KRISIS MCA, UMNO TIDAK MELIHAT SEBELAH MATA

Rakyat semua kaum – bukan Cina sahaja – sedang memerhatikan apa sebenarnya formula untuk memulihkan krisis yang melanda MCA.

Sebagai rakan rapat UMNO, MCA perlu dipulihkan kerana terjejasnya sokongan terhadap MCA akan menjejaskan juga peluang UMNO untuk terus menjadi parti unggul di negara ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan tepat apabila berusaha sama-sama mengatasi kemelut yang melanda MCA.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri berkata Jumaat berkata beliau telah mencadangkan rancangan untuk menyelesaikan kemelut itu selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin utama parti yang bertelagah sehari sebelum itu.

Walaupun tidak mendedahkan formula tersebut tetapi Najib semestinya meminta pemimpin yang terbabit untuk mengkaji cadanganyang beliau percaya akan diterima oleh semua pihak yang terbabit.

Pada Rabu lalu (18 November), Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan pelaksanaan pelan perpaduan MCA yang sehingga kini tidak menampakkan sebarang kesan sebaliknya krisis dalaman parti itu semakin kusut dan menyerlahkan proses cantas-mencantas.
Timbalan Pengerusi BN itu berkata, kegagalan MCA menyelesaikan krisis parti itu menyebabkan UMNO mungkin terpaksa mengambil alih peranan membantu masyarakat Cina di negara ini. Menurutnya, UMNO tidak mahu campur tangan tetapi bimbang jika krisis dalaman parti itu tidak diselesaikan segera, UMNO mungkin terpaksa berbuat demikian.

Beliau yang kecewa dengan kegagalan MCA menyelesaikan masalah dalamannya turut menggesa parti itu supaya mencari jalan bagi menyelesaikan krisis kepimpinannya yang kini semakin ‘gawat’.”Adalah tidak elok untuk UMNO memainkan peranan yang sepatutnya dilakukan oleh MCA dalam menarik sokongan kaum Cina terhadap BN. Kita dalam Barisan Nasional (BN) melihat perkembangan dalam MCA secara dekat dan berharap penyelesaian bijaksana untuk menyelesaikan konflik yang berlaku.”

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berpendapat, semua ahli dan kepimpinan perlu ikhlas, jujur serta melakukan pengorbanan dengan mengetepikan kepentingan peribadi dan sentimen berpuak-puak.

Sementara Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin berkata pemilihan semula parti itu akan membolehkan anggota akar umbi menggunakan hak dan menzahirkan hasrat memilih kepimpinan yang dimahukan.

Menurut laporan media hari ini, mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua MCA mungkin tidak akan diadakan. Ini kerana komponen parti Barisan Nasional (BN) kedua terbesar itu mungkin mengadakan pemilihan semula dalam tempoh enam bulan.

Kedudukan terkini ialah kumpulan yang diketuai Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dan timbalannya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bersetuju mengadakan pemilihan semula selepas sistem undian terus dikemas kini — iaitu antara enam ke lapan bulan.

Bagaimanapun, kumpulan yang diketuai Naib Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai mahukan pemilihan semula itu diadakan secepat mungkin apabila EGM yang sepatutnya diadakan pada 28 November ini, dibatalkan.

Liow semalam bertegas untuk mengadakan EGM kedua pada 28 November ini. Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya akan akur jika semua perwakilan bersetuju untuk mengadakan pemilihan parti yang akan ditentukan tarikhnya secepat mungkin.

“Buat masa ini, EGM masih diteruskan seperti yang dicadangkan sebelum ini. Jika semua pihak bersetuju untuk mengadakan pemilihan parti, maka EGM itu tidak perlu diadakan,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan Najib semalam, beliau berkata, Perdana Menteri menyambut baik cadangan untuk mengadakan pemilihan parti.“Perdana Menteri berpendapat pemilihan parti akan menjadi satu wadah untuk menyelesaikan krisis dalaman MCA kebelakangan ini.

Bagaimanapun, kami (perwakilan MCA) harus meneliti beberapa perkara penting sebelum mengambil apa-apa keputusan berhubung EGM mahupun pemilihan parti,” jelasnya.

Bagi Naib Presiden MCA itu, apa-apa keputusan yang diambil dengan persetujuan perwakilan MCA, pihaknya akan mengumumkan secepat mungkin.

“Apa yang penting bagi kami adalah menyelesaikan masalah dalaman parti seperti yang dikehendaki oleh beberapa pihak termasuk Perdana Menteri. Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek turut setuju dengan cadangan pemilihan parti. Maka, kini tugas kami adalah mendapatkan pandangan daripada semua perwakilan MCA,’’ jelasnya.

Amat jelas kedua-dua pihak kini berusaha ke arah pemilihan baru. Cuma persoalannya ialah bilakah pemilihan semula itu akan diadakan kerana kedua-dua pihak yang berbalah tidak bersetuju dengan tarikh yang dicadangkan untuk pemilihan semula itu diadakan.

Yang jelas, EGM kedua yang dirancang pada 28 November ini berkemungkinan besar akan dibatalkan sekiranya mereka bersetuju untuk mengadakan pemilihan semula.
Namun, sehingga sekarang kedua-dua pihak masih lagi berbincang kerana terdapat cadangan ia sepatutnya diadakan dalam tempoh enam bulan.

Menurut laporan, Ong telah menyerahkan tugas rundingan itu kepada Dr Chua kerana beliau telah berlepas ke London semalam bagi menghadiri perjumpaan tahunan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO). Beliau dijadualkan pulang Rabu depan.

Dr Chua enggan mengulas mengenai rancangan itu kecuali berkata sekiranya pemilihan semula itu diadakan, paling awal ia akan diadakan Mac tahun depan dan pemilihan itu akan menggunakan sistem undian terkini dan bukannya sistem undian terus seperti yang dicadangkan.

“Pendirian kami tidak pernah berubah. Kami bersetuju untuk mengadakan pemilihan semula tetapi bukan mengadakan EGM pada 28 November ini,” katanya.

Ini menunjukkan hari-hari mendatang ini begitu penting buat MCA dan perkembangannya perlu diikut dengan rapat oleh UMNO untuk menjamin rakan karibnya dalam BN bersatu semula.
Soal penting ialah persetujuan agar pemilihan semula boleh diadakan dengan persetujuan kedua-dua pihak.

Yang penting ialah bilakah dua kumpulan yang bertelagah akan berkompromi apabila Perdana Menteri telah meluahkan harapannya untuk melihat krisis dalaman MCA diselesaikan secepat mungkin.

Najib telahpun mengarahkan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meneruskan perbincangan bersama pemimpin MCA berdasarkan formula yang dicadangkan.

Ini kerana Perdana Menteri telah berlepas ke Amerika Syarikat untuk lawatan dan akan ke Trinidad and Tobago untuk menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: