ABDULLAH TERLUPA DUA JANJINYA?

Mana kenyataan rombakan Kabinet dan penyelesaian ‘kemelut wanitaUMNO’?

Perdana Menteri sudah pulang dari lawatan ke Turkmenistan kira-kira 20 hari.

Ketika di Ashgabat pada 19 November lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menolak kemungkinan akan membuat satu rombakan Kabinet yang melibatkan perubahan dan pengubahsuaian portfolio dalam masa terdekat.

Sementara sehari sebelum itu di Tashkent Uzbekistan, Abdullah yang juga Presiden UMNO, akan ‘menyelesaikan’ kemelut dalam pergerakan Wanita parti itu sebaik sahaja beliau kembali ke tanah air dari lawatan rasminya ke dua buah negara di Asia Tengah itu.

Apakah Abdullah menunggu keputusan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu untuk melakukannya?

Apakah bakal calon Barisan Nasional (BN) jika menang bukan sekadar mengisi jawatan Timbalan Menteri, sebaliknya akan dinaikkan pangkat menjadi Menteri kerana memenangi pilihan raya kecil itu?

Abdullah ketika di Ashgabat berkata: “Rombakan itu tidak hanya untuk mengisi jawatan yang kosong (itu sahaja).”

Berikutan itu, banyaklah ramalan dan andaian nakal termasuk mengatakan Naib Presiden UMNO yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam akan dilantiki menjadi Menteri.

Tujuannya ialah memperkukuhkan kedudukan beliau untuk bertanding Timbalan Presiden UMNO.

Sementara Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pula akan ditukarkan ke kementerian lain kerana Abdullah merasakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu sudah ‘melampau’ dan terlalu ‘laju’ mengejar kedudukan dalam parti.

Abdullah pernah berang dengan Muhyiddin ketika di Kota Kinabalu apabila menegur menteri berkenaan kerana kenyataan-kenyataannya berkaitan peralihan kuasa.

“Rombakan Kabinet itu akan melibatkan perubahan dan pengubahsuaian portfolio. Semua kemungkinan rombakan itu sentiasa ada,” katanya kepada sekumpulan wartawan Malaysia yang mengikuti lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara berkenaan.

Berikutan itu timbul juga spekulasi bahawa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai menteri kepada Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat, bagaimanapun tiada sebarang surat perletakan jawatan dibuat.

Bernama yang memetik sumber sebagai berkata, Ka Chuan menyerahkan “surat peletakan jawatan tanpa tarikh” ekoran kekalahannya dalam pemilihan parti 18 Oktober lalu.

Ka Chuan tewas kepada bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dalam saingan merebut jawatan Timbalan Presiden.

Dalam isu kemelut Pergerakan Wanita UMNO, Presiden itu berjanji akan menyelesaikannya, sebaik sahaja beliau kembali ke tanah air dari lawatan rasminya ke dua buah negara di Asia Tengah.

Katanya, beliau tidak mahu memihak kepada mana-mana pihak “kerana tidak mahu mengganggu mereka”, namun beliau tidak mahu masalah itu akan membawa kepada perpecahan hingga pergerakan itu menjadi lemah.

“Saya dengar ada berlaku perebutan dan persaingan di dalam pergerakan itu. Mereka yang bagi undi kepada calon-calon ini mungkin nak biar semua ini berlaku, tapi saya berharap janganlah berlaku perpecahan,” katanya.

Namun sehingga kini tiada penyelesaian konkrit terhadap kemelut berkenaan dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kini sah akan menentang Ketua Wanita sekarang, Tan Sri Rafidah Aziz.

Shahrizat mendapat 73 pencalonan untuk bertanding dengan penyandang, Tan Sri Rafidah Aziz bagi jawatan Ketua Wanita, dan 113 pencalonan untuk jawatan Naib Ketua.

Abdullah sudah menasihatkan mereka apabila berkata: “Saya tidak mahu perpecahan, pergaduhan hingga jadi lemah. Wanita bukan pergerakan yang cetek dan bukannya baru.”

Beliau berjanji akan mencari penyelesaian bagi memelihara kekuatan pergerakan itu.
Sehingga kini belum ada formula menyelesaikan kekusutan Wanita UMNO Malaysia diumumkan.

Apakah dengan sunyi dan sepinya kenyataan daripada Shahrizat dan Rafidah kebelakangan ini adalah hasil campurtangan Abdullah?

Jika demikian, Presiden UMNO itu sudah mengotakan janjinya tetapi berdasarkan kedudukan sekarang, kita boleh menunggu apa cadangan beliau mengatasi kemelut ini dalam masa tedekat.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: