HARUMKAN SEMULA UMNO

Sebahagian masa empat jam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam semalam (29 Januari2009) digunakan untuk membincangkan punca kekalahan Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada pilihan raya kecil Po36 Kuala Terengganu.

Pengerusi Perhubungan BN Terengganu, Datuk Ahmad Said dikatakan melaporkan punca kekalahan BN dan UMNO kpada ahli MT.

Laporan post-mortem pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari itu akan diperhalusi lagi oleh Jawatankuasa Pengurusan Umno untuk tindakan lanjut.

Pada pilihan raya kecil itu, calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Ismail tewas kepada calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi.

Hakikatnya, laporan kepada MT itu hanya proses formaliti kerana semua ahli MT terbabit dalam kempen pilihan raya berkenaan dan sudah tahu punca sebenar kekalahan berkenaan.

Cuma sehingga kini, tiada siapa dapat menjawab dengan tepat siapa sebenarnya Pengarah Pilihanraya Kecil itu, sedangkan PAS dengan jelas meletakkan Wan Mutalib Embong sebagai pengarah pilihan raya kecil Po36 untuk PAS. Beliau dibantu oleh Datuk Mustafa Ali.

Amatlah pelik bin ajaib apabila UMNO sendiri tidak melantik pengarah pilihan raya pada ketika parti itu berdepan dengan cabaran besar.

Ada mengatakan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu yang juga calon melantik Timbalannya menjadi Pengarah tetapi apakah ia sesuatu yang rasmi?

Bagaimanapun jika benar, kenapa jentera UMNO Kuala Terengganu begitu lemah seolah-olah tidak bergerak. Jika tidak kerana bantuan jentera UMNO luar Kuala Terengganu dan luar Terengganu, kesan keputusan pilihan raya akan menjadi semakin parah.

Apakah tidak boleh kita meletakkan walau sedikit kelemahan jentera itu kepada UMNO Bahagian Kuala Terengganu sendiri yang menjadi punca kekalahan itu?

Apakah tidak boleh sedikit sebanyak kita persalahankan orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjadi ‘pengarah’ pilihan raya itu kerana gagal berfungsi?

Yang aneh, sehingga kini tidak ada satu kenyataan pun daripada UMNO Kuala Terengganu atau ‘pengarah’ mengakui kelemahan dan cuba mengambil tanggungjawab mengakui punca kekalahan.

Tindakan Ahmad Said mengemukakan punca dan sebab-sebab kekalahan BN Terengganu semalam kepada MT dengan sendirinyas sudah mengambil alih peranan UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu. Dengan kata lain Ahmad Said memikul beban sebelum, ketika dan selepas pilihan raya berkenaan. Sedangkan beliau bukan pengarah bagi pilihan raya itu.

Apapun, UMNO perlu terus hidup di Kuala Terengganu dan kembali melantun pada pilihan raya umum akan datang.

Sesiapa juga yang ditugaskan untuk membina semula UMNO Kuala Terengganu perlu memikir dan merancang memulih dan memperkukuh UMNO.

Percayalah, undi untuk BN pada pilihan raya kecil baru-baru ini sebanyak 30,252 itu adalah undi solid – sokongan genuine kepada BN – adalah aset penting untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Saya mengatakan demikian kerana undi yang pergi kepada PAS adalah kerana kombinasi kemarahan rakyat Terengganu kepada UMNO dan calon, termasuk juga undi protes kerana duit tidak sampai dan sebagainya.

Undi kepada calon PAS sebanyak 32,883 melalui peratusan 79.09 peratus banyak diakibatkan oleh kelemahan UMNO dan sendiri untuk menjamin pengundi keluar mengundi dan kalaupun keluar mengundi untuk mereka.

Yang penting sekarang UMNO Kuala Terengganu perlu melihat ke hadapan.

Bukan sahaja ia perlu memperkemas dan menilai kelemahannya sebelum ini tetapi bersedia lebih awal untuk menghadapi pilihan raya umum yang dijangka dalam tempoh kira-kira dua tahun setengah dari sekarang.

Pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai ‘penyelaras Parlimen Kuala Terengganu’ perlu digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk mengenal pasti kelemahan diri dan jentera parti.

Beliau akan dibantu oleh ‘penyeleras DUN’ Ladang, Batu Burok dan Wakaf Mempelam yang saya kira sudah ada di kepala Ahmad Said.

Mereka ini perlu bergerak dari sekarang dan hakikatnya, peluang tetap ada untuk menang di ketiga-tiga DUN ini bagi menjamin kemenangan bersih di Kuala Terengganu dengan MCA sudah menguasai DUN Bandar.

Tidak ada yang kebal dan kukuh dalam pilihan raya. Jika Kota Melaka yang menjadi kubu kuat DAP boleh runtuh, tidak mungkin DUN Wakaf Mempelam yang lima penggal dipegang ooleh PAS tidak boleh dirobohkan.

Sementara DUN Ladanhg dan Batu Burok tidak sukar jika ‘cakna rakyat UMNO dan BN” diteruskan walaupun selepas pilihan raya kecil. Yang dimahukan oleh rakyat ialah wakil atau penyelaras memberikan khidmat sebaik mungkin.

Ia bukan soal projek dan peruntukan semata-mata. Rakyat memerlukan kemesraan dan ‘belaian’ bukan kesombongan dan lagak yang tidak tentu hala.

Pengerusi BN Negeri perlu menjamin ‘penyelaras’ adalah mereka daripada sepsis ‘mesra rakyat’ bukan yang ditolak kerana keangkuhan dan melihat kiuasa sebagai tempat memperkaya dan mementingkan diri.

UMNO Kuala Terengganu sendiri patut bermuhasabah. Wan Farid sebagai ketua kena melihat apakah mereka yang menjadi pemimpin di bahagian benar-benar boleh membantunya melakukan ‘kerja rakyat’ sesuai dengan tema pentadbiran Terengganu – Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

Terengganu memerlukan pemimpin yang turun padang bukan pemimpin yang mengarahkan orang lain turun padang untuk dirinya.

Pentadbiran UMNO juga perlu dirakyatkan kerana UMNO parti rakyat untuk rakyat. Ia tidak boleh slogan semata-mata tetapi sehingga ke praktiknya dan ‘jelira hingga ke akar umbi’.

Amalan ‘touch & go’ seperti kempen pilihan raya kecil baru-baru ini tidak lagi menjadi boleh dijadikan umpan. Rakyat tahu yang mana satu kaca dan yang mana permata.

Wan Farid boleh menggilap dirinya dari sekarang untuk menjadi sebiji permata. Wan Farid boleh mengenal pasti apa jenis umpan untuk patut dilontarkan.

Mana-mana pemimpin yang difikirkan tidak mampu membantunya dan UMNO bolehlah digantikan dengan pemimpin yang benar-benar ada ‘touch’ dengan rakyat.

Wan Farid tidak boleh lagi meletakkan kepentingan kawan dan regu jika mereka boleh membawa rebah.

Belajarlah daripada keputusan dan kesan pilihan raya kecil baru-baru ini.

Masa masih ada. Gunakanlah masa itu sebaik-baiknya untuk UMNO dan rakyat Kuala Terengganu.

Mereka mungkin menghukum UMNO baru-baru ini tetapi pada pilihan raya akan datang mereka akan kembali menyokong UMNO jika pemimpin UMNO tahu menghargai apa sebenarnya keinginan dan kemahuan mereka yang sebenarnya.

Persepsi bahawa UMNO parti ‘busuk’ perlu diatasi segara. Carilah ramuan untuk menjadikan UMNO harum kembali.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: