KES LIWAT ANWAR DITANGGUH 2 SEPTEMBER

Kena tangguh lagi.

Selepas empat kali ditunda sejak 1 Julai lalu, perbicaraan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum dapat didengar oleh Mahkamah Tinggi.

Amat jelas, kes berkenaan sehingga kini masih di peringkat sebutan lagi bagi memberi laluan kepada permohonan-permohonan Anwar diselesaikan terlebih dahulu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menetapkan 2 September depan untuk tarikh sebutan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membatalkan tuduhan liwat terhadapnya dan perbicaraan utama kes berkenaan.

Perbicaraan sepatutnya bermula pada 1 hingga 24 Julai lalu tetapi dijadualkan semula selepas mahkamah perlu mendengar terlebih dahulu permohonan Anwar agar pendakwa raya membekalkan dokumen dan barang kes kepadanya.

Permohonan itu juga berkali-kali ditangguhkan atas pelbagai alasan antaranya disebabkan peguam utama Anwar, Sulaiman Abdullah mengadu tidak sihat sehingga dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sebelum beliau menarik diri daripada barisan pembelaan.

Ekoran adanya rayuan pendakwa raya selepas mahkamah membenarkan permohonan Anwar agar dibekalkan dokumen, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah sekali lagi menetapkan 2 September ini untuk sebutan perbicaraan utama kes liwat.

Permohonan Anwar itu untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya juga akan disebut pada tarikh yang sama.

Hakim Mohamad Zabidin berkata, adalah menjadi undang-undang mantap dalam keadaan yang luar biasa, mahkamah perlu mengambil kira untuk membenarkan sebarang permohonan penangguhan oleh mana-mana pihak.

“Saya dapati sekiranya pihak pendakwa raya berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan perintah bertarikh 16 Julai lalu maka keputusan itu akan menjadi sia-sia jika permohonan (penangguhan) hari ini tidak dibenarkan,’’ jelasnya.

Beliau membuat keputusan itu selepas selesai mendengar hujahan kedua-dua pihak berhubung permohonan pendakwa raya untuk menangguhkan pelaksanaan perintah tersebut.

Ia dikemukakan selepas pendakwa raya memfailkan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan perintah mahkamah pada 16 Julai lalu yang membenarkan Anwar dibekalkan dengan dokumen dan barang kes kecuali sampel dan spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) dalam tempoh tujuh hari.

Antara dokumen yang dibenarkan dibekalkan ialah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Kondominium Desa Damansara, salinan nota ahli kimia dan doktor perubatan serta salinan kenyataan saksi-saksi termasuk pengadu yang direkodkan di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan.

Anwar, 62, didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Terdahulu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pendakwaan berhujah, mahkamah perlu membenarkan permohonan penangguhan itu bagi mengelakkan rayuan pihaknya di Mahkamah Rayuan menjadi akademik.

Menurutnya, keengganan mahkamah membenarkannya akan menyebabkan segala dokumen dan barang kes diserahkan kepada pihak pembelaan.

‘‘Maka jika rayuan pihak kami diterima oleh Mahkamah Rayuan, ia telah menjadi sia-sia dan sudah tidak bermakna lagi kerana dokumen berkenaan telah pun dibekalkan kepada pihak pembelaan,’’ katanya.

Terdahulu, dalam prosiding semalam pihak pembelaan telah memberikan afidavit jawapan berhubung permohonan pihak pendakwa untuk menangguhkan pelaksanaan terhadap perintah untuk menyerahkan dokumen yang berkaitan kepada pihak pembelaan.

Peguam pembela, Amer Hamzah Arshad dalam hujahannya berkata mahkamah tidak boleh menyekat hak yang telah diperuntukkan oleh undang-ung agar pihaknya dibekalkan dengan dokumen yang berkaitan sebelum perbicaraan bermula.

Bagaiamnapun hakim berkata, tidak ada mana-mana pihak yang akan menyekat hak pihak pembela itu memandangkan beliau sendiri yang mengarahkan pihak pendakwa membekalkan dokumen-dokumen berkenaan.

“Tiada siapa yang menghalang, tapi walaubagaimanapun kita kena biarkan Mahkamah Rayuan buat keputusan dahulu.

“Sama ada Mahkamah Rayuan menerima rayuan pihak pendakwa dan sekaligus membatalkan keputusan saya pada 16 Julai lalu kita belum ketahui,” kata hakim Mohamad Zabidin.

Isnin lalu pihak pendakwaan memfailkan notis usul di Bahagian Jenayah Mahkamah Tinggi di sini, bagi memohon penangguhan pelaksanaan perintah itu yang ditandatangani oleh Datuk Nordin, seorang daripada Timbalan Pendakwa Raya bagi kes liwat berkenaan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan Rabu lalu untuk mendengar permohonan berkenaan.
Bagaimanapun hakim terpaksa memberikan penangguhan sementara (interim) dan membenarkan pendengaran permohonan itu ditunda ke hari ini bagi membolehkan pembelaan memfailkan afidavit jawapan.

Di dalam affidavit pihak pendakwaan, antaranya menyatakan penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah pada 16 Julai itu adalah perlu kerana perintah itu berhubung kenyataan saksi yang dirakamkan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah yang diarahkan dibekalkan kepada Anwar akan memberi impak yang mana akan memudaratkan penyiasatan pendakwaan bukan sahaja dalam kes ini tetapi dalam kes jenayah lain.

Affidavit itu juga menyatakan penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah itu juga perlu bagi mengelakkan rayuan pendakwaan terhadap perintah itu di Mahkamah Rayuan menjadi akademik kerana ia adalah persoalan undang-undang yang penting.

Pada 16 Julai, Mohamad Zabidin membenarkan permohonan Anwar dan memerintahkan pendakwaan supaya menyerahkan dokumen-dokumen yang berkaitan dalam masa tujuh hari.
Tempoh tujuh hari itu berakhir kelmarin.

Mohamad Zabidin dalam keputusannya, bagaimanapun menolak permohonan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagi mendapatkan sampel spesimen yang diambil daripada pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana sampel itu telah disita oleh ahli kimia dan pihak pembela boleh memeriksanya setelah ia dikemukakan kepada mahkamah.

Anwar, 62, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun tahun lepas.

Antara dokumen yang dibenarkan diberi kepada pihak pembelaan ialah kenyataan Mohd Saiful, Dr Osman Abdul Hamid daripada Hospital Pusrawi, pemilik kondominium berkenaan Hassanuddin Abdul Hamid dan tiga saksi utama lain.

Dokumen lain ialah salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pos pengawal di Desa Damansara Condominium, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara, dan di kawasan menunggu lif di Blok 11 kondominium itu dari 25 hingga 27 Jun,2008.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: