Archive for the Pemilihan UMNO Category

ABDULLAH TERLUPA DUA JANJINYA?

Posted in Pemilihan UMNO, Rombakan, Wanita on December 12, 2008 by Hambali Abd Latiff

Mana kenyataan rombakan Kabinet dan penyelesaian ‘kemelut wanitaUMNO’?

Perdana Menteri sudah pulang dari lawatan ke Turkmenistan kira-kira 20 hari.

Ketika di Ashgabat pada 19 November lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menolak kemungkinan akan membuat satu rombakan Kabinet yang melibatkan perubahan dan pengubahsuaian portfolio dalam masa terdekat.

Sementara sehari sebelum itu di Tashkent Uzbekistan, Abdullah yang juga Presiden UMNO, akan ‘menyelesaikan’ kemelut dalam pergerakan Wanita parti itu sebaik sahaja beliau kembali ke tanah air dari lawatan rasminya ke dua buah negara di Asia Tengah itu.

Apakah Abdullah menunggu keputusan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu untuk melakukannya?

Apakah bakal calon Barisan Nasional (BN) jika menang bukan sekadar mengisi jawatan Timbalan Menteri, sebaliknya akan dinaikkan pangkat menjadi Menteri kerana memenangi pilihan raya kecil itu?

Abdullah ketika di Ashgabat berkata: “Rombakan itu tidak hanya untuk mengisi jawatan yang kosong (itu sahaja).”

Berikutan itu, banyaklah ramalan dan andaian nakal termasuk mengatakan Naib Presiden UMNO yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam akan dilantiki menjadi Menteri.

Tujuannya ialah memperkukuhkan kedudukan beliau untuk bertanding Timbalan Presiden UMNO.

Sementara Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pula akan ditukarkan ke kementerian lain kerana Abdullah merasakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu sudah ‘melampau’ dan terlalu ‘laju’ mengejar kedudukan dalam parti.

Abdullah pernah berang dengan Muhyiddin ketika di Kota Kinabalu apabila menegur menteri berkenaan kerana kenyataan-kenyataannya berkaitan peralihan kuasa.

“Rombakan Kabinet itu akan melibatkan perubahan dan pengubahsuaian portfolio. Semua kemungkinan rombakan itu sentiasa ada,” katanya kepada sekumpulan wartawan Malaysia yang mengikuti lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara berkenaan.

Berikutan itu timbul juga spekulasi bahawa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai menteri kepada Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat, bagaimanapun tiada sebarang surat perletakan jawatan dibuat.

Bernama yang memetik sumber sebagai berkata, Ka Chuan menyerahkan “surat peletakan jawatan tanpa tarikh” ekoran kekalahannya dalam pemilihan parti 18 Oktober lalu.

Ka Chuan tewas kepada bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dalam saingan merebut jawatan Timbalan Presiden.

Dalam isu kemelut Pergerakan Wanita UMNO, Presiden itu berjanji akan menyelesaikannya, sebaik sahaja beliau kembali ke tanah air dari lawatan rasminya ke dua buah negara di Asia Tengah.

Katanya, beliau tidak mahu memihak kepada mana-mana pihak “kerana tidak mahu mengganggu mereka”, namun beliau tidak mahu masalah itu akan membawa kepada perpecahan hingga pergerakan itu menjadi lemah.

“Saya dengar ada berlaku perebutan dan persaingan di dalam pergerakan itu. Mereka yang bagi undi kepada calon-calon ini mungkin nak biar semua ini berlaku, tapi saya berharap janganlah berlaku perpecahan,” katanya.

Namun sehingga kini tiada penyelesaian konkrit terhadap kemelut berkenaan dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kini sah akan menentang Ketua Wanita sekarang, Tan Sri Rafidah Aziz.

Shahrizat mendapat 73 pencalonan untuk bertanding dengan penyandang, Tan Sri Rafidah Aziz bagi jawatan Ketua Wanita, dan 113 pencalonan untuk jawatan Naib Ketua.

Abdullah sudah menasihatkan mereka apabila berkata: “Saya tidak mahu perpecahan, pergaduhan hingga jadi lemah. Wanita bukan pergerakan yang cetek dan bukannya baru.”

Beliau berjanji akan mencari penyelesaian bagi memelihara kekuatan pergerakan itu.
Sehingga kini belum ada formula menyelesaikan kekusutan Wanita UMNO Malaysia diumumkan.

Apakah dengan sunyi dan sepinya kenyataan daripada Shahrizat dan Rafidah kebelakangan ini adalah hasil campurtangan Abdullah?

Jika demikian, Presiden UMNO itu sudah mengotakan janjinya tetapi berdasarkan kedudukan sekarang, kita boleh menunggu apa cadangan beliau mengatasi kemelut ini dalam masa tedekat.

WANITA UMNO – PANAS & BERAPI

Posted in Pemilihan UMNO, Rafidah, Wanita on November 20, 2008 by Hambali Abd Latiff

Wanita UMNO bukan sekadar sudah pandai baling kerusi pada mesyuarat Wanita Bahagian seperti yang berlaku di Kuala Selangor tetapi pada peringkat nasional sudah pandai memberi amaran dan dedah-mendedah.

Dan terbaru, dalam Wanita UMNO akan berlaku ‘langar-melanggar’ pula apabila Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengatakan beliau akan menentang Tan Sri Rafidah Aziz pada pemilihan Mac nanti.

‘Kak Aishah’ (Tan Sri Aishah Ghani) menyatakan rasa malunya kerana kemelut pelan peralihan kuasa Wanita Umno yang berlarutan hingga menyebabkan Presiden UMNO terpaksa campur tangan untuk menyelesaikannya.

Beliau menyatakan kecewa dengan senario politik pergerakan itu menyifatkan ia makin teruk berikutan sikap degil, ego dan terlalu mementingkan diri di kalangan pemimpin Wanita Umno.

Malah, beliau yang juga bekas Ketua Wanita Umno, berkata sebagai pergerakan yang berusia 59 tahun, seharusnya setiap masalah yang dihadapi diatasi di peringkat dalaman bukan hingga memaksa pemimpin tertinggi parti campur tangan bagi menanganinya.

Itu kata Kak Aishah tetapi wanita sekarang ‘mesti jadi punya’. Puteri UMNO pula ‘asal jadi’. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana kalau Puteri UMNO kelak menjadi wanita UMNO (amaran – pertandingan Ketua Puteri membabitkan 7 penjuru – Datuk Shahaniza Samsudin, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datin Ismalina Ismail, Bibi Sharliza Mohd. Khalid, , Azlina Mehtab Mohd. Ishaq, Saarah Ali Bashah dan Ida Rahayu Md. Noor).

Dalam kenyataannya hari ini, Shahrizat menegaskan beliau terpaksa menerima pencalonan dan sokongan untuk bertanding jawatan ketua Wanita Mac depan, sekiranya Rafidah yang juga ahli parlimen Kuala Kangsar itu tetap mahu mempertahankan jawatan tersebut.

Pengumuman Shahrizat itu dianggap menjawab teka-teki selama ini sama ada beliau akan menerima pencalonan untuk bertanding jawatan tersebut.

Saya sudah meramalkan dalam posting bertajuk “Shahrizat Tetap ‘Langgar’ Rafidah?” pada 11 November 2008 bahawa Shahrizat akan melanggar Rafidah ketika memfokuskan perbincangan kenapa Datuk Kamalia Ibrahim tetap dengan keputusannya bertanding Naib Ketua Wanita.

Malah M Star Online turut meramalkan perkara serupa. Saya menyebut dalam posting itu: “Pada ketika akhbar-akhbar online dan portal berita Malaysiakini melaporkan Mesyuarat Exco Pergerakan Wanita UMNO semalam sebulat suara bersetuju supaya proses peralihan kuasa kepimpinan pergerakan itu kekal seperti yang dirancangkan pada Jun tahun depan, MStar Online pula pergi jauh sedikit dengan mengatakan kemungkinan akan ada pertandingan dalam pergerakan itu.”

Wanita UMNO dah haru biru apabila ada yang menyokong formula peralihan kuasa cadangan Rafidah dan ada yang menyokong Shahrizat ‘melanggar’ Rafidah.

Kelmarin, Naib Ketua Wanita Umno Perak, Datuk Rusnah Kassim berkata pencalonan yang diberikan Wanita Umno Bahagian kepada Rafidah untuk mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umno adalah kerana arahan, bukannya kehendak sebenar ahli akar umbi.

“Kami berhasrat untuk mempunyai ketua pada Mac ini dan bukannya pemangku,” kata Rusnah.

Ini namanya dedah dan amaran pula bagaimana?

Amarannya ialah kata-kata daripada Exco Wanita Umno, Datuk Khamsiyah Yeop bahawa sekiranya Rafidah terus mempertahankan jawatan itu, Wanita Umno tidak ada pilihan selain memilih Shahrizat yang juga telah meraih sokongan sebenar daripada akar umbi.

Tegasnya: “Bagaimanapun kami mahu supaya tiada pertandingan (bagi jawatan ketua pergerakan). Ini sebaik-baiknya dan ini harapan semua orang. Kita mahu jadikan penyerahan dan perubahan kuasa (seperti ini) sebagai warisan seperti yang dibuat oleh Tan Sri Aishah Ghani yang serahkan kuasa kepada Rafidah dulu. Itu yang kita harapkan.”

Jelas Wanita UMNO bukan sahaja ‘panas’ tetapi kini berapi.

Selepas kesemua 191 bahagian Wanita selesai bermesyuarat awal bulan ini, 117 bahagian mencalonkan Rafidah untuk mempertahankan jawatannya manakala 73 lagi mencalonkan Shahrizat untuk jawatan ketua.

Khamsiyah yang Ketua Wanita Umno Bahagian Lenggong menjelaskan bahawa 117 pencalonan yang diterima Rafidah adalah ‘sekadar di atas kertas’ dan tidak boleh diguna pakai untuk mencerminkan kehendak sebenar anggota pergerakan itu yang mahukan gandingan Shahrizat dan Datuk Kamilia Ibrahim.

Mereka berkata demikian pada satu sidang akhbar di sini bagi mengumumkan bahawa 22 daripada 24 bahagian Wanita Umno di Perak kini mahu agar peralihan kuasa daripada Rafidah kepada Shahrizat dipercepatkan dari Jun ke Mac tahun depan.

Dan hari ini lebih 100 bahagian menyokong Shahrizat bertanding jawatan ketua Wanita Umno Mac ini.

Menurut exco pergerakan itu, Raja Ropiah Raja Abdullah yang juga ketua Wanita Umno bahagian Petaling Jaya Utara, sekurang-kurangnya lima negeri memberi sokongan penuh kepada Shahrizat untuk mencabar penyandang, iaitu Rafidah. Lima negeri tersebut, katanya, ialah Pulau Pinang, Perak, Melaka,Sabah dan Negeri Sembilan.

Raja Ropiah berkata, negeri-negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan – yang sebelum ini merupakan penyokong kuat Rafidah – kini telah mula beralih sokongan kepada Shahrizat.

Alasan utama sebahagian ahli Wanita UMNO mahu Shahrizat bertanding ketua Wanita ialah mereka tidak mahu Shahrizat menjadi pemangku selama tiga tahun.

Ini kerana proses itu tidak akan menguatkan kedudukan Wanita Umno terutamanya untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.

KESIAN DENGAN MAT TAIB

Posted in Mahathir, Muhammad Taib, Pemilihan UMNO on November 20, 2008 by Hambali Abd Latiff

Lepas satu, satu.

Apa yang tidak kena dengan Tan Sri Muhammad Muhd Taib?

Minggu lalu ada pihak menuding jari kepadanya apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kehairanannya bagaimana calon yang tertinggal jauh tiba-tiba mendapat kelayakan bertanding Timbalan Presiden UMNO.

Dr Mahathir mengaitkan ‘politik wang’ yang membolehkan seseorang calon yang jauh tertinggal ke belakang tiba-tiba boleh layak bertanding.

Betul atau tidak betul apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir tidak penting lagi tetapi Muhammad sudah jadi mangsanya.

Dan kelmarin Muhammad berdepan pula dengan kritikan terbuka di Dewan Rakyat bahawa pegawainya ‘berlagak’.

Betul ke tohmahan itu?

Selain tuduhan pegawainya berlagak, ada yang mengaitkan perlantikan pegawai khas itu ada tujuan politik – membantu menjamin beliau menang untuk pertandingan Timbalan Presiden.
Penggulungan Muhammad berkaitan perbahasan peringkat jawatankuasa untuk Kementerian Luar Bandar dan Wilayah bagi Bajet 2009 di Dewan Rakyat, terhenti beberapa kali apabila beberapa anggota Parlimen dari Sabah membangkitkan isu pegawai khas daripada kementerian itu yang didakwa ‘berlagak’ seperti anggota Parlimen.

Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) yang mendedahkan perkara itu, meminta penjelasan daripada Muhammad mengapa seorang pegawai khas kementerian itu boleh membuat lawatan ke kampung-kampung dan memberi pandangan tanpa meminta kebenaran wakil rakyat di kawasan itu.

Muhammad berkata pegawai khas itu berasal dari Tenom yang terletak di pedalaman Sabah dan berpendapat beliau hanya menyampaikannya kepada kementerian mengenai apa yang dilihat di kampungnya.

Semasa menjelaskan pertanyaan Datuk Anifah Aman (BN-Kimanis), Muhammad juga menafikan bahawa pelantikan pegawai khas itu mempunyai motif politik untuk mendapat sokongan bagi bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan Mac depan.

“Ia tidak mempunyai kaitan politik. Pegawai khas kementerian bukan saja dari Sabah, tetapi Pahang serta Kelantan pun ada dan pemilihan mereka ini adalah untuk membantu kementerian mengenal pasti masalah serta menyediakan jawapan pada sesi Dewan Rakyat seperti ini,” katanya.

Pada penggulangan itu, Muhammad berkata Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mensasarkan bekalan elektrik 100 peratus di kawasan luar bandar di Semenanjung dan 90 peratus di Sabah dan Sarawak menjelang akhir 2010.

Katanya, sebanyak RM642 juta diperuntukkan sepanjang separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi meningkatkan penyediaan kemudahan itu.

Dua kejadian ‘malang’ menimpa Senator itu dalam tempoh tidak sampai seminggu.

Apa pula selepas ini?

BENARKAH JAMALUDDIN SERANG IMAM?

Posted in Imam, Jamaludin Jarjis, Pemilihan UMNO on November 15, 2008 by Hambali Abd Latiff

Dua blog semalam menuduh (saya menggunakan menuduh kerana tidak berada di tempat kejadian) Ahli Parlimen, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis bertindak ala samseng dengan ‘mengamuk dan menyerang imam’ yang mengimamkan solat Jumaat dimana beliau sendiri menjadi makmumnya ketika.

Beliau dikatakan melakukan perkara itu terhadap Imam Solat Jumaat di Masjid Felda Keratong 4 di Kratong, Pahang.

Jamaluddin yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sebaliknya mengatakan beliau hanya ‘menegur’ tindakan imam terbabit yang menggunakan mimbar masjid untuk kepentingan politik partinya.

Ekoran teguran tersebut, kata Jamaluddin, imam tersebut bertindak memburukkan dirinya sebagai pemimpin UMNO menerusi sebuah laman blog.

Laman web menyokong pembangkang yang memetik dua blog yang menyiarkan laporan yang sama berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada “sakit hati” JJ terhadap Iman Solat Jumaat terbabit yang membuat khutbah perihal soal “Keadilan Dalam Islam”.

Iman yang mengendalikan khutbah tersebut ialah Ustaz Suhaimi Saad yang juga merupakan Timbalan Yang Di Pertua Dewan Pemuda PAS Pahang.

Menurut Ustaz Suhaimi, ketika membaca khutbah beliau menyentuh tentang keadilan yang dituntut dalam Islam secara menyeluruh. “Ini termasuklah hal-hal yang berkaitan dengan akta zalim (ISA) yang dilihat tidak adil dalam Islam” katanya.

Dua blog berkenaan seterusnya menyebut: “Apakah manusia seperti ini boleh dilantik dan dikekalkan sebagai pemimpin umat Islam. Maka diharap dengan peristiwa ini, ia dapat memberi kesedaran kepada rakyat di Rompin agar menolak beliau dalam pilihan raya umum akan datang.”

Selain melaporkan kejadian, seperti biasalah laman web dan blog pro-pembangkang akan memaparkan soal peribadi Jamaluddin dan dikaitkan sedikit dengan Timbalan Perdana Menteri.
Jamaludddin seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini sebaliknya meminta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menyiasat seorang imam di Kratong yang dipercayai menggunakan khutbah Jumaat untuk menghentam kerajaan.

Beliau mendakwa seorang imam yang dipercayai tidak bertauliah menggunakan khutbah Jumaat untuk memburuk-burukkan kerajaan. Imam terbabit juga dipercayai tidak menggunakan teks yang disediakan oleh JAIP ketika menyampaikan khutbahnya di masjid tersebut.
Jamaluddin berkata: “Kejadian berlaku ketika saya sendiri bersembahyang Jumaat di masjid itu hari ini. (semalam)”.

Lebih jauh, laporan itu menyebut kononnya makmum yang ‘geram dan penuh emosi’ (penyokong UMNO) berniat ‘membelasah’ imam berkenaan tetapi kerana imam tidak meninggalkan masjid sehingga kumpulan itu beredar, kejadian tidak diingini itu tidak berlaku seperti dijangkakan.

Sehubungan itu, Jamaluddin meminta kerajaan negeri mengambil tindakan jika terbukti imam terbabit menyalahgunakan mimbar masjid untuk kepentingan politik.

”Kerajaan negeri juga perlu mengambil tindakan terhadap pihak pengurusan masjid terbabit kerana kita hairan bagaimana imam yang tidak bertauliah itu dibenarkan membaca khutbah,” tegasnya.

Menurut beliau, masjid tidak sepatutnya dijadikan medan untuk menyebarkan ideologi politik yang boleh menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam.

Selain pusat ibadat ujarnya, masjid merupakan institusi yang menjadi tempat perpaduan ummah dan meningkatkan ilmu pengetahuan, katanya.

Ikuti apa yang dilaporkan melalui sebuah laman web dan dua blog pro-pembangkang semalam. Satu membawa tajuk ‘Biadapnya Jamaluddin Jarjis Ala Samseng’ dan satu lagi dengan tajuk ‘Menteri Raba-Raba Mengamuk Selepas Solat Jumaat’.

KERATONG: [4.00 pm] Satu berita gempar telah terjadi selepas solat Jumaat sebentar tadi. Ia berkaitan dengan “amukan” Ahli Parlimen Rompin Jamaluddin Jarjis terhadap Imam Solat Jumaat di Masjid Felda Keratong 4 dekat sini. Kejadian dipercayai berpunca daripada “sakit hati” JJ terhadap Iman Solat Jumaat terbabit yang membuat khutbah perihal soal “Keadilan Dalam Islam”.

Iman yang mengendalikan khutbah tersebut ialah Ustaz Suhaimi Saad (foto) , yang juga merupakan Timbalan Yang Di Pertua Dewan Pemuda PAS Pahang. Menurut Ustaz Suhaimi, ketika membaca khutbah beliau menyentuh tentang keadilan yang dituntut dalam Islam secara menyeluruh. “Ini termasuklah hal-hal yang berkaitan dengan akta zalim (ISA) yang dilihat tidak adil dalam Islam” katanya.

Menurutnya selepas selesai mengimami solat, beliau telah didatangi oleh Ahli Parlimen Rompin itu dalam keadaan yang penuh dengan emosi dan muka yang bengis. “Saya tidak menyedari bahawa Ahli Parlimen Rompin itu turut menjadi jemaah solat Jumaat yang saya imamkan” katanya. Ahli Parlimen Rompin itu telah mengherdik Ustaz Suhaimi yang membaca khutbah berbaur politik katanya. Namun beliau menjawab “Khutbah yang saya baca itu adalah secara umum berkaitan Islam dan tidak bertujuan politik”.

Namun JJ nampak marah dan tidak berpuas hati dengan berkata “Andainya khutbah seperti itu dibaca, saya pun boleh membawa khutbah”. Lalu Ustaz Suhaimi menyahut “Jika Dato’ fikir, boleh membaca khutbah apa salahnya. Elok Dato’ baca khutbah minggu depan” . Kenyataan Ustaz Suhaimi itu amat menyiksakan jiwa Ahli Parlimen Rompin berkenaan. Di mana akhirnya beliau mencabar supaya Ustaz Suhaimi keluar masjid.

Mungkin cabar itu dibuat bagi “membelasah” Ustaz Suhaimi. Kerana kami difahamkan terdapat ramai puak-puak UMNO karat dan kroni Jamaluddin Jarjis sedang menunggu diluar. (Foto: Lihat gambaran JJ menjadi Imam Solat Jumaat) Melihat keadaan itu, beberapa orang jemaah dan sahabat beliau menasihat agar tidak keluar masjid bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Maka akhirnya Ustaz Suhaimi menjawap pelawaan JJ itu dengan berkata “Elok kita berbicara dalam masjid Dato’.. kerana ini rumah Allah dan lebih afdal dari diluar”.

Ketika itu JJ dan kuncu-kuncunya telah menunggu dengan “geram” dan “penuh emosi” diluar. Mungkin bagi mereka, sekejap lagi Ustaz Suhaimi iaitu Imam yang membaca khutbah dan menjadi Imam solat Jumaat di Keratong 4 itu akan dibelasah cukup-cukup agaknya. Namun dek kerana beliau tidak keluar, akhirnya kumpulan Ahli Parlimen terbabit beredar dari masjid dengan perasaan yang amat kecewa. Mujurlah kejadian itu tidak berakhir dengan insiden yang lebih buruk lagi. Jika tidak sudah pasti satu peristiwa gempar akan berlaku di Masjid Keratong 4 siang tadi.

Peristiwa yang berlaku ini jelas sekali mencerminkan betapa buruknya keperibadian Ahli Parlimen Rompin itu. Maka sahlah keputusan Pak Lah untuk tidak melantik beliau kekal dalam kabinet barunya adalah tepat sekali. JJ sebelum ini pernah dikaitkan dengan beberapa insiden yang amat memalukan termasuk kes “Raba Punggung” di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan sebelum ini namanya juga dikaitkan dengan kes “Norrita Samsuddin” hingga menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menutup siasatan kes tersebut dengan keputusan “tiada pembunuh sebenar”. Bahkan lebih aneh lagi pihak polis menyatakan bahawa ” terdapat dua lembaga yang tidak dikenalpasti telah membunuh pragawati itu”.

Hingga sekarang ianya masih menjadi misteri. Apapun, ramai yang mengaitkan nama JJ dalam kes tersebut, samalah dengan TPM Najib yang dikaitkan dengan kes Altantunya selama ini. Sikap panas baran yang ditunjukkan oleh beliau itu, jelas sekali tidak menghormati kesucian “rumah Allah”. Beliau tergamak menyerang Imam yang mengimami solat Jumaat dimana beliau sendiri menjadi makmumnya ketika itu. Apakah manusia seperti ini boleh dilantik dan dikekalkan sebagai pemimpin umat Islam.

Maka diharap dengan peristiwa ini, ia dapat memberi kesedaran kepada rakyat di Rompin agar menolak beliau dalam pilihanraya umum akan datang.

[Nampaknya kes ini bakal menjatuhkan resputasi JJ yang khabarnya sedang menginta untuk menjatuhkan Adnan Yaakob sebagai Menteri Besar Pahang tidak lama lagi. Kami difahamkan JJ sedang membina kekuatannya, kerana beliau tahu bila Najib Razak menjadi Perdana Menteri nanti sudah pastilah namanya akan naik sebagai calon yang paling sesuai ke jawatan MB Pahang itu.

Team Adnan harus berhati-jati dengan kelibat dan gerakan "grass root" yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Rompin yang paling biadap ini. Jika tidak negeri Pahang akan berada dalam "kegelapan" kerana ditadbir oleh kaki "raba punggung" dan "kaki skandal seks" seperti beliau itu].

MATA TERTUMPU KEPADA JK PENGURUSAN

Posted in Bahagian, MT, Pemilihan UMNO on November 11, 2008 by Hambali Abd Latiff


Oleh Hambali Abdul Latiff

Rencana Tiga Bahagian

Wajarkah kita menjadikan masalah yang melanda beberapa UMNO Bahagian yang gagal bermesyuarat seperti Larut, Tanah Merah dan Seremban sebagai kes kajian memperbetulkan masalah yang melanda cawangan dan bahagian?

Penyelesaian kepada kes-kes seperti ini amat penting untuk perpaduan dan kesepakatan ahli UMNO demi kekuatan UMNO menghadapi sebarang pilihan raya – umum dan pilihan raya kecil.
Sesuatu harus dilakukan segera bermula dari Ibu Pejabat UMNO, Perhubungan UMNO Negeri hinggalah ke peringkat cawangan agar
perjalanan pemilihan dan pengurusan parti di masa akan datang lebih licin.

Pengajaran tidak datang jika tidak ada masalah melanda. ‘Blessing in Disguise”. Semua pihak perlu melihat kes ini dengan dada terbuka dan menerima baik sebarang keputusan.
Semua mata kini tertumpu kepada Jawatankuasa Pengurusan menggendalikan kes ini demi jawapan dan tindakan sewajarnya untuk dijadikan suatu precedent pada masa hadapan.

1. Kes Pertama – UMNO Bahagian Larut:
2. Kes Kedua – UMNO Bahagian Tanah Merah:
3. Kes Ketiga – UMNO Bahagian Seremban, Tenom & Pengkalan Chepa

(Bahagian Pertama)
1. UMNO Bahagian Larut:

Masalah: Pencalonan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin untuk bertanding merebut jawatan ketua Umno Bahagian Larut ditolak selepas didapati melanggar peraturan keahlian yang ditetapkan parti. Alasan penolakan oleh UMNO Bahagian Larut terhadap Hamzah ialah dia baru bertukar keahlian pada 3 April lalu sedangkan mengikut pekeliling (Ibu Pejabat UMNO), mereka yang menjadi ahli dan membayar yuran sebelum 31 Disember 2007 sahaja layak bermesyuarat. (Mengikut surat pekeliling dikeluarkan ibu pejabat Umno negeri, seseorang hanya layak menghadiri mesyuarat cawangan atau bahagian serta bertanding jika mereka mendaftar sebagai ahli mana-mana cawangan Umno sebelum 31 Disember 2007.)

Tindakan Bahagian: Ketua Umno Bahagian Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, berkata bahagian itu dalam mesyuarat khas sebulat suara menolak pencalonan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dan bekas Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat. (Pada mesyuarat cawangan Umno Bahagian Larut yang berlangsung pada 17 Julai hingga 24 Ogos lalu, Raja Ahmad mendapat 28 pencalonan, Daud (33) dan Hamzah (22) untuk melayakkan mereka bertanding merebut jawatan ketua bahagian itu.)

Kesan: Mesyuarat UMNO Larut yang sepatutnya diadakan pada 9 November 2008 terpaksa ditangguhkan sehingga masalah itu diselesaikan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti.

Perkembangan lain:

1. Raja Ahmad berkata, pihaknya sebelum ini, sudah bertolak ansur untuk menerima Hamzah bertanding di Parlimen Larut pada pilihan raya umum lalu. Sebelum ini beliau ada membangkitkan perkara keahlian Hamzah pada mesyuarat badan perhubungan Umno negeri sebanyak dua kali termasuk yang dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi 21 September lalu. Pada mesyuarat itu, Hamzah memaklumkan beliau tidak berhasrat bertanding jawatan ketua bahagian Larut kepada Pak Lah, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan turut dihadiri Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

2. Setiausaha Agung UMNO menjelaskan kepada Agendadaily, Hamzah boleh bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut berdasarkan Perkara 6.3 yang dibaca bersama Perkara 6.3.8 Perlembagaan UMNO. Di bawah perkara itu, seseorang yang belum menggunakan haknya di Bahagian lama boleh menggunakan haknya di Bahagian yang baru termasuk memilih dan dipilih. Menurut Tengku Adnan, Raja Ahmad boleh dikenakan tindakan jika tidak mengadakan mesyuarat UMNO bahagian sehingga tarikh akhir semua mesyuarat bahagian ditetapkan perlu diadakan iaitu pada 9 November.

3. Utusan Malayia kelmarin, 10 November 2008, bertajuk ‘UMNO Larut mahu Hamzah’ melaporkan seramai 74 daripada 97 Ketua UMNO cawangan di bahagian Larut mendesak supaya Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin bertanding jawatan Ketua Bahagian itu pada mesyuarat perwakilan bahagian yang dijangka diadakan pada 16 November ini. Desakan itu turut dibuat oleh kira-kira 400 ahli dan perwakilan cawangan di hadapan Hamzah dalam satu perjumpaan khas di Bukit Merah Lake Town Resort di Bukit Merah.Kenyataan ketua-ketua UMNO itu adalah jawapan kepada kenyataan Raja Ahmad bahawa Hamzah tidak layak bertanding kerana menjadi ahli UMNO bahagian selepas 31 Disember 2007, sekali gus melanggar pekeliling yang dikeluarkan oleh ibu pejabat parti.

Kini, selain isu keahlian, ada empat pertanyaan baru di sini:

1. Adakah perhimpunan seperti ini dibenarkan? Bukankah ini kempen terbuka yang dilarang oleh Lembaga Disiplin dan Majlis Tertinggi;

2. Sebagai Ahli Majlis Tertinggi, apakah kehadiran Hamzah ke perjumpaan ini menunjukkan beliau sendiri melanggar arahan MT yang melarang perhimpunan diadakan yang sudah dipersetujui bersama oleh anggota MT?

3. Apakah ada ahli Jawatankuasa Pemantau di perhimpunan di Bukit Merah dan siapa penganjurnya? Bagaimana agaknya laporan JK Pemantau itu (jika ada)?

4. Sebagai ahli seumur hidup, adakah peruntukan diberikan keistimewaan kepada Hamzah untuk membayar yuran selepas 31 Disember 2007 bagi melayakkannya bertanding?

Selain itu, Hamzah turut membuat beberapa kenyataan untuk membela dirinya pada perjumpaan Bukit Merah itu:

1. Hamzah buat pertama kalinya membuat pengumuman secara terbuka untuk bertanding jawatan itu setelah mendapat sokongan ahli parti di peringkat akar umbi;

2. UMNO pusat turut memberi ‘lampu hijau’ kepadanya untuk bertanding atau ‘memilih dan dipilih’ mengikut perlembagaan UMNO;

3. Tujuan beliau datang ke Bahagian Larut bukan untuk mencipta perpecahan. Beliau sanggup melucutkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat semata-mata untuk jadi ahli di sini. (Persoalan di sini tarikh beliau melucutkan jawatan berkenaan dan siapa yang bertanding untuk Ketua Bahagian Ipoh Barat);

4. Berhubung keahliannya di bahagian Larut, Hamzah menjelaskan beliau adalah ahli UMNO seumur hidup dan telah berpindah keahlian ke bahagian itu sejak April lalu;

5. Hadir di perjumpaan Bukit Merah ialah wakil kumpulan Othman Sidek (ahli UMNO Bahagian Larut); Ketua Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohamad Annuar Ariffin yang baru dipilih pada mesyuarat Pemuda Bahagian dan Naib Ketua Wanita, Mariatul Kiptiah Abdul Rahman.

Rumusannya dalam kes UMNO Bahagian Larut ini ialah:

a) Bolehkah Raja Ahmad menyekat Hamzah bertanding berdasarkan pekeliling Ibu Pejabat UMNO mengenai yuran.

b) Kenyataan Setiausaha Agung bahawa Hamzah boleh bertanding sah atau tidak?

c) Bolehkah Hamzah menggunakan ahli UMNO Bahagian Larut membuat kenyataan bagi pihak dirinya?

d) Bolehkah perjumpaan dihadiri 400 ahli UMNO dianjurkan? Apakah ini kempen terbuka?

e) Dipantau oleh wakil ibu pejabat atau sebaliknya?

f) Bolehkah ahli MT hadir pada perjumpaan yang memang dilarang oleh MT diadakan seumpamanya?

Jawapan ada pada Jawatan Pengurusan UMNO dan Jawatan Disiplin UMNO.
(Ikuti sambungan Bahagian Kedua)

SHAHRIZAT TETAP ‘LANGGAR’ RAFIDAH?

Posted in Pemilihan UMNO, Rafidah, Shahrizat, Wanita on November 11, 2008 by Hambali Abd Latiff

Pada ketika akhbar-akhbar online dan portal berita Malaysiakini melaporkan Mesyuarat Exco Pergerakan Wanita UMNO semalam sebulat suara bersetuju supaya proses peralihan kuasa kepimpinan pergerakan itu kekal seperti yang dirancangkan pada Jun tahun depan, MStar Online pula pergi jauh sedikit dengan mengatakan kemungkinan akan ada pertandingan dalam pergerakan itu.

Utusan Malaysia Online dan Malaysiakini semalam melaporkan, sudah ada kesepakatan dalam Pergerakan Wanita UMNO dan dengan persetujuan itu bermakna tiada pertandingan untuk dua jawatan utama pergerakan itu pada pemilihan semasa Perhimpunan Agung Umno pada Mac tahun depan.

Tan Sri Rafidah Aziz akan kekal menjadi Ketua Wanita Umno sehingga Jun 2009 dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mendapat pencalonan untuk jawatan Ketua Wanita Umno tidak akan bertanding jawatan berkenaan dan kekal sebagai Naib Ketua Wanita sehingga Jun.

Selepas mesyuarat parti berakhir kelmarin, terdapat dua calon yang melepasi kuota kelayakan untuk bertanding jawatan Naib Ketua Wanita iaitu penyandangnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Kamilia Ibrahim.

Rafidah pada persidangan akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Wanita di Menara Dato’ Onn PWTC berkata: “Kita telah berbincang dengan panjang lebar mengenai pencalonan. Exco bersetuju dengan pelan peralihan yang telah diputuskan dan akan berlaku pada bulan Jun, 2009.

Exco juga menegaskan supaya tidak ada pertandingan untuk jawatan ketua dan naib ketua. Ini telahpun dibincangkan dan diputuskan sedemikian untuk menjamin perpaduan dalam Umno. Ia juga untuk membantu dalam proses pemulihan Umno dan untuk kita memberi kekuatan kepada parti dan juga kepada presiden Umno.”

Mesyuarat itu bermula pukul 10.30 pagi dan berlangsung selama kira-kira enam jam.

MStar Online semalam sebaliknya dalam laporannya dengan mengemukakan soalan apakah Shahrizat berubah fikiran dalam soal peralihan kuasa dan saingan merebut kerusi Ketua Wanita?
Selepas mesyuarat Exco Wanita itu Shahrizat berkata, cadangannya supaya pelan peralihan kuasa daripada Rafidah kepada beliau dipercepatkan kepada Mac depan ditolak oleh mesyuarat pergerakan itu hari ini.

“Cadangan mempercepatkan pelan peralihan kepada Mac semasa Perhimpunan Agung Umno tidak diterima (Tan Sri) Rafidah dan exco, tetapi pelan peralihan seperti yang dirancang pada Jun tahun depan dikekalkan,” katanya.

Kepada Bernama selepas sidang akhbar itu, Shahrizat berkata, keputusan exco ialah untuk menerima saranan Rafidah seperti asal di samping menentukan tiada pertandingan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua pergerakan itu.

Shahrizat berkata pada masa yang sama, akan ada rundingan secara damai untuk menyelesaikan isu pengisian jawatan dan usaha untuk berunding bersama Datuk Kamilia Ibrahim, exco Wanita Umno yang turut layak bersama beliau untuk bertanding jawatan Naib Ketua.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menunjukkan minatnya untuk bertanding Naib Ketua.

Bagaimanapun, beliau hanya menerima 20 pencalonan, sekali gus gagal melepasi kuota kelayakan 29 pencalonan untuk membolehkannya bertanding jawatan nombor dua pergerakan berkenaan.

Azalina bagaimanapun menyifatkan dirinya tidak gagal walaupun tidak layak bertanding jawatan Naib Ketua Wanita pada pemilihan parti Mac tahun depan. Menurutnya, walaupun tidak layak bertanding, namun Azalina menganggap percubaan kali pertamanya itu sebagai satu ‘kejayaan’ kepada dirinya sambil memberikan pengertian besar kepada Wanita UMNO.

Ditanya langkah beliau seterusnya ekoran penolakan usahanya agar pelan peralihan kuasa dipercepatkan selaras dengan pelan peralihan Umno induk, beliau berkata:
“Saya juga akan mengambil kira suara daripada akar umbi dan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk Wanita Umno.” “Untuk pelan peralihan ini berjaya, kita perlu ada kerjasama Kamilia, kalau tidak, akan ada pertandingan nanti untuk jawatan Naib Ketua”.

Shahrizat berkata, beliau akan berusaha menyelesaikan isu itu secara damai berlandaskan kepada pendirian Rafidah, exco Wanita Umno serta amanah yang diberikan oleh akar umbi.
Kamilia yang juga Ketua Wanita Bahagian Kuala Kangsar, sebelum ini berkata, beliau mahu pelan peralihan itu dipercepatkan bagi mengukuhkan kepimpinan pusat pergerakan itu.Beliau berkata jika tempoh peralihan itu dilaksanakan mengikut perancangan asal, ia akan merugikan pergerakan itu kerana ia akan memberi kekosongan kepada jawatan Ketua Wanita dan melemahkan kepimpinan parti.

Shahrizat, yang turut layak bersama Rafidah bertanding jawatan Ketua Wanita pada pemilihan parti akan datang, bagaimana pun enggan menyatakan sama ada beliau akan membuat keputusan ke arah itu dalam masa terdekat seperti yang digesa oleh akar umbi.

Namun, menurut laporan Utusan Malaysia Online pula, Shahrizat pada persidangan akhbar yang sama berkata beliau menerima keputusan yang telah dibuat pada mesyuarat Exco hari ini.

SELEPAS PUAS TUNGGU ISYARAT

Posted in Isyarat, Pemilihan UMNO on November 10, 2008 by Hambali Abd Latiff

Akhirnya sehingga hari akhir Mesyuarat Bahagian UMNO semalam, isyarat tidak juga datang untuk mengetahui siapakah yang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Mohd Najib Najib mahu dalam hiraki UMNO.

Dengan Kepala Batas tidak mencalonkan sesiapa dan Bahagian UMNO Pekan hanya mencalonkan Najib, ahli dan pemimpin UMNO meraba-raba dan membuat tafsiran sendiri siapa yang sepatutnya menjadi No. 2 dalam UMNO dan Kerajaan selepas Mac 2009 nanti.

Oleh kerana mengharapkan isyarat tidak ada daripada bos, maka mulalah timbul pelbagai ramalan khususnya meneliti pencalonan di kalangan Setiausaha-Setiausaha Politik Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri untuk dijadikan petunjuk.

Antara yang diberikan perhatian ialah Ketereh, Kota Bharu, Wangsa Maju, Kuala Krai, Sembrong, Rembau serta juga bahagian-bahagian yang dikatakan pemimpin mereka rapat dengan kedua-dua mereka itu.

Mereka yang duduk ‘di bawah dagu’ pemimpin berkenaan dikatakan tahu apa yang bos mereka sedang fikirkan.

Di Bahagian UMNO Wangsa Maju umpamanya,Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Shafie Abdullah pada 8 November lalu terpaksa ‘bersilat’ apabila berkata, tindakan beliau mencadangkan nama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Timbalan Presiden dibuat atas kapasitinya sebagai Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju.

Mohd. Shafie berkata, beliau sebenarnya lebih rapat dengan seorang lagi calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan secara perbandingannya Muhyiddin tidak begitu mengenali beliau.

“Tetapi yang mahu dipilih ialah bakal Timbalan Perdana Menteri dan saya rasa dia adalah seorang calon yang lebih baik,” katanya.

Beliau menjelaskan, perkara itu tidak wajar dikaitkan dengan kerjayanya sebagai Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Terpulang kepada ahli untuk membuat tafsiran tetapi saya calonkan Muhyiddin atas kapasiti ketua bahagian, bukannya sebagai Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri.

“Setiausaha Politik adalah kerja saya tetapi bagi urusan politik di peringkat bahagian, saya perlu bercakap sebagai ketua bahagian,” jelasnya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Betul atau tidak ‘petunjuk bahagian-bahagian di bawah ini adalah ramalan semata-mata’.
Pencalonannya adalah seperti berikut:

Ketereh:

Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh yang bermesyuarat 8 November mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dengan gandingan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam sebagai Timbalan. Bagi jawatan Naib Presiden, bahagian itu mencalonkan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Datuk Seri Rais Yatim. (Siapa orang penting di sini? Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd. Alwi Che Ahmad)

Wangsa Maju:

Perwakilan UMNO Bahagian Wangsa Maju yang bersidang 8 November sebulat suara memilih gandingan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti. Bagi jawatan Naib Presiden perwakilan memberi sokongan kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal. (Siapa orang penting di sini? Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Shafie Abdullah)

Kota Bharu:

Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dengan gandingan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden. Bagi Naib Presiden pula, Umno bahagian berkenaan mencalonkan Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. (Siapa di sini? Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fatmi Salleh)

Kuala Krai:

Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Krai semalam sebulat suara menggandingkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti. Bagi jawatan Naib Presiden perwakilan memberi sokongan kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. (Siapa orang penting di sini? Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan, Datuk Ramzi Abdul Rahman)

Rembau:

Persidangan perwakilan UMNO Bahagian Rembau semalam sebulat suara mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden manakala Datuk Seri Mohd. Ali Rustam sebagai Timbalan Presiden. Bagi Naib Presiden ialah Tan Sri Mohd. Isa Samad; Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. (Siapa orang penting di sini? Khairy Jamaluddin)

Tampin:

Persidangan perwakilan UMNO Bahagian Tampin sebulat suara mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden manakala Datuk Seri Mohd. Ali Rustam sebagai Timbalan Presiden. Bagi Naib Presiden ialah Tan Sri Mohd. Isa Samad; Datuk Seri Jamaluddin Jarjis dan Datuk Seri Shafie Apdal. (Siapa orang penting di sini? Datuk Shaziman Abu Mansor)

Sembrong:

UMNO Bahagian Sembrong bersidang pada 26 Oktober mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak bertanding jawatan Presiden dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden.

Bagi jawatan Naib Presiden parti, bahagian itu mencalonkan ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
(Siapa orang penting di sini? Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein).

Gandingan Najib-Muhyiddin – Wangsa Maju, Sembrong, Kota Bharu,
Gandingan Najib-Ali Rustam – Ketereh, Rembau, Tampin
Gandingan Najib-Muhammad Taib – Kuala Krai

Naib Presiden:

Hishamuddin – Ketereh, Wangsa Maju, Kota Bharu, Sembrong, Kuala Krai (Rembau dan Tampin tidak mencalonkan)
Ahmad Zahid – Wangsa Maju, Kota Bharu, Kuala Krai, Rembau
Shafie – Wangsa Maju, Kota Bharu, Tampin dan Sembrong
Rais – Ketereh, Rembau dan Sembrong
Isa Samad – Rembau dan Tampin
Syed Hamid – Ketereh
Jamaluddin – Tampin
Khaled Nordin – Kuala Krai

Daripada pencalonan-pencalonan di atas jelas bahawa wujud persamaan di kalangan bahagian yang diterajui Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri bagi gandingan Najib-Muhyiddin dan calon Naib Presiden.

Sementara gandingan Naib Ali Rustam pula wujud persamaan Ketereh, Rembau dan Tampin.

Tidaklah diketahui sama ada persamaan itu secara kebetulan atau petunjuk. Sama-samalah kita lihat nanti!

LARUT YANG BERLARUTAN

Posted in LARUT, Pemilihan UMNO on November 9, 2008 by Hambali Abd Latiff

Datuk Seri Raja Ahmad Zainudin Raja Omar dikatakan tidak lagi mengharapkan orang penting Ibu Pejabat UMNO mengatasi masalah di bahagiannya.

Beliau sudah tidak yakin Setiausaha Agung UMNO dapat menyelesaikan masalahnya.
Raja Ahmad berharap Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Mesyuarat Pengurusan UMNO membantu mengatasi kemelut di Bahagian UMNO Larut yang berlarutan.

Difahamkan, Mesyuarat Pengurusan UMNO akan diadakan Rabu ini.

Oleh kerana masalahnya begitu meruncing Raja Ahmad melihat masalah-masalah di Bahagian UMNO lain umpamanya Bahagian UMNO Tanah Merah dan Tenom juga perlu diselesaikan sebaik-baiknya.

“Saya akan berusaha bertemu Datuk Seri Najib,” katanya.

Ketika merasmikan beberapa mesyuarat perwakilan wanita, pemuda dan puteri semalam, Raja Ahmad menimbulkan tiga cerita yang dua daripadanya pernah diperkatakan oleh bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pencari buah keranji dan angsa telur emas melalui blog bekas Perdana Menteri itu.

Cerita ketiga ialah cerita dari Asia Barat bagaimana seekor unta yang akibat kesejukan tidur di luar khemah meminta ikhsan tuannya iaitu mulanya memasukkan kepala sahaja ke dalam khemah tetapi kemudian badan dan akhirnya kakinya pula.

Akhirnya tuannya yang baik budi itu ditolak keluar oleh unta berkenaan tidur dalam kesejukan di luar khemah. Ia ada persamaan dengan perumpamaan ‘Belanda Minta Tanah’.

Sementara di Kuala Kurau semalam, Raja Ahmad berkata keputusan bersama jawatankuasa UMNO Bahagian Larut menolak pencalonan Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin untuk bertanding jawatan ketua UMNO bahagian itu ternyata tidak disenangi pihak tertentu.
Raja Ahmad berkata, berikutan tindakan itu pada 2 November lalu, banyak surat layang dan kempen memburuk-burukkan beliau dilakukan.

”Orang yang buat surat layang ini pengecut, kalau anak jantan, cakap depan-depan dan bukannya baling batu sembunyi tangan,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pemuda Larut semalam.

UMNO Bahagian Larut sebelum ini secara sepakat menolak pencalonan Hamzah untuk bertanding jawatan Ketua Bahagian itu setelah mendapati Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu tidak layak bertanding kerana menjadi ahli UMNO bahagian selepas 31 Disember 2007, sekali gus melanggar pekeliling yang dikeluarkan oleh ibupejabat parti.

Ekoran itu, UMNO Larut memohon penangguhan persidangan perwakilan UMNO bahagian itu yang sepatutnya diadakan esok ke tarikh baru yang akan ditetapkan kemudian sehingga masalah keahlian Hamzah diselesaikan.

Hamzah diterima baik ketika bertanding sebagai Ahli Parlimen pada pilihan raya umum lalu di Parlimen Larut dan selepas berpindah dari Bahagian UMNO Ipoh Barat pada April lalu.

Dalam satu posting blog http://kijang-jantan.blogspot.com pada 5 November lalu bertajuk ‘Raja Ahmad Boleh Dikenakan Tindakan’ menyebut bahawa pada 4 November 2008, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor member amaran, Raja Ahmad boleh dikenakan tindakan jika tidak mengadakan mesyuarat UMNO bahagian sehingga tarikh akhir semua mesyuarat bahagian ditetapkan perlu diadakan iaitu pada 9 November 2009.

Setiausaha Agung UMNO itu menjelaskan, Hamzah boleh bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut berdasarkan Perkara 6.3 yang dibaca bersama Perkara 6.3.8 Perlembagaan UMNO.

Di bawah perkara itu, seseorang yang belum menggunakan haknya di Bahagian lama boleh menggunakan haknya di Bahagian yang baru termasuk memilih dan dipilih.

Tengku Adnan berkata demikian kepada sebagai mengulas keputusan Bahagian Larut batalkan pencalonan Hamzah.

RAJA AHMAD BOLEH DIKENAKAN TINDAKAN?
http://kijang-jantan.blogspot.com
(Wednesday, November 5, 2008)

UMNO Bahagian Larut tiba-tiba menjadi perhatian ramai Ahad lalu apabila ia menolak pencalonan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Hamzah Zainudin yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat untuk bertanding jawatan ketua bahagian itu.

Ketua UMNO Bahagian Larut Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata keputusan itu diambil kerana Hamzah yang juga anggota Parlimen Larut baru menjadi anggota bahagian itu pada April lalu.

Sedangkan pekeliling UMNO mengesahkan hanya anggota yang membayar yuran dan berdaftar sebelum 31 Dis 2007 digunakan untuk mesyuarat kali ini. “Mesyuarat bahagian yang diadakan kelmarin secara konsensus menolak pencalonan beliau…ini soal keadilan, prinsip,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bahagian itu Ahad lalu.

Raja Ahmad yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubu Gajah berkata mesyuarat itu memutuskan untuk memohon penangguhan bagi persidangan perwakilan bahagian itu yang dijadualkan pada Ahad depan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Sebelum UMNO Bahagian Larut mematuhi dan bertolak ansur untuk menerima Hamzah bertanding di Parlimen Larut pada pilihan raya umum lalu. Alasan kukuh penolakan Hamzah ialah dia baru bertukar keahlian pada 3 April lalu sedangkan mengikut pekeliling, mereka yang menjadi ahli dan membayar yuran sebelum 31 Disember 2007 sahaja layak bermesyuarat.

Mengikut surat pekeliling dikeluarkan ibu pejabat Umno negeri, seseorang hanya layak menghadiri mesyuarat cawangan atau bahagian serta bertanding jika mereka mendaftar sebagai ahli mana-mana cawangan Umno sebelum 31 Disember 2007.

Raja Ahmad berkata, pihaknya sebelum ini ada membangkitkan perkara keahlian Hamzah pada mesyuarat badan perhubungan Umno negeri sebanyak dua kali termasuk yang dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini, 21 September lalu. “Pada mesyuarat itu, Hamzah memaklumkan beliau tidak berhasrat bertanding jawatan ketua bahagian Larut kepada Pak Lah, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan turut dihadiri Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor,” katanya.

Bagaimanapun, hari ini (4 November 2008) Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan Hamzah Zainuddin boleh bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut berdasarkan Perkara 6.3 yang dibaca bersama Perkara 6.3.8 Perlembagaan UMNO.

Di bawah perkara itu, seseorang yang belum menggunakan haknya di Bahagian lama boleh menggunakan haknya di Bahagian yang baru termasuk memilih dan dipilih.

Agendadaily memetik Tengku Adnan berkata demikian kepada sebagai mengulas keputusan Bahagian Larut batalkan pencalonan Hamzah. Menurut Tengku Adnan Ketua UMNO bahagian itu, Raja Ahmad Zainuddin boleh dikenakan tindakan jika tidak mengadakan mesyuarat UMNO bahagian sehingga tarikh akhir semua mesyuarat bahagian ditetapkan perlu diadakan iaitu pada 9 November 2009 Jawapan ini semakin pening sebenarnya.

Mana satu mahu dipakai – sama ada pekeliling UMNO mengesahkan hanya anggota yang membayar yuran dan berdaftar sebelum 31 Dis 2007 atau berdasarkan Perkara 6.3 yang dibaca bersama Perkara 6.3.8 Perlembagaan UMNO iaitu seseorang yang belum menggunakan haknya di Bahagian lama boleh menggunakan haknya di Bahagian yang baru termasuk memilih dan dipilih? Memanglah Perkara 6.3 yang dibaca dengan 6.3.8 itu membenarkan Hamzah bertanding tetapi bagaimana dengan Pekeliling mengenai pembayaran yuran berkenaan? Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata UMNO Perak menyerahkan kepada MT dan Jawatankuasa Pengurusan yang dipengerusikan Timbalan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan berhubung isu itu.

Perkara itu telah dibincangkan oleh UMNO Perak yang memutuskan untuk menyerahkan perkara itu kepada MT untuk diputuskan. Pada mesyuarat Umno Bahagian Larut kali ini, Raja Ahmad menghadapi saingan Timbalannya, Datuk Mohamad Daud Mohd Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selama dan Hamzah yang tidak mempertahankan jawatan Ketua Bahagian Ipoh Barat pada mesyuarat bahagian itu, 19 Oktober lalu.

Pada mesyuarat cawangan Umno Bahagian Larut yang berlangsung pada 17 Julai hingga 24 Ogos lalu, Raja Ahmad mendapat 28 pencalonan, Daud (33) dan Hamzah (22) untuk melayakkan mereka bertanding merebut jawatan ketua bahagian itu.

Bahagian berkenaan mempunyai 97 cawangan tetapi pencalonan daripada 14 cawangan telah ditolak kerana mengadakan mesyuarat tanpa pengetahuan bahagian. Menjadi tanggungjawab Ibu Pejabat menyelesaikan kemelut di Larut ketika ini secara sebaik-baiknya kerana pertikaian dua ‘gajah’ ini boleh melarat kepada perkara-perkara lain yang akan merugikan UMNO! POSTED BY

KIJANGJANTAN AT 1:37 AM 0 COMMENTS

PILIH PEMIMPIN BERSIH DEMI KEUTUHAN UMNO

Posted in Bahagian, Pemilihan UMNO on November 9, 2008 by Hambali Abd Latiff

Selamatkan UMNO, banteras politik wang.

Kelmarin Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail meminta pucuk pimpinan UMNO segera menyelamatkan parti itu daripada kehancuran.

Ia berikutan berleluasanya politik wang yang disifatkan paling serius dengan 900 aduan seumpamanya diterima.

Hasrat Tengku Ahmad Rithauddeen yang ingin bekerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam membanteras isu politik wang dialu-alukan tetapi keberkesanannya patut ditekankan.

Adalah sangat wajar dan bertepatan jika anggota Umno yang terbabit dalam politik wang pada pemilihan parti Mac tahun depan tidak diberi tempat dalam kepimpinan parti.

Bukan sekadar itu sahaja malah mereka patut dicemuh dan diletakkan pada kedudukan yang serendah-rendahnya, selain digantung keahlian dan dilarang bertanding untuk jangka masa panjang di masa akan datang.

Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju dengan pandangan sedemikian sementara Tan Sri Muhyiddin Yassin selain bersetuju berasa kecewa dan menyifatkannya amat buruk dan memalukan.

Muhyiddin berasaskan kata-katanya berdasarkan peningkatan jumlah aduan rasuah dan salah guna kuasa diterima Lembaga Disiplin parti sepanjang kempen pemilihan kali ini.

Bukan Najib sahaja malah seluruh ahli UMNO mengharapkan pemimpin dipilih adalah bersih untuk mengangkat perjuangan parti bangsa Melayu itu ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Najib memberi amaran, perbuatan dan amalan politik wang akan menjejaskan parti Umno dari dua segi, satu dari segi imej parti kepada orang luar, bermakna mereka akan lihat proses pemilihan dalam parti kita ini tidak bersih, kedua, akan menyebabkan pemimpin yang tidak sepatutnya diangkat untuk sesuatu jawatan itu terpilih kerana sokongannya berdasarkan mainan politik wang, mungkin kita akan mempunyai barisan pemimpin yang tidak dapat mengangkat perjuangan Umno yang lebih tinggi lagi dan merosakkan kredibiliti Umno kerana (mempunyai) pemimpin itu kurang kredibel,”

Menurut Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno itu, jika mereka yang terbabit dalam mainan politik wang tetap diberikan tempat, akhirnya ia akan merosakkan kredibiliti Umno itu sendiri.

Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, pula bimbang gejala buruk itu akan menyebabkan anggota parti beralih arah dalam memilih pucuk pimpinan parti daripada calon berwibawa kepada mereka yang hanya mampu menawarkan habuan wang ringgit besar sahaja.

“Saya cukup bimbang apabila membaca kenyataan Lembaga Disiplin parti semalam bahawa bilangan aduan tentang politik wang yang diterima begitu banyak, malah lebih tinggi daripada pemilihan sebelum ini.

“Saya malu kerana pendedahan ini seolah-olah menunjukkan kita (UMNO) gagal menangani politik wang dan ahli-ahli kita lebih mementingkan soal perut, wang, ongkos dan sogokan dalam memilih pemimpin,” katanya.

Apabila Najib membuka mulut mengenai perkara ini kepada pemberita selepas merasmikan mesyurat Umno bahagian Pekan di Pekan semalam, nasihat dan pandangannya dilihat lebih ‘bebas’ daripada Muhyiddin.

Faktornya ialah Najib menang tanpa bertanding jawatan Presiden UMNO dan sejauh ini beliau membolot kesemua pencalonan kecuali satu bahagian- Gua Musang.
Tetapi tidak bagi Muhyiddin.

Pemerhati politik membaca kenyataan Muhyiddin mempunyai makna tersirat apabila Datuk Seri Mohd Ali Rustam layak dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dijangka tidak sukar untuk menjadikan pertandingan Timbalan Presiden tiga penjuru.

Apapun, ia sekadar andaian dan Muhyiddin tidak pun menuduh pencabar beliau atau yang bertanding jawatan lain bermain duit.

Adalah sukar untuk menuduh Muhyiddin bersikap demikian kerana jelas beliau bersikap terbuka apabila mengucapkan tahniah kepada Mohd. Ali yang berjaya melepasi kuota tersebut dan Muhammad yang menghampiri kelayakan itu.

Berikutan kejayaan Mohd. Ali semalam bermakna untuk julung-julung kalinya dalam tempoh hampir 20 tahun, bakal menyaksikan perebutan bagi jawatan Timbalan Presiden. Jika Muhammad layak inilah kali pertama perebutan itu menyaksikan persaingan tiga penjuru.

Kali terakhir jawatan berkenaan dipertandingkan ialah pada 1987 apabila Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba mencabar penyandang jawatan, Tun Musa Hitam. Allahyarham Ghafar menang dengan kelebihan 40 undi. Pada 1993, pertandingan hampir menjadi kenyataan antara Ghafar dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bagaimanapun Anwar menang tanpa bertanding selepas Ghafar menarik diri.

Kejayaan Ketua Menteri Melaka, semalam yang menjadi calon kedua melepasi kuota kelayakan dengan memperolehi sembilan lagi pencalonan menjadikan jumlah keseluruhan 41 pencalonan untuknya.

Bahagian-bahagian yang memberikan pencalonan kepada kepada Mohd Ali semalam iala Ketereh, Tumpat, Pendang, Pasir Salak, Sandakan, Sungai Petani, Sepanggar, Pasir Puteh dan Kubang Kerian.

Muhammad mengekori dekat dengan mengumpul 37 pencalonan memerlukan hanya hanya dua lagi pencalonan hari ini. Kuota kelayakan bagi jawatan Timbalan Presiden ialah 39 pencalonan.

Muhyiddin menjadi calon pertama layak bertanding sejak 19 Oktober lalu menambah lima lagi pencalonan bagi membolehkan beliau mengumpulkan 84 pencalonan dengan pencalonan daripada Kuala Nerus, Wangsa Maju, Kangar, Jerai dan Bukit Bintang.

Bagi Muhammad pula, beliau perlu menanti sehingga esok iaitu hari terakhir mesyuarat bagi menentukan sama ada akan mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding atau tidak.

Muhammad sebelum ini mengumpul sebanyak 30 pencalonan semalam menambah tujuh lagi pencalonan daripada bahagian Kuala Krai, Hulu Langat, Baling, Sik, Sungai Besar, Pensiangan dan Petaling Jaya Selatan.

Berbalik kepada politik wang, pendapat Muhyiddin yang hampir sama dengan Najib bermakna pemimpin tertinggi UMNO mahukan pemimpin yang di bawah mereka kredibel dan berwibawa dalam parti sebab UMNO dinilai oleh rakyat teramai, rakyat jelata akan membuat penilaian dan perhitungan terhadap Umno melalui pemimpin yang diketengahkan Umno.

Wajar sekali seharusnya tidak ada tempat (bagi mereka yang terbabit politik wang) tapi akhirnya terpulang kepada ahli Umno sendiri untuk menyokong pemimpin yang bersih, dan juga bergantung kepada keberkesanan penguatkuasaan seperti perangkap laju, ada yang terlepas, ada yang kena.

Sewajarnya, ‘perangkap laju’ juga dipasang pada peringkat pertandingan Majlis Tertinggi kerana mereka ini juga kumpulan penting yang akan dilantik sebagai menteri, timbalan menteri dan penggendali agensi-agensi penting kerajaan.

Sejarah sebelum ini menunjukkan tumpuan perangkap hanya di peringkat Naib Presiden sahaja dan sudah sampai masanya mereka yang di bahagian-bahagian juga patut disaring.

Memanglah angka lebih 900 aduan diterima lembaga itu bukan sahaja memalukan UMNO tetapi menjatuhkan maruah anggota Umno serta menimbulkan pandangan negatif masyarakat luar terhadap parti.

Yang jelas, mereka yang terlibat sebagai sanggup menggadaikan maruah parti semata-mata untuk memenuhi matlamat peribadi, dan memang wajar jika Muhyiddin mahu gejala tidak sihat itu ditangani segera.

PERTANDINGAN MAJLIS TERTINGGI SEMAKIN MERIAH

Posted in Parti, Pemilihan UMNO on November 8, 2008 by Hambali Abd Latiff

Apa nasib mereka yang tidak memegang jawatan penting kerajaan dan agensinya tetapi bertanding kerusi Majlis Tertinggi UMNO (MT)?

Mampukah di kalangan mereka yang tidak berjawatan memenangi atau mempertahankan kedudukan mereka sebagai ahli MT?

Sejarah sebelum ini menunjukkan ada di kalangan mereka yang memenangi jawatan MT biarpun tidak memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri atau Pusat.

Pada pemilihan 2004, mereka ialah Tan Sri Annuar Musa yang menang tempat ke lapan, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik (14) dan Dato Dr. Norraesah Haji Mohamad (20). Annuar tidak bertanding kali ini sementara Rahim dan Dr Norraesah mempertahankan jawatan.

Pada pemilihan kali ini, mereka yang tidak berjawatan penting dalam kerajaan perlu berdepan dengan hampir 30 orang termasuk sembilan menteri, sembilan timbalan menteri, serta enam menteri besar dan ketua menteri, telah memperolehi pencalonan yang mencukupi untuk bertanding kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno dalam pemilihan parti itu Mac depan.

Mungkin ada lagi yang akan layak dengan mesyuarat Bahagian berlangsung lagi hari ini dengan esok.

Malah beberapa bahagian yang bermesyuarat selepas 9 November (esok) juga boleh membuat pencalonan.

Kali ini antara mereka yang tidak memegang jawatan Menteri atau Timbalan Menteri tetapi mempertahankan jawatan ialah, bekas Timbalan Menteri yang juga Pengerusi PNS Datuk Dr. Awang Adek Hussin ( 56 pencalonan), bekas Menteri Besar Terengganu dan kini Pengerusi Mara, Datuk Idris Jusoh ( 44), bekas Menteri, Datuk Dr Jamaluddin Jarjis ( 23), bekas Timbalan Menteri, Datuk Abdul Rahman Bakar ( 23), bekas Menteri, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin ( 22), serta (yang turut hadir pada mesyuarat MT) iaitu bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Mahdzir Khalid ( 74 pencalonan).

Kalangan mereka yang langsung tidak memegang jawatan agensi kerajaan dan turut layak ialah Ahli mParlimen Batu Pahat, Datuk Dr Mohd. Puad Zarkashi ( 72 pencalonan) bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim ( 49), Seantor Datuk Syed Ali Alhabshee ( 32), Datuk Radzi Manan (19) dan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar ( 19). Yang lainnya ialah bekas Exco Perak, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir ( 53) dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir ( 53), bekas Timbalan Menteri, Datuk Anifah Aman (45) serta Datuk Abdul Latif Mirasa ( 35).

Sementara Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd. Alwi Che Mat ( 34), Datuk Dr Hilmi Yahya (34), dan Ketua Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ( 30) turut layak.

Turut layak bertanding ialah Penasihat Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman (106), Pengerusi SPNB, Datuk Azian Osman ( 99), Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman ( 98), dan ahli MT dilantik, Datuk Mohamad Norza Zakaria ( 55).
Turut mendapat pencalonan yang mencukupi ialah Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Bung Moktar Radin yang mendapat 27 pencalonan.

Selebihnya adalah mereka yang menjawat jawatan penting dalam kerajaan Pusat dan negeri. Mereka termasuk Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar ( 125 pencalonan), diikuti Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman (117); Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed ( 112); Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed (111); Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman ( 107); Pengerusi SPNB, Datuk Azian Osman ( 99); Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman ( 98); Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob ( 98) dan Menteri Besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob yang memperolehi 89 pencalonan.

Menteri yang turut layak bertanding MT ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad ( 80); Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek ( 65); Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique ( 59); dan Menteri Tenaga, Air dan Komunikas, Datuk Shaziman Abu Mansor (49).

Turut layak bertanding ialah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad yang memperolehi 85 pencalonan); Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainudin ( 77); Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Husni Ahmad Hanadzlah ( 71); Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron ( 56); Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Johari Baharom ( 55); Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah ( 51); Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Lajim Ukin (49), dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasan Malek ( 24).

Calon wanita pula ialah Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said ( 89), Datuk Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Sumber Manusia (71), Ketua Wanita Umno Johor, exco Wanita Umno, Datuk Dr Noraesah Mohamad (29) dan Datuk Halimah Mohd Sadique yang mendapat 20 pencalonan. Turut mendapat pencalonan ialah Naib Ketua Wanita Pusat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil (22),

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.