MATA TERTUMPU KEPADA JK PENGURUSAN

Oleh Hambali Abdul Latiff

Bahagian Ketiga (Akhir)

Dalam bahagian ini ditimbulkan persoalan bagi menyelesaikan masalah yang melanda Bahagian-Bahagian UMNO yang dikaji yang mungkin boleh dijadikan panduan bagi mengatasi masalah bahagian lain sekiranya ‘meletup’.

Saranan-saranan diharapkan dijadikan panduan mengatasi masalah di Bahagian-Bahagian UMNO dan ia pasti ada kaitan dengan tugas Setiausaha Agung UMNO, Perhubungan UMNO Negeri, Ibu Pejabat UMNO dan tentunya Jawatankuasa Pengurusan yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak ketika ini.

Memang sangat difahami dan disedari bahawa tugas menilai dan mengatasi masalah di Bahagian-Bahagian UMNO adalah ‘Easier Said Than Done’.

Apapun, selepas melihat kes-kes yang berlaku di UMNO Bahagian Larut dan Tanah Merah, kita perhatikan dahulu apa masalah yang melanda UMNO Bahagian Tenom, Pengkalan Chepa serta bahagian-bahagian lain.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum ini menetapkan tempoh 9 Oktober hingga 9 November 2008 sebagai tarikh persidangan perwakilan 191 bahagian di seluruh negara.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagaimanapun menjelaskan, mana-mana UMNO bahagian yang didapati bermasalah masih boleh meneruskan persidangan masing-masing meskipun selepas tarikh akhir 9 November lalu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula berkata, bahagian-bahagian tersebut akan diberi tarikh baru bagi mengadakan persidangan masing-masing.

Kini lima daripada 191 UMNO bahagian di seluruh negara gagal mengadakan persidangan setelah tempoh yang ditetapkan berakhir kelmarin (Ahad 9 November 2009). Bahagian tersebut ialah dua di Kelantan iaitu Tanah Merah dan Pengkalan Chepa dengan selebihnya masing-masing satu di Perak iaitu Larut, Tenom di Sabah dan terakhir bahagian Seremban. Bahagian Seputih juga menunggu keputusan Jawatankuasa Pengurusan akibat arahan berbeza antara Setiausaha Agung dan Setiausaha Perhubungan Wilayah Persekutuan.

Untuk panduan mnengenai masalah bahagian-bahagian lain yang gagal mengadakan mesyuarat, satu posting dalam http://gegernya.blogspot.com yang membawa tajuk “Kenapa Jadi Begini?” juga baik untuk dibaca dan dinilai punca masalahnya.

Walaupun jumlah bahagian menghadapi masalah kecil iaitu lima atau enam bahagian daripada 191 tetapi isu-isu yang membabitkan bahagian berkenaan jangan dipandang sebelah mata.

Ia boleh menjadi pengajaran dan petunjuk penting kepada penyelesaian akan datang jika punca sebenar masalah boleh dikenal pasti dan penyelesaiannya dilakukan secara terbuka dan penuh keinsafan!

Masalah:

1. UMNO Bahagian Tenom masih menunggu keputusan rayuan daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Rayuan dibuat kerana jawatankuasa pengurusan UMNO bahagian tidak berpuas hati dengan keputusan UMNO negeri, yang membuat pengesahan bahawa sebilangan mesyuarat UMNO cawangan yang dibatalkan di peringkat bahagian sah dan boleh diterima. ‘Keputusan itu mengelirukan jawatankuasa di peringkat bahagian kerana kita sememangnya mempunyai bukti bahawa mesyuarat tersebut diadakan tidak mengikut peraturan dan etika parti.

2. UMNO Bahagian Pengkalan Chepa – semua persidangan cawangan perlu diadakan semula selepas ditangguhkan ekoran arahan ibu pejabat parti.

3. UMNO Bahagian Seremban – bergaduh dan persidangan ditangguhkan.

4. UMNO Bahagian Seputeh – berada dalam dilema apabila mendapat dua arahan berbeza daripada Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dan Ibu Pejabat UMNO. Ia berkaitan dengan persidangan perwakilan Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri yang berakhir baru-baru ini, telah dibatalkan oleh Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan. Menerusi surat bertarikh 3 November lalu, badan perhubungan negeri mengarahkan mesyuarat semula di peringkat bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri hujung minggu lalu. Surat yang ditandatangani Setiausaha Badan Perhubungan Wilayah Persekutuan memaklumkan pembatalan empat persidangan itu kerana pendaftaran Cawangan Taman Goodwood telah dibatalkan oleh Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Bagaimanapun, Ibu Pejabat UMNO menerusi surat bertarikh 5 November pula, memaklumkan kesemua mesyuarat bahagian berkenaan yang telah diadakan pada 26 Oktober lalu, adalah sah dan tidak perlu diadakan mesyuarat semula.

Tindakan:

1. Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Rizalman Abdullah berkata 10 November lalu, persidangan belum dapat diadakan kerana pihaknya masih menunggu keputusan rayuan daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

2. Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Dr. Nik Zain Omar berkata pada 8 November lalu, arahan dikeluarkan melalui sepucuk surat pada 5 November (Rabu) yang meminta semua cawangan di bahagian berkenaan mengadakan semula mesyuarat. Mengikut arahan, mesyuarat cawangan tersebut akan dipantau oleh ibu pejabat parti bagi memastikan ia berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

3. Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Riduan Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak dapat menyelesaikan kemelut yang melanda bahagian Seputeh dan perkara itu terpaksa dirujukkan kepada Jawatankuasa Pengurusan parti.

4. Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, pihaknya akan menunggu laporan daripada pemerhati yang dilantik Badan Perhubungan UMNO Negeri iaitu UMNO Bahagian Kuala Pilah untuk menyiapkan laporan dan tidak akan menggugurkan apa jua yang dilaporkan supaya UMNO Pusat tahu apa sebenarnya yang telah berlaku di UMNO Bahagian Seremban.

Kesan:

1. UMNO Bahagian Tenom menjadi satu-satunya bahagian di Sabah yang masih gagal mengadakan persidangan mengikut tarikh akhir yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

2. UMNO Bahagian Pengkalan Chepa menjadi antara Bahagian UMNO di Kelantan – selain Tanah Merah – bersidang selepas 10 November2008. Persidangan ditangguhkan ekoran arahan ibu pejabat parti.

3. Keputusan sama ada UMNO Bahagian Seputeh akan diarahkan bermesyuarat semula bakal diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan parti dijangka hari ini.

4. UMNO Bahagian Seremban terpaksa menunggu laporan daripada pemerhati yang dilantik Badan Perhubungan UMNO Negeri iaitu UMNO Bahagian Kuala Pilah untuk menyiapkan laporan bagi diserahkan kepada Ibu Pejabat UMNO untuk tindakan lanjut.

Perkembangan lain:

1. UMNO Bahagian Tenom berpendapat keputusan UMNO Negeri bukan sahaja tidak adil tetapi juga boleh memberi kesan buruk jangka panjang, kalau persidangan dibuat juga mengikut keputusan UMNO negeri, Bahagian itu berdepan risiko pemilihan ketua dan semua jawatankuasa menjadi tidak sah.Kerana itu Bahagian berkenaan amat berharap mendapat pertimbangan sewajarnya daripada UMNO Pusat agar perjalanan mesyuarat ini berjalan dengan lancar dan teratur. UMNO bahagian juga tidak dapat menerima keputusan UMNO negeri bahawa persidangan Wanita UMNO bahagian itu pada 12 Oktober lalu sah dan mengikut peraturan.Katanya, pertimbangan itu dipertikaikan kerana jelas semasa pengundian bagi pemilihan ketua wanita bahagian yang dimenangi oleh Datin Rahmahjan Suliaman Khan itu, didapati terdapat tujuh undi lebih berbanding jumlah perwakilan.

2. UMNO Bahagian Pengkalan Chepa akan mengikut arahan bahawa mesyuarat cawangan dipantau oleh ibu pejabat parti bagi memastikan ia berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Ketuanya akan berbincang dengan Badan Perhubungan UMNO Kelantan bagi menetapkan tarikh mesyuarat peringkat cawangan yang dijangka selesai dalam masa tiga hari sahaja.

3. Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, melahirkan rasa kecewa berhubung kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang melabelkan wujudnya keretakan dalam hubungan badan itu dengan UMNO Bahagian Seremban. Mohamad berkata kenyataan itu hanyalah bersifat peribadi dan adalah tidak adil bagi Tengku Adnan berkata demikian. Katanya: “’Saya tidak akan memberi pandangan mengenai perkara ini kerana telah wujudnya ‘mental block’ daripada UMNO Pusat terhadap hubungan badan perhubungan dengan UMNO Bahagian Seremban. Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan tidak mempunyai sebarang masalah dengan UMNO Bahagian Seremban.”

Rumusan:

1. Pertanyaan:

a. Isu pembayaran yuran – bolehkah dibayar lewat daripada 31 Disember 2007 untuk menyertai mesyuarat cawangan dan bahagian? (Mengikut surat pekeliling dikeluarkan ibu pejabat Umno negeri, seseorang hanya layak menghadiri mesyuarat cawangan atau bahagian serta bertanding jika mereka mendaftar sebagai ahli mana-mana cawangan Umno sebelum 31 Disember 2007.)

b. Bertukar Bahagian – apakah ahli seumur hidup perlu membayar yuran sebelum tarikh ditetapkan untuk melayakkannya bertanding atau menyertai mesyuarat cawangan atau bahagian? (Dalam kes Datuk Hamzah Zainuddin di Larut, beliau bertukar keahlianke Larut pada 3 April 2008)

c. Bolehkah Ketua Bahagian menyekat seseorang ahli bertanding jawatan tinggi di Bahagian?

i. Larut – hanya kerana masalah yuran sedangkan Setiausaha Agung UMNO menjelaskan Datuk Hamzah Zainuddin boleh bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut berdasarkan Perkara 6.3 yang dibaca bersama Perkara 6.3.8 Perlembagaan UMNO. Di bawah perkara itu, seseorang yang belum menggunakan haknya di Bahagian lama boleh menggunakan haknya di Bahagian yang baru termasuk memilih dan dipilih.

ii. Dalam konteks Tanah Merah pula satu permohonan mahkamah dibuat menghalang antaranya ketua bahagian yang menang tanpa bertanding, Ikmal Hisyam Abdul Aziz, daripada menyertai persidangan bahagian itu kerana didakwa tidak layak menyertai mesyuarat kerana gagal menjelaskan yuran tahunan sebelum 31 Disember 2007.

d. Permohonan Mahkamah –apakah MT membenarkan seseorang ahli mengemukakan saman selepas usaha mengatasi masalah di bahagiannya gagal melalui Perhubungan Negeri dan Ibu Pejabat UMNO? Dalamkes di Tanah Merah, seorang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Tanah Merah, Abdul Rahman Ibrahim mengemukakan saman pemula pada 7 November 2008 dan mendapat perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi menghalang 32 ahli bersidang.

e. Laporan Polis terhadap Jawatankuasa Pemantau UMNO Negeri – UMNO bahagian Tanah Merah ada membuat laporan polis berhubung dakwaan salah laku jawatankuasa pemantau perhubungan Umno Kelantan yang mengendalikan persidangan Umno cawangan di bahagian berkenaan. Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah Polis Tanah Merah kerana membantah tindakan jawatankuasa berkenaan yang disyaki cuba menyembunyikan fakta mesyuarat, seolah-olah cuba menipu bahagian dalam urusan mesyuarat pemilihan cawangan diadakan. Pada 28 Oktober 2008, satu lagi laporan polis dibuat di Balai Polis Sentul pada mengenai penghantaran Notis Mesyuarat Perwakilan Bahagian yang lewat dari tarikh yang tertulis pada surat notis itu. Apa pandangan dan tindakan Jawatankuasa Pengurusan mengenai tindakan ini?

f. Laporan Polis terhadap Setiausaha Agung UMNO – Pada, 7 November 2008 lalu, Umno Bahagian Tanah Merah, Kelantan, membuat satu laporan polis di Kuala Lumpur terhadap Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa. Laporan itu dibuat oleh Setiausaha Bahagian itu Amran Abdul Rahman di Balai Polis Sentul. Apakah MT dan Jawatankuasa Pengurusan membenarkan tindakan seperti ini?

g. Menghadiri perjumpaan terbuka anjuran penyokong – Bolehkah ahli MT menghadiri perjumpaaan dengan 400 penyokongnya secara terbuka seperti dilakukan oleh Datuk Hamzah Zainuddin di Bukit Merah? Bolehkah beliau berucap menyatakan kesediaan bertanding jawatan Ketua Bahagian yang berupa ‘kempen’. Apakah ia tidak melanggar larangan MT?

h. Bolehkah Jawatankuasa Pemantau yang dilantik oleh Badan Perhubungan melakukan perkara-perkara berikut? Dalam konteks UMNO Bahagian Tanah Merah, JK dikatakan melarang UMNO Bahagian menghantar Wakil Bahagian ke Persidangan Cawangan; salinan Buku Laporan Mesyuarat tidak dibenarkan diserahkan kepada Cawangan dan Bahagian; Jadual Persidangan Cawangan tidak dibincang terlebih dahulu dengan Bahagian dan Cawangan serta laporan dan keputusan rasmi Persidangan Cawangan tidak dimaklumkan kepada UMNO Bahagian walaupun persidangan telah 30 hari berakhir membuat perubahan tarikh Persidangan Cawangan tanpa memaklumkan kepada UMNO Bahagian dan tidak melayan dan responsif terhadap aduan-aduan UMNO Bahagian kepada pelbagai penyelewengan yang dikesan berlaku dalam Persidangan Cawangan.

Selain itu, Wakil Pemantau yang dihantar oleh Jawatankuasa terbabit membuat Akuan Palsu apabila mengaku menyerahkan Peringatan Persidangan 2007, Kertas Persidangan 2007/2008 dan Laporan Kewangan 2007 untuk simpanan Urusetia Bahagian tetapi sebenarnya tidak berlaku demikian.

i. Apabila ada pergaduhan – laporan siapakah yang dipakai? Apakah laporan pemerhati yang dilantik Badan Perhubungan UMNO Negeri sahaja atau juga laporan daripada UMNO Bahagian berkenaan serta juga laporan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemantau UMNO Bahagian? Dalam konteks pergaduhan di Seremban baru-baru ini, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan pemerhati dari UMNO Bahagian Kuala Pilah hadir dan apakah laporan mereka turut diambil kira?

Selain pertanyaan di atas, beberapa perkara berikut juga perlu diteliti dan dicari jawapan:

1. Kenapakah apabila wujud masalah di Bahagian-Bahagian, sasaran utama adalah kepada Setiausaha Agung UMNO? Dalam konteks Tanah Merah, Larut, Tenom dan Seremban, ada semacam suara tidak puas hati terhadap ‘layanan’ Setiausaha Agung;

2. Rekod keahlian dan lain-lain seperti tidak kemas dan apakah ia berpunca daripada Bahagian-Bahagian atau Ibu Pejabat UMNO Malaysia?

3. Perlantikan Pengerusi dan Pegawai Pemantau UMNO – apakah mereka memang layak atau dibuat secara ‘pilihan dan kesesuaian’ Perhubungan UMNO Negeri?

4. Sebarang Peraturan dan Pekeliling yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat UMNO – apakah ah ia sebagai satu-satunya rujukan atau boleh disesuaikan dengan interpretasi perkara-perkara tertentu dalam Perlembagaan UMNO?

5. Keputusan manakah lebih ‘valid’ – Majlis Tertinggi atau Jawatankuasa Pengurusan. Ini akan menjadi rujukan utama ahli atau Bahagian sekiranya ada pertikaian berlaku.

6. Apakah bentuk tindakan terhadap ahli yang bertindak seperti membuat laporan polis serta membawa kes ke mahkamah setelah gagal mendapatkan penyelesaian melalui Ibu Pejabat UMNO?

7. Apakah siasatan rasuah dan salah guna kuasa hanya terhadap calon dan penyokong. Bagaimana dengan tuduhan berlaku penyelewengan dan salahguna kuasa oleh pegawai tinggi Ibu Pejabat UMNO Malaysia. Apakah juga akan ada tindakan sewajarnya?

Kita hanya boleh berharap dan berdoa agar apa juga keputusan terhadap bahagian-bahagian yang bermasalah ini dibuat, ia dibuat seadil-adilnya.

Pemimpin hanya seorang atau beberapa kerat tetapi penyokong dan pendokong UMNO di bawah adalah mereka yang bekerja keras untuk parti dan menjamin kemenangan dalam pilihan raya.

Mereka mengharapkan ketelusan kerana pemimpin boleh datang dan pergi tetapi ahli UMNO di cawangan dan bahagian akan kekal menjadi ahli UMNO yang setia bagi menjamin UMNO terus berkuasa demi melindungi orang Melayu!.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: