APA CERITA NI?

Siapa sebarkan cerita ini?

Hanya kerana tidak terpilih semula sebagai Senator, Ketua Puteri UMNO Terengganu merajuk dan memboikot pilihan raya kecil Kuala Terengganu?

Yang tidak sedap didengar ialah, anggota Puteri UMNO Terengganu tawar hati untuk bekerja kerana ‘bos’ mereka tidak lagi menjadi Senator.

Semuanya ini timbul gara-gara Ketua Pergerakan Puteri Umno negeri, Senator Nordiana Shafie yang dilantik sebagai senator mulai 2004 tamat pada 22 Disember ini dan perkhidmatannya tidak disambung selepas persidangan DUN kelmarin melantik Ketua Wanita Umno Bahagian Hulu Terengganu, Fatimah Hamad.

Pada pilihan raya umum Mac lalu, Nordiana bertanding di DUN Batu Burok menentang calon Pas, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, tetapi tewas dengan majoriti 1,163 undi.

Puteri UMNO memainkan peranan penting peringkat bawahan dan penghubung penting generasi muda dengan BN dan UMNO kerana pengundi muda menjadi ‘nadi penting’ sokongan memenangkan calon BN pada setiap pilihan raya.

Persoalannya, ialah apakah mesti jawatan Senator disambung dan keduanya apakah kerana Ketua Puteri UMNO, seseorang mesti ada pangkat dalam kerajaan atau politik?

Kalau beginilah pemikiran orang muda dalam UMNO, memanglah UMNO akan lingkup kerana ‘bermain politik mengharapkan jawatan’.

Kita dapat lihat sendiri bagaimana Ketua-Ketua Puteri negeri lain ramai yang tidak berjawatan penting, sekadar sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sahaja.

Cuma yang melegakan ialah semalam Nordiana berkata jawatankuasa puteri di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bahagian Kuala Terengganu – Bandar, Ladang, Wakaf Mempelam dan sudahpun menubuhkan jawatankuasa kerja dan mengatur strategi bagi membantu Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Kuala Terengganu dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan 17 Januari depan.

Katanya, Jawatankuasa Puteri bahagian juga akan menganjurkan kursus pengendalian teknologi maklumat bagi meningkatkan kemahiran mereka untuk mengendalikan komputer sepanjang tempoh berkempen dan pada hari pembuangan undi nanti.

“Walaupun saya masih berada dalam pantang selepas melahirkan anak kedua, tetapi mesyuarat jawatankuasa kerja Puteri dan pengagihan tugas sudahpun dilakukan sejak minggu lalu,” katanya menurut laporan Berita Harian semalam.

Nordiana berkata, walaupun sedih dan kecewa dengan dakwaan dan tuduhan itu serta masih dalan keadaan pantang, tetapi dia akan turun padang untuk membantu BN mengekalkan kerusi pada pilihan raya kecil nanti.

Beliau menyangkal dakwaan pihak tidak bertanggungjawab dan menolak sama sekali dakwaan bahawa jawatankuasa puteri termasuk ketua di peringkat cawangan dalam bahagian Kuala Terengganu akan memboikot pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Beliau juga menafikan sekerasnya satu perjumpaan sulit dianjurkan beberapa ketua puteri cawangan yang bertujuan memboikot pilihan raya kecil sebagai bantahan.

Nordiana mengatakan Ketua Puteri Umno bahagian Kuala Terengganu sangat kecewa dengan tuduhan itu.

“Puteri juga akan membuka bilik gerakan di kawasan strategik minggu depan, tetapi kita merahsiakan sementara tempatnya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Dan apabila Nordiana sendiri sudah memberikan jaminan, adalah tugas Puteri UMNO Terengganu, khususnya Puteri UMNO Kuala Terengganu ‘membersihkan semua dakwaan berkenaan’.

Caranya bukan sekadar kenyataan-kenyataan berkaitan penafian tetapi bekerja keras memenangkan calon BN.

Itulah sahaja caranya untuk menamatkan dakwaan dan menyangkal segala tohmahan oleh pihak bertanggungjawab.

Segala kerja dan sumbangan yang baik sudah pasti akan dinilai oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang juga merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.

Selain itu, apa juga habuan untuk sesiapa juga dalam UMNO bukan Puteri UMNO yang wajar tentukan tetapi ia bergantung kepada pucuk pimpinan parti negeri dan pusat.

Bagi saya, bagus juga Puteri UMNO cepat sedar mengenai ‘jarum perpecahan’ yang cuba ditanam oleh pihak-pihak tertentu kerana perbuatan sabotaj parti tidak menguntungkan sesiapa.

Belajarlah – apabila tiada lagi kuasa, usahkan jawatan, diri sendiri sebagai pemimpin pun tidak akan dihormati.

Sebelum ini penyokong berebut-rebut untuk membuka pintu kereta kita tetapi apabila kita tiada lagi kuasa, bukan sahaja tiada penyokong tetapi mungkin juga tiada lagi kereta!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: