BAGAIMANA UMNO KINI DIGAMBARKAN…

Dalam posting sebelum ini bertajuk ‘Tak bagi duit kalah’ Selasa lalu, saya memetik kenyataan Tengku Razaleigh mendedahkan terdapat bahagian yang meminta sehingga RM2 juta sebagai ganjaran pencalonan.

“Satu bahagian dengan jelas meminta RM1 juta manakala di Sabah, harganya mencecah RM2 juta,” kata beliau di Kota Bharu semalam.

Dua minggu lalu, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan tahap serius gejala politik wang dalam pemilihan Umno berkata, seseorang perwakilan ‘berpeluang’ memperoleh sehingga RM20,000 sebagai ganjaran undi.

Sambil menekankan amalan rasuah dalam UMNO di semua peringkat sudah menjadi buah mulut orang ramai, Dr. Mahathir berkata: “Kata orang melihat kepada jawatan-jawatan yang dipertandingkan tiap seorang wakil boleh dapat hingga RM20,000.”

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata ‘Calon yang amal politik wang dikenal pasti’.

Menurut beliau, pasukan pemantau yang diwujudkan oleh Lembaga Displin Umno sudah mengenal pasti calon yang menawarkan diri bagi merebut jawatan dalam pemilihan parti Mac depan yang mengamalkan politik wang dan penyalahgunaan kuasa.

Lembaga dalam proses menganalisis dan penyiasat secara serius dan terperinci, untuk mengumpulkan segala bahan bukti dan saksi bagi tujuan mengambil tindakan tegas terhadap mereka tanpa mengira sesiapapun.

“Jika sekiranya mereka yang terlibat ini akhirnya didapati bersalah, mereka akan hilang hak untuk bertanding atau sekiranya menang, kemenangan mereka boleh dibatalkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, kebelakangan ini, khususnya di peringkat pencalonan Timbalan Presiden dan Naib Presiden, pihaknya mendapati calon-calon yang menawarkan diri telah menggunakan ramai pengurus, perayu dan pelobi untuk mendapatkan pencalonan.

Beliau mendakwa mempunyai ramai pemantau yang diwujudkan sekarang di seluruh negara, dan pihaknya telahpun mengenal pasti calon yang menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan rasuah politik wang yang begitu hebat dan keterlaluan.”

Berikutan itu, saya seronok baca posting terbaru http://msomelayu.blogspot.com bertajuk ‘Wang Rasuah RM750 Juta Dibawa Dengan Jet Persendirian’ hari ini dan dua hari sebelum itu beliau menulis “UMNO sebuahUniversiti Rasuah”.

Menurut MSO yang memetik kata-kata kawannya, “Memang Umno sudah berada di peringkat paling (dia menekankan suaranya) palinggggg….parah.! Parah… Ti…” katanya terus memandu di celah-celah kesesakan lalulintas.

“You tahu berapa wang yang digunakan pada setiap persidangan Umno bahagian,” kata kawan itu. Semua telinga tertumpu kepada cerita kawan ini.

Untuk satu kawasan di Kelantan dia orang minta RM150.00 untuk seorang perwakilan. Cuba kali dengan 500 perwakilan, sudah jadi RM75,000. Kalaulah semua bahagian meminta jumlah itu berapa yang harus kena bayar?,” katanya.

“Itu harga paling rendah, tetapi ada sesetengah perwakilan dibayar hingga RM500 sampai RM1,000 seorang. Bayangkanlah…” katanya kawan itu lagi kesal.

Beliau turut menceritakan bagaimana ada orang bawa balik duit dari luar negera? Menurut MSO, “RM750 juta….duit dari Switzerland dibawa balik…. Dia orang ada kemudahan *** **. Duit itu diangkut ke Singapura.

Semua duit dalam not Singapura. Dibawa masuk dengan menggunakan jet tentera!”. Kalau dah masuk dengan jet tentera…. sapa nak ganggu? Begitu juga orang yang ke Switzerland tu pakai jet persendirian….. Ini Umno… bukan Pas!” jelasnya lagi.

Dalam ‘Umno Sebuah Universiti Rasuah’ pula, MSO berkata kerana fenomena inilah ahli Umno mereka suka kalau tiba musim pemilihan. Dengan kata lain, “Sudah terlekat dalam kepala (menjadi mind set) mereka musim pemilihan musim mencari rezeki dan pendapatan tambahan.

“ Dan kerana itu, ahli Umno menjadikan musim pemilihan sebagai masa untuk mereka mengorbankan pemimpin parti. Seolah-olah mereka menyertai Umno hanya untuk mendapatkan manfaat berkenaan.

Kata MSO: “Rasuah dalam Umno diperkatakan dimana-mana saja. Fenomena ini memburuk dan menghanyirkan parti Melayu itu. Semakin kuat dan hebatnya percakapan mengenai rasuah menyebabkan seolah-olah Umno sebuah parti rasuah, bukan parti Melayu lagi.

Umno jadi institusi rasuah, bukan lagi bertaraf sekolah atau kolej tetapi sudah sampai ke taraf universiti. Umno sebuah universiti rasuah!

Tahap rasuah itu menjadih lebih besar dan grand lagi bila sampai di peringkat nasional, dalam pemilihan pucuk pimpinan parti. Perwakilan bukan lagi diukur setakat seratus dua tetapi ribuan ringgit.

Tempat dibawa untuk lawatan bukan lagi di Indonesia atau Thailand, tetapi sampai ke London, Australia dan Makkah. Tidak hairanlah kalau ahli Umno menjadikan musim pemilihan sebagai musim untuk mencari rezeki tersepak serta melancung ke luar negeri atau kawasan.

Mengambil kira pendedahan Tengku Razaleigh tadi cubalah kira berapa banyak dibelanjakan oleh Mohd Najib Razak untuk mendapat 143 pencalonan. Berapa banyak digunakan oleh Muhyiddin Yassin.

Berapa banyak pula digunakan oleh Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin dan Khir Toyo. Yang pastinya pencalonan itu tidak datang percuma melainkan setelah dibeli ataupun dirasuahkan.”

Soalnya apakah ini suatu tuduhan? Jika benar-benar mahu menyiasat boleh cari sumbernya dan terus menjurus kepada pemberi nmaklumat. Apakah kenyataan ini, kenyataan Tengku Razaleigh serta MSO ini tidak boleh dijadikan panduan?

Jadi siasatlah dan seperti kata Tengku Ritahuddeen, oleh kerana masih ada berbaki 49 bahagian yang akan bersidang pada akhir minggu ini, siasatan boleh diperkemasakan.

Proses pemilihan bagi 191 bahagian Umno yang bermula sejak 9 Oktober lalu, dijadual berakhir Ahad ini walaupun ada bahagian-bahagian ayng akan bermesyuarat selepas itu kena na pelbagai masalah,

Tengku Rithaudeeen sendiri sedar sedar bahawa semua calon dan pihak terlibat supaya menghentikan gejala yang tidak baik dan terkutuk ini agar dapat kita bersama-sama memperkuatkan Umno, demi kesejahteraan dan kebahagiaan kita dan generasi akan datang.

Yang diharapkan ialah kali ini pisang tidak berbuah dua kali apabila kesan pemilihan 2004, hanya Tan Sri Isa Samad yang tidak terlepas daripada hukuman sementara semua perwakilan tahu, ramai lagi yang bermain ‘politik wang’.

Jangan kali ini jadi seperti 2004 dan jika benar Tengku Ritahuddeen sedih dan kecewa tentang gejala amalan politik wang yang berlaku dalam tempoh pemilihan bahagian Umno yang sedang berlangsung, beliau bukan sekadar asyik mengingatkan sahaja tetapi bertindak sewajarnya.

Dengan tindakan dan hukuman setimpal imej UMNO dapat dipulihkan daripada gambar sekarang bahawa UMNO adalah ‘universiti rasuah’.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: