HAMPIR 100 PERATUS KES POSITIF H1N1 SEMBUH

Dua berita gembira mengenai perkembangan bahaya pandemik selesema babi (H1N1).

Gambar atas: Calon-calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari SK Sultan Ismail Petra IV, Kota Bharu, Kelantan mengenakan topeng mulut dan hidung sebagai langkah pencegahan wabak H1N1. UPSR diadakan selama tiga hari di seluruh negara bermula semalam. – UTUSAN / HAFIZ JOHARI

Gambar bawah : Guru Besar Sekolah St. Joseph, Kuching, Sarawak, Jong Lee Phin memeriksa suhu badan salah seorang murid sebelum mereka memasuki dewan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah di sekolah itu, semalam. – UTUSAN / AMIR HAFIZ ABD RAHMAN

Pengarah Kawalan Penyakit, Datuk Dr Hassan Abdul Rahman berkata semalam, di sebalik kebimbangan orang ramai terhadap bahaya pandemik influenza A(H1N1), kira-kira 99.2 peratus daripada 9,257 kes yang disahkan positif H1N1 di negara ini berjaya sembuh dengan kes kematian yang direkodkan semakin menurun.

Perkara itu menggambarkan bahawa mangsa jangkitan boleh sembuh jika mendapatkan rawatan awal.

“Majoriti pesakit yang disahkan positif H1N1 di negara ini telah sembuh setelah mendapatkan rawatan. Oleh sebab itulah jangan ambil mudah terhadap gejala H1N1 biarpun hanya batuk sikit-sikit,” katanya elepas taklimat media mengenai influenza A(H1N1) semalam.

Katanya bilangan orang ramai yang berkunjung ke hospital kerajaan untuk mendapatkan pengesahan H1N1 juga kini semakin berkurangan berbanding sebelum ini.

Selain itu, Malaysia mencatatkan hari kelima berturut-turut tanpa kematian baru akibat jangkitan Influenza A(H1N1), dan menjadikan angka kematian akibat wabak itu kekal kepada 73 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata selain itu ibu bapa murid yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dinasihatkan memantau tahap kesihatan anak mereka yang menduduki peperiksaan itu bermula hari ini.

“Sekiranya anak-anak mengalami gejala influenza like illness (ILI), mereka perlu dibawa ke klinik atau hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan dan memaklumkan kepada pihak sekolah tentang keadaan anak anda supaya tindakan seterusnya dapat diambil,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata hari ini sejumlah 126 pesakit baru dengan gejala “influenza-like illness” (ILI) telah dimasukkan ke hospital.

Ketika ini 372 pesakit yang disahkan positif H1N1, seramai 40 daripada mereka masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 25 orang mempunyai faktor risiko dengan 10 penyakit kronik, sembilan morbid obesiti, lima kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan satu kes berpenyakit respiratori, katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan melantik 15 pakar kanan perubatan untuk mengawasi rawatan Influenza A(H1N1) di hospital dalam usaha membendung penularan pandemik itu di negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pakar kanan perubatan itu dilantik minggu lepas dan setiap mereka diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan satu negeri.

Pakar itu dikenali sebagai Jaguh H1N1 diberikan tugas melawat hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) di negeri yang dikendalikan dan memberi nasihat cara-cara memperbaiki rawatan kepada pesakit, katanya kepada pemberita selepas menutup Bengkel Influenza A(H1N1) untuk Pengamal Media semalam.

Beliau berkata mereka juga akan menemui masyarakat tempatan untuk meningkatkan kesedarannya dan cara-cara untuk membendung pandemik tersebut.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: