APABILA BLOG DIIKTIRAF KUMPULAN PEMIKIR

Apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS akan menilai pandangan daripada pelbagai pihak termasuk penulis blog sebelum menentukan calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu, 17 Januari depan, membuktikan satu pengiktirafan penting PAS terhadap blog.

Bagi Abdul Hadi, pandangan blog dalam usaha PAS menentukan pemilihan calon yang benar-benar sesuai, adalah faktor yang paling penting dalam usaha mereka merampas kerusi tersebut daripada Barisan Nasional (BN).

Saya tidak hairan kerana beberapa blog umpamanya blog Mohd SayutiOmar (msomelayu), Malaysian Waves serta laman web seperti trenungkite serta banyak lagi memperkatakan mengenai bakal calon dan mengulas apa yang berlaku dalam PAS dan sebagainya.

Ia dilihat bukan sahaja suara Sayuti atau laman-laman berkenaan tetapi beberapa pemimpin PAS yang rapat Sayuti dan penggendali blok berkenaan. Malah, Sayuti juga dilihat rapat dengan beberapa pemimpin penting PAS termasuk Datuk Nik Aziz Nik Mat, Mustapa Ali, Salehuddin Ayob dan suatu ketika Datuk Husam Musa.

Abdul Hadi, yang baru pulang mengerjakan ibadah haji dua hari lepas, berkata kelmarin (19 Disember 2008), pada masa ini, pihaknya sedang membuat penelitian rapi terhadap calon yang boleh mendapatkan sokongan pengundi di Kuala Terengganu.

“Kita sedang tunggu laporan daripada PAS cawangan, kawasan dan negeri. Kajian terperinci perlu dilakukan bukan sahaja di kalangan penyokong PAS malah masyarakat keseluruhan di Kuala Terengganu,” katanya.

Apa yang saya mahu tonjolkan di sini ialah, PAS dan pembangkang sering ke depan sementara UMNO serta sekutunya, Kementerian Penerangan menggunakan blog untuk dwi fungsi – menyerang tetapi banyak yang menjawab dan “menerang.”

Saya diberitahu Kementerian Penerangan ada mengupah mereka yang berpengalaman –termasuk bekas nama-nama besar di akhbar – untuk memantau dan menjawab isu-isu yang ditimbulkan pembangkang tetapi peranan mereka terhad.

Apa yang dilakukan oleh Hadi itu adalah tindakan yang sesuai dengan keadaan kini dan pastinya blog penyokong PAS dan pembangkang merasakan mereka dihargai.
Satu perkara lagi di sini ialah pemimpin PAS membaca dan mengambil berat ‘public opinion’ yang ditimbulkan melalui blog.

Sementara masih ada kalangan menteri dan pemimpin penting UMNO menganggap blog sebagai ‘suara nyamuk’ (dulu ada akhbar nyamuk’) dan tidak perlu dihiraukan.
Sedangkan dengan mengharapkan akhbar dan tv kerajaan dan swasta yang pro-kerajaan, mereka yang di atas pagar pun sesetengahnya sudah lama ‘meminggirkan’ media arus perdana.

Amatlah malang apabila pembangkang mampu menyelinap masuk melalui portal berita penting dan blog-blog utama, kerajaan dan UMNO masih terkial-kial mencari pen dekatan.

Pembangkang menggunakan blog untuk spin, mewujudkan persepsi serta juga mengerak dan mempengaruhi pendapat awam (public opinion) yang membolehkan mereka menjadikan ‘iblis dan hantu bertukar menjadi manusia’ dan ‘manusia pula ditukarkan menjadi ‘monster’.
Kerana itu, apa sahaja yang dispin pembangkang mendapat keyakinan dan kepercayaan sebahagian rakyat.

Isu website dan blog ini pernah saya timbulkan pada 1998 dan 1999 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad diasak oleh kumpulan reformasi.

Namun ketika bertugas dengan UMNO, sama ada pegawai atau pemimpin UMNO yang turun naik Tingkat 38 PWTC langsung tidak peduli. Usahkan mahu menggalakkan, meminta bajet untuk perkara-perkara membabitkan website pun sama.

Apa yang berlaku ialah akhirnya laman umno-online diwujudkan tetapi sehingga kini, selepas 10 tahun, laman itu tidak banyak berubah.
Khabarnya beberapa laman yang pro-UMNO yang diwujudkan, terpelanting dari tingkat 37 dan 38 bangunan PWTC itu ke merata tempat, termasuklah mykmu.net (Gerbang Tempur Politik Maya) yang kemudian berpindah ke Selangor.

Saya faham ketika itu, soal portal dan laman web masih baru tetapi kalau kita semua masih ingat, pada ketika itu Multimedia Super Corridor (MSC) sedang hangat diperkatakan.

Saya sendiri memulakan laman web sendiri, islam1.net tetapi tidak mampu bertahan melalui sumber sendiri yang terhad dan tidak bekerja.

Ketika itu saya sudah dipecat oleh ntv7 atas sebab-sebab ‘tidak mampu melaksanakan tugas’ sedangkan sejak sebelum pelancaran hinggalah 15 September 1998 (tarikh saya diberhentikan) ntv7 sudah dikategorikan sebagai antara saluran berita menarik dan diterima penonton.

Saya antara penggerak utama sebagai TimbalanPengurus (Berita) yang bertanggungjawab terhadap berita bahasa Melayu (jam 8 malam). Tidak apalah itu cerita lama.
Antara tugas saya antara 1999-2001 itu ialah onkan (membuka) komputer untuk Ketua Penerangan ketika itu, Datuk Mustapa Mohamed selain taklimat ringkas apa kata laman-laman pembangkang ketika itu, termasuk mahazalim.

Satu contoh bagaimana kuatnya pengaruh website yang disokong oleh buku pada zaman arus reformasi pertama ialah menukar wajah Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Mahazalim dan Mahafiraun.

Laman-laman ini bukan sahaja menyebarkan berita mengenai bila dan dimana perhimpunan atau perjumpaan akan diadakan tetapi sambil itu ‘membunuh character’ pemimpin UMNO khususnya Dr Mahathir.

Memahami pentingnya blog ketika ini dan pengalaman lalu mungkin menyebabkan bekas Perdana Menteri itu semalam (10 Disember 2008) mengingatkan orang ramai agar tidak menggunakan blog untuk memperlekehkan orang lain tetapi perlu bijak dan adil semasa menulis.

Beliau berkata oleh kerana penulisan dalam blog tidak boleh ditapis, jika digunakan dengan tidak bertanggungjawab, ia boleh menyinggung perasaan orang.

“Blog memberikan anda peluang untuk menyatakan sesuatu dengan menggunakan perkataan anda sendiri dan anda dapat memperbaikinya dari semasa ke semasa apabila anda berulang kali menulis, anda akan lebih mahir.” Katanya.

Jika bekas pemimpin seperti Dr Mahathir dapat merasai pentingnya blog, kenapakah pemimpin kita sekarang ini khususnya dalam UMNO masih prejudis terhadap sumbangan dan berpengaruhnya blog?

Atau memang mereka tidak mahu mengikuti peredaran zaman. Jika demikian, sesuaikah mereka yang tidak mengikuti peredaran zaman terus menjadi pemimpin kita?

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: