ROYALTI MINYAK, FIREFLY & KUAN YEW

(Sembang Ahad)


Terengganu bukan lagi negeri minyak dan gas.

Kawasan memperoses dan menapis minyak di Paka yang terang benderang itu mungkin ‘gelap gulita’ beberapa tahun akan datang.

Pemberian dan anugerah Allah jangan ingat kekal selama-lamanya. Berikutan itulah Terengganu menubuhkan TIA atau Lembaga Pelaburan Terengganu.

Tetapi khabarnya idea Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin itu ‘dirampas’ oleh Putrajaya dan bercelaru jadinya.

Kerajaan Terengganu dan Tuanku Mizan dikatakan ‘kurang gemar’ dengan cara penggendalian wang royalti sebanyak RM2 bilion yang diuruskan oleh Kerajaan Pusat.

Ia diakatakan jauh menyimpang daripada matlamat sebenar penubuhan TIA berkenaan.

Bukan itu sahaja, selepas RM420 juta yang diberikan sebelum pilihan raya kecil Kuala Terengganu tempoh hari, kerajaan negeri bagaikan ‘pengemis’ meminta wang royalti daripada kerajaan pusat.

Entah apa keputusan pertemuan Menteri Besar dan Perdana Menteri Khamis lalu tidak diketahui. (Saya akan memperkatakan isu ini pada posting lain).

Malah Terengganu bukan sekaya yang dibayangkan. Kerana itu apabila wang royaltinya dibelanjakan untuk perkara yang tidak mendatangkan keuntungan untuk ramai rakyat negeri ini ia wajar diberhentikan.

Apakah tidak wajar jika Terengganu menuntut wangnya dikembalikan kerana ada pihak lain menggunakannya di negeri lain?

Bolehkah Terengganu yang dikategorikan sebagai antara negeri termiskin menjadi ‘penaja atau penyelamat’ kepada negeri yang lebih kaya daripadanya di Pantai Barat?

Jadi apabila minyak dan gas sudah bukan keutamaan Terengganu dan pelancongan mengambil alihnya, Datuk Ahmad Said terpaksa mencari usaha lain.

Wajarkah potensi besar pelancongan umpamanya Tasek Kenyir dan tempat-tempat menarik dan warisan terus dibiarkan jadi ‘warisan’?

Tahun lepas, Terengganu menerima kunjungan pelancong sebanyak 3.5 juta yang mana sebahagian besarnya merupakan pelancong dari Singapura.

Tidak apalah jika ada orang menganggap Ahmad Said sebagai ‘cap ayam’ tetapi dia berusaha dan berkat kejayaannya, Terengganu untuk kali pertamanya mendapat penerbangan terus Singapura –Kuala Terengganu (laluan antarabangsa pertama untuk Terengganu).

Berikutan itu sektor ekonomi dan bidang pelancongan di negeri ini dijangka meningkat apabila syarikat penerbangan tambang murah, Firefly Sdn Bhd (Firefly) mengadakan penerbangan sulung dua hala terus dari Kuala Terengganu ke Singapura bermula 14 Julai ini.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata, buat permulaan, Firefly akan mengadakan tiga penerbangan seminggu iaitu pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu.

“Dengan adanya penerbangan terus dari Singapura itu, ia dapat menarik lebih ramai pelancong ke Kuala Terengganu. Sebelum mereka ke pulau-pulau atau tasik sekurang-kurangnya mereka boleh berbelanja dahulu di sini.

“Dengan demikian ia boleh meningkatkan pendapatan peniaga di sini sekaligus membantu perkembangan ekonomi negeri Terengganu,” katanya ketika mendengar taklimat Firefly penerbangan terus Kuala Terengganu-Singapura yang disampaikan oleh Pengarah Urusannya Eddy Leong di sini, Rabu lalu.

Ahmad berkata, penerbangan ke Singapura yang boleh memuatkan sehingga 70 penumpang itu memakan masa perjalanan sejam 20 minit dengan tambang RM88 sehala.

Beliau berkata kerajaan negeri akan memberikan subsidi untuk syarikat penerbangan itu termasuk cukai penumpang, cukai pendaratan dan parkir dalam usaha untuk menggalakkan lebih banyak penerbangan luar dilakukan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Eddy Leong berkata, Terengganu berpotensi untuk menarik lebih ramai pelancong kerana ia mempunyai sejarah yang menarik, selain pulau-pulau yang indah serta sebuah tasik buatan manusia yang terbesar di rantau ini.

Katanya bagi penumpang yang ingin mendapatkan tambang murah, ia mestilah membuat tempahan 30 hari sebelum penerbangan kerana tambang biasa yang dikenakan bagi perjalanan Kuala Terengganu-Singapura ialah RM120.

Bercakap mengenai Singapura ini, entah apa mimpinya, bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew akan membuat kunjung hormat kepada Ahmad Said lusa (Selasa), kira-kira jam 11 pagi.

Katanya tiada agenda khusus tetapi pelancongan akan menjadi salah satu perkara yang akan diperkatakan, selain kemungkinan Singapura berminat melabur di Terengganu.

Dengan kemudahan yang ada sekarang, perjalanan menjadi begitu singkat antara Singapura dan Terengganu.

Jika selama ini melalui jalan darat memakan masa antara lapan dan 10 jam, kini hanya satu jam lebih sedikit selain lebih murah.

Bagi rakyat atau pelabur yang datang dari Singapura, dengan berbelanja S$100, mereka sudah boleh mendapat tambang pergi-balik.

Tinggal di Terengganu pula amat selesa dan bagi yang suka melawat dan melancong, Terengganu ‘macam-macam ada’ – pulau, pantai, gunung, tasik, sungai, warisan dan macam-macam lagi.

Kerana itu pertemuan Kuan Yew-Ahmad Said menarik dan pertemuan di Wisma Darul Iman itu dijangka akan menghasilkan sesuatu yang bukan bersifat ‘cap ayam’.

Kesediaan Kuan Yew menemui Ahmad Said juga membayangkan betapa beliau sebenarnya sebaris dengan pemimpin lain yang ditemui Kuan Yew di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: