HAYATI KONSEP 1MALAYSIA – TITAH TUANKU MIZAN

Jangan persenda konsep 1Malaysia.

Jika sebelum ini ada pihak yang cuba menyamakannya dengan Malaysian-Malaysia, jangan cuba lagi berbuat demikian.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini bertitah, segenap lapisan rakyat perlu menghayati konsep 1Malaysia yang telah diketengahkan sebagai kesinambungan kepada usaha kerajaan dalam memupuk perpaduan nasional yang telah disemai sejak lebih 50 tahun kemerdekaan negara.
“Semua rakyat juga mempunyai tanggungjawab yang besar dalam hal ini kerana mereka yang akan menentukan jatuh bangun, maju mundur dan jaya gagalnya sesebuah negara itu,” titah baginda.
Baginda juga berharap rakyat Malaysia akan terus bersatu mengekalkan perpaduan, berkongsi rahmat dan tanggungjawab terhadap tanahair yang berdaulat, kerana ia merupakan keunikan dan sumber kekuatan negara.

“Beta amat sukacita kerana rakyat telah membuktikan bahawa kepelbagaian bangsa dan etnik yang menganuti agama yang berbeza, serta mengamalkan budaya dan gaya hidup yang berbagai juga dapat hidup bersama dalam keadaan aman harmoni dan saling menghormati,” titah Baginda sempena ulang tahun Hari Keputeraan Baginda di Istana Negara di Kuala Lumpur, hari ini.
Tuanku Mizan turut melahirkan rasa sukacita terhadap konsep 1Malaysia yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berprinsipkan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Bagaimanapun, titah Baginda kerajaan perlu terus memperkemas dan mempertingkat jentera pentadbiran dan pelaksanan negara, yang menjadi nadi penting pembangunan negara, agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat.
Baginda juga mahu generasi muda negara ini supaya melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran.

“Sesungguhnya Malaysia satusatunya negara kita, harta yang paling berharga, lambang maruah dan kehormatan bersama dan apa yang telah kerajaan lakukan hari ini akan diwariskan kepada anda semua untuk meneruskan perjuangannya,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda dan Raja Pemaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah mengucapkan terima kasih kepada Najib, yang mewakili kerajaan, anggota perkhidmatan awam dan anggota keselamatan serta rakyat dalam menyembahkan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kepada baginda.

Tuanku Mizan turut melahirkan rasa syukur kerana proses peralihan teraju kepimpinan negara pada April lepas telah berjalan dengan lancar dan sempurna.

“Kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, syabas Beta ucapkan kerana telah dilantik menjadi Perdana Menteri serta telah menunjukkan kepimpinan dan komitmen yang dinamik sepanjang pentadbiran beliau, sejak April yang lalu,” titah baginda.

Baginda turut merakamkan ucapan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi atas jasa dan kepimpinan yang telah beliau sumbangkan kepada negara ini.
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong berharap agar pakejpakej rangsangan ekonomi yang telah dilancarkan dapat disampaikan kepada kumpulan sasar.

Baginda bertitah ini amat penting khasnya dalam keadaan dunia hari ini yang berhadapan dengan tekanan ekonomi yang mencabar dan hampir tidak terduga dan oleh itu pelaksanaan pembangunan perlu disegerakan bagi kepentingan seluruh rakyat.

Baginda juga melahirkan rasa gembira kerana kerajaan akan mengubal satu model baru ekonomi yang baginda yakin dapat mencipta kapasiti baru kepada pertumbuhan ekonomi mampan.
Baginda juga percaya bahawa kerajaan dapat menggunakan sepenuhnya kebijaksanaan bagi meningkatkan lagi usaha untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dengan mengambil kira keperluan sosial masyarakat bagi menghasilkan ketenteraman dan kesejahteraan kepada rakyat agar tiada kaum atau golongan termasuk wanita, belia, orang tua dan yang kurang upaya daripada tercicir.

“Sesungguhnya, dasar kerajaan yang sedia ada telah berjaya mewujudkaan keseimbangan sosial di kalangan rakyat pelbagai kaum dengan strategi pembangunan ekonomi yang bijak.

“Beta berpuashati kerana golongan rakyat yang ketinggalan dalam arus kemajuan negara semakin kecil jumlahnya,” titah baginda.

Kerajaan telah melancarkan dua pakej rangsangan ekonomi tahun lepas yang keseluruhannya bernilai RM67 bilion.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata konsep 1Malaysia tidak sekali-kali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sama ada secara tersurat atau secara tersirat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru, sebaliknya matlamat akhir konsep 1Malaysia iaitu perpaduan nasional menjadi wawasan utama pemerintah terdahulu yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan prakarsa sepanjang lebih lima dekad yang lalu.

Beliau berkata, jika disingkap kembali sejarah, semenjak mula para patriot memperjuang kemerderkaan tanah air hingga ke hari ini, usaha mencapai perpaduan nasional telah, sedang dan tetap menjadi keutamaan kerana semua pihak sedar tanpa perpaduan yang mantap dan jitu, tidak mungkin segala matlamat dan wawasan nasional dapat diterjemahkan.

“Jika diamati, apa yang berubah adalah pendekatan dan gerak kerja menurut kesesuaian zaman dan generasi yang silih berganti,” katanya dalam ucapan tahniah bagi pihak kerajaan, penjawat awam dan rakyat sempena ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara di Kuala Lumpur hari ini.

Mengambil iktibar pemerintahan terdahulu, Najib berkata Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj telah mengasaskan penubuhan Parti Perikatan yang merupakan langkah konkrit sulung dalam sejarah negara bagi mencapai perpaduan di bidang politik.

“Perkara ini juga terbukti apabila masyarakat pelbagai ras di bumi tercinta ini bersatu hati, bersatu tekad dan berkongsi matlamat mereka mampu mendaki tembok yang paling tinggi, menuruni lurah yang paling curam dan menyelami lautan yang paling dalam.

“Perkara ini terbukti apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan tertubuhnya Malaysia tanggal 16 September 1963,” katanya.

Selain itu, dalam ucapannya, Najib berkata bertitik tolak daripada kejadian 13 Mei, Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua telah memperluas konsep kerjasama antara kaum melalui penubuhan Barisan Nasional (BN) termasuklah penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan penciptaan ideologi kebangsaan iaitu Rukun Negara.

“Usaha-usaha murni ini telah dilangsungkan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn. Kemudiannya prakarsa-prakarsa ini telah dilonjak ke tahap baru oleh Tun Dr Mahathir (Mohamad) melalui konsep Bangsa Malaysia dan Gagasan Wawasan 2020 yang selepas itu dilestarikan pula oleh Tun Abdullah (Ahmad Badawi) melalui misi Nasional,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan di bawah pemerintahan Tuanku Mizan Zainal Abidin akan kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti Perkara 3, Perkara 4, Perkara 152, Perkara 153, Bahagian 2, Bahagian 3 seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: