TOKOH PEMBANGKANG MANA TAJA RAJA PETRA?

Siapa sebenarnya penaja pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin?
Superman atau Santa Claus? Datuk Seri Hadi Awang? Lim Kit Siang? Datuk Husam Musa atau Datuk Seri Anwar Ibrahim? Lim Guan Eng? Atau Datuk Nik Aziz Nik Mat?


Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Zamil Ibrahim berkata orangnya seorang tokoh pemimpin pembangkang.

Malah, menurut Zamil, beliau amat mengenali ‘mangsa-mangsa’ tokoh berkenaan yang telah diperalat sewaktu dia ‘tersepit’ sahaja.

“Saya rasa macam kenal tokoh pembangkang yang taja Raja Petra dan saya memang kenal sangat orang yang dijadikan macam ‘habis madu sepah dibuang’ oleh tokoh tersebut.

“Yang jadi mangsa itu bukan calang-calang orang, kebanyakannya mempunyai kedudukan yang tinggi dalam parti,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam,

Katanya, semua ‘mangsa’ berkenaan mempunyai kepakaran tersendiri seperti Raja Petra yang berani dan cekap menulis propaganda.

Beliau mengulas kenyataan bekas Setiausaha Sulit, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari yang mendakwa kehidupan Raja Petra di London mungkin ditaja oleh salah seorang tokoh pemimpin pembangkang.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dia dituduh menerbitkan artikel bertajuk Let’s Send the Altantuya Murderers to Hell dalam blog http://www.malaysia-today.net, bertarikh 25 April 2008.

Selain itu, dia dituduh memfitnah Rosmah serta dua yang lain dalam satu akuan bersumpah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 18 Jun tahun lalu.

Mahkamah Sesyen pada 11 dan 13 November lalu bagaimanapun membebaskan tanpa melepaskan Raja Petra kerana pihak pendakwaan gagal mengesannya.

Menurut Anuar, pembiayaan itu dibuat melalui kroni pemimpin tersebut yang telah menjual aset berupa sebuah rumah di London dan ladang di Afrika Selatan, baru-baru ini.

Kelmarin, sumber polis tidak menolak kemungkinan kehidupan Raja Petra di di Gloucester Terrace, Bayswater yang merupakan kawasan elit dibiayai pihak tertentu yang mempunyai konspirasi untuk merosakkan nama baik kerajaan Malaysia.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassa turut mengesahkan Raja Petra kini berada di London.
Beliau berkata, perkara itu disahkan hasil risikan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan polis antarabangsa (Interpol). Musa bagaimanapun enggan mendedahkan sama ada pengendali blog berusia 59 tahun itu tinggal di pangsapuri mewah Gloucester Terrace, Bayswater, London atau sebaliknya.

Sehubungan itu, beliau berkata, jika benar Raja Petra merasakan dirinya tidak bersalah, dia perlu kembali ke Malaysia untuk membersihkan namanya.

“Jika benar (Raja Petra di London), baliklah ke Malaysia dan bersihkan nama. Bukannya sembunyikan diri di negara asing,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Musa berkata, Raja Petra kini membawa status sebagai pelarian memandangkan dia ke negara tersebut tanpa dokumen yang sah.

“Kita sudah rampas semua dokumen dia termasuk pasport selepas dia disahkan muflis,” jelasnya.
Walaupun berada di London, nasib Raja Petra diramal akan menjadi seperti ‘habis madu sepah dibuang’ jika kehidupannya di London terus ditaja oleh tokoh berkenaan.’

Dalam perkembangan berkaitan, Zamil yang mendakwa kenal rapat dengan Raja Petra melahirkan rasa simpati kepada keluarganya yang kini berada dalam keadaan terumbang ambing.

“Orang yang melindungi dia pada masa ini hanyalah untuk kepentingan politik tapi sampai bila dia perlu bergantung kepada mereka.

“Padahal masa depan keluarga dan anak-anaknya yang pada masa ini terumbang ambing tidak bergantung kepada kepentingan politik mana-mana pihak,” tegas Zamil.

Jika benar tokoh pembangkang menaja Raja Petra, dedahkanlah segera supaya kita kenal pasti orang berkenaan.

Ini kerana orang ini sanggup melakukan apa sahaja tanpa mengira kepentingan negara apabila ‘menaja’Raja Petra dan isterinya di luar negara sambil bersekongkol untuk ingkar perbicaraan mahkamah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: