MOHD ASRI KECEWA TUDUHAN OLEH PGSM, NGO

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Presiden PGSM, Mohamad Isa Abd Ralip bertelagah.

Gara-gara pertelagahan itu, Mohd Asri tidak berminat dengan tawaran untuknya menjadi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Mohd Asri membuat keputusan besar apabila menolak pelawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Sebanyak 13 NGO menyokong Presiden PGSM itu yang menghantar satu memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Mereka tidak mahu Mohd Asri dilantik Yang Dipertua YADIM.

Mohd Asri kecewa dengan bantahan dan memorandum yang dianggap ‘fitnah yang dilemparkan terhadapnya oleh PGSM’.

Kenapa jadi begini?

Pada sidang media tergempar di Kuala Lumpur, malam semalam, beliau menjelaskan, tuduhan berunsur fitnah tersebut timbul atas perasaan tidak puas hati pihak-pihak tertentu berikutan penawaran jawatan Yang Dipertua YADIM terhadapnya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

“Sejak jawatan itu ditawarkan maka ada beberapa pihak yang barangkali tidak selesa, tapi itu tidak mengapa untuk mereka berikan pandangan.

“Mereka nak hantar (memorandum) kepada Yang di-Pertuan Agong tak ada masalah, tapi mereka mesti berikan fakta yang benar,” katanya.

Jelas beliau antara tuduhan fitnah yang terkandung dalam memorandum bertarikh 12 Oktober lalu yang dimuatkan dalam laman web PGSM ialah mendakwa beliau tidak mengiktiraf iktikad ahli sunnah dan keluar dari Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hambali serta menolak hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Menurut Mohd Asri lagi tuduhan lain yang dianggap melampau ialah dakwaan yang mengatakan beliau telah mencerca golongan ulama seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali.

Oleh yang demikian beliau menuntut supaya Presiden PGSM, Mohamad Isa Abd Ralip yang menandatangani memorandum berkenaan supaya menyatakan bukti terhadap tuduhan-tuduhan berkenaan.

“Untuk buat bantahan itu hak mereka, tapi bila beliau keluarkan beberapa tuduhan yang bagi saya membabitkan soal maruah dan keilmuan sehingga boleh menyebabkan perpecahan antara orang Islam… ini tuduhan besar.

“Saya minta beliau buktikan satu sahaja sama ada tulisan atau perkataan saya yang jadi bukti terhadap apa yang beliau sebut… saya beri tempoh selama satu minggu,” katanya.
Tambah Mohd Asri, beliau menyedari salinan memorandum berkenaan dimuatkan dalam lawan web PGSM pagi tadi.

Bagaimanapun hasil semakan, salinan memorandum yang diedarkan kepada media dalam sidang media itu telah dipadam daripada lawan web berkenaan.

Antara tuduhan lain yang terdapat dalam memorandum berkenaan ialah Mohd Asri didakwa sering mengambil tindakan berkonfrantasi secara terbuka tanpa menitik beratkan soal adab dan kepentingan umat Islam secara keseluruhannya.

Selain itu dalam memorandum itu juga dinyatakan pendekatan ekstrem Mohd Asri telah mengundang pelbagai akibat dan keresahan di kalangan umat Islam di seluruh negara khususnya negeri Perlis.

Juga dinyatakan bahawa cercaan beliau dan pengikutnya kepada amalan solat hajat kononnya ia satu bentuk maksiat dalam masjid telah mengundang perbalahan dan beberapa kejadian pergaduhan.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan terhadap tuduhan berkenaan beliau berkata, “Cukuplah saya beritahu melalui media bahawa perkara ini adalah bohong, saya belum berfikir untuk saman.”

Berhubung sama ada beliau berhasrat untuk membuat penjelasan bertulis kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung isu ini beliau berkata: “Saya harap Yang di-Pertuan Agong juga membaca penjelasan saya, tapi mungkin juga saya boleh fikirkan (untuk menulis penjelasan rasmi) jika ada ruang boleh juga.”

Dalam pada itu, ditanya mengenai status tawaran jawatan YDP YADIM terhadapnya yang dibuat oleh Perdana Menteri pada September lalu, Mohd Asri berkata berdasarkan pekembangan terbaru ini, beliau tidak berminat dengan jawatan tersebut.

“Apabila melihat kepada perkembangan ini, saya tidak berminat… itu keputusan saya,” katanya.
Selain itu menurutnya, beliau juga mengambil kira pandangan yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu beliau berada di pihak ketiga.

“Sebenarnya apabila jawatan ini timbul, saya bertanya pendapat Tun Dr Mahathir, beliau juga kurang bersetuju saya pergi mana-mana jawatan yang agak nampak di pihak kerajaan.

“Katanya elok saya jadi pihak ketiga, saya memang sedang menimbangkan nasihat beliau dua, tiga hari lepas… sebelum saya lihat memorandum ini,” katanya.

Sementara itu Mohd Asri turut mencadangkan supaya Jabatan Audit Negara melakukan siasatan terhadap YADIM bagi menyemak tentang beberapa perkara.

“Apabila timbul isu YADIM ini, saya ada semak beberapa perkara, mungkin semakan saya ini betul ataupun salah.

“Saya mencadangkan kepada pihak audit negara supaya melakukan audit kepada YADIM sekarang, ini adalah perkara yang patut dibuat dan kita mungkin akan bertemu dengan banyak perkara,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Apakah dengan cadangan ini Mohd Asri mengetahui ada sesuatu yang tidak kena dengan YADIM atau ‘membalas dendam’ terhadap pengurusan YADIM kerana mengkritiknya?
Apapun, siasatan perlu dilakukan bila ada aduan.

Untuk lebih jelas dalam isu ini, berikut ialah memorandum bantahan berkenaan:

MEMORANDUM BANTAHAN TERHADAP PELANTIKAN DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN SEBAGAI YDP YADIM

Memorandum Kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj Bertarikh 12 Oktober 2009.

Diserahkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Memorandum bagi pihak majoriti umat Islam Malaysia ini dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj supaya menarik balik pelantikan Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Dr Asri) sebagai Yang Di Pertua YADIM.

Alasan Memorandum ini ialah antara lainnya :-

1. NGO-NGO Islam arus perdana yang terlibat dengan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) kelolaan YADIM sentiasa bekerjasama di dalam menegakkan dakwah Islamiyah di Malaysia. Hanya beberapa NGO kecil sahaja yang dapat menerima idea bahtera perubahan yang cuba dibawa oleh Dr Asri yang seringkali tidak seiring pandangannya dengan sebahagian besar ulamak dan NGO-NGO Islam arus perdana. Kerajaan sepatutnya menghormati kerjasama MAIM di bawah naungan YADIM yang telah dirasmikan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong. Pelantikan Dr. Asri hanya akan memutuskan tali silaturrahim yang terjalin dan MAIM akan pincang sekiranya Dr Asri menerajui YADIM.

2. Dr Asri yang terpengaruh dengan pandangan dan pendekatan ulamak tertentu juga seringkalibertentangan pandangan dengan para ulamak dan Mufti-Mufti negeri lain. Dalam berhadapan dengan perbezaan pendapat ini, Dr Asri telah mengambil pendekatan berkonfrantasi secara terbuka tanpa menitik beratkan soal adab dan kemaslahatan umat Islam keseluruhannya. Semasa menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis beliau kerapkali membelakangkan pandangan Jawatankuasa Mufti peringkat Kebangsaan dan sentiasa lari dari berdialog secara tertutup dan beradab, sebaliknya mencari populariti di media. Keadaan ini akan menyukarkan YADIM dan MAIM untuk bergerak sekiranya tiada hubungan erat dengan Mufti-Mufti.

3. Dr Asri mendakwa dirinya dan pengikut-pengikutnya sebagai ahlu-sunnah tetapi mereka menolak dan tidak mengiktiraf kebanyakan ulamak dan umat Islam lain yang di luar dari lingkungan pengikutnya. Beliau juga tidak mengkitiraf iktikad ahli sunnah wal jamaah dari mazhab-mazhab fiqh seperti Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali bahkan dalam keadaan tertentu menolak hadith yang diriwayat oleh Imam Bukhari.

4. Pendekatan Dr Asri dan para pengikutnya telah mencetuskan berbagai perbalahan di kalangan umat Islam apabila mengkritik berbagai amalan umat Islam di Malaysia kononnya ia tidak mengikut sunnah seperti amalan membaca Yaa Sin pada malam Juma’at, amalan bertalqin, tahlil, doa selamat, seolat hajat, wirid selepas solat. Beliau juga mencerca para ulamak besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali yang tidak perlu disebut kehebatan dan keilmuan mereka. Bahkan akibat dan malapetaka yang bakal timbul dari pendekatannya ini amatlah besar sebagaimana yang sedang berlaku di beberapa buah negara Islam. Malapetaka ini sewajarnya dibendung dan bukan disemarakkan lagi.

5. Akibat dari pendekatan ekstrem Dr.Asri dan pengikutnya ini kebanyakan Majlis Agama IslamNegeri-negeri telah menyekat kegiatan pengajian yang dijalankan oleh mereka. Malah beberapa guru agama dan penceramah yang sealiran dengan mereka sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah Syariah kerana mengajar tanpa tauliah. Antaranya Dr. Abdullah Yasin yang menghadapi beberapa kes di negeri Selangor.

6. Dr Asri hingga kini mempertikaikan undang-undang jenayah Syariah negara serta mentafsirkannya tidak mengikut peruntukan undang-undang dan hukum syarak yang diterima para Ulamak dan masyarakat Islam. Dengan melantik seorang yang berpandangan dan pendekatan seperti ini, ia akan melenyapkan keyakinan dan kepercayaan umat Islam bukan sahaja kepada YADIM malah kepada kerajaan keseluruhannya atas kegagalan memelihara ajaran dan amalan Islam yang dipegang selama ini.

7. Pendekatan ekstrem Dr.Asri telah mengundang pelbagai akibat dan keresahan di kalangan umatIslam di seluruh Negara khususnya di negeri Perlis. Imam-imam di Perlis yang tidak mendokong aliran Dr Asri telah diketepikan malah baru-baru ini mereka telah ditukarkan atas alasan yang sama (beritaberita sebegini telah tersiar di dalam akhbar-akhbar utama negara). Cercaan beliau dan pengikutnya kepada amalan solat hajat kononnya ia satu bentuk maksiat dalam masjid telah mengundang perbalahandan beberapa kejadian pergaduhan.

8. Sebagai seorang yang terlalu muda serta gagal menghayati budaya adab sopan umat Islam dimalaysia, Dr Asri lebih banyak mengundang kontroversi dan merupakan seorang yang keras, elstrem serta tidak dapat menerima teguran, pandangan dan kritikan orang lain. Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-negeri lain selain Perlis, Tokoh-tokoh agama arus perdana termasuk semua para Mufti Negerinegeri (kecuali Perlis) serta tokoh-tokoh seperti Prof.Datuk Dr.Ismail Ibrahim, Tan Sri Syeikh Ghazali Abd Rahman bekas Ketua Pengarah JKSM, Dato’ Hashim b.Yahya bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Nooh Gadot dan ramai lagi amat tidak senang dengan pendekatan dan pendirian sebegini.

9. Penolakkan oleh sebahagian besar tokoh agama dan umat Islam terhadap pemikiran danpendekatan beliau dalam amalan agama adalah kelemahan besar Dr.Asri dan amat tidak sesuai untuk menerajui sebuah agensi dakwah yang ditunjangi oleh Kerajaan Malaysia. Peribadi yang lebih berhemah dan memahami manhaj dan metodologi dakwah di Malaysia adalah lebih wajar menerajui YADIM. Terdapat ramai lagi tokoh lain yang tidak kontroversi yang datang dari golongan Muslim arus perdana yang boleh dilantik menerajui YADIM dan diterima oleh masyarakat Islam arus perdana.

10. Dr Asri bukan sahaja ditolak oleh majoriti penyokong UMNO, malah beliau juga tidak disenangi oleh penyokong PAS yang merupakan 2 parti umat Islam terbesar. Hanya segelintir dari masyarakat Islam yang berpendirian ekstrem dalam hal furu’ atau perkara cabang yang gembira dengan pemikiran dan pendekatan beliau. Kami bimbang Kerajaan Persekutuan akan disisihkan oleh umat Islam dalam kegiatan keagamaan dan amalan keagamaan yang seragam dan telah sebati di seluruh Negara tidak lagi menjadi arus perdana di masa akan datang, manakala Pihak Berkuasa Agama Negeri mengambil pendekatan berbeza dari Kerajaan Persekutuan.

Diserahkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Ditandatangani oleh: Mohamad Isa bin Abd RalipPresiden PGSMBertarikh 12 Oktober, 2009

Badan-Badan Bukan Kerajaan Yang Menyokong Memorandum ini –

1. Persatuan Pegawai-Pegawai Syariah Malaysia

2. Yayasan Sofa Negeri Sembilan

3. Yayasan Jenderami

4. Pertubuhan Muafakat Masyarakat Sejahtera (MUAFAKAT)

5. Persatuan Peguam Syarie Malysia

6. Persatuan Peguam Muslim Malaysia

7. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

8. Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS)

9. Jemaah Islah malaysia (JIM)

10. Persatuan Ulamak Malaysia

11. Yayasan Paksi Kedah

12. Persatuan Ulamak Kedah 13. Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)

6 Responses to “MOHD ASRI KECEWA TUDUHAN OLEH PGSM, NGO”

  1. Panglima Perang Cyber Says:

    Elok Asri bebaskan diri dari terikat dengan mana mana pihak.Tuduhan terhadap Asri perlu disiasat dengan lebih terperinci.Penafian Asri tidak wajar menjadi penghalang kepada kajian lanjut tuduhan dalam memorandum tersebut dibuat.Semoga 'ajaran songsang' tidak akan tersebar dalam masyarakat.

  2. YANG GAMBI Says:

    Salam bro, mungkin ada yang teramat takut kalau MOhd Asri berada dalam YADIM, sekarang ini banyak musang-musang cari makan dengan kerajaan UMNO dalam YADIM……….

  3. [ \(^o^)/ ] Says:

    Teringat kisah2 ahli kitab menentang "pembaharuan" yang akhirnya terbukti "pembaharuan" itu adalah kebenaran yang dah lama wujud. Rupanya yang ditentang itu kebenaran & yang dipertahankan itu kesesatan yang tidak disedari..Agaknya ade sesuatu yang nak "diperlihara" dalam YADIM tu.. Hmm.. Kita semakin jauh dari bersatu..

  4. SITI HAJAR BT ABDULLAH Says:

    adakah majoriti umat Islam kononnya itu boleh menggambarkan kebenaran…. hmm ikut sedap depa je… walaubagaimanapun, barulah kita sedar Yadim nilah yang bertanggungjawab dan jadi salah satu agensi utama dalam usaha dakwah kat Malaysia ni…. dah berapa tahun dakwah? dah berapa ramai yang convert? dah berapa bayak peruntukan yang dibelanjakan? Kalau sahabat Nabi SAW dulu dapat peruntukan dan sokongan macam Yadim dapat… hmmm agak2 satu dunia boleh jadi Muslim…. sedang terfikir…

  5. Faizal Tajudin Says:

    Saya tidaklah mengikuti 100% kuliah @ ceramah Dr Asri. Adalah terlihat sedikit program di TV dan membaca sedikit tulisan beliau di akhbar. Mungkin ada sedikit pendekatan dan prinsipnya yang tidak dipersetujui oleh ulamak lain.. cuma saya just nak komen : Janganlah beliau ditolak bulat-bulat hanya dek kerana ada sedikit ketidaksamaan dalam mengutarakan hujah dan pendapat.. Kalau Dr Asri ada hujah yang silap, ulamak lain harus keras juga melawan hujah beliau.. baru laa adil..

  6. abe MIE 'TERJAH' Says:

    Fahaman Wahabbi akan memuji pengasasnya dan selalu memuatkan doa seperti di bawah,Jikalau mengikuti Ahmad dicap sebagai WahhabiMaka kutegaskan bahwa aku adalah WahhabiKubasmi segala kesyirikan dan tiadalah ada bagikuRabb selain Allah Dzat Yang Maha Tunggal lagi Maha Pemberipkrpasdap.blogspot.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: