SABOTAJ PARTI DIHALALKAN OLEH UMNO?

Ternyata ramai pemimpin UMNO kini takut kepada bayang-bayang sendiri.

Walaupun ada anggota dan pemimpin parti yang jelas nampak mensabotaj parti, pucuk pimpinan di Pusat membiarkan sahaja mereka bebas dengan kerenah.

Apakah UMNO akan kekal kuat atau menuju kehancuran dengan wujudnya ahli dan pemimpin UMNO seperti ini?

Apakah perbuatan mensabotaj parti itu bebas dilakukan kerana ia dihalalkan berikutan mendapat perlindungan segelintir pemimpin tinggi UMNO yang langsung tidak bimbang parti itu akan ranap?

Atau apakah ketika dan saat ini, perbuatan mensabotaj pemimpin tertentu UMNO sebagai “matlamat menghalalkan cara” pada keadaan tertentu atau terpilih?

Sedangkan dengan mempunyai ahli dan pemimpin seperti itu, UMNO akan ranap juga secara perlahan dan apabila ‘sekam yang membakar mula mengeluarkan api” dan sukar untuk dibendung lagi.

Malah, api inilah yang akan membakar dan merentungkan UMNO.

Inilah yang terjadi di Terengganu ketika ini.

Walaupun terang-terangan ada pemimpin UMNO yang mensabotaj parti, pemimpin UMNO pusat seolah-olah tidak boleh berbuat apa-apa.

Dengan kata lain, cara mendisiplin ahli UMNO sudah tidak wujud lagi dan jika sudah mahu berlaku, biarkan ia berlaku. Yang penting pemimpin tertinggi UMNO kekal di tampuk kedudukan mereka.

Yang di cawangan, bahagian atau negeri, pandai-pandailah mereka menyelesaikan sendiri.
Lantas banyak pihak tertanya-tanya apakah krisis atau sengketa yang berlaku dalam UMNO Terengganu sekarang dirancang atau direstui sesetengah pemimpin UMNO Pusat.

Kata mereka, kalau betul UMNO Pusat mahu menyelesaikan krisis, tindakan yang menjurus kepada mendisiplinkan ahli parti perlu dilaksanakan. Namun usaha kini jelas bagaikan ‘biarlah UMNO Terengganu ranap sendiri’.

Selepas Datuk Ahmad Said diserang dan dikecam hebat, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dianggap mampu sebagai penyelamat UMNO Terengganu?

Namun itu kata UMNO Pusat. Bagi mereka yang marahkan Ahmad Said, Hishamuddin bukan orangnya. Dia ‘tidak reti’ politik Terengganu. Terengganu bukan Johor, kata bekas Exco dan ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid.

Menurut Rosol melalui blognya, dengan tajuk “Lain padang…lain belalang” , beliau mempertikaikan kefahaman dan keupayaan Hishamuddin mengenai politik Terengganu.

“Saya tidak tahu sejauhmana kefahaman Pengerusi Perhubungan tentang senario politik Terengganu. Kalu nak disamakan dengan politik Johor, saya rasa satu kesilapan. Saya bercakap dengan orang kuat UMNO Johor bahawa orang Melayu Johor amat taksub kepada UMNO. Dan ini berbeza dengan Terengganu…” kata Rosol.

Lantas beliau menamatkan tulisannya dengan mengatakan: “Lain hulu lain parang…lain padang lain belalang…Fikir-fikirkanlah…”

Apakah makna tersirat di sini? Bukankah Rosol mentafsir Hishamuddin sebagai orang yang menyamakan UMNO Terengganu dengan UMNO Johor?

Rosol yang sering menjadi jurucakap Kumpulan 10 yang menentang kepimpinan Ahmad Said jelas mempersoal dan merasakan Hishamuddin ‘belum masak’ dengan suasana di Terengganu.

Malah Kumpulan 10 sebenarnya mempertikaikan usaha Hishamuddin memperbetulkan perjalanan UMNO selepas Majlis Tertinggi UMNO menurunkan pangkat Ahmad Said hanya sebagai Timbalan Pengerusi UMNO.

Bukan itu sahaja, Hishamuddin turut dipersoal tindakannya menukarkan ketiga-tiga penjawat penting Perhubungan UMNO termasuk Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan tetapi tidak melantik orang daripada Kumpulan 10 berkenaan.

Suara protes dan tidak puas hati terus kedengaran. Mereka sebenarnya mahukan Ahmad Said bukan sahaja dikeluarkan daripada pentadbiran parti tetapi juga pentadbiran kerajaan negeri – melucutkan jawatan Menteri Besar.

Oleh kerana Najib dan Hishamuddin jelas tidak melakukan perkara sedemikian, rasa tidak puas hati mereka terus membara.

Tidak tahulah sama ada Rosol betul atau sebaliknya apabila berpendapat Hishamuddin tidak ‘mengenali UMNO Terengganu’.

Ini kerana ketika Hishamuddin mengatakan krisis UMNO Terengganu sudah ‘beres’, Presiden UMNO sendiri – Datuk Seri Mohd Najib Razak – pula menganggap masih wujud pergolakan di negeri berkenaan dan perlu diperbetulkan.

Pada Jumaat 28 Ogos 2009, Najib berkata, Umno sedang berusaha untuk mententeramkan pergolakan politik parti itu yang berlaku di Terengganu.

“Kita sedang berusaha untuk mententeramkan keadaan,” kata Presiden Umno ketika diminta mengulas mengenai pergolakan Umno yang berlaku di Terengganu pada masa ini.

Juga mengejutkan ialah apabila seorang ADUN UMNO Terengganu kelmarin mengakui memang ada rundingan melibatkan beberapa orang wakil rakyat lain daripada UMNO berhubung cadangan untuk lompat parti.

ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad berkata cakap-cakap mengenai tindakan untuk meninggalkan Umno bermula sejak dua bulan lalu, berikutan rasa tidak senang dengan kepemimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

“Ini bermula daripada cadangan. Cadangan ini ada daripada PKR dan ada daripada individu,” katanya kepada Malaysiakini, tanpa menamakan individu-individu berkenaan.

Beliau turut mengesahkan terdapat sembilan orang wakil wakyat Umno yang kini tidak lagi menyokong kepimpinan ADUN Kijal.

“Memang betul kami tidak berpuas hati dengan menteri besar,” kata Nawi lagi.

Memang niat tanpa perbuatan tidak boleh dijadikan sebagai suatu keputusan atau pendirian.

Namun persoalannya kenapa ada niat atau cadangan mahu melompat parti? Apakah jalan lain sudah buntu?

Atau apakah Kumpulan 10 ini sudah tidak yakin dengan UMNO Pusat mampu menangani krisis ini?

Atau mereka sengaja mempersoalkan arahan Presiden parti yang memberikan mandat kepada Naib Presiden mengatasi kemelut ini.

Juga apakah Najib ‘terikat tangannya’ untuk melakukan sesuatu bagi ‘menjernihkan suasana’ di Terengganu?

Dalam konteks UMNO Terengganu, rasanya Najib faham di mana dan bagaimana dia boleh bertindak dan apa pula tembok yang menghalangnya.

Bagi saya, Hishamuddin pun faham kenapa ‘tangannya terikat’ dan cara terbaik baginya ialah mengikut arahan Presiden parti dan UMNO Pusat.

Masalahnya, kumpulan yang tidak berpuashati itu berusaha melakukan apa sahaja cara, biarpun nampak jelas mereka terpaksa ‘mensabotaj UMNO’. Persoalannya:

1. Bukankah memulaukan sidang DUN pada 14 April lalu bersifat mensabotaj parti?

2. Bukankah menyerang dari belakang terhadap Menteri Besar yang dipersetujui Majlis Tertinggi dan Presiden UMNO mensabotaj parti?

3. Bukankah membisu seribu bahasa pada sidang DUN April serta Selasa dan Rabu minggu lalu dengan tidak mengemukakan pertanyaan lisan dan menyertai perbahasan kerana ‘protes senyap’ juga mempunyai unsure sabotaj terhadap UMNO dan Barisan Nasional? dan

4. Bukankah menentang keputusan istana melantik Ahmad Said sebagai Menteri Besar adalah sabotaj dan engkar kepada keputusan Sultan?

5. Ini belum lagi beberapa perkara berkaitan sms ugut bunuh dan memulaukan pertemuan dengan Ahmad Said pada majlis-majlis tertentu.

Cuma agak menghairankan ialah bagaimana pemimpin pusat UMNO dan Putrajaya boleh membiarkan mereka yang menentang kepimpinan kerajaan negeri UMNO dan BN yang diperkenankan oleh istana Terengganu itu terus-terusan melakukan sabotaj sedemikian?

Apakah UMNO Pusat dan Putrajaya bimbang jika tindakan diambil ke atas sekurang-kurangnya 10 ADUN, UMNO Terengganu akan bergoncang secara terang?

Mungkinkah UMNO Pusat dan Putrajaya tidak sanggup berdepan dengan kemungkinan perletakan jawatan beramai-ramai atau tindakan lompat parti dilakukan oleh ADUN yang dikenakan tindakan?

Mahu tidak mahu UMNO Pusat dan Putrjaya mengharapkan biarpun ada ‘api dalam sekam”, ia mudah untuk dipadamkan daripada berlakunya ‘pemberontakan secara terbuka’ akibat tindakan disiplin yang dikenakan ke atas ADUN yang membantah, boleh menyebabkan ‘api besar’ yang mungkin mencetuskan pelbagai risiko berat.

Dalam konteks pergolakan ini, suatu keputusan membabitkan cara-cara mendisiplin ahli dan pemimpin perlu dilakukan.

Presiden UMNO, Timbalan dan semua pihak di UMNO Pusat perlu tegas dan tidak membiarkan kemelut berpanjangan.

Jadilah doktor – buang sahaja barah dan penyebab penyakit – selagi barah dalam UMNO Terengganu terus wujud, ia akan terus menganggu-gugat kelicinan pentadbiran parti dan kerajaan Terengganu.

Yang perlu diberikan amaran diberikan amaran dan yang perlu dikenakan tindakan disiplin, lakukan sahaja. Ini kerana UMNO tidak boleh kekal dan bertahan dengan ahli dan pemimpin yang sabotaj parti.

Sebarang keputusan dan tindakan dibuat, ia bukan untuk UMNO semata-mata. Ia juga akan menjaga dan menghormati istana yang pada dasarnya mempunyai kuasa dalam banyak perkara membabitkan perlantikan Menteri Besar yang sah.

Bagaimanapun, dalam melakukannya yang penting – bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung jangan berserakan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: