Archive for the Husam Category

KE MANA BERAKHIRNYA PAS?

Posted in Husam, Nik Aziz, PAS on June 18, 2009 by Hambali Abd Latiff

Beranikah kita katakan “tidak ada apa berlaku dengan PAS’?

PAS OK..yang tidak OK cuma orang UMNO kerana mahu bebaik-baik dan berpakat dengan orang PAS.

Atau yang tidak OK ialah orang DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana bimbang PAS ‘berlembut’ dengan UMNO dan cita-cita menubuhkan kerajaan pembangkang akan tergencat.

Atau yang tidak OK cuma Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Husam Musa kerana menentang kerajaan perpaduan (UG).

Yang pasti, sekarang semua dah berkecamuk dalam PAS. Bukan sahaja Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Nasharuddin Mat Isa dan Datuk Mustapa Ali diherdik, dipersenda dan diburuk-burukkan.

Lebih teruk, Nik Aziz dan sekutunya Husam turut menerima padah. Bilakah akan berakhirnya kata-mengata antara pemimpin PAS ini?

Kini ada PAS Kelantan dan PAS Terengganu. Juga ada PAS yang boleh pergi kempen ke Manek Urai dan PAS yang dilarang masuk ke Manek Urai. Yang disapproved sahaja boleh datang ke Manek Urai.

Mungkin kerana PAS tidak OK, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib mencadangkan agar satu muktamar khas diadakan bagi membincangkan cadangan Presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi pembentukan kerajaan perpaduan kerana ia satu isu yang besar.

“Ini perkara besar dan baru, tidak boleh buat begitu sahaja…kena bawa ke peringkat akar umbi melalui muktamar khas. Bila muktamar khas sudah bersetuju, baru kita boleh laksanakan,” katanya.

“Kita tunggu presiden pulang dari luar negara. InsyaAllah, selepas diberikan penerangan, kita bersedia turun padang menjelaskan mengenai perkara itu,” kata Harun, yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu.

Apa yang berlaku dalam PAS bukan sekadar desakan Mursyidul Am PAS supaya Nasharuddin melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti kerana menyokong kerajaan perpaduan, tetapi Nasharuddin menerima tekanan lebih jauh.

Ada beberapa blog proPAS, mengatakan Nasharuddin lebih ‘gembira’ tidur di katil empuk di hotel daripada melawat kawasan parlimennya – Bachok.

Malah, ada blog mengatakan Timbalan Presiden PAS itu tidak gemar turun ke kawasannya.
Ada juga yang mengatakan Nasharuddin lebih baik kosongkan sahaja kerusi yang dimenanginya.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata beliau memang terkejut dengan kenyataan yang agak keras oleh Nik Aziz terhadap Nasharuddin.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menganggap ianya adalah satu permulaan perpecahan parti.

Seorang lagi Naib Presiden PAS Salahudin Ayub pula berkata, mengikut tradisi parti, perkara sedemikian akan diputuskan pada mesyuarat parti.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Taib Azamuddin Md Taib pula berkata beliau yakin pemimpin peringkat tertinggi parti itu mampu menyelesaikan perkara tersebut.

Tempias kemarahan terhadap Nasharuddin juga terkena kepada Abdul Hadi apabila penulis Azizi Abdullah mengatakan “Tuan Guru Haji Hadi dilihat sekarang sebagai Presiden yang tidak mempunyai kekuatan politik tetapi hanya berilmu tinggi dalam hal agama. Maka kerana itu beliau sudah diperalat dengan golongan cerdik pandai, yang kononnya dihebuh sekarang sebagai profesional, cerdik pandai. Dengar khabar, kerana angkara ini Pas mungkin mengadakan Muktamar Khas. Bayangkan kerana karenah seorang dua ini seluruh jemaah jadi bercelaru.”

Kata Azizi lagi, kita selalu membuat ukuran dalam politik mestilah ulama maka atas nama ini ditekanlah pula mesti kena walak. Walhal berapa ramai pemimpin yang tidak ulama, tidak Islam yang melakukan kerja politiknya lebih dari ulama.

Kerana itu Azizi berpendapat, jangan salahkan ahli-ahli jika ada tuduhan kegilaan ini adalah kegilaan mahu jadi menteri tidak penuh atau menteri penuh. Apakah Pas beranggapan atau penuh yakin ( bagi yang mahukan Kerajaan Perpaduan) jika berlaku Kerajaan Perpaduan Tuan Guru Hj Hadi akan jadi Timbalan Perdana Menteri? Mustafa Ali mungkin jadi Menteri Dalam Negeri atau lain-lain jadi menteri sepenuh masa?

Ini contoh yang marah kepada Abdul Hadi, Nasharuddin dan Mustafa.

Bagaimana pula dengan yang marah kepada Nik Aziz dan Husam?

Blog Lawi Ayam (http://lawi-ayam.blogspot.com) bertanya, apakah Nik Aziz berang kerana kerajaan perpaduan atau anak didiknya – Datuk Husam Musa kalah pada pemilihan parti baru-baru ini?

Apakah Nik Aziz jenis yang tidak boleh menerima kenyataan bahawa majoriti perwakilan PAS tidak dapat menerima Husam?

Kenapa tidak tanya Mohd Sayuti Omar kenapa Husam kalah. Jangan tanya penyokong atau pengampu Husam untuk tahu sebab sebenar.

Atau juga Nik Aziz merasakan pengaruhnya dalam PAS semakin mengecil?

Atau juga Nik Aziz merasakan dia sudah hilang pengaruh kerana sokongan kuat kepada kem Datuk Seri Abdul Hadi Awang + Nasharuddin + Datuk Mustapa Ali?

Kenyataan mengejut Nik Aziz itu turut menyifatkan Nasharuddin sebagai membuat sampah yang mengotorkan PAS dan menegaskan bahawa kerajaan perpaduan adalah boneka UMNO.

Ramli Abdul Halim (Kapak Jangak) berkata, macam mana seorang yang menang jawatan tanpa tentangan dan orangnya yang menang dalam pertandingan mahu dinyahkan dari parti dan kerusi Ahli Parlimen oleh orang yang hanya dapat satu pencalonan untuk menentang presiden dan calon-calon yang pronya semuanya kalah, boleh mahu jadi lebih berkuasa.

Katanya: “Teori dan undang-undang rimba mana yang mahu dipakai. Nak pongoh, nak bengken bukan tak boleh, nak tunjuk ek’oh pun bukan tak boleh tetapi biarlah pongoh, bengkeng dan ek’oh sakan hanelah kita biar profesional dan bersesuaian dengan keadaan dan ketika. Agaknya Mohamad Nizar Jamaluddin yang menampakkan ciri-ciri kurang bertamadun pun kerana menteladani tokoh dari Kelantan yang disangka ‘BEGHES BELAKA’ kerana lebih berpengalaman dalam membentuk kerajaan dan memulihara kemenangan tetapi hakikatnya adalah ‘REBEH’ dan kualitinya semakin EXPIRED.”

Bermula dengan ALLAH PUN MENCARUT, TUHAN PUN SAMSENG, SANGGUP BEKERJSAMA DENGAN SYAITAN membawa kepada isu KERAJAAN PERPADUAN, nampak ada bibit-bibit kesongsangan bagi destinasi politik Tok Guru sehingga boleh berlaku percanggahan secara terbuka antara beliau dan Presiden dan kalangan yang sealiran pemikiran politiknya, kata Ramli

“Saya tidak dapat meramalkan KUASA KERAMAT apa yang beliau ada bagi memulihkan kembali retak menunggu belah PAS gara-gara penentangan dan prejudis mengkkhizir butanya terhadap gagasan kerajaan perpaduan yang seolah-olah kerajaan perpaduan itu lebih bahaya dari peluru berpandu atau bom pintar berangkai.”

Mohd Sayuti Omar (MSO) yang selama ini dianggap rapat dengan Nik Aziz turut terkejut beruk kerana menurutnya, “…ia satu kenyataan yang kurang manis dan sungguh malang sekali yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang tua bertaraf separuh wali berjawatan Mursyidul Am Pas. Kenyataan begitu sangat beremosi. Cara itu ialah tidak bijaksana dan berhemah sama sekali dan ‘berkadas’ dengan usianya. Mengenang aksi Tok Guruku itu lakunya tidak ubah seperti tindakan seorang bapak menghalau anaknya keluar rumah kerana anaknya dikatakan nak bernikah dengan gadis yang tidak disukainya. Tindakan itu selalunya dilakukan oleh orang-orang zaman dulu yang kurang ilmu diplomasi dan rendah pula ilmu siasahnya.”

Menurut Sayuti: “ Nik Aziz nampak langsung tidak menghormati kepada perwakilan Pas yang memberi mandat kepada Nasharudin dalam muktamar lalu…Media juga melaporkan Tok Guruku itu sebagai berkata, Pas Kelantan kesal kerana beri peluang kepada Nasharudin bertanding di Bachok dan menganggap Nasharudin sebagai sampah yang menyusahkan. Kenapa begitu sekali? Apakah tidak ada tindakan lain yang lebih lunak yang boleh dilakukan Nik Aziz selain meluahkan kata-kata itu?”

Katanya lagi: “…kalau Nik Aziz panggil Nasharudin dan minta supaya dia serahkan jawatan timbalan presiden PAS kepada orang baju petak-petak merah, Nasharudin akan akur. Siapalah Nasharudin hendak menderhaka kepada Tok Guru. Tetapi kenapa Nik Aziz tidak berbuat begitu? Kenapa menyimpan marah dalam sekam? Walaupun beliau mengatakan kemarahan itu tidak ada kena mengena dengan kekalahan anak ayam didiknya itu, tetapi seluruh orang tahu. Itik ayam pun tahu apa yang berlaku.”

Sayuti member amaran, dalam posting sebelum ini saya sudah berikan ingatan, jangan sampai Pas ada dua mazhab- “Mahzab Haji Hadi” dan “Mazhab Nik Aziz”. Nampaknya apa yang saya bimbangkan itu sudah nak menjadi. Benih sudah mulai nak tumbuh.

Kerana itu Sayuti mengajak ahli dan penyokong PAS supaya ramai-ramailah solat hajat minta selamatkan PAS. “Berdoa dan bermunajatlah. Sebab kalau tidak kena gaya Pas mungkin akan berpecah dua. Mungkin satu lagi parti baru serpihan dari Pas akan wujud!”

Selanjutnya Sayuti dengan beraninya menyebut: “Dan sekiranya difikirkan perlu, boleh dipertimbangkan permintaan Mursyidul Am Pas itu. Iya kalau orang sudah tidak sukakan kita, tunggu apa lagi. Sekiranya saya jadi Nasharudin saya akan serahkan surat mengosongkan kerusi parlimen Bachok kepada Nik Aziz. Sedarlah diri kita hanya menumpang belas kasihan di bumi orang. Nasharudin hanya dagang Pak Malau! Bila orang benci maka kita kena tahu bila masa kita perlu keluar dari rumah itu… semua orang memukul dan mengodam kita. Kerusi timbalan presiden mungkin tidak perlu dikosongkan kerana kerusi itu ditentukan oleh ahli Pas. Apa yang perlu diingat kuasa memilih dalam parti antara ahli biasa di cawangan Kampung Tok Naga, Kuala Terengganu sama saja dengan undi seorang Mursyidul Am Pas.”

Persoalan sekarang ialah, apakah Muktamar Khas boleh menyelesaikan ‘perang ini’? Bagaimana sekiranya ‘Mazhab Nik Aziz’ terus menyerang.

Apakah mazhab itu akan termakan umpan Azizi yang mengatakan “kerana karenah seorang dua ini seluruh jemaah jadi bercelaru” dan serangan tidak akan berhenti kerana ‘Mazhab Haji Hadi’ pun kuat juga.

Bagaimana jikaNasharuddin membuat keputusan ‘gila habis’ dengan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok?

Atau kalau susah sangat, serahkan juga jawatan itu kepada Husam – habis cerita!

Advertisements

PERANG MSO-HUSAM MUSA – PUNCA HUSAM KECUNDANG?

Posted in Husam, MSO on June 14, 2009 by Hambali Abd Latiff

Isu kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus diperkatakan.

Pertelingkahan antara Hadi dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Musyridul Am PAS juga terus mendapat perhatian blogger terutama dari PAS. Melalui blog mereka, perbahasan sama ada wajar mengikut Nik Aziz atau Hadi terus diperbincangkan.

Sementara di pihak UMNO, ada yang melihat isu ini menguntungkan mereka sementara sesetengahnya melihat isu ini akan membawa kepada kestabilan negara.

Ada juga yang melihat kedudukan PAS kini terancam, terutamanya apabila DAP dan PKR membantah usaha Hadi.

Lebih memburukkan ada pendapat mengatakan kumpulan Hadi yang memimpin PAS sekarang adalah kumpulan yang menyebabkan lingkupnya PAS di Terengganu pada pilihan umum 2004.

Sementara Datuk Mustapa Ali yang dilantik sebagai Setiausaha Agung dikatakan ‘pembohong’ kerana pernah mengadakan rundingan dengan UMNO ‘secara gelap’ (bukan kekasih gelap).

Namun dalam banyak-banyak perkara membabitkan PAS, bagi saya antara yang menarik dan orang terlepas pandang ialah bagaimana pertandingan Datuk Husam Musa-Nasarudin Mat Isa menjadi hangat diakibatkan oleh perang antara Mohd Sayuti Omar (MSO) dan Husam.

Jelas, pada pertandingan itu, bukan perang antara Nasaruddin dan Husam tetapi perang MSO dan Husam.

Bagi saya, selepas menunggu lebih dua tahun untuk melihat sejauh mana tabahnya MSO menghadapi Husam, akhirnya pada tempoh muktamar PAS kali ini, MSO yang berkesaorangan berdepan dengan ‘orang baju petak merah’ secara head-on.

Saya melihat ada ‘kepuasan’ di pihak MSO kerana Nasarudin menang. Bagaimanapun, saya yakin, kalahpun Nasarudin kalah, MSO tetap lega kerana tempoh menunggu sejak 2007 akhirnya berbaloi juga kepada MSO.

Bak kata MSO, kekalahan Husam itu sedikit sebanyak memberi implikasi dan persepsi buruk kepada kemuliaan Musyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kata MSO lagi, Husam secara sedar atau tidak telah mempergunakan Nik Aziz sebagai menguatkan sokongan kepadanya dengan mempamirkan kononnya beliau menjadi kesayangan kepada Nik Aziz.

“Kegagalan Husam menterjemahkan bahawa dia adalah segala-galanya bagi Nik Aziz satu kesalahan besar seumpama beliau memasuki perangkap harimau dan menguncinya dari luar kemudian melemparkan anak kunci ke dalam sungai berarus deras.

Kekalahan Husam itu memberi pengajaran cukup berguna kepadanya bagi beliau membuat mahasabah dirinya dari dalam dan luar. Kekalahan itu adalah jadam pahit yang harus beliau telan kerana penyakit yang ada pada dirinya sangat memerlukan ubat sepahit jadam. “

Bermula 6 Jun lalu, bagi MSO, “Husam hendaklah menjadikan jadam sebagai bil suplimen dalam meniti hari-hari sebagai seorang ahli biasa Pas yang hanya memegang jawatan ketua PAS Kubang Kerian.”

(nota: Pada 11 Jun, Abdul Hadit mengumumkan dua bekas Naib Presiden yang tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden minggu lalu, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu masing-masing dilantik sebagai ahli jawatan kuasa (AJK) Pas Pusat).

Persoalan penting ialah kenapa MSO ‘menyerang’ Husam?
Kata MSO: “…saya akan menjelaskan kenapa saya mengkritik Husam, mengatakan Husam sehinggakan ada yang nak muntah. Saya akan jelas seadil-adilnya. Saya kritik Husam kerana masih mengharapkan dia berubah untuk muncul sebagai pemimpin hebat.

Justeru saya sedang fikirkan apakah saya wajar sampai melepaskan apa-apa yang amat berat untuk saya lepas dan catatkan mengenai Husam. Apa yang saya kritik Husam, caci Husam atau ‘fitnah’ Husam itu tidak sampai separuh daripada apa yang saya tahu mengenainya dan ada dalam simpanan saya. Bukti-bukti yang saya miliki menyebabkan anda tidak akan tergamak untuk melihatnya.

Apakah saya perlu mendedah semuanya?” (4:00 pm 27/05/09]
Apa yang jelas, pada ketika pihak yang bersimpati dengan Husam dan ‘budak suruhan Husam’ – Kickdefella – membelasah MSO, melalui blok Tinta Merah, MSO bertahan dan menyerang.
Dalam posting ‘Bila Kuda Juga Sakit Kepala’ pada 1 Jun 2009, menyerlahkan semua perkara mengenai hubungan MSO-Husam sebelum ini.

Kata MSO: “Saya perlu dibusukkan sebusuk-busuknya. Kalau saya tidak didamagekan, tentu orang percaya apa yang saya perkatakan. Bila dilanunkan, maka hilanglah keyakinan umum kepada saya! Di sini tektik reverse psikologi digunakan. Mereka yang tidak cekap akan mudah menerima apa yang disogokkan.

Dan dalam masa yang sama si baju petak-petak merah kena gambarkan sebagai malaikat, Superman ataupun Robin Hood. Kena lukis secukup-cukupnya. Walaupun kentutnya busuk perlu dikatakan wangi. Kalau tidak kata begitu maka akan mislah syuru, atau si penghidu itu akan dikatakan sebagai anak luar nikah.”

Apa isunya? Kononnya MSO bermusuh dengan si baju petak-petak merah kerana tidak mendapat komisyen kambing?

Berikutan itu MSO meminta Kickdefella atau sesiapa saja buktikan bila masa beliau mengugut si baju merah petak-petak untuk mendapat komisyen. Menurut MSO, apa yang berlaku ialah saya meminta si baju petak-petak merah selesai pertikaian mengenai kambing yang bermula dari harga yang mahal seperti mana disebut oleh si baju petak-petak merah.

Itu saja. MSO meminta Husam berbuat begitu kerana beliau tidak mahu terlibat dengan projek JV itu. Kalau dia berjumpa dengan Mohd Amin Pepet, MSO anggap kerjanya sebagai orang tengah sudah selesai dan beliau tidak akan berbalah sehingga berlarutan seperti hari ini. Tanya MSO – apakah dengan berbuat begitu ianya ditafsirkan sebagai ugutan? Murahnya nilai kepercayaan si baju merah petak-petak kepadanya.

Kononnya juga MSO mengugut si baju petak petak merah dan jika ugutan itu tidak dipenuhi beliau akan menulis buku memburukannya. MSO berkata, sekaligus Kickdefella kena turunkan bukti mengenai ugutan itu, bila dan apa kata-kata yang beliau lemparkan yang berupa ugutan itu. “Apakah bila ada orang hantar mesej atau komenter pada blognya beliau terus mempercayai yang akhirnya menimbulkan perbalahan yang tidak sepatut berlaku ini?” tanya MSO.

Juga kononnya MSO digambarkan memfitnah si baju merah petak-petak kahwin dengan Cina dan akan tunjuk saksi dan surat nikah. Sekali lagi MSO minta Kickdefella menjelaskan beliau mengatakan ini di mana dan berjanji dengan siapa. Menurut Mso, nampaknya Kickdefella menggunakan tektik cuba memerangkapkan beliau dengan sesuatu yang beliau tidak kata dan minta bukti daripadanya, dan bila gagal mengeluarkan bukti maka MSO dianggap sebagai berbohong.

MSO juga mengatakan Kickdefella mengheretnya supaya berhadapan dengan Akademi Pembangunan Keluarga Bahagia, syarikat yang terlibat menguruskan projek kambing itu. Katanya, Zulkfeli Yaacob bersedia berhadapan dengan saya dan blognya sedia menjadi penganjur. Untuk apa? Kalau Zulkefli nak jelaskan, beliau boleh jelas sendiri.

Kata MSO: “Saya tidak ada apa-apa persoalan mengenai akademi itu dan projek kambing. Saya tidak menafikan apa-apa dokumen yang disiarkan itu sebagai benar belaka. Dan saya tidak mempertikaikan semua itu dari dulu lagi, sebab ia tidak ada kena mengena dengan saya.”

Berikutan itu MSO mencadangkan kepada Kickdefella membawa segala dokumen itu kepada pihak SPRM biar disiasat ketelusan mengenai projek itu terutamanya mengenai pembinaan prasaranannya daripada menuduh saya berkepentingan dengan projek berkenaan.

Perkara lebih menarik ‘perang’ MSO-Husam melalui Kicdefella ialah isu sms yang dihantar antara MSO-Husam.Menurut MSO, SMS yang saya hantar kepada si baju petak-petak merah dan dipetik separuh saja oleh Kickdefella dengan motif Allah s.w.t. saja yang tahu;

“As’kum biar apa anggapan sdr pd saya, saya takan membawa rasa kecil hati selamanya. Mulai jam 11 malam tadi (akhir 2007) saya tamatkan segala aktiviti melepas geram dan kritikan pd sdr.”

SMS itu bukan setakat itu saja ia ada sambung lagi. Saya siarkan sepenuhnya SMS berkenaan;

A’kum biarpun anggapan sdr kepada saya, saya takkan membawa rasa kecil hati selamanya. Mulai jam 11 malam tadi saya tamatkan segala aktiviti melepas geram dan kritik pada sdr. (Ini yang Kickdefella tidak masukan) Ini kerana saya berpegang pada janji, di mana saya akan berhenti apabila berlaku salah satu, sdr jumpa dgn Mohd Amin atau Tok Guru larang saya. Semalam tok guru dengan penuh rendah diri minta saya hentikan serang sdr. Katanya ba’la (cukuplah) hentam Gusam. Cukup la.
(From: 0192336996 01/11/2007 8:39 am)

Dan satu lagi SMS dari MSO: “Apabila tok guru menyanyangi sdr, saya kena terus menyanyangi sdr. Semoga harapan saya untuk melihat sdr berjaya akan tercpai. Selamat berjuang. Wassalam. (From: 0192336996 01/11/2007 8:37 am)

Menurut MSO, sms ono beliau kirimkan kepada si baju merah petah-petah selepas Tok Guru meminta beliau berhenti menghentamnya pada suatu malam apabila berjumpa dengan Nik Aziz di rumah Kelantan, di Kuala Lumpur. Untuk membuktikan beliau akur kepada janjinya, beliau mengirimkan SMS itu dan berhenti mengkritiknya.

Kata MSO: “Kickdefella kena berlaku adil, kenapa tidak siar SMS-SMS lain dari si baju petak-petak merah itu? Kenapa harus memilih SMS tertentu saja. Ini saya turunkan SMS dari si baju petak-petak merah kepada saya. Di mana dalam SMS ini dia menghina saya dan saya balasnya sehinggalah saya rasa dia amat bodoh dan kebudak-budakan dan saya tidak membalasnya selepas itu.”

Penulis bisa (hebat – MSO) kadang kala ingat tuhan tidak ada. Boleh tulis ikut sedap. Kerana dunia sanggup godam duit rakyat. Insyallah mana yang mahal dan rugikan rakyat kita tolak w pun tak disenangi. Nilai perjuangan bukan boleh dibeli dengan ugutan. Ya Allah bantulah hamba Mu mengatasi orang yang zalim walau siapa dia.” – (From 0199804975 7:17 pm 7/12/07)

Apa yang hendak diceritakan si baju petak-petak merah dalam SMS ini ialah kononnya MSO mengugut beliau dan MSO memakan duit rakyat. Lalu MSO mengemukakan pertanyaan: “Saya nak tanya siapa yang ada ‘mulut besar’ untuk membaham duit rakyat? Siapa yang berkuasa ke atas balak, tanah, kawasan getah klon, buat bandar baru Tunjung dan sebagai. Apakah saya sebagai penulis cabut atau Exco? So macam mana saya boleh makan duit rakyat? Dan apakah bila saya suruh dia berjumpa dengan Mohd Amin itu satu ugutan? Mudah sekali tohmahannya.”

MSO turut memperturunkan satu lagi SMS dari si baju petak- petak merah:

Bismilah. Insyallah ambo takkan tunduk pada perasugut demo nak komisyen dgn cara hina. Ambo hanya mampu berdoa atas segala aniaya demo. Allah tetap akan penuhi janji bila tiba masanya.” (From: 019804975 8.09 pm 10/26/07).

MSO berkata, seperti beliau sebut, bila masa beliau si baju petak-petak merah dan tagihkan wang komisyen. Ini tuduhan paling keji ke atas beliau. Baca apa pula balasan daripada MSO kepadanya;

“Sham (panggilan manja saya kepadanya) demi Allah ana tak nak satu sen pun. Ana tak sangka anta masih belum kenal siapa ana. Tanyalah Tok Guru apa yang ana lakukan. Ana merayu pd anta tamatkan kisah ini demi masa depan dan harapan rakyat pd anta.”

Apa yang si baju petak-petak merah balas selepas itu, ini dia:

“Teruskan kemuliaan demo. Tuhan tak dok saja.” From: 0199805975 8: 23pm 10/26/07.

Ini pula balasan daripada MSO: “InsyaAllah Tuhan juga sedang memerhati demo.”

Kata MSO: “Saya mula berbahasa kasar dengannya apabila dia tidak lagi tahu berbahasa lembut dengan saya. Daripada SMS ini menampakan si baju petak-petak merah alim, tawaduk, jujur, zuhud dan ikkhas. Kadang dia memulakan SMS dengan doa bagi menunjukkan dia alim. Inilah saya katakan munafik, munafik jenis unta bengkok kaki. Tahu macam mana unta bengkok kaki?”

Dan ini SMS daripada si baju merah petak-petak:

“Demo kutip cari makanlah dgn perasugut tu, manusia tak tahu. Demo mulia. Ambo tak tahu hal demo. Ada menteri mana demo boleh peraugut, buatlah. Tuhan beri tangan boleh tulis lagi, loh la,” (From: 0199805975 8:37 10/26/07).

Kata MSO: “Dia meletakan saya sehina-hinanya. Satu tuduhan dan sikap yang tidak terduga sama sekali boleh keluar dari hati seorang pembantu kepada ulama bertahun-tahun yang saya anggap sebagai sahabat, bukan kawan… tetapi sahabat! Kata-katanya sangat kesat dan langsung tidak menggambarkan profesional dan ketamdunan. SMS dan kata-kata inilah menyebabkan saya kecewa dengannya. Kecewa amat sangat dan akhirnya membawa kepada kritikan bertubi-tubi saya demi melihat dia berubah perangai dan fiilnya sebab dia bakal menjadi pemimpin.”

Itulah SMS terakhir dan MSO tidak membalasnya. MSO tidak menghubunginya lagi. Bagaimana pun dua tiga bulan lepas ada lagi SMS daripada si baju merah petak-petak yang masuk juga kurang senonoh bunyinya. Kalau perlu akan MSO akan catatkan di sini suatu masa nanti.
Kata MSO, perkataan dan ayat-ayat dalam SMS-SMS si baju merah petak-petak itu boleh direnung dan dikaji. “Siapakah yang emosi dan benarkah saya melakukan ugutan? Apakah dalam SMS itu ada unsur-unsur ugutan? Saya tidak tahu dari celah mana yang menyebabkan dia merasakan saya mengugutnya,” tanya MSO.
Menamatkan ‘perang’ dengan Kickdefella, MSO berkata: “Kepada Sdr Kickdefella dengan ini saya memohon maaf jika bahasa dan corak penulisan saya beremosi dalam menjawab dakwaan dan singgung sdr. Sebagai hamba-Nya saya tetap lemah dalam segala-galanya. Salam” ( 9:00 am 02/05/09)
Persoalan saya – selepas meneliti perang MSO-Husam’ ini, apakah MSO antara penyebab Husam kalah?
Apapun, sebagai manusia biasa yang banyak kelemahan, MSO dan Husam yang suatu ketika begitu intim dan Husam yang sentiasa meminta pandangan dan pertolongan MSO harus berbaik semula.
Kalaupun tidak untuk diri Husam dan PAS, berbaik sangka dan memaafkan sesama manusia adalah perkara yang paling dituntut.
Seharusnya sebagai ahli parti yang memperjuangkan Islam, MSO dan Husam kembali duduk semeja dan menyelesaikan segala yang kusut.
Perdamaian antara mereka akan juga melurus dan memperbetulkan apa juga kesilapan yang sudah dilakukan oleh kedua-dua mereka. Insyaallah.

APO NAK DIKATO…JANGGUT HUSAM TIDAK PANJANG

Posted in Husam, PAS, UMNO on June 7, 2009 by Hambali Abd Latiff

Kesian Husam.

Marah dan kebenciannya yang membara kepada UMNO, menjadikan dia hilang arah.
Kemarahan dan kebencian yang cuba ditonjolkan semaksimum mungkin ketika berlangsungnya Muktamar PAS ke 55 kali ini tidak menjadi.

Datuk Husam Musa tersungkur.
Bagaimanapun, Husam tetap Husam. Dia tetap bermain politik dengan kata-katanya.
Beliau bukan sahaja dilihat mempertahankan dirinya tetapi cuba membela mentornya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Husam menafikan kekalahannya untuk merebut jawatan timbalan presiden PAS, sebagai tanda penolakan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat di negeri itu.

Husam yang dilihat sebagai ‘anak emas’ Nik Aziz berkata: “PAS tidak bergantung kepada tokoh.”

Walaupun ramai hanya beranggap bahawa kekalahan Husam juga mencerminkan penolakan terhadap kepimpinan Nik Aziz.

Ekoran kekalahan beliau, Husam dan Mohamad Sabu yang sebelum ini merupakan naib-naib presiden PAS, tidak lagi memegang sebarang jawatan tinggi parti di peringkat pusat.
Dalam pemilihan kali ini, Husam yang dilihat mendahului akhirnya terpinggir apabila Nasharuddin Mat Isa berjaya mengekalkan jawatan timbalan presiden PAS dengan memperolehi 480 undi dengan Husam mendapat 281.

Seorang lagi calon Mohamad Sabu mendapat 261 undi.
Husam dikatakan boleh menang jawatan timbalan presiden seandainya jika membabit satu lawan satu dengan penyandangnya Nasharuddin.

Keputusan itu menunjukkan undi yang diperolehi Husam dan Mohamad Sabu – bila digabungkan – berjumlah 452 – iaitu 62 undi lebih tinggi daripada undi yang diperolehi Nasharuddin (46.8%).

Walaupun Husam dan Mohamad Sabu berkongsi pendirian menolak sebarang kerjasama dengan Umno tetapi Mohamad Sabu tidak mahu menarik diri.

Ada terdengar desas-desus mengenai usaha-usaha untuk memujuk Mohamad Sabu menarik daripada bertanding jawatan tersebut, untuk mencerah lagi peluang Husam.

Namun, orang yang rapat dengan Mohamad Sabu terus menerus memujuk beliau jangan menarik diri, walaupun cuba dipujuk oleh penyokong Husam.

Jika tidak percaya, cubalah tanya Mohd Sayuti Omar yang dilihat antara yang rapat dengan Mohamad Sabu.

Usaha itu ternyata sia-sia apalagi Mohamad Sabu sendiri pernah menafikan ada usaha-usaha ke arah itu.

Dan dengan kedudukan di mana masing-masing calon berusaha menonjolkan kelebihan mereka, ternyata bukan semua perwakilan minat dengan ‘tembakan melampau’ Husam kepada UMNO iaitu parti orang Melayu sesama Islam.

Ketegasannya menolak gagasan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, walaupun mendapat sokongan Musyridul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak mendatangkan keuntungan kepadanya dari segi pemilihan kali ini ini.

Husam berikrar akan terus memantau perkara itu yang telah ditolak dalam muktamar tahunan mereka sebelum ini, walaupun tanpa jawatan.

“Saya mungkin janggut tak cukup panjang. Mungkin perwakilan tidak suka saya. Ia lebih kepada (faktor) saya,” katanya berseloroh.

Menurut Berita Harian Online, beliau menyalahkan kekalahannya dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden Pas berpunca daripada kepemimpinan dalaman parti itu yang tidak memahami tentangannya terhadap pembentukan kerajaan perpaduan.

Apakah kempen besar-besaran Husam sehingga ada yang menganggap publisiti untuknya melebihi publisiti terhadap Presidennya, tidak cukup untuk menjelaskan kepada perwakilan mengenai penentangannya terhadap pembentukan kerajaan perpaduan itu?

Apakah dengan sebab-sebab yang diberikan umpamanya PAS tidak menjadi parti terbesar jika bekerjasama dengan UMNO, tidak aka nada Perdana Menteri dari Pas serta PAS tidak boleh menentukan calon pilihan raya untuk kerusi yang dilihat berpotensi untuknya menang tidak jelas kepada perwakilan?

Apakah Husam cuba melindungan kemarahan dan kesedihannya kerana kalah sedangkan beliau digambarkan sebagai calon paling terkedepan?

Biarpun ada amaran bahawa calon paling banyak atau kuat berkempen tidak akan menang, Husam menggunakan segala saluran, termasuk akhbar arus perdana untuk menonjolkan imejnya.

Ada sebuah akhbar perdana bagaikan ‘dibeli’ oleh Husam apabila cerita mengenainya positif sahaja. Seolah-olah Husam itu PAS dan PAS itu Husam.

Akhirnya Husam mengalah apabila mengatakan bahawa keputusan pemilihan saf kepimpinan PAS yang baru diumumkan membuktikan keterbukaan dalam parti itu.

“Saya menganggap kekalahan ini sebagai suatu bukti keterbukaan dalam PAS,” katanya pada satu sidang media Muktamar Tahunan PAS kali ke-55 di Stadium Melawati Shah Alam hari ini.
Tiada apa lebih sedap daripada skrip yang berbunyi “beliau melahirkan rasa gembira dengan keputusan tersebut dengan menyatakan keyakinan terhadap kemampuan para pemimpin yang dipilih oleh perwakilan menerusi pemilihan pada kali ini.

“Saya yakin dan percaya bahawa saf kepimpinan yang dipilih mampu untuk meneruskan perjuangan sesuai dengan misi parti pada masa akan datang terutamanya dalam menempuh pelbagai cabaran,” ujarnya.

Ternyata dia merasakan hanya melalui pertandingan untuknya merubah PAS. Katanya: “Saya bertanding pada kali ini adalah kerana tiada jalan pintas untuk melaksanakan sebarang perubahan.”

Bekas Naib Presiden dan Exco kanan Kerajaan Negeri Kelantan itu menegaskan bahawa beliau akan tetap meneruskan perjuangan walaupun tanpa sebarang jawatan.
Beliau juga menganggap kesediaan beliau untuk kalah adalah suatu pengorbanan kepada parti itu.

Lebih jauh, Husam bagaikan mahu menunjukkan pengaruhnya masih kuat dengan nada angkuh mengatakan walaupun gagal merebut kerusi timbalan presiden PAS, Datuk Husam Musa yakin, ketiga-tiga naib presiden yang baru terpilih, akan terus menolak sebarang kerjasama dengan Umno.

Menurutnya, Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar serta separuh daripada ahli jawatankuasa yang baru itu, berkongsi pandangan politik yang sama dengan beliau.

Tuan Ibrahim dan Salahuddin dilihat lebih rapat dengan kumpulan profesional manakala Mahfuz pula – walaupundilihat bersikap berkecuali – tetapi dikatakan lebih rapat dengan kumpulan berkenaan.

Dalam pemilihan tersebut, Tuan Ibrahim yang Pesuruhjaya PAS Pahang, mendapat 871 undi; diikuti oleh Salahuddin yang juga bekas ketua Dewan Pemuda PAS (824) dan Mahfuz yang juga ketua Penerangan PAS memperolehi 636 undi.

Dua lagi calon – Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mujahid Yusof Rawa mendapat 277 undi manakala Exco Kerajaan Kelantan, Nik Amar Nik Abdullah memperolehi 333 undi

Mengenai masa depan karier politiknya, Husam hanya mengatakan perkara itu tidak penting kerana beliau “dari mula menggangotai PAS sebagai aktivis”.

“Mana boleh terpinggir, melukut pun ada peranannya,” katanya di hadapan kira-kira 50 wartawan yang mengerumuni beliau bagi mendapat reaksinya.

Tambahnya, pelbagai pihak mempunyai peranan dalam parti itu mengikut kedudukan masing-masing.

Sementara itu, ketika diminta mengulas isu kerajaan perpaduan yang dicadangnya presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Husam berkata:

“Sampai hari ini saya tak faham macam mana ia boleh berjaya. Saya tak faham, kalau kita katakan Afrika Selatan atau England, itu berlaku apabila tidak ada satu parti yang ada majoriti dalam parlimen.

“Dalam keadaan itu, semua parti bersedia bekerjasama. Tetapi dalam kes di Malaysia, Umno dan BN telah ada majoriti. Dan Umno tidak tawarkan pembangkang menyertai kerajaan,” katanya.

NASHA MENANG, GAGASAN HUSAM DITOLAK

Posted in DAP, Husam, PAS on June 6, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Dikemaskini)

Husam kalah, Nasharudin Mat Isa menang Timbalan Presiden. Tahniah kepada Nasarudin.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilih Muktamar PAS ke-55, Datuk Mustafa Ali mengumumkan Nasharudin Mat Isa menang jawatan Timbalan Presiden PAS menewaskan, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Nasharuddin berjaya mempertahankan jawatan dengan menewaskan dua pencabar –Datuk Husam Musa dan Mohammad Sabu – pada pemilihan jawatan sempena muktamar tahunan parti itu, di Stadium Malawati di Shah Alam pagi ini.

Nasharuddin peroleh 480 undi manakala Husam (281) dan Mohammad Sabu (261).
Dengan undi yang hampir separuh berbanding Husam, Nasaruddin mendapat mandat besar dan perwakilan PAS ternytata menolak ‘gagasan Husam’.

Kemenangan Nasarudin membolehkan PAS bergerak laju untuk melaksanakan cita-cita dan falsafah perjuangannya. Sedikit sebanyak gagasan kerajaan perpaduan akan dapat difikirkan secara mendalam dan tidaklah ditolak mentah-mentah begitu sahaja seperti oleh Husam dan Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Bagi jawatan Naib Presiden, Salahudin Ayub, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dato’ Mahfuz Omar menewaskan dua lagi pencabar, Mujahid Yusof Rawa dan Nik Amar Nik Abdullah.
Kini sah sudah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendapat gandingan baik dan masa depan politik Husam dalam PAS menjadi tanda tanya.

Bagaimana dengan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri dalam tempoh yang singkat? Apakah tindakan beliau seterusnya?

Husam menegaskan kekalahan bukan bererti segala pandangan politiknya akan terhenti sebaliknya percaya rakan-rakan yang memenangi jawatan naib presiden dan ahli jawatankuasa kerja pusat akan meneruskan pandangan beliau.

Beliau menolak tanggapan mengatakan pandangan politiknya ditolak perwakilan kerana calon-calon naib presiden dan AJK PAS pusat mempunyai pandangan yang sama dengan beliau.

“Saya akan tetap bersama PAS dan akan terus berjuang untuk memastikan PAS bersama Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan pusat dalam pilihan raya umum ke-13 atau pada bila-bila masa,” tegas beliau dalam satu sidang media hari ini.

Husam juga menjelaskan, kekalahan beliau tidak akan memberikan kesan kepada pemerintahan Tuan Guru Nik Aziz di Kelantan kerana PAS tidak memerintah berdasarkan individu sebaliknya kerana kekuatan parti.

Apa keadaan pun, Husam tetap tegas menolak sebarang perundingan untuk bersama Umno sebaliknya akan memastikan PAS mengantikan parti tersebut.

Jika dilihat betapa kerasnya Husam dalam isu ini, sedangkan Presiden PAS nampaknya lebih berlembut – bayangkan, jika Husam menang, PAS akan menghadapi masalah.
Presidennya kata A tetapi Husam kata B.

Yang pasti, sekiranya Husam menjadi Timbalan Presiden, Abdul Hadi akan berdepan dengan Timbalannya yang akan membantah untuk membentuk kerajaan perpaduan yang memungkinkan kepada kerjasama PAS dan UMNO.

Husam yang kalah jawatan Timbalan Presiden PAS dengan tegas mengatakan: ”Kita mahu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi (sama taraf dengan UMNO).”

Sebaliknya, beliau lebih sedia untuk mengadakan kerjasama dengan parti di bawah pakatan pembangkang kerana ia dilihat taraf semua parti adalah sama.

Dalam pada itu, Husam menjelaskan sekiranya perbincangan untuk mengadakan kerajaan perpaduan itu mahu dilaksanakan juga, adalah lebih baik ia dilakukan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ini kerana beliau mahu memastikan kerusi PAS benar-benar cukup kuat untuk mengukuhkan kedudukan parti itu dalam kerajaan.

Husam yang bertanding Timbalan Presiden pada pemilihan kali ini, menolak sebarang idea penggabungan dengan Umno kerana banyak sebab. Menurutnya melalui kerjasama itu, pemimpin PAS sudah tentu tidak akan menjadi perdana menteri.

No 1: Menjadi Perdana Menteri.
(Hasrat PAS ialah menjadi parti dominan dalam pakatan pembangkang untuk membolehkan Presidennya menjadi Perdana Menteri. Persoalannya bila? Di mana mahu diletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim?)

Kata Husam: “Jika Umno dikalahkan kemudian dan mereka mahu bekerjasama dengan kita maka OK lah… kalau PAS di atas dan Umno di bawah itu OK, jangan Umno di atas kerana tidak akan ada perubahan… apa yang penting bagi kita adalah perubahan.”

No2: PAS di atas, UMNO di bawah baru OK.
(PAS begitu yakin dapat mengganti UMNO di peringkat pusat dan akan hanya bekerjasama apabila UMNO sudah tidak dominan lagi – tiada lagi Barisan Nasional. Selagi ada BN, UMNO sukar ditumbangkan.)

Bagi Husam, kerjasama yang dipraktikkan oleh PAS bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta DAP melalui pakatan pembangkang tidak akan berlaku dengan UMNO. Katanya: “Saya sayang PAS, kalau PAS menjadi tambahan kepada Umno, PAS akan menjadi kuda tunggangan, PAS tidak akan mendapat lebih banyak kerusi, Umno akan terus menjadi parti dominan… jadi habislah PAS.”

No3: PAS akan jadi kuda tunggangan
(Pemimpin pemuda PAS mengatakan parti itu kini menjadi kuda tunggangan pakatan pembangkang. Siapa yang menunggang siapa? Bukankah kini adanya PAS dalam pakatan menunjukkan bukan Islam menunggang orang Islam?)

Bagi Husam, melalui kerjasama dengan UMNO, PAS tidak akan menjadi parti yang dominan dalam pakatan itu, malah ia juga tidak akan mendapat kerusi lebih daripada Umno.

No4: Mendapat kerusi lebih daripada UMNO
(Mendapatkan kerusi dalam pilihan raya bukan kerana yakin akan menang sesebuah kerusi dipertandingkan tetapi juga melalui tolak ansur dan persefahaman antara parti seperti diamalkan dalam BN. Jelas pemimpin PAS tamak dalam menentukan kerusi yang mahu dipertandingkan.)

Semua yang disebutkan di atas adalam kenyataan Husam seperti dilaporkan oleh agensi berita nasional, Bernama, ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Muktamar Pas ke-55 di Shah Alam, kelmarin.

Sebaliknya, Presiden PAS beliau yakin idea bagi mewujudkan kerajaan perpaduan antara Pas dengan Umno yang beliau cadangkan sebelum ini dapat dilaksanakan di masa akan datang jika semua pihak memahami hasrat penubuhannya.

Katanya, hasrat itu digagaskan selepas pilihan raya umum Mac lalu dengan tujuan mencari jalan kompromi dalam pembentukan kerajaan pada ketika itu dan ia diterima secara positif bukan saja dalam kalangan pemimpin pakatan pembangkang malah pemimpin UMNO sendiri.

Bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Pas ke-55 di Stadium Malawati di Shah Akam semalam, Abdul Hadi menjelaskan bahawa hasrat Pas untuk mewujudkan kerajaan perpaduan itu telah dimaklumkan kepada rakan-rakan Pas dalam pakatan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

“Mereka menerimanya dengan baik,” katanya.

Abdul Hadi berkata beliau yakin cadangan itu dapat mendekatkan rakyat yang berbeza fahaman politik dan mempereratkan hubungan parti-parti politik demi kepentingan negara.
Kenyataan Abdul Hadi bukan sahaja diherdik oleh Husam tetapi oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang, yang berkata cadangan pembentukan kerajaan perpaduan tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat pemimpin Pakatan Rakyat dan beliau hanya mengetahuinya menerusi laporan media.

“Saya tidak tahu apa sebenarnya yang diperkatakan oleh Abdul Hadi mengenai kerajaan perpaduan, tetapi terpaksa membuat komen demi kepentingan penyokong Pakatan Rakyat,” katanya dalam laman blognya.

Lim mahu mendapatkan komen berhubung kenyataan Abdul Hadi mempertahankan cadangan menubuhkan kerajaan perpaduan.

Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar, berkata idea kerajaan perpaduan bersama BN adalah idea politik yang terkebelakang dan tidak progresif.

“Pengalaman politik kompromi seumpamanya pernah berlaku pada 1978 antara Pas dan BN yang akhirnya tidak memperlihatkan sebarang manfaat. Justeru, idea ini sudah ditolak oleh pemimpin PKR. Cadangan bekerjasama oleh Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan kerajaan BN pula khusus untuk perkara untuk kepentingan rakyat, seperti masalah ekonomi negara dan tidak mengaitkan kerajaan perpaduan,” katanya.

Bagi Abdul Hadi, beliau yakin idea bagi mewujudkan kerajaan perpaduan antara Pas dengan Umno yang beliau cadangkan sebelum ini dapat dilaksanakan di masa akan datang jika semua pihak memahami hasrat penubuhannya.

Abdul Hadi berkata beliau yakin cadangan itu dapat mendekatkan rakyat yang berbeza fahaman politik dan mempereratkan hubungan parti-parti politik demi kepentingan negara.

Yang pasti, ketika Abdul Hadi benar-benar yakin kerajaan perpaduan akan mendatangkan banyak keuntungan, khususnya unttuk orang Islam di negara ini, Husam berpendirian cadangan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan tidak menguntungkan parti itu.

Jelas bagi Husam bukan soal kepentingan perpaduan seluruh rakyat diutamakan tetapi di mana kedudukan beliau sendiri (bercita-cita menjadi Perdana Menteri) dan PAS terus kuat untuknya mendapatkan kuasa.

Dengan kembalinya Nasharudin, Abdul Hadi akan dapat menarik nafas lega dan usaha serta apa yang diperkatakannya di muktamar ini lebih mudah untuk dilaksanakan.

Persoalannya, biarpun kalah – Husam dan penyokongnya tidak akan berdiam diri.

Bukan Abdul Hadi sahaja yang akan kena tempias tetapi Nasarudin akan berdepan dengan tugas tinggi menggunung – menjamin pengaruh Husam tidak melonjak dan membantu Presiden melaksanakan kerajaan perpaduan yang mendapat tentangan Husam dan PKR-DAP.

HUSAM PENTINGKAN DEMOKRASI, MEMBELAKANGKAN SYURA

Posted in Husam, PAS on June 4, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Dikemaskini)

Saya tertarik dengan perbahasan oleh perwakilan Perwakilan Pahang, Shukri Ahmad pada muktamar Dewan Ulama PAS yang menempelak perjalanan pemilihan jawatan kanan PAS yang didakwanya gagal diselesaikan dengan kaedah syura atau kompromi sehingga boleh membawa kepada perpecahan.

“Masing-masing hendak tawar diri (bertanding). Kita tidak nafi pertandingan itu dibolehkan atas dasar demokrasi dalam parti. Tetapi kita dalam masa yang sama mesti lihat pada konsep syura.

“Kenapa Dewan Ulama boleh selesaikan masalah kepimpinan secara syura tetapi kepimpinan tonggak kita tidak (boleh)?” katanya.

“Hasil pengundian dan perlawan tersebut sedikit sebanyak akan mengguris hari. Hendak satukan hati payah, nak berpecah memang mudah.

Kalau Dewan Ulama boleh, kenapa (pemimpin PAS) pusat tak boleh? Kalau Dewan Pemuda boleh, kenapa di peringkat pusat tak boleh? Perkara ini (pertandingan) perlu ditegah.”
Jelas di sini, ada pihak yang menganggap pertandingan terbuka khususnya untuk jawatan

Timbalan Presiden seharusnya dilakukan melalui syura.
Tetapi sebaliknya yang berlaku. Kenapa?
Kerana ada yang berminat dan tidak boleh sabar. Dengan kata lain, kalaupun ada cara Islam – syura – tetapi jalan demokrasi yang dipilih. Lebih mengejutkan Musyridul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat bagaikan merestui pertandingan itu.

Kenapa? Kerana orang yang ditajanya bertanding.
Jadi adat bertanding akan ada menang, ada kalah.
Namun, kenapakah media rata-rata memberikan tumpuan lebih kepada Datuk Husam Musa dalam soal pemilihan Timbalan Presiden PAS?

Kenapa begitu besar diberikan ‘penghormatan’? Apakah kerana beliau bakal pengganti Presiden dalam tempoh terdekat?
Apakah kerana nampak kerusi Presiden, Husam sanggup membelakangkan syura dan memilih cara demokrasi yang ditaja oleh Barat?

Atau apakah kerana Husam bijak ‘berbaik-baik’ dan menawan hati editor dan orang kuat media khususnya media web selain akhbar seperti The Star?

Bagi saya ada beberapa faktor kenapa Husam mendapat perhatian.

Pertama kerana dia mencabar Nasharuddin Mat Isa yang sudah dua penggal menjawat TImbalan Presiden;

Kedua, PAS dilihat sedang menyediakan pengganti yang boleh bekerjasama dengan lebih ‘rapat’ dengan komponen pakatan pembangkang;

Ketiga, Husam dilihat rapat dengan Anwar Ibrahim dan bersedia ‘tunduk’ kepada Anwar;

Keempat, Husam dilihat keras dan tidak akan ‘berbaik-baik’ dengan Barisan Nasional (BN); dan

Kelima, Husam boleh ‘bertolak-ansur’ dalam perkara-perkara yang ada ‘kepentingan’ bagi parti seperti Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

Lima ciri berkenaan dikatakan tidak ada pada Nasharuddin lebih-lebih lagi beliau dikatakan orang yang boleh memulakan hubungan dengan UMNO dan BN.
Lebih buruk, kempen orang Husam terhadap Nasharudin ialah kononnya beliau cuba membawa PAS bergabung dengan Umno.

Inilah persepsi yang ditanam di kepala orang PAS dan perbuatan Nasharudin yang penuh kesederhanaan itu bagaikan dosa besar yang tidak boleh diampun.

Mungkin kerana tohmahan itu Timbalan Presiden PAS itu malam semalam terpaksa menegaskan bahawa pucuk pimpinan parti itu tidak pernah mempunyai niat atau perancangan untuk membawa Pas menyertai UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya beliau berkata, PAS akan terus dipertahankan daripada sebarang unsur yang boleh menjejaskan keutuhan dan perpaduan parti.

Tegasnya: ”Saya amat percaya adik-adik saya di dalam Dewan Pemuda Pas bersama-sama dalam agenda ini. Akan kita pertahankan parti ini daripada sebarang unsur yang cuba merobek dan mengganggu keutuhan jemaah kita,”

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat ke-50 di Dewan Datuk Haji Fadzil Mohd. Noor, Markaz Tarbiyyah Pas Taman Melewar dekat sini malam ini.

Berbading dengan Nasharudin, Husam lebih hebat kedudukannya kerana beliau adalah Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang boleh ‘memberikan apa sahaja’ kepada perwakilan.

Sedangkan pencabarnya seperti Ahli Parlimen Kuala Kedah, Mohamad Sabu dan Nasharuddin sendiri hanya wakil rakyat.

Husam berkedudukan sebagai ‘orang nombor dua’ dalam kerajaan negeri Kelantan – lupakan Timbalan Menteri Besar – tetapi dalam keadaan tertentu, beliau paling berkuasa di Kelantan kerana mendapat kepercayaan Menteri Besar.

Husam berusaha menunjukkan kepada ahli PAS bahawa beliaulah ‘pengganti Hadi’ yang sebenar-benarnya dengan sikapnya yang boleh ‘ke kanan dan ke tepi”.

Jika PAS ditadbir Husam, ia akan mudah untuk bekerjasama dengan komponen Pakatan Pembangkang lain kerana beliau liberal.

Walaupun tiga mufti mengatakan mogok lapar haram, Husam mempertahankan rancangan pakatan pembangkang untuk melancarkan mogok lapar selama tiga hari bagi mendesak Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan.

Maknanya Husam boleh apa saja asal lawan UMNO dan BN.’

Lagipun beliau sudah mengakui kawan Anwar pada 16 Mei lalu dan berkongsi matlamat dan perjuangan yang sama iaitu menumbangkan UMNO.

”Anwar matlamat dia untuk menumbangkan UMNO dan itu juga perjuangan saya untuk lebih 30 tahun. Maka kenapa saya tak boleh berkawan dengan beliau?” tanya beliau.

Sementara itu, perwakilan Terengganu pada muktamat itu, Saiful Bahari Mamat mahukan Presiden PAS dan timbalannya mestilah seorang ulama kerana kedua-duanya akan menganggotai badan berpengaruh besar dalam penggubalan dasar parti itu, Majlis Syura, demikian desak seorang perwakilan di muktamar Dewan Ulama PAS.

Beliau menegaskan, perkara itu mesti dipertegaskan kembali kerana ia digariskan dalam perlembagaan parti.

“Presiden dan timbalan presiden secara automatiknya akan menganggotai Majlis Syura. Oleh itu mereka mesti alim dan mempunyai kefahaman mendalam tentang agama. Kita mesti mempertegaskan perkara ini,” katanya

ISU HUDUD – PAS TERSEPIT

Posted in Hudud, Husam, PAS on December 27, 2008 by Hambali Abd Latiff

(Isu Sabtu)

PAS mahu menjadikan hudud sebagai bahan kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari nanti dengan mengatakan jika jika Pakatan Rakyat dibentuk di kerajaan Pusat. hudud akan dilaksanakan di Malaysia.

Ternyata isu ini akan memakan diri sendiri apabila pemimpin PAS bertelagah sesama sendiri mengenai isu ini, apalagi komponen Pakatan Rakyat, khususnya DAP jelas menolak dengan keras hudud yang diperjuangkan oleh PAS.

Apa yang lebih menarik ialah, Pengerusi DAP Karpal Singh pada 23 Disember lalu, berkata ketua umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjelaskan pendirian parti itu mengenai hukum hudud yang ingin dilaksanakan oleh Pas jika pembangkang memerintah negara ini.

Katanya, Anwar tidak boleh berdiam diri terhadap kata putus Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat bahawa hukum itu akan tetap dilaksanakan di negara ini.

“Pas akan rugi jika ia berkeras untuk melaksanakan hukum hudud kerana DAP akan menentangnya,” kata Karpal dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Pas tidak boleh mengetepikan keputusan sebulat suara Mahkamah Agung pada 1988 bahawa Malaysia bukannya sebuah negara Islam.

Perbezaan ketara PAS – DAP dalam isu ini boleh menyebabkan DAP memboikot PAS pada pilihan raya kecil itu dan tindakan itu akan mempengaruhi rakyat yang melihat kedudukan sebenar.

Sikap Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang ‘klu-klek’ (pendirian yang tidak konsisten) dalam melaksanakan hudud dan qisas jika pakatan pembangkang memerintah menunjukkan betapa dalam kepimpinan tertinggi PAS sendiri wujud perbezaan besar.

Mengejutkan sekali, ketika berdialog di hadapan lebih 3,000 penyokong PAS di Balai Islam Lundang, Kota Bharu Sabtu lalu, Husam menjelaskan parti itu tetap akan menegakkan pemerintahan Islam tanpa apa-apa syarat termasuk melaksanakan hukum hudud.

Bagaimanapun, cadangan Husam itu menerima kritikan daripada DAP yang merupakan sekutu PAS di dalam Pakatan Rakyat apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pelaksanaan hukum hudud tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac lepas.

Bukan Guan Eng sahaja mengritik hasrat Pas yang mahu melaksanakan hukum hudud sekiranya berjaya memerintah negara hari ini tetapi turut ditolak oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP, Teng Chang Khim.

Menurut Chang Khim yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Teng, penolakan terhadap pelaksanaan hukum itu dibuat kerana ia tidak selari dengan pendirian dan dasar DAP.

Katanya, sekiranya Pas tetap mahu melaksanakan hukum hudud, parti itu sepatutnya mendapat persetujuan daripada semua parti dalam pakatan pembangkang dan baginya, pelaksanaan hukum hudud tidak menjadi isu kerana ia telah menjadi pendirian Pas sejak dahulu, manakala DAP pula tetap dengan pendirian tidak akan bersetuju dengan pelaksanaan hukum tersebut.

Dan apabila sikap dan pendirian Husam berubah serta merta apabila mendapat bantahan keras daripada rakan dalam pakatan pembangkang yang menolak sebarang bentuk pemerintahan Islam di negara, ini amat mengejutkan.

Yang pasti dan tidak boleh disorokkan lagi jika berdasarkan sikap dan pendirian Husam ialah, PAS menjadikan hudud sebagai slogan pentingan politik mereka semata-mata tetapi bukan untuk pelaksanaan jika ia memerintah.

Jika selama ini ini Husam dilihat sebagai orang paling rapat dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, iaitu musyridul am PAS pusat, apakah dalam kes Husam ini ia menggambarkan sikap penolakan Nik Aziz terhadap Hudud?

Sikap Husam ini memang tidak disenangi pemimpin tertinggi PAS danPAS Terengganu kerana pengikut Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, memang memperjuangkan hudud dan begitulah juga dengan kumpulan ulama ini.

Dengan ini sudah pasti sikap Husam yang sekali mengatakan ‘akan melaksana’ dan kemudian ‘menarik balik’ tidak akan disenangi PAS Terengganu.

Sikap Husam bukan sahaja akan memberikan kesan kepada hubungannya dengan pemimpin PAS lainnya tetapi juga dengan PAS Terengganu.

Seperti kata Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin: ”Nada Husam mula berubah di mana beliau mendakwa Pas hanya akan melaksanakan pemerintahan Islam termasuk hukum hudud setelah mendapat persetujuan daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)’”

”Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membantah keras cadangan itu dan menyatakan bahawa pelaksanaan hukum hudud tidak termasuk dalam manifesto pakatan pembangkang pada pilihan raya umum Mac lalu,” katanya.

Dengan kedudukan percanggahan pendapat yang serius dalam pakatan pembangkang berkaitan isu itu membuktikan gabungan mereka amat rapuh kerana berlainan prinsip dan ideologi.
Bukan Khairy sahaja yang tidak faham pendirian sebenar Husam dan Pas yang mudah berubah semata-mata untuk menjaga hati dan terdesak dengan bantahan yang diterima daripada pakatan pembangkang tetapi juga rakyat – penyokong PAS dan orang biasa.

Isu pelaksanaan hukum hudud oleh Pas memang jelas. Isu tersebut lama disuarakan oleh pemimpin Pas di semua peringkat dan tentunya yang paling lantang adalah Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Apabila bercakap tentang hudud kita tidak boleh lari daripada mengaitkannya dengan Hadi yang sentiasa mempertahankan hukum hudud. Cuma kebelakangan ini iaitu sejak tertubuhnya pakatan pembangkang dengan Pas menjadi salah satu anggotanya, suara-suara yang memperjuangkan hukum hudud, khususnya Hadi semakin perlahan.

Isu ini dijangka akan turut mempengaruhi kedudukan calon PAS ada pilihan raya kali ini kerana sebarang cadangan daripada kumpulan Erdogan+ Klon yang dipelopori Husam akan berdepan dengan bantahan dan sekatan kumpulan ulama dalam PAS.

Dengan kata lain, calon seperti Mohamad Sabu serta Dr Syed Azman Syed Nawawi akan berdepan dengan halangan keras pada ketika seorang calon lagi yang disebut-sebut sangat sesuai iaitu bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Khazani Abdullah, yang dikatakan berdepan dengan masalah peribadinya yang mungkin akan membawa kepada kegugurannya sebagai calon.

Isyarat jelas betapa kumpulan lama dan ulama dalam PAS seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan tetap menyokong hudud. Kelmarin (24 Disember 2008), Azizan berkata Pas tidak akan melupakan perjuangannya untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini kerana ia adalah satu tuntutan dalam agama Islam dan asas perjuangan parti itu.

“Dalam Islam, solat adalah tuntutan bagi setiap umatnya. Sama seperti hudud yang merupakan tuntutan dalam Islam. Kita akan tetap laksanakan cuma pelaksanaannya nanti kena mengikut kesesuaian,” katanya.

Bagi Azizzn, walaupun PAS telah menyertai Pakatan Rakyat, ini tidak bererti parti itu telah mengabaikan hukum hudud. “Isu hudud yang hangat diperkatakan sekarang hanya sekadar isu pilihan raya terutama menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu Januari ini. Isu ini dah lama dan ia dikorek kembali setelah lama ditutup,” katanya.

Menurut Azizan, dalam Pakatan Rakyat, setiap parti iaitu PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai deklarasi dan perjuangan masing-masing. Baginya setiap parti dalam Pakatan Rakyat boleh berjuang mengenai dasar masing-masing dan tidak bererti Pas perlu melupakan hukum hudud.

Kedudukan perbezaan ketara dalam hokum hudud ini khususnya antara kumpulan Husam yang ‘menarik balik kenyataannya’ dengan kumpulan ulama pada ketika Nik Aziz tersepit dan perbezaan pendapat PAS-DAP, isu hudud akan memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional untuk mmperkukuhkan hujahnya bahawa Pakatan Pembangkang asmat rapuh.

Dalam konteks pilihan raya Kuala Terengganu pula, PAS berdepan cabaran besar iaitu diboikot oleh kumpulan yang bertelagah dengan pimpinan PAS Terengganu dan DAP sendiri, sekiranya isu hudud berterusan.

Apapun, sikap Husam sedikit sebanyak mendedahkan betapa wujudnya perbezaan pendapat yang besar dalam PAS dan antara PAS dan DAP.

SELAGI NIK AZIZ ADA, PAS BERKUASA

Posted in Husam, Kelantan, Nik Aziz on November 26, 2008 by Hambali Abd Latiff

(Bahagian Pertama)


Bukan keadaan politik dalam negara tetapi pertelingkahan siapa dalam PAS yang wajar menggantikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Itulah sebenarnya yang berlaku di Kelantan ketika ini menyebabkan Nik Aziz tidak berani melepaskan jawatan.

Beliau cuba melindungi masalah sebenar di Kelantan – perebutan jawatan di kalangan orang kepercayaannya.

Tepat dan betul apa yang dikatakan oleh Nik Aziz bahawa keadaan politik semasa masih tidak membolehkan beliau untuk melepaskan jawatan yang disandangnya selama lebih 18 tahun.

Juga benar kata-katanya sekiranya terdapat desakan yang jelas di kalangan ahli Pas agar dirinya berundur, Nik Abdul Aziz menegaskan, beliau tidak akan menunggu lebih lama dan tidak teragak-agak berbuat demikian.

Malah katanya, ia boleh dilakukan sekarang kerana sudah lama berhasrat untuk berundur atas faktor kesihatan tetapi beliau tetap mengutamakan kepentingan perjuangan parti.

Hakikatnya siapa berani mendesak supaya ada peralihan kuasa di Kelantan, termasuklah Datuk Husam Musa yang kesekian lama mengidamkan jawatan itu?

Semuanya sudah menunggu sejak lebih dua tahun lalu apabila Nik Aziz mula tidak sihat dan beliau pun menyatakan hasratnya mahu bersara.

Cerita kononnya Husam akan menggantikan bertiup kencang dua atau tiga tahun lepas tetapi kini reda, lebih-lebih lagi apabila Nik Aziz seakan-akan ‘mahu menongkat langit’.

Bagi Husam, sekiranya beliau mendapat jawatan itu, peluangnya untuk meningkat dalam PAS lebih cepat, dan bukanlah sesuatu yang mengjengkelkan sekiranya beliau menjawat Menteri Besar Kelantan dan bertanding Presiden PAS.

Kerana itu beliau berusaha merapatkan diri dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan harapan berpeluang menjadi Menteri untuk membolehkannya menonjolkan imejnya untuk ‘melayakkannya’ menentang jawatan Timbalan dan kemudian Presiden PAS.

Namun, jika mendapat jawatan Menteri Besar, beliau akan beroleh kedudukan yang lebih meyakinkankan dan bonus baginya.

Lihatlah kedudukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika beliau menjadi Menteri Besar Terengganu – ada pangkat dan pengaruh – kerana itu mudah dilantik sebagai Presiden PAS.
Kini apabila PAS Terengganu kalah, ada pemimpin yang sudah menonjolkan diri untuk melanggar beliau. Mungkin Husam sendiri!

Ketika ini jelas Husam yang sudah kurang mendapat kepercayaan Menteri Besar dan ada beberapa calon lain yang turut menawan hati Nik Aziz, beliau terpinggir sedikit.

Kuasanya mempengaruhi Nik Aziz banyak disekat dan dengan laporan rasuah dan penyelewengan terhadapnya ‘mengurangkan sedikit markah’ untuk membolehkannya menjadi satu-satunya orang yang layak menggantikan Nik Aziz.

Cara Nik Aziz menjawab dengan mengatakan “Tiada sampai ke telinga saya setakat ini (desakan) untuk berbuat demikian (berundur) disebabkan saya selalu uzur. ‘Kalau betul ada orang Pas mahukan saya undur, saya undur selalu (sekarang), petang ini juga saya buat. Dah lama saya nak buat begini (berundur) tapi orang tak bagi,” menggambarkan juga pertelingkahan antara kumpulan yang menyokong Nik Aziz dan yang berhasrat (bukan cara terbuka mendesak) agar ‘orang tua’ itu berundur cepat-cepat.

Nik Aziz kononnya ada kalangan pemimpin Pas yang mahukan Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berundur tetapi tidak berani menyatakan secara terbuka.

Soal beliau bakal berundur dan siapa bakal penggantinya sudah beberapa kali mencetuskan isu termasuk semasa pilihan raya umum Mac lalu.

Menurut Nik Abdul Aziz, selain desakan agar beliau tidak berundur, ada beberapa faktor lain yang masih menjadi halangan baginya untuk melepaskan jawatan itu.

Kata-kata Nik Aziz bahawa ‘’Masalah-masalah baru timbul sekarang seperti keadaan politik yang tidak mengizinkan. Dalam keadaan bergelora, angin kencang, saya sebagai kapten, mana boleh saya tidur dan mengaitkan dengan pimpinan UMNO sekarang yang beliau ibaratkan separuh sedar, lagi saya tak boleh tinggal,” hanya penyedap rasa.

Kenyataan itu bagaikan ‘pencecah budu’ ketika makan ikan singgang. Atau letak sambal belacan dan mentimun sahaja sedangkan nasi panas dengan ikan singgang dah cukup.

Nik Aziz bercakap betul dengan berkata apabila UMNO sudah tidak kuat lagi baru boleh saya tinggal, sebab masa itu dah tak ada musuh lagi,” ujarnya.

Persoalannya bila UMNO tidak kuat di Kelantan? LIhat sahaja kepada perbezaan undi, ia tidak banyak dan UMNO di Kelantan jelas turun baik.

Kalah teruk pada 1999, memang dengan hampir menumbangkan PAS pada 2004 dan kini ada lima kerusi DUN sahaja di Kelantan.

Nik Aziz tahu jika kepimpinan baru UMNO di Kelantan melakukan sesuatu yang baik di mata rakyat – pengaruh PAS akan merudum semula.

Juga Nik Aziz sendiri mengakui sukar mencari pengganti kerana wujudnya perebutan apabila beliau mengatakan tidak timbul kesukaran bagi Pas mencari pengganti tetapi beliau tidak akan menyebut siapa yang bakal mengambil alih kelak.

”Saya tak boleh sebut siapa pengganti saya, sama macam ketika Datuk Asri dulu, tak ada siapa jangka saya yang ganti. Kalau saya sebut, bermaknanya hanya seorang, bagaimana yang lain. Tiap-tiap seorang ada kelebihan sendiri dan saya serahkan kepada Perhubungan.

Timbalan-timbalan saya semua berkebolehan,” kata beliau yang menggambarkan betapa jelas wujud perebutan jawatan berkenaan.

Orang UMNO dan orang PAS di Kelantan tahu bahawa Nik Aziz ada ‘blue eye boy’ yang lain –Nik Mohd Amar Nik Abdullah iaitu ‘anak Pok Nik Lah ’ dan ayahnya sahabat baik Nik Aziz – kini Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah dan sebelum ini ialah Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi negeri, adalah saingan Husam paling ketat untuk jawatan Menteri Besar.

Mohd. Amar, 49, sering disebut sebagai calon yang layak menggantikan Nik Aziz ketrana pengalamannya sebagai pensyarah yang berlatar belakang pengajian Islam dan dianggap ulama muda dan pernah memenangi kerusi Parlimen Pengkalan Chepa pada 1995.

Pemilihannya bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Panchor pada 2004 dianggap menyediakannya sebagai pemimpin pelapis.

Nik Amar pada Februari lalu menepis tanggapan sedemikian apabila namanya sentiasa dikaitkan sebagai pelapis kepada kepimpinan Pas Kelantan dan menganggap desas-desus dalam politik suatu yang lumrah.

Selain itu, jika Nik Amar dipilih, di mana mahu diletakkan Timbalan Menteri Besar sekarang iaitu Ahmad Yaacob yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Tanah dan Wilayah?

(Ikuti bahagian kedua esok)