AGENDA TERAKHIR ABDULLAH

Menarik apa yang ditulis oleh rakan saya Datuk Ruhanie Ahmad (Ron) melalui blognya, Kuda Kepang (http://kuda-kepang.blogspot.com) mengenai usaha membanteras rasuah sebagai antara satu agenda utama Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak menjadi Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003.

Oleh kerana Datuk Ron yang saya kenali sejak 1974 sudah menulisnya secara lengkap, adalah baik saya perturunkan semua siri tulisannya mengenai ‘Masalah Rasuah Agenda terakhir Abdullah” untuk sama-sama kita memahami apa yang cuba diperkata oleh beliau.

Tulisannya bermula pada 4 Disember diikuti siri ke 2 pada 5 Disember, siri ke 3 pada 6 Disember dan siri ke 4 pula pada 7 Disember. Datuk Ron juga memperturunkan nota penghujung (siri akhir) pada 9 Disember 2008.

Maaf Datuk Ron, saya mohon memetik rencana ini untuk tatapan mereka yang menjenguk blog saya dan mungkin ‘terlepas melayari’ blog Kuda Kepang.

Saya cuba menyusunnya sebaik mungkin. Jika ada kekurangan ia adalah kesilapan saya. Mohon maaf.

MASALAH RASUAH AGENDA TERAKHIR ABDULAH

Oleh Ruhanie Ahmad

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai antara satu agenda utamanya sejak beliau jadi Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003.

Sebab itulah menurut Bernama 4 Disember 2008, antara agenda terakhir perjuangan Abdullah sebelum melepaskan jawatan Perdana Menteri pada Mac 2009, ialah “menyelesaikan isu mengenai rasuah.”

Untuk membaca berita sepenuhnya mengenai hal ini sila klik http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_15.htm

Abdullah menggembar-gemborkan isu rasuah mulai 31 Oktober 2003.

Bagaimanapun, kenyataan serta tindakan Abdullah mengenai pembanterasan rasuah pada era awal kepimpinannya seolah-olah sengaja dieksploitasikan oleh pihak-pihak tertentu dengan sesuatu agenda yang cukup rahsia.

Sebab itulah dalam tempoh kira-kira 130 hari – sejak 31 Oktober 2003 sehingga PRU11 pada Mac 2004 – Abdullah kelihatan terlalu obsessed dengan soal rasuah. Sebab itulah juga Abdullah sentiasa membuat kenyataan demi kenyataan mengenai pembanterasan rasuah, bukan sahaja di dalam negara, malahan sewaktu beliau berucap di beberapa persidangan di luar negara.

Propaganda

Mula-mula sekali, kenyataan dan tindakan Abdullah membanteras rasuah dipropagandakan oleh pihak-pihak tertentu kononnya sebagai usaha Abdullah menterjemahkan kata-kata dalam puisinya bahawa yang beliau cari “bukan harta bertimbun-timbun untuk hidup kaya” atau “wang juta untuk hidup bergaya.”

Menurut beberapa akhbar tempatan, usaha Abdullah membanteras rasuah juga menyebabkan lebih ramai lagi rakyat jelata Malaysia kononnya terpesona dengan kepimpinan Abdullah.

Saya membuat kesimpulan di atas setelah mengkaji hampir seluruh kenyataan Abdullah mengenai tadbir-urus, rasuah, salahguna kuasa, kronisme dan neopotisme yang dilafazkan sendiri oleh Abdullah sepanjang tempoh beliau mula mewarisi kepimpinan Mahathir sehinggalah beliau mengadakan PRU11.

Saya juga kaji hampir seluruh artikel dan item berita tempatan mengenai tajuk yang sama. Seterusnya, saya kaji pula realiti tahap rasuah di era Abdullah, kecaman rakyat jelata terhadap Abdullah mengenainya, kisah ECM Libra yang membabitkan menantu Abdullah, dan Indeks Persepsi Rasuah (IPR) terbitan Transparency International bagi tahun 2002, 2003, 2004, 2005, 2006 dan 2007.

Saya lakukan semua ini bukan untuk mencari kesilapan Abdullah. Tetapi, untuk membuat kepastian sama ada gembar-gembor Abdullah mengenai rasuah dan seluruh kemungkaran sejenis dengannya memang benar-benar suatu usaha yang sesungguhnya ikhlas, jujur dan berkesan.

Kajian Ringkas

Saya juga melakukan kajian ringkas ini untuk memastikan sama ada seluruh gembar-gembor Abdullah mengenai hal rasuah hanya suatu helah dan muslihat jangka pendek demi menghalalkan suatu agenda rahsia oleh pihak-pihak tertentu sesudah Abdullah menerima mandat rakyat menerusi PRU11.

Tindakan Abdullah membanteras rasuah di era awal kepimpinannya, dilaporkan buat pertama kalinya oleh Utusan Malaysia pada 7 November 2003. Akhbar tersebut melaporkan bahawa Abdullah mengarahkan pihak polis “mempercepatkan siasatan terhadap kes-kes rasuah, termasuk isu Perwaja, supaya imej kerajaan tidak tercemar.”

Menurut akhbar berkenaan, Abdullah juga mahukan “tindakan segera bagi memerangi gejala rasuah” untuk memastikan imej kerajaan BN tidak terjejas.

Abdullah juga dipetik sebagai berkata bahawa “rasuah adalah penyakit yang perlu diperangi dengan serius dan berkesan dan tindakan-tindakan yang diambil mesti segera dan tepat.”

Menurut akhbar yang sama pada 13 November 2003, Abdullah pula mengeluarkan arahan berikut:

Benci Rasuah

“Semua siasatan kes rasuah diselesaikan bagi mengelakkan timbul tanda tanya mengenai status kes tersebut. Jika perkara (kes rasuah) itu disiasat, harap dapat tamatkan siasatan hingga akhirnya. Kita hendak tahu sama ada benar-benar berlaku rasuah atau tidak.”

Abdullah juga menggariskan strategi penting untuk mencegah amalan rasuah termasuklah menerusi retorika pendekatan “bekerja secara ikhlas dan menanam niat untuk tidak mahu terlibat dengan gejala tersebut.”

Katanya: “kita mesti berikrar untuk tidak mengamalkan rasuah yang juga dilarang oleh agama.”

Kedua-dua arahan dan kenyataan seperti di atas telah mendorong setetengah media tempatan membuat kesimpulan awal bahawa sejak mengambil alih jawatan daripada Mahathir, Abdullah dikatakan cukup konsisten dengan tekadnya untuk memerangi rasuah, terutama sekali dalam sektor pentadbiran awam.

Contohnya, salah sebuah saluran TV Malaysia yang membuat wawancara sempena 100 hari kepimpinan Abdullah, telah bertanyakan satu soalan mengenai rasuah. Abdullah memberikan jawapan seperti berikut:

Strategi Abdullah

“Rasuah adalah amalan jijik. Pendekatan lebih berkesan menangani rasuah hendaklah diterokai. Pendekatan pencegahan sama penting dengan pendekatan punitif. Pendekatan pencegahan yang lebih berkesan perlu difikirkan, antaranya melalui usaha mempercepatkan proses kerja, mengurangkan red tape, memperbaiki sistem penyampaian, meningkatkan mutu kerja dan melakukan audit kerja yang lebih kerap. Saya menyeru supaya matlamat membina perkhidmatan awam yang sifar rasuah tidak digagalkan oleh amalan kurang sihat di kalangan pihak swasta dan pihak yang tidak berada dalam kerajaan.”

Kepada satu soalan, sama ada rasuah telah mencapai tahap di mana rakyat Malaysia semakin hampir menjadikannya sebagai budaya atau sudah pun menjadi budaya, Abdullah pula menegaskan seperti berikut:

“Hakikat bahawa rasuah wujud di banyak tempat dan kita mendengar orang kena tangkap kerana rasuah, bagi saya ia cukup serius. (Tapi) ia belum sampai ke tahap kronik. Oleh sebab itu, kita kena betul-betul tunjukkan keseriusan dalam memastikannya tidak merebak. Saya mempunyai strategi, mengutamakan seksyen, jabatan yang banyak sekali berurusan dengan rakyat, di barisan hadapan. Yang kedua, jabatan yang mengeluarkan permit dan lesen, ini yang perlu ditangani dengan cepat.”

Tekad Abdullah untuk membanteras rasuah seperti yang saya huraikan dalam siri satu (4 Disember 2008) kelihatan semakin serius bila beliau “mempelawa pemimpin ASEAN untuk menghantar peserta ke Akademi Pencegahan Rasuah” yang akan ditubuhkan di Malaysia supaya mereka “membina kemampuan memerangi rasuah” di kalangan negara ASEAN.

Abdullah mengeluarkan pelawaan ini sewaktu berucap di Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun di Tokyo pada 12 Disember 2003. Menurut Utusan Malaysia, Abdullah satu-satunya pemimpin ASEAN yang menyentuh soal rasuah di persidangan berkenaan.

Pada 13 Januari 2004, Abdullah pula membuat kenyataan untuk membendung rasuah seperti berikut:

“Kerajaan akan menjadikan sistem pemberian tender terbuka sebagai amalan bagi mengurangkan rasuah dan mengekang peningkatan kos perniagaan di negara ini. Rundingan secara langsung pula akan dihadkan hanya kepada kes istimewa yang tertentu sahaja.”

Kenyataan Abdullah mengenai rasuah sewaktu beliau berada di Tokyo seperti di atas, nampaknya mendorong lebih banyak media spin di kalangan penulis tempatan. Umpamanya, pada 9 Februari 2004, Utusan Malaysia menyiarkan satu artikel berjodol Serius Memerangi Rasuah.

Agenda Tersendiri

Artikel ini seolah-olah membuktikan bahawa kenyataan-kenyataan Abdullah mengenai rasuah bukannya benar-benar untuk membanteras rasuah secara ikhlas dan jujur. Tetapi, seolah-olah mempunyai sesuatu agenda yang tersembunyi dan tersendiri.

Saya berpendapat begini kerana artikel berkenaan kelihatan berlebih-lebihan sangat dalam sanjungannya kepada Abdullah mengenai usaha membanteras rasuah. Ia juga seolah-olah mahu memberikan suatu mesej bahawa ada sesuatu yang tersirat di sebalik usaha Abdullah memerangi rasuah. Contohnya adalah seperti berikut:

“Dari hari pertama hingga ke hari yang ke-100 beliau memegang jawatan Perdana Menteri dan mungkin hingga beliau bersara pun, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mungkin akan terus memerangi rasuah. Semangatnya tinggi dan mantap untuk mencapai hajatnya itu. Kesungguhan Perdana Menteri tentu ada sebabnya. Beliau tidak menyatakan dengan jelas apa yang tersirat dan tersimpan di dalam sanubarinya. Abdullah tidak akan menyatakan. Tidak bijak untuk memaparkan siratan hati. Tetapi, serangan tanpa hentinya kepada amalan rasuah memperlihatkan wujudnya lembaga hitam yang dikendongnya selama ini yang menghantui pemikirannya.”

Daripada barisan kata-kata di atas, pasti kita akan bertanyakan diri sendiri, apakah yang dimaksudkan dengan “lembaga hitam” dalam artikel berkenaan dan apa pula “matlamat yang tersirat dan tersimpan” dalam sanubari Abdullah bila beliau memerangi rasuah?

Saya serahkan teka-teki di sebalik artikel tersebut kepada anda untuk mentafsirkannya mengikut daya imajinasi masing-masing. Bagaimanapun, seluruh perkembangan mengenai rasuah selepas penyiaran artikel berkenaan mungkin dapat memberikan jawapannya.

Orang Kenamaan

Contohnya, kajilah sendiri mengapakah liputan media terhadap usaha Abdullah membanteras rasuah jadi kian rancak dan seolah-olah sengaja diperbesar-besarkan setelah dua insan kenamaan ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) atas tuduhan rasuah.

Pada 9 Februari 2004, BPR menahan bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel Sdn. Bhd., Tan Sri Eric Chia Eng Hock, 71, berhubung kes penyelewengan dalam syarikat itu yang melibatkan kerugian RM2.9 bilion. Tiga hari berikutnya, iaitu pada 12 Februari 2004, Tan Sri Kasitah Gaddam selaku Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi dalam era interim Abdullah pula dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan melakukan rasuah dan penipuan berhubung keputusan meluluskan cadangan penjualan 16.8 juta saham Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS). Kasitah adalah orang kenamaan kedua yang ditahan oleh BPR di era awal kepimpinan Abdullah.

Kedua-dua kes di atas amat menarik. Ini kerana Eric Chia sering diperkatakan oleh segolongan rakyat Malaysia sebagai seorang sahabat Mahathir. Kasitah pula menteri yang dilantik oleh Mahathir. Oleh itu, adakah matlamat tersirat Abdullah memerangi rasuah di era awal kepimpinannya memang sebenar-benarnya untuk menempelak Mahathir?

Saya harap para pembaca akan ambil ingatan terhadap persoalan di atas kerana mutakhir ini (2008), salah satu masalah utama yang dikatakan menghantui kepimpinan Abdullah adalah masalah rasuah, salahguna kuasa, kronisme dan neopotisme.

Masalah ini tidak seharusnya wujud jika kesungguhan dan iltizam politik Abdullah dalam memerangi rasuah dan penyakit yang sejenis dengannya adalah benar-benar tulus, ikhlas dan jujur.

Saya juga meminta para pembaca untuk mengambil ingatan terhadap persoalan ini kerana kenyataan dan tindakan anti-rasuah yang dilakukan oleh Abdullah di era awal kepimpinannya memang seolah-olah dirancang oleh pihak-pihak tertentu ke arah sesuatu agenda yang juga tertentu.

Azam dan cita-cita Abdullah untuk membanteras rasuah memang amat terserlah dalam 130 hari pertama beliau jadi Perdana Menteri. Maka, lanjutan kepada tulisan saya mengenai tajuk di atas dalam siri satu (4 Disember 2008) dan dua (5 Disember 2008), sama-samalah kita ikuti kenyataan Abdullah mengenai rasuah pada 13 Februari 2004, yang dilaporkan oleh media tempatan seperti berikut:

“Kerajaan akan meneruskan perang menentang rasuah dan penyelewengan kewangan yang dilakukan oleh mana-mana firma dan syarikat perniagaan di Malaysia melalui penguatkuasaan undang-undang tanpa mengira siapa mereka. Seperti juga ahli politik, pemimpin korporat perlu mematuhi standard amalan etika yang tinggi dalam menjalankan perniagaan di samping menjaga kepentingan pelabur dan pemegang kepentingan. Langkah itu perlu diambil untuk mengukuhkan amalan tadbir-urus di negara ini sekaligus meneruskan pelaksanaan agenda-agenda penting yang terkandung dalam Dasar Penswastaan Malaysia. Tanpa sebarang rasa takut atau berat sebelah, mereka yang tidak mentadbir syarikat dengan betul akan menerima padahnya kerana penyalahgunaan serta penyelewengan oleh sebuah syarikat mampu merosakkan seluruh ekonomi negara.”

Pada 14 Februari 2004, sama ada secara terancang atau sebaliknya, media tempatan pula mendapatkan komen Tun Mahathir terhadap tindakan yang dikenakan ke atas Eric Chia dan Kasitah. Secara gentleman, Mahathir menjawab: “usaha membanteras rasuah secara bersungguh oleh kerajaan, termasuk penangkapan tokoh korporat dan Menteri Kabinet, merupakan sesuatu yang baik.”

Pada 15 Februari 2004, seolah-olah untuk menolak persepsi negatif di kalangan rakyat jelata ketika itu, Mingguan Malaysia pula menyiarkan secara panjang lebar, satu wawancara berjodol Lawan Rasuah Bukan Gimik Politik – Kesungguhan Perdana Menteri Cetus Kesan Psikologi Luar Biasa.

Bukti Awal

Mukadimah kepada wawancara dengan Presiden Transparency International Malaysia (TI), Tunku Abdul Aziz Ibrahim, adalah seperti berikut:

Pertuduhan rasuah ke atas dua individu ternama, tokoh perniagaan Eric Chia Eng Hock dan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Kasitah Gadam, dalam masa selang sehari menjadi berita paling hangat. Semua pihak umumnya melihat itu bukti awal kesungguhan kerajaan mahu memerangi rasuah.

Antara intisari utama di dalam wawancara tersebut pula adalah seperti berikut:

Tindakan Abdullah membanteras rasuah menunjukkan adanya keazaman politik yang tegas pada kerajaan untuk membanteras rasuah, tidak kira sama ada ia dilakukan oleh pegawai rendah polis, atau orang yang mempunyai pengaruh dan berkuasa. Ini petanda yang baik kerana sejak bertahun-tahun ini (di era Tun Mahathir) kerajaan telah hilang banyak kredibiliti manakala BPR pula dilihat tidak berkesan.

Tetapi, persepsi itu sekarang sedang berubah. Ini bukan hanya kerana sekarang kita melihat ada dua kes melibatkan orang kenamaan, tetapi kerana langkah-langkah yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan (pimpinan Abdullah).

Langkah-langkah yang digariskan oleh Abdullah sepatutnya dilakukan sejak lama dulu. Tetapi, apa yang menjadi hambatan ialah kurangnya political will. BPR telah melakukan yang terbaik, tetapi mereka juga terkekang oleh beberapa keadaan.

Dabik Dada

Negara ini sedang berubah. Rasanya seperti menghirup udara segar, seperti keluar dari Kuala Lumpur dan masuk ke Taman Negara.

Abdullah diingatankan supaya tidak dilihat terlalu banyak membuat janji-janji. Orang sedang memerhatikannya. Orang menunggu-nunggu apakah yang hendak dilakukan melalui Institut Etika Awam dan Pelan Integriti Nasional.

Abdullah belum lagi setahun menjadi Perdana Menteri. Masih terlalu awal untuk menilai apa yang telah dan sedang dilakukan (dalam konteks usaha membanteras rasuah).

Demikianlah intisari wawancara Mingguan Malaysia dengan Tengku Abdul Aziz. Memang sukar untuk dipastikan sama ada Abdullah membaca kandungan wawancara berkenaan. Tetapi, pada 16 Februari 2004, Abdullah seolah-olah mendabik dada mengenai tindakannya membanteras rasuah. Abdullah dilaporkan oleh Utusan Malaysia dengan jodol Abdullah: Perangi Rasuah Lahir Dari Hasrat Sendiri.

Hasrat Abdullah

Menurut laporan tersebut, Abdullah berkata bahawa tindakan tegas kerajaan dalam usaha memerangi sepenuhnya gejala rasuah adalah lahir daripada hasrat Abdullah sendiri walaupun tahap rasuah di negara ini tidak mencapai peringkat yang terlalu teruk. Akhbar berkenaan juga memetik Abdullah sebagai berkata seperti berikut:

“Apa-apa kenyataan yang dikeluarkan berkaitan usaha untuk membasmi rasuah adalah sebenarnya lahir daripada saya kerana saya menganggap bahawa rasuah itu jika dibenarkan, ia akan menjadi semakin parah.”

Pada 18 Februari 2004, Abdullah pula menyatakan di Tehran, Iran, bahawa beliau “komited dalam usaha perangi rasuah.”

Seterusnya, Abdullah memberi amaran berikut:

“Pihak berkuasa akan bertindak jika mempunyai bukti yang cukup serta berkeyakinan tindakan pendakwaan akan berakhir dengan pesalah rasuah menerima hukuman. Saya sentiasa komited dalam usaha memerangi rasuah kerana ia ibarat kanser yang boleh memusnahkan masyarakat.”

Gimik PRU11

Selanjutnya, Abdullah menegaskan bahawa usaha beliau memerangi rasuah bukannya satu gimik politik menjelang PRU11. Usaha itu, tambah beliau, akan berterusan sampai bila-bila. Kenyataan ini dibuat dalam satu wawancara dengan Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA) sempena lawatan Abdullah ke Iran untuk menghadiri Sidang Kemuncak D-8.

Setelah mengikuti seluruh kenyataan dan tindakan Abdullah seperti di atas, pastinya kita hairan mengapakah Abdullah membuat kenyataan anti-rasuah di Iran? Pasti kita juga tertanya-tanya, mengapakah Abdullah perlu menafikan bahawa tindakan anti-rasuah yang dilaksanakan di era awal kepimpinannya “bukannya satu gimik politik menjelang PRU11” tetapi satu tindakan “yang akan berterusan sampai bila-bila.”

Mengapakah Abdullah membuat penafian itu? Mungkinkah pemikiran sub-subsconcious Abdullah ketika itu menyedari bahawa tindakan beliau adalah semata-mata demi mencapai matlamat jangka pendek untuk menghalalkan sesuatu agenda rahsia oleh pihak-pihak tertentu, dan pada waktu yang sama, memang benar usaha beliau mengeluarkan kenyataan demi kenyataan mengenai rasuah adalah satu gimik untuk PRU11?

Bagaimanapun, soal sama ada usaha Abdullah membanteras rasuah seperti dihuraikan di atas hanya satu gimik PRU11 atau sebaliknya, memang sukar untuk dipastikan pada ketika tersebut. Seperti kata Tunku Abdul Aziz dalam wawancaranya dengan Mingguan Malaysia, “Abdullah belum lagi setahun menjadi Perdana Menteri. Masih terlalu awal untuk menilai apa yang telah dan sedang dilakukan (dalam konteks usaha membanteras rasuah).”

Saya telah huraikan dalam siri satu, dua dan tiga mengenai maudhuk di atas perihal kesungguhan Abdullah memerangi rasuah. Sekarang sama-samalah kita pastikan kesan tindakan anti-rasuah oleh Abdullah mulai awal 2004 dengan mengkaji perangkaan Indeks Persepsi Rasuah (IPR) yang dikeluarkan oleh Transparency International Malaysia, seperti berikut:

IPR di era Mahathir pada tahun 2002 adalah pada tangga ke-33 sementara IPR pada tahun 2003 adalah pada tangga ke-37. IPR di era kepimpinan Abdullah mulai tahun 2004, adalah pada tangga ke-39 bagi tahun 2005, di tangga ke-44 pada tahun 2006 di tangga ke-44, dan di tangga ke-43 pada tahun 2007.

Hakikat IPR seperti di atas membuktikan bahawa usaha-usaha pembanterasan rasuah yang dilakukan oleh Abdullah secara gembar-gembor mulai 31 Oktober 2003 terbukti tidak membawa impak yang positif. Sebab itulah tahap IPR di Malaysia kian merosot dari setahun ke setahun berikutnya, dari lingkungan tangga ke-30 di era Tun Mahathir ke lingkungan tangga ke-40 di era Abdullah.

Oleh itu, kalaulah pada 16 Februari 2004, Abdullah seolah-olah mendabik dada mengatakan bahawa tindakan tegas beliau memerangi rasuah sebenarnya lahir daripada hasrat beliau sendiri, mengapakah Abdullah tidak berupaya untuk menyekat IPR seperti di atas daripada terus meredum dari setahun ke setahun?

Di manakah iltizam politik Abdullah seperti yang dinyatakan oleh Tengku Abdul Aziz, sebagai telah menyebabkan Malaysia “berubah” dalam konteks perjuangan membanteras rasuah, mulai awal 2004?

Anti-Klimeks

Dan, salahkah kalau perangkaan IPR di atas digunakan oleh rakyat untuk menempelak Abdullah, yang pada 18 Februari 2004, menyatakan di Tehran, bahawa usahanya membanteras rasuah bukannya sebagai gimik politik menjelang PRU11?

Pada waktu yang sama, cukupkah bagi Abdullah sekadar mengheret soal rasuah di Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, pada 14 September 2005, semata-mata untuk memberitahu komuniti antarabangsa, bahawa kononnya kepimpinannya “masih belum hilang tumpuan dalam usahanya memerangi rasuah”?

Demikianlah ironisnya kisah Abdullah dan usaha-usaha pembanterasan rasuah di era awal kepimpinannya. Ironi dan situasi anti-klimaks inilah yang menyebabkan saya, dalam siri satu tulisan ini, meminta para pembaca mencari jawapan terhadap persoalan sama ada Abdullah benar-benar ikhlas dan jujur dalam usahanya membanteras rasuah di era awal kepimpinannya.

Saya juga meminta para pembaca memikirkan sama ada usaha Abdullah membanteras rasuah sebenarnya dimanipulasikan oleh sesetengah pihak tertentu untuk mencapai agenda rahsianya yang tersendiri. Dan, mungkinkah salah satu agenda rahsia itu adalah untuk mencipta persepsi umum, kononnya Abdullah adalah pejuang anti-rasuah yang tulen dan ulung di Malaysia, dengan harapan persepsi palsu ini membolehkan pihak-pihak tertentu melakukan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dengan sewenang-wenangnya di era kepimpinan Abdullah, tanpa dipercayai oleh rakyat jelata bahawa Abdullah adalah antara pihak yang terlibat sama dalam jenayah berkenaan, baik secara langsung atau secara tidak langsung?

Persoalan-persoalan di atas saya lontarkan kepada para pembaca kerana salah satu masalah utama yang dipercayai mencengkam kepimpinan Abdullah mutakhir ini adalah masalah rasuah, salahguna kuasa, kronisme dan neopotisme. Dan, jika usaha Abdullah membanteras rasuah bukan sekadar gimik politik, mengapakah di era kepimpinan beliau mutakhir ini terdapat seribu satu masalah membabitkan rasuah, kronisme, salahguna kuasa dan neopotisme?

Kronisme

Hakikat rasuah, salahguna kuasa, kronisme dan neopotisme ini tidak perlu dihuraikan dalam siri ini secara terperinci. Cukuplah sekadar kita tanyakan kepada Abdullah soal skandal ECM Libra yang membabitkan Khairy selaku menantunya. Mengapakah siasatan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia yang menyiasat dakwaan salahguna kuasa dan neopotisme ke atas kes ini seolah-olah berdolak-dalik dan takut-takut dalam usahanya membongkarkan kebenaran yang sebenar-benarnya?

Adakah mereka menghadapi tekanan oleh pihak-pihak tertentu, termasuk daripada Abdullah sendiri? Mengapakah Abdullah seolah-olah tidak prihatin terhadap suara rakyat yang menuntut ketelusan dalam isu ini?

Di manakah iltizam politik yang ditunjukkan oleh Abdullah pada era awal kepimpinannya untuk membanteras kes-kes seperti ini? Tidakkah Abdullah insaf bahawa sikap double standard beliau dalam menangani kes ECM Libra ini menghakis keyakinan rakyat kepada beliau, kepada BN dan kepada kerajaan Malaysia?

Mengapakah pihak media yang pada awalnya berlebih-lebihan sangat ulasannya mengenai tindakan anti-rasuah Abdullah, kemudiannya seolah-olah jadi bisu dan membatu dalam kes ECM Libra?

Sesudah itu, kita tanya kepada Abdullah mengenai kisah wang rakyat sejumlah lebih tiga bilion ringgit untuk projek Port Klang Free Zone (PKFZ) yang kini seolah-olah lesap ditelan jutaan toyol? Dalam kes ini, kita ulangi soalan-soalan yang sama seperti di atas – ketelusan Abdullah, keikhlasan Abdullah, iltizam politik Abdullah, double standard Abdullah, peranan media di bawah kawalan Abdullah dan seluruhnya.

Keyakinan

Dan, kita juga ulangi, tidakkah Abdullah insaf bahawa skandal ini juga menyebabkan rakyat jelata hilang keyakinan terhadap Abdullah, BN dan kerajaan Malaysia mutakhir ini?

Berikutnya, banyak lagi kisah skandal yang terjadi di era kepimpinan Abdullah yang rata-ratanya juga dikesampingkan seolah-olah ianya tidak pernah terjadi. Antara kisah yang tidak boleh diketepikan termasuklah kisah bagaimana wang beratus-ratus juta ringgit dikatakan telah digunakan oleh kroni Khairy untuk projek Monsoon Cup di Terengganu.

Berhubung kait dengan projek Monsoon Cup ini, pihak pembangkang pernah menggesa BPR pada 2006, supaya menyiasat perjalanan pengendalian beberapa projek Kerajaan Negeri Terengganu, termasuk Monsoon Cup, memandangkan wujudnya unsur-unsur yang meragukan dalam pengurusan kewangan projek-projek terbabit.

Begitulah hakikatnya mengenai Monsoon Cup. Tetapi, rasanya cukuplah hanya setakat ini. Kita lupakan sahaja kes-kes dakwaan rasuah yang lain-lainnya, termasuk yang didakwa sebagai membabitkan segelintir menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri dan juga segelintir personaliti dalam BPR.

Saya tidak tergamak untuk menyenaraikan kes-kes ini satu persatu di sini kerana senarainya amat panjang dan impaknya amat menyayat hati rakyat jelata. Para pembaca yang berminat mengetahui kes-kes ini secara mendalam, selongkarlah sendiri kisah-kisahnya daripada beberapa laman web tertentu.

Angkara

Bagaimanapun, wajar sekali lagi kita persoalkan di sini, mengapakah usaha Abdullah membanteras rasuah yang terlalu hebat, rancak dan fokus di era awal kepimpinannya, kini jadi seolah-olah hangat-hangat tahi ayam sahaja?

Akhir sekali, sama-samalah kita beritahu Abdullah bahawa kegagalan beliau meneruskan usahanya membanteras rasuah kini terbukti menjadi salah satu punca rakyat menyanggah kepimpinannya, BN dan kerajaan Malaysia secara habis-habisan menerusi PRU12 baru-baru ini.

Kita jelaskan kepada Abdullah, inilah antara satu angkara yang beliau lakukan sebagai pemimpin utama Malaysia. Kita juga jelaskan kepada Abdullah, inilah antara angkara utama beliau yang menyebabkan populariti beliau sentiasa meredum.

Sebagai penutup kepada siri tulisan ini, observation saya mengenai usaha pembanterasan rasuah oleh Abdullah adalah seperti berikut:

Abdullah telah menggembar-gemborkan soal membanteras rasuah di era awal kepimpinannya hanya sebagai gimik PRU11. Inilah hakikatnya – soal pembanterasan rasuah digembar-gemborkan oleh Abdullah hingga ke peringkat maksima hanya sebagai gimik untuk menambat sokongan rakyat menjelang PRU11.

Mati Langkah

Kalau tidak, kenapa usaha Abdullah membanteras rasuah jadi mati sekerat jalan selepas PRU11? Kalau tidak, bagaimanakah Abdullah seolah-olah hanya memekakkan telinga dan memejamkan mata terhadap kes ECM Libra yang membabitkan Khairy dan Kalimullah?

Jika hakikatnya bukan gimik PRU11, mengapakah dalam manifesto PRU12 Abdullah tidak berani langsung menyentuh mengenai misinya untuk membanteras rasuah seperti yang terkandung dalam manifesto PRU11?

Mungkinkah kerana janji-janji membanteras rasuah dalam manifesto PRU11 adalah hanya sekadar janji di mulut sahaja? Mungkinkah usaha pembanterasan rasuah yang diwar-warkan menjelang PRU11 sengaja mahu dilupakan supaya rakyat jelata juga akan terlupa mengenainya?

Akhir sekali, Abdullah telah berjanji akan mengosongkan kerusi Perdana Menteri pada Mac 2009. Kini beliau cuma ada lebih kurang tiga bulan lagi.

Kalau sepanjang 31 Oktober 2003 hingga menjelang PRU12 beliau seolah-olah termati langkah mengenai usahanya membanteras rasuah, mengapakah baru sekarang baru beliau berkata bahawa usaha membanteras rasuah jadi satu daripada agenda terakhir dalam perjuangannya?

Apakah usaha ini mempunyai udang di sebalik batu? Atau, munginkah wujud seseorang insan yang hendak melukut di tepi gantang di sebalik agenda ini? Untuk mendapatkan kepastiannya, sama-samalah kita perhati dan ikuti apa yang akan terjadi dengan agenda terakhir Abdullah ini!

NOTA PENGHUJUNG: MASALAH RASUAH AGENDA TERAKHIR ABDULAH

Minggu lalu saya siarkan siri posting mengenai usaha-usaha pembanterasan rasuah oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Kesimpulan kepada tulisan itu adalah: imej Mr. Clean Abdullah telah dimanipulasikan oleh segelintir pihak di sekelilingnya menerusi gagasan propaganda anti-rasuah yang amat ghairah. Gagasan propaganda anti-rasuah ini akhirnya dijadikan topeng oleh pihak berkenaan untuk melindungi karenah penyalahgunaan kuasa, neopotisme dan kronisme mereka yang tidak putus-putus disorot dan dibicarakan hingga ke hari ini.

Saya menerima komen pelbagai rupa terhadap siri tersebut. Ada yang merasa jelek dan loya tentang kisah-kisah membabitkan rasuah. Ada yang beranggapan saya siarkan siri itu untuk memperkecilkan perjuangan Abdullah. Ada yang kata, kenapa tidak disorot soal rasuah di era Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tetapi, ada juga yang setuju dengan kesimpulan di atas.

Kepada semua pihak, ini jawapan saya. Isu pembanterasan rasuah amat terserlah di era awal kepimpinan Abdullah. Sebab itu rakyat jelata mengalu-alukannya dengan harapan tinggi melangit. Ini kerana pada ketika itu Abdullah dihadirkan ke persada kepimpinan negara dengan imej Mr. Clean. Imej itu pula diperkukuhkan lagi menerusi persepsi yang lahir daripada puisi Abdullah berjodol Aku Cari Damai Abadi.

Hakikat ini berbeza dengan Mahathir yang menerajui negara dengan imej Melayu Ultra. Mahathir juga berusaha memerangi rasuah dan kemungkaran lainnya menerusi slogan Kepimpinan Melalui Teladan serta Penerapan Nilai-Nilai Islam. Ini bermakna Mahathir bertindak menerusi pendekatan insani untuk mewujudkan sikap, nilai dan gaya hidup yang murni. Sebaliknya, Abdullah bertindak menerusi langkah perundangan dan kewujudan institusi anti-rasuah.

Pemupukan Jiwa

Dalam ertikata lain, Mahathir bertindak menentang rasuah menerusi pemupukan minda, roh dan jiwa yang disasarkan kepada seluruh rakyat jelata secara subtle. Abdullah pula bertindak memerangi rasuah menerusi kewujudan kerangka institusi dan ketegasan undang-undang yang direct kepada kumpulan sasar jenayah berkenaan.

Bagaimanapun, tindakan Abdullah penuh ironi dan kontradiksi. Gagasan anti-rasuah beliau yang bermula dengan gembar-gembor yang amat lantang kemudiannya sunyi sepi di pertangahan jalan. Bila sudah mengumumkan persaraannya, barulah Abdullah bersuara semula bahawa beliau memerlukan waktu untuk melaksanakan agenda anti-rasuahnya sehingga berjaya.

Dalam vacuum masa yang wujud di antara fasa kegembar-gemboran gagasan anti-rasuah Abdullah pada awal 2004 dengan kenyataannya mahu membereskan isu rasuah sebelum bersara, rakyat jelata disuguhkan pula dengan pelbagai dakwaan dan tuduhan neopotisme, kronisme dan penyalahgunaan kuasa yang dikatakan membabitkan Abdullah atau sesetengah anggota keluarganya.

Anehnya, segala dakwaan ini terus tinggal dakwaan hingga ke hari ini. Persepsi negatif yang timbul daripada dakwaan ini juga langsung tidak diperbetulkan. Negativiti ini pun menghakis keyakinan sekelompok rakyat jelata yang pada awalnya menggantungkan harapan tinggi kepada Abdullah dalam memerangi rasuah.

Manipulasi

Sebab itulah Abdullah kini ditempelak bila beliau berbicara mengenai anti-rasuah. Antara sebabnya adalah manipulasi, ironi dan kontradiksi di atas. Antara akibatnya, janji memerangi rasuah yang dimaktubkan dalam Manifesto BN bagi PRU11 pun langsung tidak dimaktubkan lagi, waimah sepatah kata pun, dalam Manifesto BN bagi PRU12.

Perkara ini benar, tetapi jadi politically incorrect, bila disuarakan secara hitam-putih. Ia jadi politically incorrect khususnya kepada pihak yang membuat kesimpulan minda berasaskan ketaksuban tanpa batas kepada Abdullah. Ia juga jadi politically incorrect kepada mereka yang wujud di persekitaran kepimpinan mutakhir atas motivasi wang dan ringgit, pangkat dan darjat, yang boleh digapai secara lumayan, mudah dan cepat.

Sebab itulah pihak-pihak ini cepat-cepat membidaskan sesiapa jua yang membicarakan kisah Abdullah dan gagasan anti-rasuahnya secara tajam. Mereka gagal menerima hakikat bahawa pembicaraan seperti ini bukannya kontra kepada Abdullah atau pro kepada Mahathir.

Pihak-pihak ini juga enggan menerima realiti bahawa Abdullah kini merupakan Mr. Clean yang sentiasa dipertikaikan kesahihannya. Sebaliknya, Mahathir pula adalah Melayu Ultra yang kini diterima sebagai negarawan ulung.

Langit Dan Bumi

Beza antara Abdullah dan Mahathir bagaikan langit dan bumi. Walaupun Mahathir tidak gembar-gembor mengenai anti-rasuah, Indeks Persepsi Rasuah di era beliau tidaklah setinggi indeks di era Abdullah. Legasi kepimpinan beliau juga tetap pelbagai corak dan warnanya.

Meskipun Abdullah gembar-gembor memerangi rasuah, Indeks Persepsi Rasuah di era beliau terbukti kian meningkat. Sebab itulah hingga ke hari ini rakyat jelata masih menanti penghujung dan kejayaan kepada perjuangan Abdullah menentang rasuah. Jika kita sanggup berfikir secara waras, pasti kita mampu memperincikannya.

Kini Abdullah mempunyai masa kira-kita tiga bulan untuk membereskan perjuangannya membanteras rasuah. Moga-moga perjuangan ini akan jadi satu-satunya legasi Abdullah yang akan dikenang zaman berzaman!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: