SIDANG PARLIMEN KHAS MENGENAI PALESTIN

Kabinet semalam memutuskan memanggil satu Sidang Parlimen Khas pada Isnin ini bagi mengeluarkan resolusi berhubung langkah-langkah penyelesaian yang perlu disegerakan dunia untuk menamatkan kekejaman Israel yang kini bermaharajalela di bumi Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, persidangan akan diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan disertai semua ketua parti politik kerajaan dan pembangkang serta para duta asing termasuk Duta Palestin ke Malaysia, Abd. Elaziz Abu Ghoush.

Kata beliau, persidangan yang dijadual bermula pukul 2.30 petang itu akan mengutuk serangan kejam tentera Israel ke atas Genting Gaza yang setakat ini mengorbankan hampir 600 penduduk Palestin serta mencederakan ribuan yang lain.

“Perdana Menteri akan memberikan ucapan manakala Menteri Luar akan membuat penggulungan. Sesi ini mungkin berlanjutan tetapi pada hari itu (Isnin) adalah sesi khas.

“(Persidangan) Ini bersesuaian dengan hasrat kolektif dunia untuk menangani kekejaman Israel dan Malaysia menyalurkannya menerusi badan tertinggi legislatifnya iaitu Dewan Rakyat,” kata beliau.

Desakan Malaysia supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi membincangkan isu kekejaman Israel di Palestin mendapat sokongan pemimpin Asean dan negara Islam.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata beliau sudah menerima maklum balas daripada Setiausaha Agung Asean, Dr Surin Pitsuwan dan Menteri Luar Indonesia, Hassan Wirajuda, yang menyatakan sokongan terhadap cadangan itu.

Perdana Menteri Syria, Mohammed Naji OtriSyria, yang kini dalam lawatan ke negara ini turut menghargai usaha Malaysia.

“Ia petanda awal bahawa pendirian Malaysia yang cepat bertindak terhadap isu berkaitan kekejaman rejim Yahudi itu, mendapat perhatian pemimpin dunia,” kata Dr Rais selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan kementeriannya di Wisma Putra, semalam.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata Malaysia akan menggerakkan usaha bagi mendesak PBB mengadakan sidang khas itu menerusi permuafakatan dalam Kumpulan Hubungan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Sokongan pemimpin negara NAM, OIC dan Asean berupaya membentuk desakan kuat untuk meneruskan sidang tergempar di PBB itu. Daripada 192 negara anggota PBB, negara OIC mewakili 57 ahli dalam pertubuhan dunia itu, NAM (114) dan Asean (10).

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pergerakan itu akan mewujudkan gerakan besar-besaran bagi menunjukkan bantahan terhadap pencabulan dan keganasan Israel di Semenanjung Gaza yang setakat ini mengorbankan lebih 500 penduduk Palestin, termasuk kanak-kanak.

“Gerakan massa secara besar-besaran oleh setiap lapisan masyarakat Malaysia melalui NGO telah diambil maklum dan dipersetujui oleh Kabinet dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, keangkuhan dan kezaliman berterusan rejim Zionis menuntut seluruh rakyat tanpa mengira usia, kaum dan agama untuk sama-sama berganding bahu menggerakkan tentangan besar-besaran.

“Kita akan membabitkan semua pihak, termasuk setiap sekolah dan golongan masyarakat bagi menjayakan inisiatif keamanan ini dengan berkesan sehingga kezaliman ini dihentikan,” katanya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: