PRINSIP DEMOKRASI TETAP SUBUR

Hari ini saya mengajak penjenguk dan pelayar memahami apa yang ditulis melalui blog www.jaranganakmelayu1.

Ia sesuatu yang menarik untuk didalami dan difahami, khususnya dalam menyelami apa sebenarnya berlaku di Perak dan Terengganu.

Tulisan ini mungkin jawapan kepada penulisan lain dalam blog lain tetap mempunyai tajuk yang sama.

YANG TAK SERUPA DAN TAK SAMA

www.jaranganakmelayu1. blogspot.com (28 May 2009)

Prinsip Asas Raja Berpelembagaam dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan di Negeri-negeri di Malaysia ialah apabila parti politik yang mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri akan membentuk kerajaan dan salah seorang ADUN daripada parti memerintah akan dilantik oleh DYMM Tuanku Sultan menjadi Menteri Besar.

Contohnya di Perak, keputusan PRU 12, BN 28 kerusi dan PR 31 kerusi. PR telah membentuk kerajaan Perak. DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah melantik salah seorang ADUN PR daripada PAS iaitu YB. Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.
Apabila 3 ADUN dari parti memerintah (2 Adun PKR dan seorang dari DAP) telahpun mengisytiharkan keluar parti masing-masing untuk menyokong BN dan menjadi calon bebas, BN telah bertukar menjadi parti majoriti dalam DUN Perak selaras dengan kenyataan Pengerusi BN Perak merangkap TPM (ketika itu), YAB Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan di Putrajaya bahawa BN sudah mempunyai cukup majoriti untuk membentuk kerajaan di Perak.

Pada 5 Feb. 2009 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir diumumkan Menteri Besar Perak yang baru dan telah mengangkat sumpah jawatan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Pengumuman mengenainya dibuat oleh Perdana Menteri (ketika itu), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Ketua Parti BN sekembalinya dari menghadap Sultan Perak di Istana Kinta, Ipoh.

Dengan merujuk kepada Fasal XVI (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan meyatakan bahawa ‘Jikalau sekiranya Menteri Besar itu terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri itu, kemudian hendaklah dia mempersembahkan letak jawatan …’

Dalam situasi yang berlaku di Perak hari ini, hakikat dan realitinya parti yang Nizar wakili hanya mendapat sokongan minoriti akibat daripada tiga ADUN PR keluar parti. Soal tidak meletak jawatan adalah bercanggah dengan Fasal di atas dan bukannya perlu ada usul undi tidak percaya berkait dengan hilangnya majoriti itu.

Soal tiga ADUN berpaling tadah kepada parti lawan itu adalah merupakan SEBAB UTAMA yang perlu dibincangkan di dalam kotak hilangnya sokongan majoriti terhadap Parti Memerintah. Perlu DITEGASKAN di sini bahawa ini adalah soal Parti Pemerintah lawan Parti Pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri dan bukanlah isu Nizar lawan Dr Zamry.

Akan tetapi kerana Nizar enggan meletakkan jawatan yang menyebabkan kemelut ini berpanjangan dan tidak berkesudahan. Nizar dan Zambry sebenarnya tidak perlu naik turun mahkamah kerana ianya jelas dinyatakan di dalam Fasal XVI (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan bahawa dia wajib meletakkan jawatan.

Apakah kemelut di Terengganu berada dalam kondisi yang sama? Mungkin, kalaulah kumpulan 10 ADUN BN ini keluar parti daripada BN dan menyokong Parti Pembangkang iaitu PAS di Dewan Undangan Negeri maka barulah situasi tersebut akan sama dengan Perak. Di dalam hal ini MB Terengganu perlulah meletakkan jawatan selaras dengan Fasal 14(6) Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang menyebut ‘ … hendaklah dia menawarkan keberhentian Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri’.

Isu Terengganu jelas dan nyata “Tidak Serupa dan Tidak Sama” langsung dengan isu di Perak kerana 10 ADUN ini belum lagi mengishtiharkan keluar parti dan setakat ini tidak pernah menyokong parti pembangkang sama ada di dalam mahupun di luar Dewan Undangan Negeri.

(Catatan : DUN Terengganu ada 32 kerusi. BN 24 kerusi dan PAS 8 kerusi. Kalau benar 10 ADUN ini keluar daripada BN dan menyatakan sokongan kepada PAS bermakna telah mendapat majoriti dan YAB Dato’ Ahmad bin Said hendaklah meletakkan jawatan. Dalam hal ini, ADUN PAS mungkin ‘boleh’ menyokong tindakan 10 ADUN ini bagi menubuhkan sebuah kerajaan dan DYMM Sultan akan bertindak dengan timbangan Baginda sendiri untuk melantik Menteri Besar. Nota: sepuluh ADUN BN yg sekiranya menjadi ADUN bebas masih tidak berpeluang jadi MB kerana tidak berparti, sebaliknya salah seorang daripada ADUN Pas akan dilantik menjadi MB baru berasaskan kepada Prinsip Demokrasi Berpelembagaan ADUN daripada parti akan dipilih.)

Dakwaan telah mendapat majoriti sokongan serta mereka sudah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada YAB Menteri Besar masih TIDAK memenuhi prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan untuk menukar MB di mana mereka masih lagi berada di dalam parti yang sama iaitu 24 kerusi BN dan 8 kerusi PAS. Perbalahan mereka ini bolehlah diibaratkan sebagai “ribut dalam cawan’ atau ‘carik-carik bulu ayam’.

Walaubagaimana pun, tindakan 10 orang ADUN ini juga boleh dianggap sebagai menentang keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO di mana pada 27 Mac 2008 Majlis Tertinggi (MT) UMNO sepenuhnya menyokong Ahmad, calon lantikan istana sebagai Menteri Besar Negeri Terengganu Darul Iman. Ia juga boleh dianggap sebagai menentang dan mencabar keputusan DYMM Tuanku Sultan melantik YAB Dato’ Ahmad bin Said secara teratur mengikut Fasa 12 (2) Undang-Undang Bagi Diri Terengganu di mana Duli Yang Maha Mulia bolehlah bertindak dengan timbangan Baginda sendiri untuk melantik Menteri Besar.

Ini selaras dengan apa yang telah ditegaskan oleh YB DS Hishamuddin Tun Hussein selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu di dalam Malaysiakini.com pada 21 Mei 2009 sebagaimana berkata “Berdasarkan perkara-perkara pokok seperti kesetiaan kepada raja, dan kedudukan wakil rakyat BN yang perlu memikul tanggungjawab dan amanah yang tinggi, sentiasalah bermusyawarah sesama kita untuk menyelesaikan sesuatu (masalah) tanpa dibincangkan di khalayak ramai,” katanya.

Persoalannya, adakah kumpulan 10 ADUN ini terus tidak akur dalam situasi sekarang? Kalau tidak berani atau kena akur dengan mana-mana pihak untuk terus menyokong YAB Dato’ Ahmad bin Said selaku Menteri Besar, isytiharkan sahaja kepada rakyat bahawa mereka terus taat setia tanpa berbelah bahagi terhadap Menteri Besar dan mintalah rakyat di bawah mereka juga memberi sokongan dan taat setia kepada MB Terengganu ini dan seterusnya kepada Parti UMNO dan Barisan Nasional.

Atau kalau mereka tetap dengan prinsip, pegangan dan pendirian asal untuk menolak MB dan semua 10 ADUN berkenaan terus ‘keras keng’ dengan prinsip, pegangan serta pendirian mereka itu, isytiharkan bahawa mereka akan keluar parti dan memberikan sokongan kepada Parti PAS. Habis cerita dan keadaannya tidaklah tergantung dan menjadi tanda tanya serta mengelirukan rakyat bawahan. Dan kalau ini dijelaskan, YAB Menteri Besar perlulah menerima hakikat ini. Dalam hal ini soal maruah dan prinsip MB TIDAK TIMBUL sama sekali kerana ianya telah termaktub di dalam Prinsip Demokrasi Berpalimen Raja Berpelembagaan selaras dengan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu.

Tidak sama seperti situasinya di Perak, kalau benar dakwaan kumpulan 10 ADUN bahawa mereka sudah hilang keyakinan dan sokongan kepada MB, bermakna walau apapun tuduhan, tohmahan, tafsiran, tanggapan, labelan kepada mereka, sama ada kumpulan budak jahat, kumpulan penderhaka, kumpulan buruk, kumpulan busuk, kumpulan tidak kenang budi, kumpulan pengkhianat atau apa sahaja labelnya, pokoknya mereka masih lagi dalam Kerajaan Barisan Nasional dan soal sudah hilang keyakinan dan hilang kepercayaan kepada MB tidak timbul sama sekali kecuali mereka keluar parti dan memberikan sokongan kepada Parti Pembangkang.

Tak perlulah bersusah-susah untuk mencari sebab musabab, punca dan premis-premisnya kerana hakikat dan penonjolan mereka adalah kepada isu sebenar atau isu pokok yakni mereka masih lagi berada di dalam Parti Barisan Nasional dan perbuatan mereka ini tidak mengurangkan dan menjejaskan majoriti ADUN BN di Dewan Undangan Negeri di mana DYMM Tuanku Sultan telah melantik YAB Dato’ Ahmad bin Said sebagai Menteri Besar Terengganu. Apa yang sepatutnya dilakukan oleh mereka ini ialah memberikan sokongan dan kerjasama yang sepenuhnya kepada MB yang mengetuai Kerajaan Negeri (Parti Barisan Nasional) terutamanya di dalam Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan selari dengan 1Malaysia.

tidak lagi yakin dengan kewibawaan MB untuk menerajui politik dan pentadbiran negeri adalah tidak relevan. Bermakna dalam bahasa yang mudahnya mereka masih lagi menjadi kumpulan ADUN majoriti yang menjadikan YAB Dato’ Ahmad Said layak dilantik sebagai MB oleh DYMM Tuanku Al-Sultan. Tidak berbangkit soal mendapat sokongan majoriti seperti di negeri Perak. Dalam demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia, parti politik yang menang dengan hanya satu undi sudah dianggap menang dan membentuk kerajaan dan seorang ahlinya akan dilantik sebagai MB oleh Raja.

Namun sehingga hari ini, kalau keadaan 10 ADUN ini masih setia dengan BN, YAB Dato’ Ahmad bin SAid akan tetap kekal sebagai MB kerana parti yang YAB Dato’ Ahmad bin Said terajui di DUN tidak pernah hilang majoriti sokongan ADUN. YAB MB tahu, beliau tidak semudah itu menjual maruah dan prinsipnya serta memegang teguh amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan oleh DYMM Tuanku Sultan kepadanya.

Situasi di kedua-dua negeri ini tak serupa dan juga tidak sama. Tak serupa dari segi isu hilang majoriti parti. Tetapi kedua-dua negeri masih berpegang kepada satu perkara yang sama – Prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan serta Undang-undang Tubuh atau perlembagaan.

Perlembagaan adalah perlu bagi menjamin kestabilan politik serta system pemerintahan yang cekap dan adil. Parti politik yang memperoleh kerusi terbanyak di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri akan membentuk kerajaan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: