Archive for the Berita Harian Category

APA MAINAN BERITA HARIAN

Posted in Ahmad Ramzi, Berita Harian, Terengganu on April 26, 2009 by Hambali Abd Latiff

(Sembang Ahad)

Apakah Berita Harian atau wartawannya cuba ‘membela kumpulan tertentu’ dalam krisis Terengganu apabila mengatakan polis menafikan mencari Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohammad Zubir, setiausaha politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beberapa akhbar kelmarin (selain keluaran Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad) memetik polis sebagai berkata, polis mencari Ahmad Ramzi bagi membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ancaman bunuh kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu awal minggu lalu.

Selasa lalu, polis menahan kerani itu di Bandar Baru Bangi, Selangor dan merampas beberapa peralatan termasuk komputer peribadi dari rumah lelaki itu.

SMS ugutan bunuh diterima Rosol yang juga Adun Ajil serta Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), dihantar daripada nombor dikatakan milik pegawai kanan di pejabat Menteri Besar.

Anehnya hari ini Berita Minggu melaporkan dari Kuala Terengganu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, berkata beliau keliru dan terkejut apabila beberapa akhbar melaporkan polis mencari Ahmad Ramzi kerana beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan itu.

Kita kini keliru:

1. Benarkah Mohd Fauzi menafikan semua laporan akhbar itu?

2. Benarkah akhbar membuat kenyataan salah?

3. Benarkah wartawan Berita Harian bercakap sendiri dengan Mohd Fauzi?

4. Atau jika pun Mohd Fauzi bercakap dengan wartawan berkenaan, apakah beliau bercakap mengenai berita atau gambar yang disiarkan oleh beberapa akhbar berkenaan.

Yang menghairankan, akhbar lain tidakpun menyiarkan kenyataan Mohd Fauzi. Apakah berita ini ekslusif?

Wah, bagus betul wartawan berkenaan.

Persoalan lain, kalaulah tidak benar pula penafian itu, Mohd Fauzi perlu ,memberitahu satu Malaysia beliau tidak membuat kenyataan itu.

Apakah Ketua Polis Terengganu, merestui kenyataan Mohd Fauzi? Apakah Ketua Polis Terengganu tidak tahu perkembangan siasatan mengenai kes sms ugut bunuh berkenaan?
Jika tidak benar, kenapa pula berita itu disiarkan?

1. Apakah kerana semalam hari Sabtu dan bos besar tidak di pejabat, berita berkenaan dilepaskan?

2. Apakah kerana wartawan berkenaan yang sering mendakwa kepada rakan-rakannya ‘rapat dengan Dato’ Manja Ismail’ (Pengarang Kumpulan BHSB) maka story beliau dilepaskan begitu sahaja?

3. Atau apakah wartawan berkenaan membawa suara seseorang atau kumpulan tertentu di Terengganu. Jika demikian, Berita Harian tidak lagi bebas dan menjadi ‘ejen kepada kumpulan tertentu?

Yang menariknya, Berita Harian turut menyiarkan kenyataan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang menafikan laporan media yang memetik sumber dan mengaitkan lelaki berusia 31 tahun yang ditahan polis di sebelum ini dengan seorang daripada 10 Adun yang tidak hadir pada hari kedua sidang DUN minggu lalu.

Soalnya polis mengatakan pihaknya sedang mengesan bekas calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12 lepas, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata, Ahmad Ramzi yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, dicari untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

Rosol berkata, laporan itu menyebabkan wujud keadaan seperti ada konspirasi dalam kemelut politik negeri membabitkan 10 Adun berkenaan dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Soal wujud konspirasi atau tidak serahlah kepada polis. Yang penting, apa bentuk siasatan dan keputusan jangan dipertikaikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata, Ahmad Ramzi yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, dicari untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

Rosol berkata, laporan itu menyebabkan wujud keadaan seperti ada konspirasi dalam kemelut politik negeri membabitkan 10 Adun berkenaan dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Soal wujud konspirasi atau tidak serahlah kepada polis. Yang penting, apa bentuk siasatan dan keputusan jangan dipertikaikan.

WARTAWAN KATAK

Posted in Berita Harian, NST, Pemilihan UMNO, Wartawan on January 28, 2009 by Hambali Abd Latiff

Seseorang yang menggelarkan dirinya add, semalam memberikan nasihat kepada saya: “… harapan saya agar sdr tabah dalm perjuagan wartawan UMNO untuk selama-lamanya, selagi umno relevan dimata rakyat malaysia, jangan pula ikut rentak Datuk Nasarudin adun Bota, bila kalah KB dan pengerusi felcra tidak disambung kontrak, terus jadi katak… semoga sdr HAL tidak menjadi “wartawan katak”.. ingatlah slogan “dulu kini dan selamanya”

Tergelak besar saya.

Tidak terperasan oleh saya bukan ahli politik sahaja yang jadi katak. Wartawan pun ada juga ‘katak’. Siapa agaknya ya?

Lantas teringat oleh saya mereka yang pernah menjadi bos dan rakan seperjuangan ketika di 31, Jalan Riong.

Seingatan saya yang paling konsisten ialah A Samad Said dan Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail yang tidak pernah ‘bertukar angin’.

Sebaliknya yang lain, entahlah sukar dicakapkan. Datuk Ahmad Sebi menjadi ‘orang besar’ sebuah syarikat, A Kadir Jasin memiliki penerbitan sendiri (khabarnya anugerah selepas meninggalkan Berita Harian dan NST), Datuk A Nazri Abdullah (terpalit dengan pemecatan DS Anwar Ibrahim pada 1998 dan sering berulang-alik London-Kuala Lumpur-Kota Bharu) yang turut mengheret dan ‘jatuhnya’ Yunus Said, Haniff Hadi dan beberapa yang lain.

Mungkin Datuk Rejal Arbee yang pernah dalam satu kapal dengan saya ketika saya di Harian Watan dan beliau di The Sun – ‘tidak memiliki apa-apa’ selepas bersara daripada Berita Harian.
Dan kepada yang masih ada di Berita Harian hari ini, saya tidak fikir mereka akan jadi ‘ketua pengarang katak’ kerana kalaupun Perdana Menteri digantikan oleh Perdana Menteri yang baru, ia hanya peralihan.

Datuk Hishamuddin Aun atau Datuk Manja Ismail tidak akan terkesan apa-apa oleh peralihan itu. Mereka OK, kedua-duanya penyokong dan setia kepada Perdana Menteri!

Di kalangan wartawan yang mengubah angin ialah Haji Shukor Harun dan Roslan Hamid (Lan H) yang kini bersama Harakah sementara ada beberapa yang lain –Meor Kamarul Shahid- dengan sebuah majalah selepas bergelumang dengan umnotv beberapa ketika.

Sementara ada juga yang menjadi penasihat kepada akhbar tertentu walaupun kadangkala ada akhbar yang mereka nasihati itu tergelincir dan bersimpati dengan pembangkang.

Tidak apalah, demi rezeki untuk anak isteri.

Jadi bila disebut wartawan katak, sukar untuk saya menggelarkan bos dan rakan saya sendiri kerana ia rezeki masing-masing.

Untuk hidup seseorang perlu bekerja keras. Ada yang terpaksa pijak belakang orang lain untuk ke atas.

Ada rakan saya yang dulunya memang ‘wartawan UMNO’ kini sudah berpindah angin dan bekerja dengan akhbar Keadilan. Cari makan katakan.

Saya tidak mempersalahkan mereka kalau menjadi ‘katak’ untuk mencari rezeki. UMNO memang jarang mengenang budi orang biasa dan yang tidak berpangkat.

Yang dikenang oleh UMNO hanyalah pemimpin ‘berjasa’ dan yang kecil-kecil semuanya tidak berjasa dan boleh dilupakan begitu sahaja!

Kembali kepada yang suka memijak belakang – oleh kerana saya tidak rela belakang saya terus dipijak, saya cepat-cepat lompat ke Harian Watan dan kemudian bernasib baik seketika di ntv7 sebelum ke Ibu Pejabat UMNO dan kemudian Radio Televisyen Malaysia (rtm) selama lima tahun.

Bercakap mengenai wartawan katak, ada juga kartunis katak sebenarnya.

Ia bukan sesuatu yang sengaja saya ada-adakan. Orang ini pada suatu ketika meminta jasa baik kami di Berita Harian dan Harian Metro untuk ‘hidup’. Dia datang merayu agar kartunnya disiarkan di akhbar kumpulan NST.

Namun apabila namanya sudah terkenal, dia mencakar kertas dengan mengutuk dan mempersenda termasuk pemimpin utama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kartunis katak ini bangga kononnya dialah pengkritik masyarakat dan tidak lagi menyapa kami jika berjumpa.

Kerana duduknya sebaris dengan pemimpin pembangkang dia merasakan dirinya layak untuk digelak sebagai kartunis politik. Namun semua kerjanya mempersendakan orang dan ada yang hingga ke peringkat mencaci.

Tidak apalah, rezeki memang boleh dicari dan digali – walaupun menggunakan cara-cara ‘haram’ apabila mencaci, mengutuk dan mempersendakan seseorang.

Apapun hidup mesti diteruskan.

Terima kasih add kerana peringatan. Saya harap tidak lupa diri dan akan terus cuba memajukan diri!

SEKAT WARTAWAN CARA ISLAM?

Posted in Berita Harian, Kelantan, PAS on October 22, 2008 by Hambali Abd Latiff

Cara Kerajaan Pas Kelantan melayani wartawan Berita Harian (BH) mungkin boleh dipelajari oleh kerajaan negeri lain di bawah pembangkang.

Apabila sahaja tidak sehaluan, halanglah wartawan sesuatu akhbar itu daripada membuat liputan.

Tidak boleh memberikan pandangan kedua atau mengkritik biarpun apa yang dikatakan itu benar belaka!

Yalah…kerajaan Pas Kelantan dikatakan kerajaan contoh dan sedang dijadikan model oleh kerajaan negeri lain yang dikawal pembangkang.

Jadi apabila tindakan menghalang wartawan membuat liputan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, kerajaan negeri lain seperti Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang pun patut ambil iktibar.

Mungkin tindakan ini cara Islam yang tidak boleh dipertikaikan!

Mengejutkan sekali apabila persidangan DUN Kelantan tidak membenarkan wartawan Berita Harian membuat liputan persidangan hari ini selepas mendapati akhbar itu yang tidak menyiarkan sebarang ralat terhadap apa yang didakwanya sebagai laporan tidak tepat.
Segala-galanya berhubung titah ucapan Sultan Kelantan yang disiarkan kelmarin bertajuk Sultan Murka Kerajaan Pas Gagal Tadbir Kelantan.

Inilah sikap Pas sebenarnya, dalam mereka melaung-laungkan kononnya mereka mengamalkan demokrasi, apabila ada akhbar menegur atau tidak sealiran dengan mereka, membuat liputan pun tidak boleh.

Menghairan sekali kerana dibandingkan dengan akhbar Harakah yang dari muka depan hinggalah ke belakang ‘membelasah’ kerajaan Barisan Nasional dan sesetengahnya memburuk-burukkan ahli politik tertentu, wartawannya masih dibenarkan membuat liputan, termasuk di Parlimen.

Langkah Persidangan DUN Kelantan kali ini mengingatkan saya kepada kekecohan pada sidang DUN tahun lepas apabila wartawan Sinar Harian, turut dijadikan ‘mangsa’.
Ia berkaitan dengan usul memboikot persidangan berkenaan yang membuatkan ada pihak mahu memboikot akhbar berkenaan.

Namun, hari ini Sinar Harian jelas dijadikan alat parti berkenaan untuk menyampaikan maklumat untuk parti dan Kerajaan Pas Negeri Kelantan.
Saya rasa tidak mungkin Parlimen Malaysia mahu belajar daripada Dewan Undangan Negeri Kelantan cara-cara untuk melayani wartawan.

Biarpun beberapa wartawan akhbar, blog atau laman berita internet menghentam Speaker atau juga timbalannya, belum pernah ada sekatan seperti DUN Kelantan itu dilakukan terhadap wartawan.

Sejauh ini sejak saya berdampingan dengan Dewan Rakyat atau Dewan Negara bermula 1984, saya tidak pernah dengar ada wartawan di halang membuat liputan.
TIdak tahulah sebelum itu.

Menurut Speaker Dewan, Mohd Nassuruddin Daud, selepas membaca akhbar BH semalam dan mendapati tiada ralat disiarkan berhubung laporan akhbar itu kelmarin, “Mengikut Perkara 14 Peraturan Dewan saya mengambil keputusan agar wartawan daripada akhbar itu tidak dibenarkan membuat liputan sepanjang dewan bersidang,” katanya.

Beliau menyatakannya pada sidang DUN ketiga (Belanjawan) di Kota Bharu semalam.
Kelmarin Drs Zainuddin Awang Hamat (Pas-Limbongan) mendesak supaya akhbar BH memohon maaf dan wartawannya ditegah daripada membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri ekoran tajuk muka depan akhbar itu yang dianggapnya mencemarkan imej kerajaan dan Sultan Kelantan.

Syor Zainuddin itu disokong beberapa anggota Pas lain, sehingga memaksa Mohd Nassuruddin menenangkan keadaan dan memberi tempoh kepada akhbar itu untuk meminta maaf dalam siarannya esok, atau tindakan sewajarnya akan diambil.

Ekoran kenyataan Mohd Nassuruddin hari ini, wartawan BH Khairul Anuar Abdul Samad diarahkan pihak keselamatan pejabat kerajaan negeri agar meninggalkan kawasan bangunan itu.
Ketika ditemui di luar sidang dewan, Khairul berkata beliau menerima keputusan itu namun tidak berpuas hati dengan keputusan melarang wartawan akhbar berkenaan membuat liputan sepanjang dewan bersidang.

“Selama ini kami membuat liputan mengenai perkara yang perlu dihebahkan oleh kerajaan negeri, dan kami juga melaporkan maklumat yang ingin disampaikan kepada rakyat.

Katanya beliau tiba untuk membuat liputan sidang dewan pada jam 9 pagi dan pihak keselamatan meminta beliau agar tidak berada di dalam bangunan kerajaan negeri mengikut arahan Speaker Dewan.

SPIN TITAH UNTUK TUTUP KELEMAHAN

Posted in Berita Harian, Kelantan, PAS, Sultan, UMNO on October 22, 2008 by Hambali Abd Latiff

Saya membaca kedua-dua versi laporan oleh Berita Harian dan Harakahdaily yang jelas membicarakan mengenai sikap Sultan Kelantan terhadap kerajaan Kelantan dan Kerajaan Pusat.
Ia berkaitan titah Sultan Kelantan ketika merasmikan majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Yang Pertama Dewan Undangan Negeri Kelantan yang Ke-12 di Kota Bharu, Isnin lalu.

Berita Harian (BH) membawa tajuk “Sultan murka kerajaan Pas gagal tadbir Kelantan” sementara Harakahdaily pula “Sultan tegur kerajaan pusat lambatkan projek pembangunan di Kelantan”.

Kedua-duanya menerbitkan berita pada Selasa 21 Oktober 2008 (20 Shawwal 1429 Hijrah).
Pertama saya ingin timbulkan kehairanan saya terhadap waktu penyiaran berita pada Harakahdaily.

Menghairankan sedikit ialah jika Harakahdaily sebagai akhbar elektronik tidak menyiarkan berita berkenaan pada hari Isnin (hinggalah jam 12 malam), sebaliknya ia disiarkan pada Selasa bagaikan menjawab apa yang dilaporkan Berita Harian.

Apakah Harakahdaily tidak melihat isu “Sultan tegur Kerajaan Pusat” sebagai tidak penting?

Bukanlah berita dalam Harakahdaily ini sebagai jawapan kepada BH? Malang sekali jika Titah Baginda cuba dispin untuk dijadikan jawapan kepada kritikan.

Perkara kedua, ialah soal isi berita penting.

BH menyiarkan berita dengan laporan bahawa Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra menegur kerajaan Pas Kelantan kerana masih gagal mengurus dan membangunkan negeri Kelantan dengan cekap, termasuk dalam pengurusan hasil serta kewangan.

Sultan Kelantan turut mengingatkan kerajaan negeri supaya memartabatkan institusi masjid dan tidak menggunakannya untuk kepentingan pihak tertentu.

Harakahdaily pula melaporkan Tuanku Ismail Petra melahirkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa projek kerajaan Persekutuan yang belum dilaksanakan di Kelantan.
Antaranya pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua yang mana sehingga hanya mencapai kemajuan 10 peratus, biar pun perletakan batu asas sudah lebih setahun berlalu.
Menurut Harakahdaily, oleh itu baginda mahu kerajaan pusat mempergiatkan semua projek pembangunan dalam rancangan Malaysia Ke-9 memandangkan pelaksanaannya begitu perlahan.

Daripada apa yang dilaporkan, kebimbingan Sultan Kelantan adalah projek-projek yang dibawakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk memajukan rakyat dan negeri Kelantan.
Ini termasuklah projek-projek lain yang dalam pelaksanaan seperti pembinaan kampus utama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok dan Jeli juga perlu diambil perhatian.

“Beta juga mendapat maklum Kelantan adalah di antara negeri yang disenaraikan dengan projek hub halal dalam RMK-9 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM17 juta, bagaimanapun ia juga belum dilaksanakan,” titah baginda.

Baginda menyarankan kerajaan negeri memberi penekanan ke atas pelaksanaan hub halal bagi mewujudkan pusat pengumpulan, pengeluaran dan pemasaran makanan halal di negeri ini.
Baginda turut menyarankan kerajaan Persekutuan supaya mempercepatkan pembinaan fasa ketiga Lebuh Raya Pantai Timur dari Terengganu ke Tumpat, laluan kedua Kota Bharu-Kuala Krai dan pelebaran jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

“Sukacita beta mencadangkan Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pembinaan fasa ketiga Lebuh Raya Pantai Timur dari Terengganu ke Tumpat, laluan kedua Kota Bharu-Kuala Krai dan pelebaran Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

“Beta difahamkan, pelabuhan tidak disenaraikan sebagai projek infrastruktur di bawah ECER di Kelantan. Bagaimanapun, beta dimaklumkan kerajaan negeri meluluskan tiga projek pembinaan pelabuhan Tok Bali, pangkalan bekalan luar pesisir Kemasin dan pangkalan bekalan Kuala Besar.

“Beta berharap kerajaan boleh memberi kerjasama dan bantuan sepenuhnya bagi menjayakan projek ini,” titah baginda sambil melahirkan rasa amat gembira dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberi peruntukan dana khas sebanyak RM32.1 juta bagi meningkatkan sosio-ekonomi rakyat menerusi Projek D’Raja Kelantan.

Menurut Baginda, pembangunan tersebut begitu penting bagi memastikan segala program yang dirancang di bawah Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Tumur (ECER) berjalan lancar dan mencapai matlamatnya.

Tambahnya dalam pelan induk ECER, kerajaan pusat telah merancang untuk melaksanakan sebanyak 53 projek utama di Kelantan.
Jelas di sini, saranan adalah untuk mempercepatkan projek-projek yang sudah diluluskan, walaupun Kelantan bukan ditadbir BN.

Saya ulangi, Kelantan bukan ditadbir oleh BN tetapi Kerajaan Pusat berusaha melaksanakan projek penting termasuk jambatan berkenaan.
Selama lebih 18 tahun, apakah Kerajaan Pas Kelantan mampu membina jambatan berkenaan, membina kampus UMK atau juga lebuh-lebuh raya yang dimaksudkan?

Hakikatnya, Baginda turut menegur Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) yang melaksanakan bandar raya Islam sejak 2006. Menurut Baginda, perancangan dari aspek kebersihan dan keselamatan perlu dinilai semula kerana beta melihat beberapa elemen belum mencapai matlamat.

“Beta berharap MPKB memberi fokus kepada elemen terbabit bagi menjamin pencapaian matlamat itu.”
Jangan lupa, perkara ini juga ditegur Baginda pada persidangan tahun lepas yang membawa erti MPKB gagal memenuhi saranan Tuanku Ismail Petra!

Soal-soal lain banyak lagi. Dan sekali lagi tahun ini Baginda membangkitkan soal Laporan Ketua Audit Negara mengenai kedudukan kewangan Kelantan yang tidak kukuh apabila mengalami defisit akaun hasil disatukan pada akhir 2007 sebanyak RM326.34 juta berbanding RM155.86 juta pada akhir 2003.

Juga, saranan supaya Enakmen Perbadanan Menteri Besar Kelantan serta Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan agar dikaji semula supaya tidak wujud pertindihan dan persaingan.

Baginda juga mencadangkan kerajaan negeri tidak boleh terus bergantung kepada sumber hasil sedia ada. Usaha perlu digembleng untuk meneroka punca hasil baru dalam setiap sektor untuk membiayai kos pengurusan dan pembangunan yang semakin meningkat.
Tidakkah perkara ini turut ditimbulkan tahun lepas?

Tengku Ismail Petra juga menegur mengenai masalah tanah terbiar di seluruh Kelantan yang ketika ini mencapai keluasan 21,458 hektar dan 910 hektar saja yang dibangunkan.

Malah Baginda mahukan kerajaan negeri mengambil peluang daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM2.5 bilion untuk memulihkan tanah terbiar bagi menjamin bekalan makanan negeri khususnya dan negara amnya.

Soal lain yang turut ditekankan oleh Baginda ialah menyarankan kerajaan negeri turut menekankan pelaksanaan pembangunan hab halal bagi mewujudkan pusat pengumpulan, pengeluaran dan pemasaran makanan halal.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.