APABILA KEPERCAYAAN KEPADA MAHKAMAH SEMAKIN LUNTUR

Hari ini 17 Ramadan, ialah Nuzul Quran. Antara hari baik pada bulan Ramadan.

Quran diturunkan untuk mengingatkan umat Islam tentang keagungan mukjizat Nabi Muhammad SAW yang terbesar ini. Namun di negara kita heboh beberapa ketika sebelum ini mengenai Saiful Bukhari Azlan bersumpah al-Quran bahawa Anwar Ibrahim meliwatnya.

Maka hangat diperbincangkan sama ada wajar, sah dan sebagainya sumpah Saiful. Namun, yang satu lagi subjek – Anwar meliwatnya seolah-olah tidak penting. Lebih menyedihkan kes asyik tertangguh dengan pelbagai kerenah.

Saiful, bekas pembantu peribadi Anwar dalam blognya baru-baru ini menyatakan rasa kesal terhadap penangguhan kes liwat yang dihadapi oleh bekas majikannya itu ekoran tindakan Anwar mengemukakan beberapa permohonan berkaitan dengan kes tersebut.

Di pihak yang dituduh pula, kenapa mesti mencari alasan untuk menangguhkan perbicaraan? Setiap kali hampir tarikh perbicaraan, ada sahaja alasan Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui peguamnya menfailkan itu dan ini.

Ini menggambarkan kepada masyarakat bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ‘buying time’ dan mendapat hak istimewa. Tetapi untuk apa?

Yang pasti penangguhan kes ini sudah masuk kali kelima. Kes Anwar dituduh meliwat Saiful ini kali pertama disebut di Mahkamah Sesyen pada 10 September 2008 (tahun lepas).

Anwar bagaikan memasang taktik dengan gerak sarafnya walaupun perlu menggadai maruah diri kerana dengan kes ditangguhkan, Anwar boleh mencanang ke seluruh dunia kononnya dia orang baik. Anwar boleh menjelajah di dalam dan luar negara.

Anwar mereka dan menyediakan senarai alasan dengan mengatakan ini satu lagi konspirasi terhadapnya, cerita rekaan Saiful, hakim berat sebelah, pendakwa ada kepentingan, saksi disogok, dan banyak lagilah. Anwar memang ‘teror’ perkara sebegini.

Saiful pula bagaimana? Dia pastinya terpaksa menunggu dan dibelenggu persepsi buruk lebih-lebih lagi di kalangan mereka yang mempercayai Anwar.

Sudah pasti mahu perbicaraan kes ini disegerakan. Bagi anak muda berusia 23 tahun itu dia bukan sahaja tidak bebas menjalani kehidupan seperti biasa tetapi persepsi buruk dan kesan jangka panjang sedang dihadapinya.

Saiful bukan seperti Anwar. Akibat membuat tuduhan diliwat pada 26 Jun tahun lalu, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Kondominium, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, anak muda ini terpaksa membataskan kehidupannya, bukan seperti Anwar yang tidak segan silu bersuara dan menjelajah ke seluruh ceruk rantau.

Malah sebelum itu Saiful dalam blognya berkata, kesnya itu berbeza dengan kes yang lain kerana walaupun beliau merupakan pengadu dan mangsa, namun beliau dicap seolah-olah seperti orang kena tuduh (OKT) di mata umum.

“Jika permohonan itu berjaya (kes gugur), tidakkah ia merupakan satu bentuk penganiayaan kepada saya selaku pengadu dan saksi utama. Pelbagai tohmahan, fitnah, maki hamun dan pelbagai lagi oleh jutaan manusia dilempar kerana tidak mempercayai saya. Tetapi apabila saya bersedia untuk memberi keterangan, masing-masing seperti cacing kepanasan.Walaupun perit menahan diri daripada mendedahkan segala bukti yang ada, saya tetap bersabar kerana saya perlu menghormati keputusan mahkamah,” katanya.

Banyak pendapat mengatakan penangguhan perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi gambaran seolah-olah pemimpin pakatan pembangkang itu takut kepada kebenaran.

Selain itu, tindakan Anwar itu suatu pembaziran kos, waktu dan tenaga manusia di mahkamah
Sikap pemimpin pembangkang itu yang sering mencari alasan bagi menangguhkan perbicaraan di mahkamah hanya mengundang tanda tanya masyarakat.

Hakikatnya, Anwar perlu bersikap adil kepada mahkamah, rakyat dan yang paling penting mangsa atau pengadu dalam kes berkenaan.

Tetapi yang nyata, Anwar peduli apa.

Ada pendapat mengatakan apa yang berlaku terutama di Perak hari ini juga adalah antara strategi Anwar mengelak berdepan dengan proses keadilan.

Penganalisis politik, Dr. Chandra Muzaffar yang juga bekas timbalan presiden parti itu ketika dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional bertanya: “Kenapa hendak tangguh kalau kita tidak salah. Anwar seolah-olah takut pada sesuatu. Takut pada kebenaran yang akan terbongkar dalam perbicaraan.”

Chandra berkata, kes berkenaan sangat penting kepada masyarakat apatah lagi ia melibatkan isu moral. “Justeru sebagai seorang pejuang rakyat dan pejuang keadilan kononnya, Anwar perlu memastikan perbicaraan beliau selesai secepat mungkin. “

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, ‘‘Kesimpulan kita, dia (Anwar) takut kes dia berjalan. Kalau dia tak bersalah, hadapi di mahkamah. Orang ramai juga akhirnya akan sampai pada kesimpulan, yang berlaku semua ini ialah kerana dia takut dengan kes dia.”

Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan usaha Anwar yang mahu membatalkan kumpulan pendakwaan terhadap kes itu atas sebab-sebab tertentu.

‘‘Bagaimana kalau saya pula kata, R. Sivarasa tidak dibenarkan menjadi peguam bela Anwar kerana Sivarasa adalah seorang yang berkepentingan kepada Anwar selain dia juga ialah ahli Parlimen pembangkang. Boleh saya kata begitu?”

Anwar menurut Nazri, sepatutnya mempertikaikan tanggungjawab seseorang hakim sama ada berlaku adil atau tidak bukan terhadap kumpulan pendakwa raya.

Melihat kepada kes Saiful ini, apakah ini namanya proses keadilan? Jika benar ada keadilan, ia dinikmati siapa? Anwar atau Saiful atau kedua-duanya?

Anwar mungkin menikmati keadilan kerana dia mendapat pembelaan sewajarnya apabila daripada satu barisan hakim ke satu barisan hakim lain dan daripada satu mahkamah ke satu mahkamah lain kesnya disebut.

Anwar juga menikmati keadilan apabila daripada satu penangguhan ke satu penagguhan lain yang sehingga ini menjadi lima dan dalam tempoh hampir setahun.

Anwar juga menikmati keadilan apabila mengemukakan bantahan demi bantahan – dan terbaru mahu barisan pendakwa sedia ada digugurkan . Tujuannya bukankah untuk menyekat atau melewat-lewatkan pendedahan segala bukti dan keterangan oleh pihak pengadu?

Kerana itu timbullah pelbagai pendapat mempersoalkan bagaimana mahkamah dan kerajaan boleh melayan Anwar sedemikian rupa.

Kenapa Anwar mendapat layanan sebegitu?

Apakah kerana dia pemimpin dan Saiful rakyat biasa?

Jika beginilah keadaanya dan Saiful terus dihimpit penangguhan demi penangguhan, mungkinkah rakyat lain yang ada kes dan terpaksa berdepan dengan pemimpin akan mendapat layanan yang sama?

Salahkah rakyat jika kepercayaan menjadi luntur kepada mahkamah dan sistem kehakiman kita gara-gara mahkamah hanya menjaga kepentingan orang besar, berpangkat dan kaya?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: