5 JUTA RAKYAT MALAYSIA BERISIKO DIJANGKITI SELESEMA BABI

(Sembang Ahad)

Marilah kita lupakan politik seketika.

Ia lebih penting ketika ini daripada persoalan politik. Ia juga membawa kesan kepada ekonomi kita.

Amaran daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini berisiko dijangkiti selesema babi jika langkah pencegahan tidak diambil secara serius oleh orang ramai, perlu perhatian segera.

Malah, Kementerian Kewangan akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam menangani wabak selesema babi ini daripada menjejaskan ekonomi negara ke tahap yang serius.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata semalam Kementerian Kewangan sudah mengadakan perbincangan untuk menyelaraskan usaha menangani gejala itu dengan Kementerian Kesihatan.

Hendaknya semua daripada kita tumpukan kepada wabak berbahaya ini – selesema babi (virus influenza A (H1N1).

Kita pencegahan awal dilakukan, 40 peratus mereka yang dijangkiti boleh diselamatkan daripada maut.

Sama-samalah kita berdoa, memberi ingatan dan lakukan sesuatu untuk menjamin semua kita selamat daripada wabak ini.

Ia sedang menyerang kita dan kita perlu bertahan dan memeranginya. Kenapa?

Ini bukan amaran daripada calang-calang pertubuhan. Ia pertubuhan kesihatan sedunia.

Apakah semua daripada kita melihat ini sebagai enteng? Tidak mengambil berat mengenainya?

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kajian WHO juga menjangkakan penularan wabak itu mungkin berlarutan antara enam bulan hingga setahun lagi.

“Kajian itu menyebut bahawa jika penularan virus H1N1 di sesebuah negara tidak berjaya ditangani dengan berkesan, 20 peratus penduduknya akan terdedah dengan jangkitan virus itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Bukit Mertajam semalam.

Malah menurut beliau wabak itu dijangka merebak lebih cepat pada musim tengkujuh.

“Pada musim tengkujuh, kita lebih terdedah dengan selesema, batuk-batuk dan demam. Tempoh ini amat penting untuk semua rakyat mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mengambil mudah isu kesihatan,” katanya.

Liow berkata, kajian WHO juga menunjukkan jumlah sebenar penduduk yang dijangkiti H1N1 adalah 20 kali ganda daripada jumlah pesakit yang direkodkan menerima rawatan akibat jangkitan virus tersebut.

“Ini bermakna jika kita merekodkan 3,574 kes jangkitan H1N1 setakat ini, jumlah sebenar yang dijangkiti adalah sekitar 70,000 orang,” katanya.

Setelah mendengar betapa bahayanya selesema babi ini, apakah langkah bersama – kerajaan dan rakyat untuk membendungnya?

Sebagai rakyat, selain mengambil langkah yang disarankan sejauh ini, apakah langkah kerajaan selanjutnya?

Rakyat semakin bingung dan panik. Nyatakanlah wahai Menteri atau pakar kesihatan!
Seperti laporan, 40 peratus yang meninggal atau menjadi korban kerana ‘kelewatan mendapat rawatan awal’ yang kurang dikempenken kepada orang ramai.

Sebanyak 40 peratus daripada 56 korban wabak selesema A (H1N1) meninggal dunia akibat “kelewatan mendapat rawatan awal” dan sebanyak 13 peratus pula angkara “kelewatan pengesanan oleh pengamal perubatan”.

Statistik itu didedahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataan hariannya berhubung wabak tersebut kelmarin.

“Saya ingin memaklumkan bahawa majoriti kematian ini mempunyai faktor-faktor penyumbang kematian seperti faktor risiko kesihatan (70 peratus), di samping itu juga daripada jumlah kematian tersebut, sebanyak 40 peratus didapati mempunyai faktor kelewatan mendapat rawatan awal dan sebanyak 13 peratus kematian didapati ada unsur kelewatan pengesanan oleh pengamal perubatan,” katanya.

“Saya berpendapat, ada di antara kematian ini dapat dielak sekiranya pesakit dan pengamal perubatan lebih peka dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.”

Dr Mohd Ismail menambah, kadar penularan influenza A (H1N1) dalam masyarakat adalah tinggi dan perkembangan ini dapat dilihat daripada jumlah semakin ramainya pesakit yang datang ke hospital dan klinik untuk mendapatkan rawatan.

Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai, terutama mereka yang bersimptom jangkitan influenza, agar mengambil tindakan berikut:

Pertama, mereka yang bersimptom selepas menerima rawatan hendaklah berehat di rumah jika tidak dimasukkan ke hospital untuk rawatan. Pergerakan pesakit bersimptom ke tempat awam atau tempat kerja akan menambahkan kes penularan dalam komuniti.

Mereka yang bersimptom mudah menularkan jangkitan kepada individu yang sihat yang berada dekat dengan mereka sama ada melalui batuk, bersin atau sentuhan cecair batuk/bersin.

Kedua, di sekolah atau tempat kerja, individu yang bersimptom influenza dinasihati agar segera mendapatkan rawatan dan berehat di rumah sehingga sembuh. Mereka dinasihati agar tidak bekerja atau datang ke sekolah bagi mengelakkan penularan jangkitan influenza A (H1N1).

Guru besar atau ketua tempat kerja hendaklah melakukan saringan harian bagi memastikan individu yang bersimptom tidak meneruskan bekerja atau menghadiri kelas. Jika terdapat kes dari saringan tersebut, mereka hendaklan dirujuk ke hospital atau klinik.

Ketiga, semua ibu bapa atau penjaga memastikan anak mereka yang mempunyai gejala influenza supaya tidak hadir ke sekolah bagi mengurangkan penularan jangkitan ini agar tidak menggangu aktiviti pembelajaran di sekolah.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: