PERIHAL KABINET NAJIB

(Isu Sabtu)

Kabinet baru diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak petang kelmarin adalah satu penyusunan semula peranan dan portfolio.

Ia juga menjadi tanda kepada satu pendekatan baru pentadbiran kerajaan yang lebih telus, bertanggungjawab serta berfokus mendahulukan rakyat.

Kabinet “Pasukan Baru” dengan dianggotai 28 orang sebagai menteri penuh dan 40 timbalan menteri diumumkan tujuh hari selepas Najib dilantik Perdana Menteri keenam .

Hanya 25 portfolio diwujudkan dengan memperkenalkan dua kementerian baru – Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Kementerian Perpaduan.

Najib membubarkan dua kementerian dan Kementerian Penerangan kini dikenali sebagai Kementerian Penerangan Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan.

Najib turut mewujudkan jawatan Penasihat Ekonomi Negara bertaraf menteri.

Ada pihak kecewa kerana Perdana Menteri masih mengekalkan majoriti menteri lama dalam Kabinet pertamanya. Muka-muka lama itu

sebahagian daripada pentadbiran sebelum ini yang “gagal berprestasi”.

Kabinet Najib hanya membariskan enam muka baru di kalangan 28 menteri yang dilantik, termasuk dua yang dinaikkan pangkat daripada jawatan timbalan menteri. Bukankah ini menunjukkan hanya “perubahan kecil” dilakukan dalam Kabinet baru itu?

Antara muka baru yang dibawa masuk ialah Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Anifah Aman sebagai Menteri Luar, Datuk Kong Cho Ha (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Tan Sri Koh Tsu Koon dan Mejar General Datuk Jamil Khir Baharom sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tsu Koon bertanggungjawab ke atas hal ehwal perpaduan dan prestasi Kabinet manakala Jamil Khir berhubung hal ehwal agama Islam.

Tsu Koon adalah Presiden Gerakan yang turut dilantik sebagai Senator manakala Kong pula ialah Naib Presiden MCA.

Ada spekulasi bahawa Kabinet baru ini adalah lebih kecil daripada sebelumnya. Kalau bilangan menteri seramai 28 orang, memanglah ia lebih kecil daripada 32 orang sebelum ini tetapi jumlah timbalan menteri bertambah kepada 40 orang, berbanding dengan 38 orang sebelum ini.

Selain perubahan Kabinet, dikatakan akan ditekankan aspek impak, hasil dan penyampaian perkhidmatan awam yang berbaloi dan akan dipantau oleh sebuah unit baru yang dipimpin seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Persoalannya selain perubahan, apakah Petunjuk Prestasi Utama atau KPI benar-benar akan dipakai terhadap anggota Kabinet ini?

“Saya akan mengarahkan setiap menteri untuk menyediakan KPI yang jelas merangkumi perincian tanggungjawab berkaitan tugas mereka serta timbalan masing-masing dalam masa 30 hari dari sekarang,” kata Najib kelmarin.

Pengenalan KPI itu yang turut mencerminkan keutamaan strategik negara akan menjadi tanda kepada pendekatan baru pentadbiran kerajaan yang lebih telus, bertanggungjawab serta mendahulukan rakyat.

Saya tertarik dengan kata-kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa “Mereka yang dipilih anggotai Kabinet bukan menyandang jawatan itu secara kekal kerana boleh berlaku perubahan pada bila-bila masa ikut pertimbangan Perdana Menteri.”

Kata-kata ini perlu diambil ingatan oleh semua anggota Kabinet kerana hanya mereka yang perform sahaja akan kekal.

Malah, saya sangat berharap Perdana Menteri berani untuk menggugurkan mana-mana Menteri atau Timbalan Menteri yang membuat onar dan mendatangkan masalah kepada parti yang mereka wakili dan Barisan Nasional (BN) amnya.

Pelantikan empat pemimpin Sabah sebagai menteri menggambarkan betapa Datuk Seri Mohd Najib Razak mengambil berat faktor politik Sabah dalam konteks BN.

Mereka yang dilantik ialah Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernad Dompok; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili dan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman.

Ada pendapat mengatakan Perdana Menteri sanggup bertindak tegas terhadap perasuah, dan kerana itu ada yang tidak dilantik semula dan ada yang tidak dilantik ke dalam barisan Kabinet baru Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai tanda “pembersihan dalam parti” sedang berlaku.

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Najib bertindak bijak dengan menggugurkan kebanyakan mereka yang dituduh mengamalkan rasuah walaupun seorang dua entah kenapa turut terselit.

Apapun ia positif. Kata Dr Mahathir, “Tak ada orang yang jelas terlibat rasuah terpilih khususnya ketua Pemuda (Khairy) yang didapati bersalah guna wang dalam pemilihan (Umno). Dia tak diberi apa-apa jawatan pun. Itu satu bukti Najib ingin bersihkan parti. Dengan ketegasan dalam menangani rasuah, bekas presiden Umno itu percaya perdana menteri boleh juga bertegas dalam perkara-perkara lain.Ini satu pendirian yang tegas oleh Datuk Seri Najib.”

Juga menarik, Kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri turut menyaksikan 10 wanita dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kembali ke barisan kabinet selepas dilantik sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, jawatan yang pernah disandang beliau sehingga Mac tahun lalu. Pada pilihan raya umum ke-12 Mac tahun lalu, Shahrizat gagal mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai dan digugurkan daripada barisan Kabinet.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang pernah menerajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini, kini menjadi Menteri Pelancongan. Beliau juga pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Pelancongan.

Lapan lagi wanita dilantik sebagai timbalan menteri, termasuk dua muka baru iaitu Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Rashid Shirlin dan Senator Heng Seai Kie, yang juga Ketua Wanita MCA Perak. Rosnah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan manakala Heng adalah Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan.

Seorang lagi wanita yang kembali ke barisan kabinet ialah bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun yang kini dilantik sebagai timbalan menteri di kementerian sama. Dua timbalan menteri wanita kekal di portfolio masing-masing adalah Datuk Rohani Abdul Karim (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani) dan Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim (Jabatan Perdana Menteri).

Datuk Maznah Mazlan (bekas Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar) kini Timbalan Menteri Sumber Manusia, manakala Datuk Tan Lian Hoe (bekas Timbalan Menteri Penerangan) kini Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Noriah Kasnon (bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) bertukar ke Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Dengan selesainya perlantikan, setiap ahli barisan Kabinet baru Najib diharap sangat dapat memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Seperti disebutkan anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, perubahan adalah perlu bagi memastikan kemerosotan sokongan rakyat tidak berterusan. “Sebelum ini rakyat lihat barisan kepimpinan negara tidak begitu kemas dan teratur, menyebabkan timbul kekeliruan terhadap rakyat terutama dalam bidang politik dan ekonomi negara kita.

Ini, katanya, dibuktikan dengan keputusan pilihan raya kecil baru-baru ini, apabila BN hanya menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air (Sarawak), manakala kerusi DUN Bukit Selambau (Kedah) dan Parlimen Bukit Gantang (Perak) dimenangi pembangkang. Sebelum itu BN kalah pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Advertisements

2 Responses to “PERIHAL KABINET NAJIB”

  1. Nik Amir. Says:

    Berani berhemah.jangan berani buta tetapi jangan tuli.Dibawah ini teguran saya kepada nakhoda baru dalam blog saya;http://www.buanasuara.blogspot.com/Jumaat, 2009 Mac 20Pesanan Untuk Najib: Jangan Ulangi Kealpaan Pak Lah. Manusia dilahirkan dengan nafsu dan sifat tamak haloba. Mustahil rasuah boleh dihapuskan secara total. Walaubagaimana pun ia boleh dikurangkan dengan berbekalkan komitmen yang sesungguh hati untuk tidak akan bertolak ansur dalam perkara ini.Sekiranya tidak ada komitmen dan ketegasan, rasuah akan membudayakan masyarakat.Akhirnya ia akan menjadi amalan yang normal, malah boleh diterima sebagai amalan dan budaya yang wajib ditaati dulu kini dan selamanya.Dalam isu memerangi rasuah, peri pentingnya ialah pihak atasan perlu mengambil langkah yang tegas. Tanpa belas ehsan. Demi kepentingan ugama,bangsa dan negara. Langkah bijak Singapura boleh dijadikan teladan bagaimana mereka memerangi rasuah dengan jayanya. Menu yang diguna-pakai oleh pemimpin mereka ialah ketegasan dan keberanian.Hasil keberanian para pemimpin atasan mereka untuk bertindak dengan tegas tanpa memilih bulu,(without fear or favour) Singapura tidak dihantui oleh perasuah. Menikmati kemakmuran ekonomi.sosial dan politik yang harmoni dan terkawal.Sebenarnya sedar atau tidak kita ada dua entiti untuk bertindak; keberanian eksekutif untuk bertindak dan keduanya ialah menerusi ‘criminal justice system’ telah sedia ada dinegara kita.Perdana Menteri dengan kuasa eksekutif boleh bertindak dengan segera memecat, secara sopan menasihati supaya melepaskan jawatan, terus tidak melantik atau melantik semula ( reappointing) menteri dan mana-mana administrator yang pada pandangan umum mempunyai rekod yang boleh menjuruskan kepada persepsi ramai bahawa orang berkenaan adalah perasuah. Perdana Menteri harus meletakkan satu tanda aras(benchmark) atau standard. Walaupun dalam system pengadilan kita mengatakan bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah di Mahkamah Jenayah (Innocent till proven guilty is in a criminal court) tetapi apabila seseorang itu terlibat dengan jawatan dimana kredibiliti dan integriti menjadi taruhan, orang sebegini pun tidak layak diberi jawatan.Entiti kedua ialah melalui pendakwaan jenayah secara agresif di mahkamah. Di sini memerlukan pembuktian yang mampu merentasi sempadan keraguan. Agenda politik harus diketepikan. Kalau tidak keadaan akan bertambah buruk. Keupayaan sebegini wajid dikedepankan untuk menzahirkan keinginan yang ‘sesungguh hati’dalam usaha membebaskan Negara dari kemelut rasuah.Pendakwaan tidak seharusnya terikat dengan pengaruh dan kehendak politik mana-mana pihak. Sebelum ini keadaan begitu memang wujud kerana BPR tidak bebas.Sekarang sudah berbeza. BPR sudah pun dinobatkan sebagai SPRM. Sebuah badan bebas. Komuniti mengharapkan SPRM menjadi makanisma yang telah diberi tanggungjawab, tentunya amat bertanggungjawab melaksanakan tugas untuk kepentingan rakyat secara berkesan..Tidak dinafikan bahawa perasuah perlu mendapat pembelaan apabila mereka didakwa. Mereka boleh mendapat khidmat dari mana-mana peguam. Itu hak mereka. Itu bukan isu yang kita hendak lontarkan disini. Mahkamah adalah bertanggungjawab mendengar setiap kes. Isu sebenarnya ialah pastikan jangan ujud ‘kangaroo court’ dalam Palace of Justice.Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri, awal-awal lagi sudah diberi dua peluang keemasan oleh Allah S.W.T untuk membukti serta mezahirkan kesungguhan beliau membenteras rasuah secara agresif. Beliau gagal melaksanakan sumpah dan janji beliau bukan kepada rakyat Malaysia sahaja tetapi juga janji beliau kepada Allah S.W.T.Kes pertama ialah berhubung tuduhan rasuah terhadap Kasitah Gadam. Persoalannya kenapa sehingga sekarang kes berkenaan masih tertangguh?Kes kedua ialah Isa Samad, orang kanan dalam UMNO dan kabinet yang telah didapati bersalah mengamalkan politik wang oleh Lembaga Disiplin Parti. Abdullah hanya menjadi penonton.Tidak melakukan apa-apa tindakan yang positif samada membuat pengumuman terbuka supaya Isa Samad berhenti atau diberhentikan,tetapi membiarkan perkara ini menjadi perdebatan yang hiruk-pikuk daripada rakyat. Isa akhirnya, melepaskan jawatan menteri secara ‘paksa rela’ disebabkan kemarahan rakyat.Dato Seri Abdullah Ahmad Badawai selaku Perdana Menteri dengan cuainya terlepas dua peluang keemasan tersebut. Atas kealpaan itulah masyarakat mendapat persepsi bahawa beliau adalah pelindung kepada perasuah.Kemurkaan Allah S.W.T. seterusnya ialah apabila Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi mengimport pemain-pemain politik yang dikitar semula sebagai komposisi pentadbiran dalam UMNO dan juga kabinet. Tan Sri Rahim Tambi Chik, Tan Sri Muhd Muhammad Taib, Tengku Adnan Mansor telah menjadi liabiliti kepada organisasi UMNO. Selain itu, Brig.General Husainey(Setiausaha Kerja UMNO) dan Hafarizam peguam UMNO yang masih mentah tentang perjuangan bangsa juga menyumbangkan kecelakaan kepada UMNO. Apa kurangnya pula Annuar Musa? Hari ini Kelantan kalah teruk dalam PRU, esoknya dianugerah Tan Sri.. Tokoh politik Kelantan yang kontroversi, menobat Sultan Kelantan di padang bola di Ketereh. Hingga kini UMNO Kelantan kebuntuan strategi akibat kerenah Tan Sri Annuar Musa.Ringkasnya, YAB. Perdana Menteri gagal memenuhi sumpah dan janji beliau kepada Allah dan rakyat semasa menanggung tugas. Beliau juga gagal ‘Mencari Damai Abadi’.

  2. Bagi saya kaum melayu telah di hukum oleh Perdana Menteri kerana telah memansuhkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.Ini adalah KPI pertama yang saya nilai untuk PM. Sesungguhnya jangan berlaku lagi seperti menghantar menteri kerana anggapan pesalah cina kena ketuk ketampi di penjara serta memohon maaf kerana ahli UMNO berkata dahulunya kaum cina adalah sebagai pendatang. Terkini, presiden MCA mahu kuota menteri kabinet dikekalkan yang rasa saya telah pun ditunaikan. Akhir kata jangan lagi dijaja kaum cina atau india adalah undi penentu kemenangan, jadikan contoh di bukit gantang dan bukit selambau sebagai ikhtibar. Solzamri

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: