PRODUK KRAF TANGAN MALAYSIA DIJUAL DI HARRODS

Tak percaya? Mimpi di siang hari?

Terfikirkah kita bahawa produk kraftangan kita mampu memasuki gedung jualan terkemuka di Kota London?

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebaliknya tetap yakin ia akan berlaku.

Ini kerana pusat beli-belah terkemuka Harrods di London sudah mengenal pasti 60 peratus produk kraf tangan dari Malaysia untuk dijual di situ menjelang awal tahun depan.

Antara produk dipilih ialah batik dan songket yang mendapat perhatian pegawai-pegawai Harrods yang melihat barangan itu dalam beberapa acara pameran.

Benarkah berita ini? Khayalan semata-mata?

Apa baiknya produk kraftangan Malaysia hingga boleh memasuki Harrods?

Kita berharap dan berdoa Mohd Shafie dapat menjadikan usaha ini sebagai kenyataan kerana produk kraftangan Malaysia juga bernilai dan penting sebagai pendapatan untuk mereka yang mengusahakannya.

Saya masih ingat pada pertengahan 1990an, pemilik gedung, Mohamed Al-Fayed pernah datang ke Malaysia kerana menghadiri satu pameran produk yang diadakan di Carcosa Sri Negara. Kuala Lumpur.

Inisiatif ini dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir dan menarik ramai pelabur dan pengusaha Malaysia menyertai pameran berkenaan.

Harapan cukup besar waktu itu bahawa produk kita bukan sahaja masuk tetapi kekal di jual di gedung berkenaan. Namun, selepas beberapa ketika kempen untuk menjamin barangan memasuki Harrods, dingin kembali.

Untuk memasuki gedung perniagaan di Brompton Road di Knightsbridge, London itu, sudah pasti produk dari kawasan-kawasan terpencil di Malaysia menjadi barangan antarabangsa yang setanding dengan yang datang dari negara lain.

Harrods yang keluasannya kira-kira 18,000 meter persegi memiliki kira-kira 1 juta persegi ruang jualan membabitkan 330 jenis kedai. Harrods standing dengan gedung terkenal dunia seperti Macy’s New York dan Selfridges.

Dengan bermotokan Omnia Omnibus Ubique —- All Things for All People, Everywhere sudah pasti barangan yang dijual di gedung itu mempunyai kualiti untuk seluruh pengguna dunia dari mana juga datangnya mereka.

Mohd Shafie menjelaskan, ia bukan sesuatu bersifat fantasia atau akan menjadi mimpi di siang hari bagi pengusaha kraf tangan Malaysia memasuki Herrods.

Perjanjian untuk memasarkan produk kraftangan Malaysia di Harrods sudah ditandatangani antara pegawai syarikat itu dengan Perbadanan Kraftangan Malaysia menerusi Karyaneka Sdn. Bhd. (Karyaneka) baru-baru ini.

Usaha menjual kraftangan tempatan di Harrods ini adalah satu langkah untuk memberi peluang perniagaan dan perusahaan kepada rakyat Malaysia, di samping menyumbang pendapatan kepada negara.

Bercakap selepas satu program di Bukit Gantang pada Ahad 30 November 2008 lalu, Mohd. Shafie, berkata pada peringkat permulaan tidak banyak produk kraf tangan dipasarkan kerana pihaknya perlu melihat selera pasaran di negara-negara Eropah.

Beliau bagaimanapun sedar bahawa keupayaan untuk membekalkan barangan juga harus diambil kira sekiranya permintaan meningkat.

Mohd Shafie amat yakin jenis dan jumlah produk kraf tangan dari Malaysia ke luar negara akan terus bertambah pada masa depan.

Pada 1 Ogos lalu di London, Mohd Shaife berkata produk kraf tangan Malaysia seperti batik dan songket akan menjadi setaraf dengan jenama barangan terkenal dunia apabila ia bakal dijual di pusat beli-belah terkemuka Harrods di sini menjelang Mac tahun depan.

Jika inisiatif Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) itu menjadi kenyataan, ia merupakan antara pencapaian paling cemerlang setakat ini dalam usaha negara untuk memasarkan barangan songket dan batik hingga ke peringkat antarabangsa.

”Harrods sudahpun menerima tawaran kita untuk menyediakan ruang pameran dan jualan barangan batik dan songket di sana,” katanya selepas melancarkan Pameran Lukisan Semesta di La Galleria Pall Mall, di London.

Pelancaran pameran sempena program Minggu Malaysia ’08 itu turut dihadiri Datuk Bandar Southwark London, Eliza Mann; Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom (UK), Rustam Yahaya; dan Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara, Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa.

Menurut Mohd. Shafie, sebelum hasrat itu direalisasikan, beliau akan mengadakan perbincangan dengan para pengeluar batik dan songket di tanah air bagi memastikan produk yang dihasilkan kelak memenuhi piawaian mutu serta kehendak pasaran semasa.

Perkara itu perlu diberi perhatian serius memandangkan produk kraf tangan Malaysia terutamanya songket dan batik bakal bersaing dengan jenama-jenama barangan terkemuka dari seluruh dunia yang sudah lama diakui mutu serta prestijnya.

Barangan yang dijual di Harrods mengenakan tapisan mutu yang amat tinggi dan terkawal. Sebagai sebuah pusat beli-belah yang berprestij, mereka amat mementingkan perkara-perkara tersebut.

Beliau yakin mutu barangan kraf tangan kita termasuklah batik dan songket juga amat halus buatannya. Contohnya, tenunan, barangan berasaskan kulit dan perak.

Saya benar-benar berharap agar usaha yang sudah dimulakan lebih sedekad lalu ini dijayakan oleh Mohd Shafie – bukan untuk kepentingan pengusaha kraftangan sahaja tetapi meletakkan produk Malaysia bersaing di arena antarabangsa.

Saya kira usaha Shafie sedikit dipermudahkan dengan beliau kini akan menerajui Pertubuhan Parlimen Komanwel (CPA) yang dianggotai 57 negara sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif bagi tempoh tiga tahun.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: