KUALA TERENGGANU – SERAMPANG DUA MATA

(Bahagian Keempat)

Duduk-duduk bersembang dengan beberapa rakan dan kenalan baru di coffee house Hotel Primula, Kuala Terengganu semalam, menyegarkan.

Walaupun mulanya agak mengantuk kerana sedikit penat selepas memandu di dalam hujan yang kadangkala menjadi lebat sepanjang perjalanan dari Jabi ke Kuala Terengganu, petang semalam, tetapi apabila berbual mengenai politik, mata serta merta menjadi ‘terang’.

Dan perbualan kami sudah pasti tertumpu kepada pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Antara rakan yang duduk semeja dengan saya semalam ialah Hamid Salleh, stringer ‘setia’ Berita Harian yang baru lepas hampir dua minggu membuat laporan mengenai pertandingan Monsoon Cup di Terengganu dan ADUN Nenggiri (kawasan Parlimen Gua Musang) YB Mohd. Yusof Ab. Ghani yang kebetulan berada di Kuala Terengganu kerana berhari raya di rumah keluarga isterinya.

Tetapi perbualan semalam tidak pun menyentuh pertandingan Monsoon Cup. Tiada siapa pun nampaknya berminat mengenai siapa menang atau bagaimana kejohanan itu berlangsung kali ini berbanding tahun lalu.

Yang menjadi tajuk utama perbualan ialah ‘pertembungan’ di Kuala Terengganu pada 16 Januari depan dan bagaimana pilihan raya ini akan digunakan oleh pelobi calon pemilihan UMNO.

Jadi tajuk siapa calon, bolehkah UMNO/Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasa dan sebagainya, yang sepatutnya menjadi tajuk hangat kurang menyerlah, sebalikinya isu kedatangan ‘pembantu luar’ yang berkempen untuk BN, khususnya daripada UMNO, yang mempunyai serampang dua mata menjadi tumpuan.

Apakah dimaksudkan dengan ‘serampang dua mata’?

Kita semua mungkin masih ingat bagaimana pilihan raya kecil Kuala Berang dijadikan ‘medan kempen’ untuk jawatan tertinggi UMNO pada 2004.

BN dan UMNO ketika itu agak kuat, apa lagi Gelombang Biru sedang melanda Terengganu tetapi kali ini, suasananya sangat berbeza.

Mungkin merasakan ketika itu UMNO kuat, ketika kempen pilihan raya begitu rancak dijalankan pada pilihan raya kecil berkenaan, agen-agen calon Majlis Tertinggi (MT) UMNO menggunakan peluang mendekati rakyat dan pemimpin UMNO peringkat Bahagian yang datang di Hulu Terengganu untuk ‘menjaja nama calon-calon yang mereka sokong’ agar mengundi mereka pada pemilihan MT pada pemilihan tahun itu.

Bukan setakat itu sahaja, ada agen-agen yang hanya menjenguk sahaja Kuala Berang dan selebihnya ‘melancong seluruh negeri Terengganu’ sambil menjaja nama calon mereka.

Kebimbangan mengenai perkara ini bukan di Kuala Terengganu sahaja, malah di Kuala Lumpur pun sama.

Ketika berbual-bual dengan beberapa rakan, termasuk perwakilan yang akan ke Perhimpunan Agung UMNO Mac nanti, mereka turut bimbang kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini akan menjadi medan ‘kempen’ bagi memenangkan calon MT, bukannya calon pilihan raya.

Kali ini, perkara yang sama mungkin berulang pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu antara 6 dan 17 Januari depan.

Kerana itu Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini, selain dijangka akan menumpukan kepada strategi dan persiapan awal pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari ini, soal ‘kempen MT’ ini akan turut diperkatakan.

Dengan kata lain, BN perlu meletakkan strategi tertentu untuk memastikan petugas yang datang untuk berkempen pilihan raya hanya memberi tumpuan kepada kempen pilihan raya kecil.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata petugas akan dijamin supaya tidak terbabit atau juga mengambil kesempatan meraih sokongan untuk pemilihan parti.

Katanya: “Antara agendanya ialah tentang strategi apa yang patut dilakukan dan bagaimana untuk mendapat majoriti lebih baik daripada 628 undi pada pilihan raya umum lalu.”
Mengenai calon, Tengku Adnan berkata calon yang bakal dipilih, akan diumumkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam masa segera selepas meneliti beberapa kriteria tertentu yang diguna pakai selama ini.

Bimbang dengan perbuatan ‘berkempen untuk calon MT’, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberikan ingatan agar calon yang bertanding bagi pemilihan Umno pada Mac ini tidak menyalahgunakan kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu untuk kepentingan peribadi, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memenangkan BN.

Calon jawatan UMNO juga perlu mengelak daripada membangkitkan sentimen peribadi yang boleh mengalihkan tumpuan ketika kempen pilihan raya kecil berkenaan kerana ia boleh menggugat perpaduan ahli sekaligus berisiko membawa kekalahan kepada Umno dan BN.

Muhyiddin turut melihat akan wujudnya kecenderungan berlaku perkara itu memandangkan pilihan raya kecil berkenaan yang hampir dengan pemilihan Umno.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dipengerusikan Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini juga membincangkan perkara itu untuk diambil tindakan sewajarnya.

Najib yang juga Pengarah Pilihan Raya parti turut mengingatkan semua ahli MT supaya mengetepikan kepentingan peribadi termasuk mengelak daripada melakukan kempen individu sepanjang tempoh berkenaan bagi memastikan kejayaan parti dalam pilihan raya kecil itu.

Najib dan Muhyiddin, khususnya, sudah mengingatkan calon UMNO supaya soal pemilihan parti perlu diketepikan dulu, kerana tempohnya masih lama iaitu sehingga Mac depan.

Jika berasaskan pepatah Melayu – serampang dua mata – bermakna mengena kedua-dua saranan yang untungnya pada nilai sama rata.

Namun jika pelobi UMNO sebaliknya hanya menekankan kempen untuk MT dan kurang tumpuan kepada pilihan raya kecil, ini boleh memberikan kesan buruk kepada calon BN pada pilihan raya ini.

Pada ketika semua jentera Pakatan Rakyat – PKR, PAS dan DAP – memberikan tumpuan bagi memenangkan calon mereka, menjadi cabaran kepada petugas BN meletakkan tumpuan bagi memenangkan calon mereka.

Lupakan seketika pemilihan UMNO dan tumpukan kepada menjamin kemenangan BN pada pilihan raya kecil ini.

Persoalannya, apakah nasihat Najib dan Muhyiddin akan dipatuhi?

(Bersambung – siapa calon)

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: