ISU HUDUD – PAS TERSEPIT

(Isu Sabtu)

PAS mahu menjadikan hudud sebagai bahan kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari nanti dengan mengatakan jika jika Pakatan Rakyat dibentuk di kerajaan Pusat. hudud akan dilaksanakan di Malaysia.

Ternyata isu ini akan memakan diri sendiri apabila pemimpin PAS bertelagah sesama sendiri mengenai isu ini, apalagi komponen Pakatan Rakyat, khususnya DAP jelas menolak dengan keras hudud yang diperjuangkan oleh PAS.

Apa yang lebih menarik ialah, Pengerusi DAP Karpal Singh pada 23 Disember lalu, berkata ketua umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjelaskan pendirian parti itu mengenai hukum hudud yang ingin dilaksanakan oleh Pas jika pembangkang memerintah negara ini.

Katanya, Anwar tidak boleh berdiam diri terhadap kata putus Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat bahawa hukum itu akan tetap dilaksanakan di negara ini.

“Pas akan rugi jika ia berkeras untuk melaksanakan hukum hudud kerana DAP akan menentangnya,” kata Karpal dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Pas tidak boleh mengetepikan keputusan sebulat suara Mahkamah Agung pada 1988 bahawa Malaysia bukannya sebuah negara Islam.

Perbezaan ketara PAS – DAP dalam isu ini boleh menyebabkan DAP memboikot PAS pada pilihan raya kecil itu dan tindakan itu akan mempengaruhi rakyat yang melihat kedudukan sebenar.

Sikap Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang ‘klu-klek’ (pendirian yang tidak konsisten) dalam melaksanakan hudud dan qisas jika pakatan pembangkang memerintah menunjukkan betapa dalam kepimpinan tertinggi PAS sendiri wujud perbezaan besar.

Mengejutkan sekali, ketika berdialog di hadapan lebih 3,000 penyokong PAS di Balai Islam Lundang, Kota Bharu Sabtu lalu, Husam menjelaskan parti itu tetap akan menegakkan pemerintahan Islam tanpa apa-apa syarat termasuk melaksanakan hukum hudud.

Bagaimanapun, cadangan Husam itu menerima kritikan daripada DAP yang merupakan sekutu PAS di dalam Pakatan Rakyat apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pelaksanaan hukum hudud tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac lepas.

Bukan Guan Eng sahaja mengritik hasrat Pas yang mahu melaksanakan hukum hudud sekiranya berjaya memerintah negara hari ini tetapi turut ditolak oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP, Teng Chang Khim.

Menurut Chang Khim yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Teng, penolakan terhadap pelaksanaan hukum itu dibuat kerana ia tidak selari dengan pendirian dan dasar DAP.

Katanya, sekiranya Pas tetap mahu melaksanakan hukum hudud, parti itu sepatutnya mendapat persetujuan daripada semua parti dalam pakatan pembangkang dan baginya, pelaksanaan hukum hudud tidak menjadi isu kerana ia telah menjadi pendirian Pas sejak dahulu, manakala DAP pula tetap dengan pendirian tidak akan bersetuju dengan pelaksanaan hukum tersebut.

Dan apabila sikap dan pendirian Husam berubah serta merta apabila mendapat bantahan keras daripada rakan dalam pakatan pembangkang yang menolak sebarang bentuk pemerintahan Islam di negara, ini amat mengejutkan.

Yang pasti dan tidak boleh disorokkan lagi jika berdasarkan sikap dan pendirian Husam ialah, PAS menjadikan hudud sebagai slogan pentingan politik mereka semata-mata tetapi bukan untuk pelaksanaan jika ia memerintah.

Jika selama ini ini Husam dilihat sebagai orang paling rapat dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, iaitu musyridul am PAS pusat, apakah dalam kes Husam ini ia menggambarkan sikap penolakan Nik Aziz terhadap Hudud?

Sikap Husam ini memang tidak disenangi pemimpin tertinggi PAS danPAS Terengganu kerana pengikut Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, memang memperjuangkan hudud dan begitulah juga dengan kumpulan ulama ini.

Dengan ini sudah pasti sikap Husam yang sekali mengatakan ‘akan melaksana’ dan kemudian ‘menarik balik’ tidak akan disenangi PAS Terengganu.

Sikap Husam bukan sahaja akan memberikan kesan kepada hubungannya dengan pemimpin PAS lainnya tetapi juga dengan PAS Terengganu.

Seperti kata Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin: ”Nada Husam mula berubah di mana beliau mendakwa Pas hanya akan melaksanakan pemerintahan Islam termasuk hukum hudud setelah mendapat persetujuan daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)’”

”Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membantah keras cadangan itu dan menyatakan bahawa pelaksanaan hukum hudud tidak termasuk dalam manifesto pakatan pembangkang pada pilihan raya umum Mac lalu,” katanya.

Dengan kedudukan percanggahan pendapat yang serius dalam pakatan pembangkang berkaitan isu itu membuktikan gabungan mereka amat rapuh kerana berlainan prinsip dan ideologi.
Bukan Khairy sahaja yang tidak faham pendirian sebenar Husam dan Pas yang mudah berubah semata-mata untuk menjaga hati dan terdesak dengan bantahan yang diterima daripada pakatan pembangkang tetapi juga rakyat – penyokong PAS dan orang biasa.

Isu pelaksanaan hukum hudud oleh Pas memang jelas. Isu tersebut lama disuarakan oleh pemimpin Pas di semua peringkat dan tentunya yang paling lantang adalah Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Apabila bercakap tentang hudud kita tidak boleh lari daripada mengaitkannya dengan Hadi yang sentiasa mempertahankan hukum hudud. Cuma kebelakangan ini iaitu sejak tertubuhnya pakatan pembangkang dengan Pas menjadi salah satu anggotanya, suara-suara yang memperjuangkan hukum hudud, khususnya Hadi semakin perlahan.

Isu ini dijangka akan turut mempengaruhi kedudukan calon PAS ada pilihan raya kali ini kerana sebarang cadangan daripada kumpulan Erdogan+ Klon yang dipelopori Husam akan berdepan dengan bantahan dan sekatan kumpulan ulama dalam PAS.

Dengan kata lain, calon seperti Mohamad Sabu serta Dr Syed Azman Syed Nawawi akan berdepan dengan halangan keras pada ketika seorang calon lagi yang disebut-sebut sangat sesuai iaitu bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Khazani Abdullah, yang dikatakan berdepan dengan masalah peribadinya yang mungkin akan membawa kepada kegugurannya sebagai calon.

Isyarat jelas betapa kumpulan lama dan ulama dalam PAS seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan tetap menyokong hudud. Kelmarin (24 Disember 2008), Azizan berkata Pas tidak akan melupakan perjuangannya untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini kerana ia adalah satu tuntutan dalam agama Islam dan asas perjuangan parti itu.

“Dalam Islam, solat adalah tuntutan bagi setiap umatnya. Sama seperti hudud yang merupakan tuntutan dalam Islam. Kita akan tetap laksanakan cuma pelaksanaannya nanti kena mengikut kesesuaian,” katanya.

Bagi Azizzn, walaupun PAS telah menyertai Pakatan Rakyat, ini tidak bererti parti itu telah mengabaikan hukum hudud. “Isu hudud yang hangat diperkatakan sekarang hanya sekadar isu pilihan raya terutama menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu Januari ini. Isu ini dah lama dan ia dikorek kembali setelah lama ditutup,” katanya.

Menurut Azizan, dalam Pakatan Rakyat, setiap parti iaitu PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai deklarasi dan perjuangan masing-masing. Baginya setiap parti dalam Pakatan Rakyat boleh berjuang mengenai dasar masing-masing dan tidak bererti Pas perlu melupakan hukum hudud.

Kedudukan perbezaan ketara dalam hokum hudud ini khususnya antara kumpulan Husam yang ‘menarik balik kenyataannya’ dengan kumpulan ulama pada ketika Nik Aziz tersepit dan perbezaan pendapat PAS-DAP, isu hudud akan memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional untuk mmperkukuhkan hujahnya bahawa Pakatan Pembangkang asmat rapuh.

Dalam konteks pilihan raya Kuala Terengganu pula, PAS berdepan cabaran besar iaitu diboikot oleh kumpulan yang bertelagah dengan pimpinan PAS Terengganu dan DAP sendiri, sekiranya isu hudud berterusan.

Apapun, sikap Husam sedikit sebanyak mendedahkan betapa wujudnya perbezaan pendapat yang besar dalam PAS dan antara PAS dan DAP.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: