyat, Terengganu on June 4, 2009 by Hambali Abd Latiff

Rakyat didahulukan!

Pertama, menjamin keselamatan rakyat yang menggunakan kemudahan disediakan dan kedua menjamin perbelanjaan untuk projek, apalagi dianggap mega – tidak membazir.

Sebagai pengguna, rakyat perlu mendapat perlindungan keselamatan yang maksimum selain mendapat kemudahan sewajarnya melalui perbelanjaan yang dikawal dan berhemah.

Berikutan itu projek-projek mega di Terengganu terpaksa dipantau bagi tujuan ‘rakyat didahulukan’ dan pastinya termasuk tiga projek yang tahap keselamatannya menjadi persoalan sekarang.

Ia termasuk terminal Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Gong Badak, Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Burok dan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.
Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak dibina dengan harga RM292 juta untuk kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2008 pada 31 Mei hingga 9 Jun tahun lepas.
Bangunan terminal LTSM bernilai RM123 juta yang pembinaannya bermula tahun 2004 sepatutnya siap pada Ogos 2007, namun tertangguh hingga April 2008. Bagaimanapun ia sempat digunakan untuk Kejohanan Sukan Kuda Lasak 2008 tahun lalu.

Pada sidang media petang semalam, Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata berikutan kebimbangan kejadian runtuhan bumbung berulang, kerajaan negeri mengarahkan Jabatan kerja Raya (JKR) memberi perhatian ke atas tahap keselamatan beberapa projek mega yang baru siap di negeri ini.
Jangan salah anggap. Bukan mahu menyalah sesiapa.
Ia tidak ada kena mengena dengan individu tertentu atau kontraktor yang membina projek berkenaan. Jadi adalah silap jika ada pendapat – termasuk melalui blog –yang cuba mempertahan individu tertentu seolah-olah ada pihak yang menuding jari kepada orang itu dan orang ini.

Hanya persoalan – apakah ada kait mengait beberapa individu (orang politik tertentu) dengan tiga syarikat berikut – Gengang Mercu, EMarcom Sdn Bhd dan Bina Struktur Sdn Bhd?

Semalam, kehadiran tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu termasuk pengarahnya, Ahmad Sabri Hussin di tempat kejadian menjadi tanda tanya. Apakah langkah mereka seterusnya?

Apapun, Kerajaan Negeri Terengganu mahu pantau balik beberapa projek mega yang selama ini dianggap mercu tanda negeri.

Khabarnya, Yang Dipertuan Agong turut bimbang dengan kejadian yang menimpa Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin dan mengarahkan siasatan terperinci dijalankan.

Tunku Sultan Mizan Zainal Abidin dilaporkan meminta gambar-gambar keruntuhan stadium berkenaan sambil mendapatkan jawapan daripada Kerajaan Negeri mengenai kejadian itu.

Ahmad Said menafikan projek-projek yang dipantau itu adalah ‘projek segera’, termasuk bumbung stadium yang runtuh itu dibuat secara segera untuk sukan Sukma.

“JKR dan kontraktor sudah diberi masa yang secukupnya, malah ada beberapa komponen projek berkenaan yang siap lewat daripada tempoh ditetapkan.

“Benda (projek) itu berdasarkan jadual. Kalau jadual sudah ada, kena penuhilah. Jadual itu JKR yang buat, bukan saya. Kita tak ada beri tekanan pada sesiapa,” katanya.

Ahmad memberi contoh, ada kepingan atap bangunan LTSM yang sudah tercabut menyebabkan berlaku kebocoran yang memerlukan tindakan dilakukan.

”Tidak tahulah sama ada bumbung tercabut dipukul ribut, tapi kita kena tengok takut ada masalah lain. Kita bimbang juga sebab semua bangunan ini baru belaka.

”Mungkin buatannya kasar sangat atau ada perkara yang tidak betul. Arkitek sepatutnya mengambil kira faktor cuaca. Terengganu berada di tepi pantai, angin monsun bertiup kuat dan ini akan membebankan struktur bangunan. Sepatutnya binaan mesti lebih kukuh,” ujarnya.

Selain itu, difahamkan kompleks peranginan di Pulau Duyong – Ri-Yaz Heritage Resort & Spa juga akan dipantau bersabit kualiti kayu yang digunakan.

Beberapa bangunan utama dalam kompleks berkenaan pernah diperbaiki kerana dikatakan kayu yang digunakan berkualiti rendah.

Buatlah yang terbaik demi pengguna dan menyelamatkan wang kerajaan negeri daripada menanggung beban tidak tentu pasal.

Utamakan rakyat. Wang Kerajaan adalah wang rakyat!