MENUNGGU LAPORAN PERUNDING BEBAS

Banyak perkara boleh dikaji dan banyak juga boleh dibandingkan.
Itulah yang akan berlaku tiga hingga enam bulan lagi…apalagi ada tiga atau empat jawatankuasa dan perunding bebas akan ditubuhkan bagi mengkaji punca dan masalah sebenar menyebabkan bumbung Stadium Sultan Mizan runtuh.

Kejadian ini sesungguhnya memalukan dan mencalar imej negara dan sewajarnya pihak yang bertanggungjawab dihukum setimpalnya.
Setakat ini kerugian akibat runtuhnya bumbung sepanjang kira-kira 400 meter di bahagian timur stadium itu. dikatakan kira-kira RM25 juta. Bagaimanapun, difahamkan kos membina dan mereka bentuk bumbung itu menelan kos kira-kira RM38 juta.
Suatu hal yang mungkin banyak orang tidak tahu ialah projek ini masih berada dalam tempoh jaminan selama dua tahun.

Tempoh jaminan berkuatkuasa daripada tarikh penyerahan stadium tersebut kepada kerajaan negeri iaitu pada November tahun lepas.

Yang mengejutkan dikatakan ada pihak tertentu dalam kerajaan negeri baru-baru ini mencadangkan supaya bayaran terakhir kepada kontraktor dilangsaikan segera.

Apa tujuan dan kenapa beliau beria-ia mahu disegerakan bayaran akhir itu tidak diketahui.
Bagaimanapun, oleh kerana Jabatan Kerja Raya ada memaklumkan kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengenai tidak ada respon daripada kontraktor terhadap pertanyaan JKR, keputusan dibuat supaya pembayaran akhir itu ditangguhkan.

Jika tidak, selamatlah segala-galanya…
Kementerian Kerja Raya sudah menyatakan sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan sebarang siasatan jika terdapat laporan daripada mana-mana pihak bahawa wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa sepanjang tempoh pembinaan stadium bernilai RM292 juta itu.

Ini janji bukan untuk menyedapkan hati rakyat. Menterinya perlu melunaskan janjinya ini jika SPRM membuat penyiasatan.

Hari ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat kejadian bumbung runtuh di Stadium Selasa lepas.
Jawatankuasa bebas yang terdiri daripada 10 pakar kejuruteraan dan tanah itu dikehendaki menyerahkan laporan lengkap berhubung insiden itu dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

Sepuluh anggota bebas itu adalah pakar dalam industri pembinaan iaitu dari Jabatan Kerja Raya, Lembaga Jurutera Malaysia, Institusi Jurutera Malaysia, Malaysia Structural Steel Association, Lembaga Arkitek Malaysia, Institution of Structural Engineers Malaysia, Jabatan Audit Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan dan Institut Pengajian Tinggi.
Tujuan penubuhan jawatankuasa ini ialah mengenal pasti puncapunca runtuhan, bukannya nak mencari siapa yang bersalah dalam hal ini.

“Dari situ, ia akan mengambil tindakan, memberi cadangan dan langkahlangkah yang perlu diambil untuk mengelak kejadian sebegitu berulang,” katanya mengulas perkembangan terbaru siasatan terhadap stadium bernilai RM570 juta itu.

Jawatankuasa itu juga diarahkan supaya mengemukakan laporan bulanan kepada kementerian tersebut bagi memantau perkembangan kerja (siasatan) yang dipertanggungjawabkan, katanya.
“Selain itu, jawatankuasa ini juga perlu menyerahkan laporan ringkas bulanan kepada kementerian supaya kami dapat mengikuti perkembangannya,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi mendapan tanah di Sekolah Menengah Kebangsaan Setapak Indah, Kuala Lumpur.

Enam bulan? Lama juga tu…

Bagaimanapun Shaziman berkata, jawatankuasa itu akan mengeluarkan laporan awal kes itu dalam masa sebulan.

Shaziman berkata jawatankuasa itu terdiri daripada mereka yang mempunyai kewibawaan dalam kepakaran masing-masing dan berupaya untuk memberi pandangan dan syor-syor kaedah pembaikan stadium ini.

Jawatankuasa itu juga akan diberi kuasa melantik perunding untuk membantu siasatan mereka dengan syarat mereka perlu maklumkan kepada Kementerian Kerja Raya, konsultan mana yang dilantik.

Mengulas lanjut permintaan beberapa pihak yang mahukan kerjasama kementeriannya untuk mendapatkan maklumat lengkap dan terperinci berhubung pembinaan stadium berkenaan, Shaziman berkata, pihaknya sedia bekerjasama dan tidak akan menyembunyikan sebarang fakta diperlukan.

Kerajaan negeri Terengganu pula akan melantik sendiri juruperunding bebas bagi menyiasat dan membuat laporan mengenai kejadian ini.

Perunding bebas itu adalah daripada luar negara dan tugas membentuknya diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong.

Menteri Besar Terengganu berkata Rabu lalu ini bermakna akan ada dua jururunding bebas yang utama dan akan menilai punca kejadian itu iaitu satu daripada kerajaan pusat dan satu daripada kerajaan negeri.

Beliau berharap jururunding bebas yang dilantik itu akan membuat keputusan yang betul dan tepat kerana sebelum ini, tiada bangunan yang baru setahun siap di negara ini, runtuh.

Khabarnya pihak kontraktor juga akan mengadakan jururunding bebas mereka sendiri dan akan turut membuat kajian dan cadangan.

Jadi, apabila laporan siap kelak, rakyat akan dapat mengetahui dengan tepat punca dan apa masalah sebenar sehingga runtuhnya bumbung stadium berkenaan.

Bukan rakyat dan kerajaan negeri Terengganu sahaja malu kerana kejadian ini tetapi ia jelas menjejas dan mencemarkan maruah Tuanku Sultan Mizan yang namanya digunakan untuk stadium yang dianggap tercanggih di Pantai Timur itu.

Lebih memburukkan keadaan ada pihak mempersendakan keruntuhan stadium dengan mengatakan: “Bumbung’ apa pula yang akan runtuh untuk yang ketiganya dalam tempoh pemerintahan MB Mat Said ini selepas dua runtuhan yakni runtuhnya bumbung Dewan Besar SMK Wakaf Tapai, Marang pertengahan tahun 2008 lalu dan terbaru bumbung Stadium Gong Badak itu.”

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: