KUALA TERENGGANU – MAT SABU KEMBALI LAGI?

(Bahagian Ketiga)

Menyusuri bandar Kuala Terengganu – pulang berhari raya Aidiladha – masih kelihatan aman tanpa poster pilihan raya. Saya dapat gambarkan betapa bandar ini akan menjadi ‘meriah’ apabila tiba pilihan raya kecil nanti.

Saya yakin dengan bermulanya penamaan calon pada 6 Januari depan, Kuala Terengganu akan bertukar kepada ‘medan pertempuran’ antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Malah, pertempuran pandangan melalui komen – sama ada melalui email atau sms – mengenai pilihan raya kecil ini semakin banyak saya terima daripada pembaca dan rakan-rakan yang memperkatakan mengenai pilihan raya kecil ini.

Ada pendapat nakal daripada pengomen bungaraya pada 2 Disember lalu, melalui posting awal saya “KUALA TERENGGANU – PAS, PKR BEREBUT” pada 2 Disember lalu, mengenai pilihanraya kecil Kuala Terengganu.
bungaraya mengatakan: “Kenapa tidak Datuk Seri Idris Jusoh menjadi calon BN. Ini satu cara yang terbaik untuk mengubat luka lama.

Menteri Besar sekarang sendiri yang harus mencadangkannya. Pak Najib boleh menjadikannya Menteri Persekutruan suatu hari nanti. Okey kan? BN Trengganu tentu rasa terlepas dari tekanan kerana Mantan MB itupun bukannya calang-calang orang. Telah mampu membuktikan kepimpinannya.”

Tetapi lebih menarik, Mummy Rokiah pada tarikh sama melontarkan komen berikut: “Terengganu? Sesiapa juga calon itu faktor nombor 2. Faktor utama ialah MB Ahmad Said dengan Idris Jusoh mesti berganding tangan dengan ikhlas, jujur dan tulus. Jika ini tidak jelas, BN akan kecundang.”

Pendapat bungaraya sukar dilakukan (ada banyak perkara sensitif di Terengganu) walaupun ada kemunasabahnya. Ini bermakna Idris yang kini ADUN juga bertanding kerusi Parlimen.

Parlimen Kuala Terengganu dimenangi Allahayarham Datuk Razali Ismail dengan majoriti 628 undi apabila menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dan seorang calon bebas, Maimun Yusuf.

Bagaimanapun tiga dari kerusi DUN di menangi PAS iaitu Ladang, Batu Buruk dan Wakaf Mempelam. Sementara BN menang di DUN Bandar yang diwakili oleh MCA. Ladang, yang umumnya sukar dimenangi pembangkang, dimenangi PAS baru-baru ini dengan 31 undi sahaja. PAS juga pernah menguasai kerusi DUN ini pada 1999.

Satu faktor yang juga penting ialah sokongan padu orang Cina Terengganu terhadap Barisan Nasional yang membolehkan DUN Bandar dimenangi BN cukup membuktikan pada pilihan raya kali ini BN memerlukan sokongan mereka.

Pendapat kedua sangat menarik dan ini dinanti-nantikan. Memang wajar sementera
Mohd Sayuti Omar (MSO) menggariskan lima ‘fatwanya’ untuk PAS menang di Kuala Terengganu.

Yang penting kini Mat Said dan Idris Jusoh perlu membuktikan kepada pengundi Terengganu bahawa mereka berdua hanya ‘orang yang menurut perintah’ dan bukan penentu untuk jawatan Menteri Besar.

Dalam konteks ini baik juga ditinjau dahulu lima ‘fatwa’ oleh Mohd Sayuti Omar (orang rapat dengan kepimpinan PAS dan dikatakan ada pengaruh ) (lihat http//:msomelayu.blogspot. com) melalui blognya untuk direnung bersama. Kata Sayuti, fatwa untuk merampas kerusi itu mudah saja, sesiapa pun saya rasa ada menyimpan fatwa ini dalam kepala dan bersetuju dengannya.

Saya tidak menurun fatwa Sayuti di sini, sebaliknya saya juga ingin menurunkan ‘lima fatwa balasan + 1” untuk BN menang di Kuala Terengganu.

Tetapi saya rasa fatwa ini sukar sedikit untuk dilaksanakan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) sekiranya ahli UMNO meletakkan kepentingan lain – selain menang pilihan raya – sebagai asas sokongan mereka pada pilihan raya kali ini.

1. UMNO dan parti komponen BN lain hendaknya menghadapi pilihan raya itu secara bersama tanpa ada ‘keluk kelik’ dengan mengambil kira perkara yang titik bengit. UMNO dan komponen BN harus sepakat dalam membuat kenyataan atau memberi pandangan tentang pilihan raya berkenaan bagi mengelakkan ianya dieksploitasikan oleh media massa. Sejauh ini BN tidak membuat kenyataan awal seperti Mursyiul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahukan Mohamad Sabu;

2. Parti komponen BN lain, perlu bekerja keras dan jangan menganggap ini calon UMNO tetapi BN. Tunjukkan ‘ribut dalam secawan kopi’ ialah amalan biasa dalam BN. Jangan timbulkan isu-isu yang menyentuh perpaduan kaum dan persefahaman mengamalkan agama masing-masing. PKR dan PAS ada masalah kerana PKR masih terasa dengan sikap Pesruruhjaya Pas Terengganu, Mustafa Ali yang sebelum ini bersikap dingin dengan Penasihat PKR, Anwar Ibrahim dan tidak berkecimpungan dalam pilihan di Permatang Pauh dulu. Tidak tahulah aka nada perbuatan membalas dendam atau sebaliknya;

3. Pemimpin utama komponen BN khususnya MCA, Gerakan atau juga PPP, dan dari Sabah dan Sarawak perlu turun sendiri semasa hari penamaan calon, mengiringi calon BN seperti mana ditunjukkan oleh Mursyidul Am Pas, yang datang bertongkat pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh menyokong Anwar. Berkubulah di situ dan secara tidak langsung juga cara itu boleh memulihkan persepsi kurang elok di kalangan penyokong BN dan tunjukkan perpaduan dalam BN;

4. Kalangan UMNO sendiri juga kena bersatu. Walaupun tidak ada kumpulan seperti dalam PAS seperti ‘Erdogan atau Pas klon’ perbuatan ‘cas keting’ akan merugikan BN. Kalau ada pihak yang melakukan demikian, boleh buang daripada parti. Jelaskan sebaik-baiknya kenapa orang seperti Datuk Zaid Ibrahim mesti disingkir; dan

5. Soal calon dalam BN tidak ada masalah. Dia mesti calon yang boleh diterima oleh semua pihak. Seperti juga PAS, pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini memberi erti dan signifikannya yang tersendiri – Umno dan BN. Kejayaan UMNO dan BN akan membuktikan bahawa pilihan raya itu akan menjadi petunjuk apakah pengundi Terengganu khasnya di Kuala Terengganu tidak keliru atau kecewa dengan kegagalan projek 16 September.

Faktor tambahan bagi saya ialah yang membabitkan MCA – Faktor ini sama pentingnya dengan faktor lain kerana MCA menguasai satu kerusi DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu.

Saya yakin pembangkang akan cuba mempengaruhi orang bukan-Melayu dengan janji-janji mereka, khususnya daripada Parti Keadilan Rakyat. Sebelum ini bukan-Melayu di Kuala Terengganu mungkin belum pernah terdedah denhan janji PKR tetapi sudah biasa dengan PAS.

Dengan janji dan harapan masa depan PKR yang sejauh ini berjaya mempengaruhi bukan-Melayu di Pantai Barat, apakah bukan-Melayu khususnya orang Cina di Kuala Terengganu akan turut termakan umpan PKR?

(Bersambung)

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: