SELAGI NIK AZIZ ADA, PAS BERKUASA

(Bahagian Kedua)

Semalam saya mengatakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 78, tidak berani melepaskan jawatan ketika ini kalau pun benar ada desakan, bimbang berlakunya perebutan jawatan di kalangan orang kepercayaannya.

Biarpun Nik Aziz tidak sihat dan beliau pun sudah menyatakan hasratnya mahu bersara tetapi nada Nik Aziz ketika ini tidak akan memungkinkan beliau bersara awal.

Gara-gara laporan sebuah akhbar mingguan yang menyebut ada golongan mahu Nik Aziz yang dianggap sudah berumur dan mengalami masalah kesihatan – menyediakan pelan peralihan kuasa segera kerana kerap berlaku mesyuarat penting membabitkan keputusan segera kerajaan negeri terpaksa ditangguh kerana beliau berada di hospital – mengundang perbincangan baru mengenai siapa akan menggantinya.

Kata akhbar mingguan itu, sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS menggesa Nik Aziz berundur pada masa gemilangnya dan memberi laluan kepada pemimpin muda parti itu menerajui kerajaan Kelantan. Kalangan ADUN PAS Kelantan terutama golongan profesional mahu Nik Aziz dengan sukarela turun secara terhormat demi kepentingan parti, kerajaan dan rakyat negeri Kelantan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali semalam turut mengulas dengan mengatakan Nik Aziz harus berani membuat keputusan untuk melepaskan jawatan yang disandangnya selama 18 tahun tanpa menunggu desakan terlebih dahulu.

Beliau percaya keputusan itu akan mendapat sokongan semua pihak kerana sebagai pemimpin yang tidak memiliki kesihatan yang baik, ia akan menjejaskan urusan pentadbiran negeri.

‘‘Kalau Menteri Besar menunggu desakan baru hendak melepaskan jawatan, ia tidak mungkin berlaku kerana tidak ada wakil rakyat dan ahli Pas berani atau sanggup menyuarakan secara terbuka pada bila-bila masa. Wakil rakyat dan ahli Pas tidak akan meminta Menteri Besar berundur kerana mereka amat menghormatinya sebagai pemimpin, juga sebagai tok guru dan saya sendiri menghormatinya,” katanya.

Persatuan Bekas Wakil Rakyat Kelantan, menyokong supaya Nik Aziz berundur dan melepaskan jawatan Menteri Besar Kelantan pada pemimpin PAS lain.

Naib pengerusinya, Datuk Rozali Isohak berkata Nik Aziz seorang pemimpin berjiwa Islam yang mempunyai sikap amanah, jujur dan berhemah tinggi beliau mungkin sudah ada perancangan melepaskan jawatannya.

Katanya, sebagai Timbalan Menteri Besar yang pernah berkhidmat di bawah kepimpinan Nik Aziz beliau mengenal hati budi Menteri Besar Kelantan yang mendahului kepentingan rakyat melebihi kepentingan dirinya.

Semalam beberapa pemimpin PAS menyatakan tidak ada sebab mereka mahukan Nik Aziz berhenti.

“Tok guru memang dikenali sebagai bapa perpaduan. Kami tidak mahu dia berhenti,” demikian kata ADUN PAS Bukit Tuku, Abdul Fatah Haron dan ADUN Tawang, Hassan Mohamood berkata isu gesaan itu tidak pernah dibangkitkan di kalangan Adun PAS kerana mereka akan menyokong Nik Abdul Aziz sehingga akhir hayatnya. “Kita sokong Tok Guru sampai mati. Semua terus sokong,” katanya seperti dilaporkan oleh Malaysiakini.

Malah, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Kelantan, Zulkifli Mamat menafikan wujudnya desakan dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS supaya Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Nik Mat berundur dari jawatannya.

ADUN Pulai Chondong, itu berkata pihaknya mahukan Mursyidul Am PAS itu agar dipanjangkan umur supaya boleh mentadbir kerajaan negeri lebih lama lagi.

Berbalik kepada sambungan perbincangan semalam, saya menutup ulasan bahagian pertama saya dengan mengatakan ‘jika Nik Amar dipilih, di mana mahu diletakkan Timbalan Menteri Besar sekarang iaitu Ahmad Yaacob yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Tanah dan Wilayah?

Seperti saya sebutkan Nik Mohd Amar Nik Abdullah, 49, iaitu ‘anak Pok Nik Lah ’ dan ayahnya sahabat baik Nik Aziz – kini Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, adalah saingan Datuk Husam Musa paling ketat untuk jawatan Menteri Besar.

Ahmad Yaacob yang menjadi kini memasuki penggal kedua sebagai Timbalan Menteri Besar dilihat calon paling sesuai ketika ini. Jika beliau tidak mendapat kepercayaan Nik Aziz, masakan dikekalkan untuk penggal kedua.

Dengan imej bersih, mesra dan alim, Ahmad Yaacob dihormati oleh bukan sahaja pemimpin PAS lain tetapi juga di kalangan pemimpin UMNO.

Di Kelantan, Nik Aziz sudah membuat precedent bahawa sebagai orang nombor satu mesti dilijat bersih dan alim, bukannya pentadbir yang cerdik, bijak atau berkemampuan menguruskan ekonomi.

Rakyat Kelantan menunjukkan sikap mereka sejak lebih 19 tahun lalu bahawa mereka tidak perlukan pemimpin yang bijak-pandai sebaliknya memiliki rekod-rekod peribadi yang kurang baik serta tercalar.

Menurut Mohd Sayuti Omar dalam satu postingnya April lepas, “..pada tilikan saya ada beberapa faktor kenapa peralihan kuasa masih belum berlaku di Kelantan. Antaranya ialah kerana calon yang diratib untuk menjadi MB kini dikatakan tidak mendapat sokongan ramai. Peringkat akar umbi juga tidak begitu berminat dengannya. Pemimpin veteran Pas yang menjadi kader Nik Aziz tahun 70an dan 80an juga tidak sebulu dengan calon popular itu.” Mungkin Sayuti merujuk kepada Huisam.
Kerana itu dalam konteks hubungan pemimpin PAS dan UMNO, orang PAS jelas mudah menerima Datuk Mustapa Mohamed.
Bukan yang lain tidak baik atau tidak mampu tetapi mereka menekankan kepada ‘imej bersih’ dan kerana itu pemimpin PAS yang dianggap ‘tercalar imej mereka’ akan ditolak.

Pada ketika ini, Ahmad Yaacob jelas menonjolkan imej dan peribadinya melebihi Husam dan yang lain menyamainya ialah Nik Amar.

Kelebihan Ahmad Yaacob ialah dia sudah memasuki penggal kedua sebagai Timbalan Menteriu Besar, sementera Nik Amar baru mahu masuk gelanggang, jadi jika dipertimbangkan, keseluruhannya ada pada Ahmad Yaacob.

Walau sesiapa juga, sama ada Ahmad Yaacob atau Nik Amar, perkara penting untuk menjadi Menteri Besar ialah soal peribadi calon bukannya kerana bijak mengurus kewangan atau pakar strategi kerana bottom line ialah pilihan pengundi yang dinilai sebagai penentu segala-galanya.

Mungkin Nik Aziz merasakan ketika ini belum sesuai masanya untuk melepaskan jawatan kerana bimbang ketiadaannya akan mengharu-birukan Kelantan.

PAS tidak sanggup kehilangan Kelantan yang satu-satunya pengkalan bagi parti berkenaan walaupun Kedah dan Perak dilihat negeri ‘berpotensi ‘ untuk dikekalkan – yang nyata bukan Selangor.

Mengambil kira semua ini, bukan mudah Nik Aziz mahu menyerahkan kuasa lebih-lebih lagi sukarnya untuk beliau membuat pilihan.

Paling awal mungkin selepas Mac 2009 apabila PAS sudah mula boleh membaca apabila pelantikan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan akan dibuat.

Strategi PAS juga bergantung kepada siapa akan memimpin Kelantan selepas ini – Mustapa, Datuk Awang Adek atau kekal dengan Datuk Seri Annuar Musa.

(Ikuti Bahagian Ketiga dan akhir)

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: