JANGAN GANGGU NAJIB

Ada beberapa pihak mengatakan proses peralihan kuasa Datuk Sari Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Mohd Najib sukar dilakukan kerana faktor diri Najib.

Tiada pula mengatakan sebahagiannya juga kerana faktor diri Abdullah.

Bagi saya, yang mengatakan demikian kerana merasakan Abdullah wajar dikekalkan kerana sebab-sebab yang dikaitkan dengan diri Najib, bukan kerana diri Abdullah.

Apapun, apabila Mohd Sayuti Omar memperkatakan “Kenapakah Proses Penggantian Abdullah dengan Najib Sukar’, penulisan itu menyuarakan pandangan pihak-pihak yang rapat dengan Abdullah tetapi menggunakan blok penulis yang jelas menyokong PAS untuk menghemburkan rasa dan perasaan mereka.

Tulisan 18 Mac 2009 itu antara lain mengatakan “Sesekali timbul rasa kesian dan simpati kepada Mohd Najib Razak. Betapa sukarnya untuk beliau menjadi perdana menteri ke-enam, bagi mengganti Abdullah Ahmad Badawi. Proses yang dilaluinya penuh kawat berduri. Jalannya berliku-liku, bengkang bengkok dan berbonggol-bonggol; tidak segampang proses yang dilalui oleh bekas-bekas PM sebelum ini dan PM yang ada kini.”

Membaca baris ini jelas kenapa proses itu tidak menjadi ‘gampang’ kerana Abdullah sendiri atau orang-orangnya tidak mahu Abdullah meletakkan jawatan. Tidak seperti PM sebelum ini, apabila membuat keputusan, diri mereka sendiri yang membuat keputusan dan orang sekelilingnya perlu menghormati.

Kata Sayuti: “Jalan yang dilalui Najib ini sungguh sukar dan bukan mudah. Belum pernah berlalu dalam proses penggantian ini terpaksa diadakan pelan peralihan khas. Belum pernah berlaku tekanan ke atas bakal perdana menteri sampai membangkitkan soal jenayah dan membongkar mengenai sifat dan perangai isteri yang bakal menjadi wanita pertama negara. Dan menariknya peralihan ini juga turut menggunakan pakar pecah dan perintah yang terkenal sejak tahun 1969 lagi!

Satu sejarah, tidak pernah berlalu penentangan terbuka kepada bakal perdana menteri yang melibatkan orang di luar Umno, rakyat sendiri. Tetapi dalam kes Najib ini rakyat dari semua lapisan dan profesional turut sama mempertikaikannya. Lebih mengedukan lagi sampai ada yang terang-terang menggesa Yang di-Pertuan Agong agar tidak melantik Najib. Sanjungan yang diperolehi oleh Barack Obama daripada rakyat Amerika tidak berlaku kepada Najib di Malaysia.

Halangan ini sungguh perit bagi Najib.”

Soal pokok ialah apabila cuba mempertahankan yang lama tanpa mahu memberikan ruang kepada yang baru sudah pasti akan berlaku usaha memburuk-burukkan yang baru. Memang Najib cuba diburukkan dengan pelbagai cara dan usaha ini pula dilakukan secara tersusun dan penuh agenda.

Yang nyata, dalam proses peralihan kuasa Abdullah-Najib ini, saya melihat Abdullah terus cuba dipengaruhi dan minta-meminta supaya Abdullah terus dikekalkan. Banyak sms saya terima masih menganggap Abdullah wajar dikekalkan.

Kalau demikian, buat apa proses pemilihan UMNO dilakukan tanpa Abdullah mempertahan kan jawatan? Kenapa tidak meminta Abdullah mempertahankan jawatan?

Lagipun Najib sudah dinobatkan sebagai pemenang satu-satunya bagi jawatan Presiden UMNO – yang lain hormatilah keputusan.

Apakah ini tidak menggambarkan rakyat dan orang Melayu?

Lagi satu, seperti ada rangkaian menyekat Najib antara penyokong Abdullah dengan pembangkang apabila ada suara dan blog bagaikan ditaja oleh ‘juak Abdullah’ mahu menyekat Najib dan pemain utamanya semakin hari semakin jelas.

Tuduhan dan kaitan terhadap Najib mengenai ‘ayat-ayat jampi bertulis jawi atau kayu atau batu dibungkus dengan kertas di meja Abdullah’ adalah perbuatan jahat yang sengaja untuk menggugat Najib.

Persoalan seterusnya yang ditimbulkan Sayuti ialah: “Kenapa ramai yang tidak suka kepada Najib? Saya tidak berniat untuk menghuraikan satu persatu di sini kerana ia sudah lama tertanam dalam kepala setiap daripada orang yang tidak sukakannya. Baik ianya bersifat persepsi atau realiti tetapi itulah yang berlaku.

Ataupun kesukaran ini adalah pedoman bahawa Najib tidak sempat menjadi perdana menteri ataupun kalau beliau menjadi perdana menteri nanti akan membawa kecelakaan kepada Umno dan negara?”

Dua perkara di sini. Pertama, ramai tidak suka dan kedua, jika jadi Perdana Menteri akan menyebabkan kecelakaan kepada UMNO dan negara.

Jawapan pertama, untuk ‘ramai tidak suka’ ialah tidak benar sama sekali kerana Najib dipilih sebulat suara dan tiada penentangan daripada orang Melayu dan UMNO.

Yang bersuara mengenai Najib ialah suku sakat Abdullah dalam UMNO dan pembangkang.
Jawapan kepada perkara kedua akan menyebabkan ‘kecelakaan’ adalah tuduhan berat yang amat meragui keupayaan Najib.

Saya tidak fikir orang PAS yang baik seperti Sayuti boleh membuat tuduhan sebegini sekiranya tidak dipengharuhi oleh pandangan pihak ketiga yang mahu mempertahankan Abdullah.

Betul juga kata Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa cadangan meminta Yang di-Pertuan Agong tidak melantik Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri baru “tidak bertanggungjawab dan berniat jahat”.

Naib presiden Umno itu berkata cadangan berkenaan jelas mahu menimbulkan kegelisahan di kalangan anggota Umno khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

Siapa yang menimbulkan pandangan ini? Jawapannya bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim. Beliau dilantik oleh Abdullah walaupun tidak bertanding pilihan raya dan tidak mampu pun menjadi Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu.

Apakah beliau berdendam dengan Najib?

Kenyataan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa pendedahan dibuat akhbar Peranchis, Liberation yang membuat tohmahan membabitkan bakal Presiden Umno Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan pembunuhan Altantuya Shaaribu perlu dibersihkan kerana dikatakan bakal Perdana Menteri Malaysia.

“Jadi dalam kes Najib itu, apabila dituduh begitu hebat, dia senyap, maka amat sukar bagi rakyat untuk membersihkan diri bakal Perdana Menteri itu.Oleh itu beliau mesti membersihkan dirinya. Katanya Nabi Muhammad saw sendiri menjawab setiap persoalan yang dibangkitkan dan tidak melarang sahabat yang lain daripada bertanya,” kata Nik Aziz.

Nik Aziz mengakui ia adalah tohmahan tetapi memerlukan jawapan.
Jawapan ialah buat apa menjawab tohmahan yang akan menimbulkan perbincangan berjela-jela tanpa penghujung. Serahkan kepada mahkamah membuat keputusan.

Persoalan kepada Nik Aziz, apakah beliau menjawab semua tuduhan terhadap diri dan keluarganya seperti sifat Nabi Muhammad?

Bagi saya segala-galanya ini – tuduhan terhadap Najib dan tidak mahu Najib menjadi PM – tidak akan wujud dan berlaku jika Abdullah sendiri tidak flip-flop dalam tindakannya maju melepaskan jawatan.

Kenapa PM terdahulu boleh melepaskan jawatan dengan rela hati dan menyediakan permaidani merah untuk penggantinya sedangkan Abdullah pula membina jalan berduri untuk Najib?

Juga, kenapa Abdullah tidak ‘menutup mulut juak-juak yang menyokongnya’ untuk menjamin Najib dan UMNO tidak diserang?

Sepatutnya Najib tidak diganggu dan Sayuti juga wajar pertahankan Najib seperti beliau pertahankan Khairy Jamaluddin kerana peranan yang akan dimainkan oleh Najib lebih besar – Perdana Menteri Malaysia Keenam!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: